iDAN

05 September 2009

Maklumat stesen radio (Delima Merkah)

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai stesen-stesen radio di selatan Asia dan Asia Tenggara.


LAMAN web ini menyenaraikan frekuensi radio, menyediakan direktori radio dan televisyen termasuk nombor telefon.


SEJARAH radio bermula apabila James Clerk Maxwell berjaya menjelaskan teori perambatan gelombang elektromagnetik pada 1873. Teori dinamik medan elektromagnetik itu berdasarkan hasil penelitian yang dilakukannya antara tahun 1861 hingga 1865.

Penggunaan awal radio adalah dalam kalangan anggota pasukan maritim untuk mengirim pesanan telegraf menerusi kod Morse antara kapal di lautan dan darat.

Kini, radio cukup komersial dan bukan lagi satu yang asing kepada masyarakat dunia. Teknologi terkini juga membolehkan saluran radio di negara tertentu boleh didengar di seluruh dunia. Setiap stesen radio mempunyai frekuensi mereka sendiri sekali gus membezakannya antara satu sama lain.

Melalui laman sesawang www.asiawave.net, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai stesen-stesen radio di selatan Asia dan Asia Tenggara.




Pengunjung boleh mengetahui frekuensi radio di setiap stesen di negara-negara tersebut, selain jadual dan kawasan liputannya.

Bukan itu sahaja, mereka juga boleh memberi maklum balas terus pada laman tersebut sama ada melalui e-mel atau forum pendengar.

Berbeza dengan laman sesawang yang memberi informasi mengenai stesen-stesen radio di Asia, www.asiawave.net sentiasa dikemas kini supaya pengguna hanya mendapat maklumat yang terkini dan tepat.

Ia menyenaraikan bukan sahaja frekuensi radio, malah menyediakan direktori radio dan televisyen termasuk nombor telefon. Antara negara-negara yang boleh dicari adalah Kemboja, China, India, Laos, Macau, Maldives, Filipina, Thailand, Vietnam, Brunei dan Malaysia.



Selain itu, terdapat juga rakaman-rakaman stesen radio yang dibuat sejak tahun 2000 yang boleh dimuat turun pengguna.

Semua audio adalah dalam format MP3. Oleh itu, pengguna perlu mempunyai pemain MP3 untuk mendengar audio tersebut. Namun begitu, kualiti rakaman tersebut tidak sama kerana ia bergantung kepada rakaman yang dibuat oleh stesen terlibat sama ada mempunyai gangguan atau tidak.

Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui mengenai stesen-stesen radio di negara lain, sila layari laman web itu untuk menambah pengetahuan anda.

Kosmo!