iDAN

30 Mei 2007

Ngail@di.Desa (Sastera)

bakong lubuk lama sepat & puyu
bagaikan berenang jauh di sepi desa
tak sabar rasanya merentas pokok paku
mencantas rempiang menaut haruan
menahan bubu & membakar buah getah
atau isi kelapa buat pemanggil limbat
di jaringan bubu
atau mengutip buah ceri bagi umpan
si ikan lampam
atau membakar sarang kerengga
mencuri anaknya sebagai umpan di paya

di desa sana terlalu banyak tasik
untuk diteroka percuma
di kota ini semuanya berbayar
di kolam ikannya dapat diduga
di tasik kita ghairah meneka spesis apa
di laut terkadang gelombang menghalang kita
memang tak puas turun ke laut
tapi tidak boleh saban kali ke sana
bajetnya bukan sedikit
wang besar hasilnya besar

namun aku amat rindu untuk
ngail di kampungku
redup nyaman
bukanlah ikan sasaran utamanya
sayogia impirasi meresap ke diri.

iDAN
BKK & Jenaris
30 Mei 07

Posted on 5.30.2007 at 1:22 AM

10 Mei 2007

Kelodak si Todak Episod 5 (Singgahsana)

Makin dibaling umpan makin ikan bagaikan lari. Peluh kian membasahi baju T aku. Aku bingkas meluru ke kamar aku, mencari baju T yang lebih nipis. Panas. Aku mencapai Nusantara, termenung memerhati ombak laut. Putih berlari-lari mengejar hujan bakau. Nampak nelayan memasang jaring di persisiran pantai.

" Apakah jaring yang memagari kelong ini membuatkan semua ikan lari! .." Desus hatiku.

Aku lihat Fairuz juga makin rimas, impian aku mahu menaikkan anak-anak kembung, anak selar atau sebarangan ikan boleh dibuat umpan bagi malam nanti nampaknya gagal.

Aku teringat akan ikan kembung yang kami beli di Bangi pagi tadi. Mungkin ikan di Kelong Lukut ini suka makan daging kembung. Aku menggunakan pancing antikku si ABU Cardinal 757. Memasang umpan daging kembung; berbaling jauh-jauh mengikut arus laut; batu yang aku gunakan saiz agak besar agar tidak hanyut dek arus. Harapanku ada penghuni di laut Lukut ini akan meragut umpanku.

Air makin surut, air makin keruh. Fairuz & aku memang kecewa. Sesekali Abuya Rusdi & rakan aku yang masih di Serdang telefon. Fairuz bising berkata;

" Jangan ganggu tengah naikkan ikan gelama besar ni!... " Bergurauan Fairuz sebenarnya.

" Siapa telefon tu?.." Aku bertanya.

" Ijan! "

Hari kian petang. Aku kian melupakan joranku; Penatlah amat. Aku mencari makanan lantaran terasa lapar, Fairuz ada membawa mee goreng dari rumah. Ada sedikit untuk aku makan. Habis aku makan; memang lapar sangat. Aku mencongak waktu. Jika mereka bertolak dari Serdang sekitar 1:00 tengah hari. Pasti sampai sekitar 2:00 petang. Sepatutnya mestilah dalam jam 3:00 petang mereka akan sampai.

Dengan Abuya Rusdi memang aku biasa memancing di Tasik Tejut. Dengan Ijan memang aku tak biasa. Apatah lagi dengan Faizal, Wan, Nik & Hatmi. Ketereh asalnya orang Kelantan, adalah rakan jurnal & aku kerap berbual kosong dengan dia di makmal. Cumanya sejak kebelakangan ini dia makin ramai rakan senegerinya berhijrah ke fakultiku. Faham-faham sahajalah jika orang Kelantan berjumpa dengan rakan seKelantan. Kita yang tak pandai bercakap dengan lograt mereka memang tak ada can mahu mencelah berborak.

Ketereh kira baru nak belajar memancing. Raman kira biasa. Abuya, Ijan, Faizal memang sudah dikira sifu. Seharusnya memancing dengan sifu-sifu inilah aku harapkan akan dapat menimba ilmu mereka agar menjadi hanyirnya joran.


Pelangi atau Langit Minum, jangan tunjuk dengan jari nanti jari jadi kudung!!!

Bila sahaja air semakin keruh, memang tiada langsung tangkapan ikan. Amat berbeda dengan kelong yang besar. Fairuz pernah memancing di kelong yang lebih besar agak ke tengah laut. Tentunya tak ada masalah air pasang surut. Mungkin apa yang aku baca tentang pengalaman mereka yang memancing di Kelong Lukut ini adalah di kelung besar. Banyak ikan kembung & selar katanya. Bermain dengan apollo pun katanya sudah cukup seronok. Tidak ada masalah umpan ikan segar jika memancing di Kelong Lukut.

Aku memandang ke arah jeti Lukut, kot-kot ada bot laju akan membawa tujuh orang lagi teman memancingku. Harapanku dengan kehadiran mereka pasti akan ada serunya ikan datang menghampiri kelong. Manalah tahu kalau-kalau ada kalangan teman memancingku ini menuntut ilmu dengan arwah Pak Abu. Sebut tentang ilmu memancing Pak Abu aku memang amat trauma. Sebut saja mahu makan ikan apa, seru saja akan datanglah ikan yang kepingin dipancing. Yang aku tak pernah dengar diserunya ialah Ikan Duyung. Semangat Ikan Duyung tentunya payah diseru oleh arwah Pak Abu. Jika tidak pasti ramai kalangan teruna di kampungku berkahwin dengan ikan duyung.

" Bilalah aku dapat menuntut ilmu mengail yang diturunkan oleh arwah Pak Abu kepada Nu-C, pengerasnya setahu aku taklah mahal sangat!, Nu-C masih dapat ditemui di UPM, dengar khabarnya dia masih aktif mengail... " Desus hatiku.

- bersambung!

Kelodak si Todak 4

Posted on 5.10.2007 at 5:08 PM