iDAN

22 Disember 2011

Kerajaya Songsang.

Percaya atau tidak ada ketika awak ini macam cicak kubing (sesumpah). Berubah rona bila berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Dulunya awak orang susah sampai ada kalangan waris awak terpaksa guna daun nenas sebagai sudu bila tetiba rumah awak ada mee sup. Adik beradik ramai sudu bukan tak ada tapi tak cukup; perut lapar tak larat nak tunggu giliran maka asal ada sudu segera pakai saja. Pinggan ayan lusuh memang banyak.

Satu lagi golongan ada ketikanya dilahirkan dalam kroni orang berada. Maka bukan mustahil awak jadi loya nak makan di gerai tepi jalan yang nampak daif & serba kurang. Tekak awak menolak makanan tepi jalan sebab awak terfikir ianya kotor berabuk. Kelas awak adalah restoran atau cafe yang tersohor & mahal harga juadahnya.

Sebab itu bila awak jadi bos; bajet bangku yang layak sebagai Ketua Jabatan (KJ) sekadar RM500 awak sanggup tambah duit sendiri nak duduk di bangku yang berharga RM1,000 lebih. Tak duduk di bangku mahal tak selesa buat kerja.

Golongan elite & berstatus bangsawan ini yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan pekerja. Adakah lojik?. Sedangkan di rumah pun awak tak pernah sidai kain; jatuh martabat sidai kain anak atau suami/isteri. Bolehkah KJ sebegini rasai kepayahan golongan sokongan (kini dipanggil Kumpulan Perlaksana 2) & mahu menjaga kebajikan pekerjanya.

Orang tak rasa susah memang sukar dapat menyelami hati orang susah. Dia akan rasakan teguran mereka yang susah & teraniaya ni sebagai sungutan yang mengada-ngada. Malahan silap-silap mereka yang nampak ketidakadilan ini; jika bersuara akan dicap staf bermasalah oleh KJ yang sekadar bermusim (syarat naik pangkat kena jadai KJ sepenggal dua). Jika boleh staf yang menegur ini segera diberhentikan di organisasi mereka. Orang bawahan hanya layak jadi macai mereka. Jangan sesekali diberikan peluang bersuara naik pangkat sebab mereka ini akan jadi kaduk naik junjung. Kecuali yang seiring dengan mereka kaki bodek, mengampu yang bosnya cantik jelita macho tampan & bla bla.

Ini sering berlaku di mana juga tempat kerja yang namanya makan gaji. Malahan golongan majikan atau KJ begini akan nampak sekelompok yang setaraf dengan dia sahaja, yang intim serta senyum bersama. Yang boleh dia bercampur atau terima segala pendapat atau ide mereka. Golongan begini jauh sekali akan hormat akan daya kreativiti orang lain sampai satu hari dia akan jadi teramat ego; hatta hidungnya makin kemek pipinya makin demak. Tengkoknya makin pendek; bahunya makin terangkat, betisnya makin gedabak. Langkahnya makan mendada tak pernah tunduk.

Satu hari dia akan rasa akulah segalanya & akan tersenyum sendiri. Nah! aku telah jadi Tuhan. Semua orang kena tunduk dengan segala perintahku (keangkuhan). Tak tunduk ambik kau aku akan jentik bagai tahi cicak; awak carilah rezeki di tempat lain. Waduh.

Mission: Impossible – Ghost Protocol,


Mission: Impossible – Ghost Protocol. (MI:4) Menarik filem ni, anda boleh membawa keluarga anda ke pawagam sebab pasti filem ini akan menarik buat semua peringkat umur.

Ianya banyak berkisar tentang kepakaran teknologi maklumat, masalah peperangan, keganasan serta dendam. Heronya Tom Cruise banyak meronai lakon layar yang hebat & tangkas. dari awal babak hingga ianya tamat satu demi satu adengan aksi yang amat mencemaskan.

Antara babak menarik adalah permandangan di Dubai di mana bangunan pencakar langit yang digunakan sebagai lokasi pergambaran amat cantik & meriah.

Pelakon Hindustan Anil Kapoor yang turut berlakon semasa di Bombay pastinya satu suntikan aura bagi peminat filem Hindi. Kesan audio yang amat baik serta beberapa babak yang menggunakan multimedia pastinya membuatkan kita tergamam & berdebar dada.


Aku sebenarnya sekadar mahu membawa anak buah bersama anak-anak menonton; filem ini menjanjikan kepuasan menyaksikan di layar perak berbanding DVD atau menonton di TV.

Pengiktirafan sastera Malaysia


Oleh Salbiah Ani @Gambar oleh Mohamad Danial Mohd Saad
dahiya@nstp.com.my


BAHA ZAIN menunjukkan kepada anaknya, Rosihan Adi (kiri) dan isterinya, Datin Rusiah Abdullah (kanan), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan yang diterimanya sempena Konvokesyen ke-41 Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampus Kejuruteraan USM, baru-baru ini.

Baha Zain terima ijazah kehormat daripada Universiti Sains Malaysia

DUNIA sastera tanah air menerima penghormatan sekali lagi apabila penerima Anugerah Penulisan Sea 1980, Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (Hon D Litt) daripada Universiti Sains Malaysia (USM), pada 20 Mac lalu.

Sasterawan tersohor itu menerima pengiktirafan tertinggi pada peringkat Asia Tenggara daripada Kerajaan Thailand menerusi Anugerah Penulisan Sea pada 1980, tidak menduga sama sekali beliau akan diberi penghormatan sedemikian daripada universiti terbabit.
“Sebagai seorang yang diundang untuk menjalani sebahagian daripada upacara bermakna ini, saya kira ini adalah suatu takdir yang tak pernah terbayang boleh berlaku di dalam perjalanan hidup saya. Saya sangat bersyukur (Alhamdulillah) dan gembira,” katanya ketika berucap pada majlis di Fakulti Kejuruteraan USM, Kampus Minden, baru-baru ini.

Upacara berkenaan berlangsung pada Konvokesyen Ke-41 USM yang turut dihadiri Pro Canselor USM, Tan Sri Razali Ismail, Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Prof Datuk Abu Talib Ahmad.

Beliau tersentuh menerima pengiktirafan daripada USM memandangkan ia adalah institusi pengajian tinggi dan penyelidikan yang penting di negara ini, selain walaupun istilah sains terserlah pada namanya tetapi di universiti itu hadir juga pengkaji dan pengkritik sastera berwibawa, baik dalam bidang sastera Melayu klasik mahupun moden.

“USM juga menempatkan dua tokoh persuratan yang menerima pengiktirafan tertinggi bangsa dan juga tokoh akademik terkenal iaitu Prof Emeritus Shahnon Ahmad (novelis) dan Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh (penyair) yang diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN), memperkukuh citra serta kewibawaan USM.
“Oleh hal yang demikian, tentulah cukup bermakna menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada universiti puncak ini. Oleh kerana itulah juga saya berasa sedikit ngeri untuk berucap sepanjang tujuh minit, bagi memenuhi waktu yang diperuntukkan, di hadapan ramai cerdik pandai daripada pelbagai disiplin ilmu.

“Beberapa kali saya memikirkan draf ucapan kerana tidak pasti apa yang pantas untuk diucapkan di depan khalayak. Akhirnya saya mengambil pendirian untuk setia kepada diri sebagai penyair agar ucapan saya lebih autentik dan jujur.

“Kesejatian dan kejujuran itu, namun boleh menjadi sebagai barang kuno, artifak dan usang pada zaman pembangunan industri dan globalisasi ini, tetapi saya tidak mempunyai banyak pilihan lain kecuali mengemukakan fikiran yang polos lagi dekat dengan hati,” katanya.

Sebelum ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) memberi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said dan SN, Allahyarham (Dr) Arena Wati atau nama sebenarnya, Muhammad Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan Andi Buyung, menerimanya daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baha Zain mengakui dalam genre puisi, beliau menimba pengetahuan daripada alam pengalaman di tengah-tengah kehidupan yang nyata dan tidak melalui proses menyelidik dengan metode teratur, menganalisis sumber secara saintifik dan mentafsir secara rasional lagi objektif.

“Dalam keadaan seperti itu tentulah penulis seperti saya ada banyak kekurangan apabila mengemukakan pandangan. Meskipun sangat percaya pada hikmah ilmu dan darjat yang tinggi diberikan oleh Tuhan kepada orang berilmu, tetapi tidak semua penyair atau seniman ditakdirkan untuk berpeluang bekerja dalam penyelidikan ilmu,” katanya.

Sebagai penyair, beliau selalu insaf bahawa dari segi ilmu beliau selalu berada seperti apa yang terungkap dalam sebuah pantun Melayu yang berbunyi: Berburu ke padang datar,/ Dapat rusa belang kaki;/ Berguru kepalang ajar,/Bagai bunga kembang tak jadi.

“Dengan keinsafan dan sedar diri itu, penyair dan seniman selalu mendapatkan bantuan fikiran ilmuwan untuk mematangkan fikirannya. Penulis kreatif jarang bekerja secara terancang. Dia digerakkan oleh rangsangan tertentu yang menggugah atau menusuk emosinya; menulis secara intuitif dan sangat subjektif sifatnya.

“Dalam waktu yang sama dia boleh menjadi sangat taksub, tekal dan tak berganjak daripada kepercayaannya meskipun berhadapan dengan risiko oleh kerana runtunan emosinya. Jadi dari satu segi dia boleh dianggap tidak bijaksana kerana bersikap tidak pragmatik sewaktu mengucapkan kebebasan hati nurani.

“Bagaimana pun perasaan dan emosi itu adalah dimensi yang tak terpisahkan daripada kewujudan insan. Tidak ada satu sistem sosial yang sempurna sehingga boleh memuaskan hati setiap individu berperasaan dan berfikiran. Dalam demokrasi pun suara majoriti (walaupun dengan kelebihan satu suara) menjadi keputusan yang sah,” katanya.

Lalu, dengan fikiran saintifik dan rasional, bertolak daripada doktrin bahawa setiap sesuatu peristiwa ada sebab musababnya, boleh diselidiki dan diperjelaskan, sehingga timbul kepercayaan bahawa apa jua masalah sosial dan kehidupan manusia boleh diatasi dengan menerapkan fikiran yang logikal dan rasional.

Maka itu, dalam keputusan politik dan ekonomi, kepentingan diberikan terhadap idea, konsep dan fikiran, manakala faktor perasaan, kemanusiaan, emosi, keindahan, kemesraan alam dan nilai rohaniah sering diremehkan sehingga apa yang terjadi pada hari ini, pemimpin kita terpaksa berpatah balik untuk mendengarkan degup jantung dan gerak getar sanubari manusia dengan berkata: “rakyat didahulukan”.

“Saya tidaklah bertujuan meraikan aspek perasaan lebih utama daripada pemikiran. Sebagai manusia, kita berfikir dan berperasaan, berjiran tetangga dan bernegara kerana kita manusia individu dan manusia sosial. Baik dia sasterawan atau pakar sains, masing-masing ada kebebasan dalaman dan intelektual dalam usaha mencari kebenaran. Ini sahaja tidaklah cukup. Baik dia seniman atau ahli sains, dia perlu iltizam dan tanggungjawab sosial.

“Ini pun belumlah memadai kalau kebebasan dan tanggungjawab sosial itu hanya tunduk pada perasaan atau akal, tetapi tidak tunduk pada moral dan etika yang bernaung di bawah kepercayaan Kebenaran yang Hakiki, iaitu Tuhan Yang Maha Esa.

“Inilah nilai unggul pandangan kehidupan atau tasawur yang boleh menemukan golongan seniman dengan golongan saintis untuk bersama-sama duduk membangunkan kehidupan. Nilai agama inilah juga yang membuat orang berani dan yakin diri berhadapan dengan krisis. Krisis itu bukan sahaja menguji keberanian, tetapi turut menguji keimanan dan menunjukkan watak seseorang seniman atau ilmuwan,” katanya.

Baha Zain dalam ucapannya menyuarakan kebingungan rakyat dengan slogan yang sering didengungkan dan sering berubah; ketika waktu baru merdeka seniman diajak mengisi dasar kebudayaan kebangsaan, disuruh percaya bahawa penulis perlu terus mencipta kerana ia menyemarakkan bahasa serta dapat membentuk jati diri bangsa, tetapi akhir-akhir ini, ia seolah-olah menjadi mimpi lama.

“Kesepakatan antara dua kekuatan, iaitu kekuasaan politik dan kekuasaan ekonomi korporat, biasanya menentukan arah masa depan negara. Pembangunan boleh memakan diri jika pembangunan akal budi kebudayaan, kemanusiaan, moral dan etika, hanya menjadi embel-embelan kepada pembangunan ekonomi, sains dan teknologi. Dalam senario seperti ini, di manakah duduknya golongan ilmuwan dan seniman? Apakah mereka akan berfungsi sebagai pengkritik yang membina atau hanya menjadi pemberi justifikasi bagi setiap keputusan nasional yang besar?,” soalnya.

Baha Zain berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga 1984, sebelum melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Pengarah untuk menceburi dunia perniagaan dan giat berkarya ketika menuntut di Universiti Malaya (UM) serta mempunyai beberapa antologi puisi, manakala empat kumpulan puisinya, Perempuan dan Bayang-bayang, Dari Kertas Catatan Tengah Malam dan Tiga Catatan Perjalanan.

Baha Zain yang terkenal dengan puisinya, Menangguh Kebenaran, mengakhiri ucapannya dengan puisi, Kembalikan Mimpi Itu yang boleh ditafsirkan sebagai suara hati perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, meskipun tidak sepatah perkataan terbabit dilontarkan, tetapi ia pasti memandangkan kelantangannya bersuara akhir-akhir ini.

Ketuklah pintuku,
Meskipun malam sepi dan tenteram,
Dan aku nyenyak lena di ranjang.

Kembalikanlah sebuah mimpi,
Yang telah beratus tahun tenggelam,
Dipukul gelombang.

Dengarlah suara yang terpendam,
Dari sanubari yang dalam,
Suara sejarah yang tertindas,
Luka dan lemas.

Ketuklah pintu,
Kembalikanlah mimpi itu,
Jangan orang terbangun nanar
di tengah malam,
Dengan belati tajam di tangan.

Ini sekuntum mawar,
Sebagai ganti,
Meraikan malam penentuan,
Hidup atau mati.

Puisi Kembalikan Minggu Itu
Karya Baha Zain

Sastera dipinggirkan?

Rozninah & Salbiah
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Jumlah halaman mengecil sedangkan ia sebahagian sejarah negara

TANGGUNGJAWAB sosial dan sejarah yang perlu dipikul oleh media dalam konteks penerbitan bahan sastera sebagai salah satu cara untuk membangunkan masyarakat dan negara disorot pada Diskusi Sastera dan Media.

Diskusi anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, UPSI dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), turut melihat fungsi media secara praktikal dalam mengembangkan sastera sama ada melalui akhbar, majalah atau buku.

Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman, menganggap persoalan hubungan antara khalayak sastera dengan media dan masalah halaman sastera yang semakin mengecil sebagai isu serantau dunia sastera.

“Pertemuan dengan pengarang kreatif dari negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam mendedahkan, masalah yang sedang sastera Malaysia hadapi turut berlaku di negara terbabit.

“Bagaimanapun, Malaysia masih bernasib baik kerana Berita Harian menyediakan ruangan Sastera setiap hari, manakala Dewan Sastera yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1970-an masih di pasaran,” katanya pada dialog di Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.

Syed Mohd Zakir yang lebih dikenali sebagai SM Zakir melihat pengecilan ruangan sastera menunjukkan sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam dunia dagang dan pasaran bebas seperti yang pernah berlaku pada zaman sekitar kemerdekaan.

“Sastera tidak lagi dilihat sebagai komponen yang dapat menarik keuntungan dan penerbitan karya kreatif dilihat tidak lebih daripada tanggungjawab sosial untuk memartabatkan bahasa ibunda atau rasmi sesebuah negara,” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraannya, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin.

Bagaimanapun, beliau berharap sastera dan penerbitan karya kreatif dilihat sebagai tanggungjawab sejarah kerana hubungan antara media dengan dunia sastera sudah melalui sejarah yang panjang dan penting.

“Baru-baru ini, saya bertemu dengan editor majalah Kompas di Jakarta yang mengakui sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam aspek pasaran bagi majalah gergasi itu dan tidak dianggap sebagai tanggungjawab sosial.

“Hanya tinggal satu saja untuk menerbitkan karya sastera, iaitu tanggungjawab sejarah tetapi ia tidak boleh diremehkan kerana sastera menyumbang dalam sejarah perjuangan dan pengisian kemerdekaannya,” katanya pada diskusi yang turut dihadiri Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof Madya Dr Nor Azmi Mostafa dan Pengerusi Jawatankuasa Diskusi Sastera dan Media, Dr Abdul Halim Ali.

Pandangan Syed Mohd Zakir itu wajar diberikan perhatian dalam memastikan hubungan sastera dan media serta tanggungjawab sosial dan sejarah kembali diberi nafas segar tetapi khalayak sastera juga perlu mengambil kira realiti gerak kerja media yang lebih bersifat praktikal.

Justeru tidak hairanlah Diskusi Sastera dan Media itu turut membuka ruang kepada editor yang terbabit secara praktikal dalam meneruskan kesinambungan sastera sebagai tanggungjawab sosial dan sejarah, tetapi terikat kepada tuntutan keuntungan bagi membolehkan syarikat terus beroperasi.

Editor Sastera, Berita Harian, Salbiah Ani, ketika diminta mengulas pemilihan karya bagi terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu menjelaskan baik pengarang berjenama mahupun pendatang baru diberi peluang kerana penekanan adalah kepada mesej bukan pada status.

“Terus terang saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka tidak diberi peluang,” katanya.

Selain itu, pemilihan karya untuk terbitan dalam kedua-dua akhbar terbabit lebih bertumpu kepada karya yang mengetengahkan mesej yang baik dan tidak menggunakan teknik terlalu kabur sehingga menyukarkan pemahaman pembaca massa.

Justeru, Berita Harian dan Berita Minggu tidak membataskan ruangan Sastera untuk penggiat sastera tulen semata-mata kerana sokongan pembaca massa diperlukan bagi membolehkan halaman terbabit terus berdaya saing.

“Kami bergerak dari dana yang kosong dan dalam situasi semasa yang pembaca lebih cenderung kepada berita politik, ekonomi dan hiburan, saya sangat bersyukur ruangan Sastera mendapat dua halaman setiap hari. Beli dan bacalah akhbar untuk mengetahui bentuk karya pilihan editor.

“Pemberian halaman berdasarkan jumlah pembaca dan pendapatan yang dijana daripada halaman menyesakkan Editor Sastera. Faktor kos kertas dan keterbatasan ruang menjadikan iklan terlalu mahal. Berapa ramai penerbit buku sedia membeli iklan?,” katanya.

Editor Dewan Sastera, Rozninah Abd Azib, membuat saranan serupa kepada pembaca bagi memastikan karya mereka mendapat tempat dalam majalah terbitan DBP kerana tanpa membeli dan membaca sukar penyumbang menilai bentuk karya yang menjadi pilihan.

“Betul apa yang dikatakan rakan seperjuangan saya, Salbiah Ani kerana tanpa membeli dan membaca akhbar atau majalah yang menjadi sasaran penulis, mereka tidak dapat memahami bentuk karya yang mendapat tempat,” katanya.

Pengurus PTS Litera, Asma Fadila Habib, berkata PTS Sdn Bhd (PTS) mengambil inisiatif dan mengembangkan sastera serta karya sastera kerana menyedari wujudnya ruang kosong dalam bidang penerbitannya.

“Oleh itu, kami mula mengkaji keperluan pasaran dengan memberi tumpuan kepada genre yang berasaskan kehendak pembaca generasi muda, tetapi pada masa sama tetap memperjuangkan bahasa.

“Kami mulakan dengan penerbitan novel dewasa dengan menekankan kepada pemilihan judul karya kreatif yang cenderung kepada Islam tetapi tidak terlalu ‘ekstrim’ dalam penekanan kepada latar agamanya,” katanya.

iDAN:

...“Terus terang saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka tidak diberi peluang,” katanya....

Aku begitu lama masih bergelut untuk melepaskan karya barang sebuah karya puisi ke di Berita Minggu kini telah masuk ke tahun ketiga. Jika tanpa semangat penyairan aku pasti telah hilang daya kreativiti sebab cuba dibunuh oleh Editor yang mungkin terlalu teliti & sukar menerima tulisan seperti puisiku. Nah hari ini aku dapat lihat wajah Editor untuk Sanggar Sastera di Berita Harian & pengakuan jujur... tiada sikap kronisme & tidak mahu puisi kabur. Itulah sebaiknya agar dunia sastera tanah air akan berkembang & tidak menjadi hambar.

Cumanya baik puisi mudah atau pun puisi kabur ada pengikutnya. Yang penting bagiku setiap penulis kena menjaga keindahan Bahasa Melayu agar ianya terus diminati semua kaum di seantero dunia. Bahasa Melayu perlu kita kembangkan dengan apa cara sekalipun. Biarlah ianya terbentuk dengan pelbagai ragam supaya kita nampak akan coraka atau batik bahasanya.

TULISAN SALBIAH ANI: ANDA MELIHAT DARI SISI YANG BETUL, TERIMA KASIH
GODAM.

Salbiah Ani pengarang sastera Berita Harian menulis dari sisi yang betul tentang Little India. Tanpa mahu prejudis ataupun meluahkan prasangka berbaur perkauman, siapalah yang boleh menolak sebenarnya projek Little India di Brickfields yang dirasmikan bersama Najib dan Perdana Menteri India, Manmohan Singh semalam sebenarnya adalah sebuah filem yang mempunyai tajuk lain dan membawa cerita lain.

Jalan cerita Little Brickfields ini jelas amat bersimpang siur ketika semua penonton mengharapkan ia adalah sebuah filem yang berjudul 1Malaysia!

Kita amat melayani permintaan yang di luar kotak 1Malaysia. Kita tidak pernah bersimpati pada mereka yang tertinggal. Dan nanti mampukah kita menjawab atau memenuhi impian mereka yang tertinggal ini untuk membuka satu kawasan bernama 1Melayu atau 1Jawa atau 1Banjar yang dirasmikan bersama Najib dan Presiden Indonesia.

Dengan wang dileburkan sebanyak RM35juta untuk projek Little India, apakah kita juga bersedia mengeluarkan peruntukan serupa untuk 1Melayu?

Perlu diingat, hasrat mahu melihat Little India menjadi antara kawasan pelancongan adalah sama dengan hasrat mencantikkan ChinaTown di Jalan Petaling, sebelum ini. Kedua-dua lokasi itu memberi untung sebenarnya kepada dua bangsa, Cina dan India. Adakah kita juga bersedia mempromosi satu kawsan Little Melayu untuk dijadikan kawasan tarikan pelancongan dan sekaligus memberi keuntungan perniagaan kepada peniaga Melayu?

Demikian nasib peniaga Melayu sebenarnya. Mereka adalah anak dalam kendongan, tetapi susu yang ada diberi kepada monyet, beruk, ungka, mawas, cikah, lotong, orang utan, gorila, chimpanzee dan siamang di hutan! Nasib mereka tidak pernah dipeduli.

Bukan kisah kawasan perniagaan mereka mahu dipromosi secara global sering didengar, tetapi kisah mereka menjual air dan nasi lemak di tepi jalan yang kemudian dihambat penguatkuasa yang selalu dilaporkan!

Apalah malangnya Melayu? Mungkin tidak salah kita ulangi menyebut tafsiran Malaysia itu berkali-kali untuk menjelaskan apa sebenarnya Melayu. MALAYSIA - MALAY bermakna Melayu. SIA- bermakna Rugi. Dan benarlah Malaysia itu tafsirannya MELAYURUGI!

Kekeh rakyat yang berdecit-decit mungkin tidak didengari oleh Najib, memperlekehkan apa sebenarnya 1Malaysia. 1Malaysia benarlah merujuk kepada pengezonan kawasan tempat tinggal dan perniagaan mengikut kaum!

Apabila Salbiah tersentak menerima panggilan seseorang bercerita tentang pendapatnya mengenai Little India, kita juga tersentak mendengar terlalu ramai orang Melayu tersentak melihat betapa sungguhnya Najib merealisasikan konsep 1Malaysianya menerusi Little India.

Harus diingat, hampir semua bandar utama di negara ini telah menjadi ChinaTown dan hampir semua bandar yang penduduknya ramai India seperti di Jalan Datok Klana, Klang telah diiktiraf sebagai Little India. Ditanyakan lagi di mana 1Melayu beb?

1Malaysiakah kita beb kalau yang dibela hanya berpilih-pilih!

Godam: Sastera tanpa noktah buat Arena Wati
Bersama Salbiah Ani

MASIH lekat dalam ingatan penulis detik pertama kali bertemu Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Arena Wati, ketika ditugaskan menemuramahnya oleh mantan pengarang Sastera Berita Harian, Allahyarham AR Kamaluddin, bagi mendapatkan reaksi mengenai mogok seni kedua SN, Datuk (Dr) A Samad Said kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Rasa gentar menguasai diri ketika memujuk Allahyarham untuk sedia ditemu bual di hadapan pintu rumahnya di Kepong, tanpa membuat sebarang temu janji kerana mereka yang rapat dengannya, sememangnya tahu Arena Wati enggan memiliki telefon bagi mengelakkan dirinya daripada diganggu ketika berkarya. Degupan jantung yang kencang pada awal pertemuan, melayang pergi apabila wawancara akhirnya berlangsung hampir tiga jam dengan penulis bersimpuh di atas lantai sambil menulis di atas meja, manakala Allahyarham duduk di kerusi dan kebetulan tidak sihat pada masa itu.

Pertemuan itu, turut membuka peluang kepada penulis untuk melihat sendiri beberapa jenis ubat yang perlu diambil saban hari dengan membelinya di klinik swasta tanpa merungut, meskipun dirinya layak mendapatkannya daripada hospital kerajaan sesuai dengan kedudukannya sebagai SN, sebab pilihannya adalah mutu. Dalam pertemuan itu juga, Allahyarham menyatakan pendirian tidak masuk campur dalam hal yang membabitkan DBP dan dapat penulis rasanya betapa ada sesuatu yang dipendam dan enggan dikongsi sehingga trilogi karyanya, Armageddon yang memuatkan Mandala, Menora dan Pentagon, dibiarkan beberapa lama tanpa penerbit.

Kesediaannya membiarkan triloginya itu tanpa penerbit dan terus gigih menyiapkan Pentagon, satu daripada tiga triloginya itu yang tertangguh kerana rasa belum berpuas hati dengan fakta yang diperoleh, menyedarkan penulis betapa nyala cinta Allahyarham kepada dunia penulisan kreatif sentiasa membara dan tidak mungkin diganggu gugat.

Trilogi Armageddon yang bahannya dikumpul sejak 1974 seperti pengakuan Allahyarham pada wawancara dengan penulis, hanya mula digarap pada 2001 dan akhirnya diserahkan kepada Penerbit UKM untuk diterbitkan sebelum menemui pembaca pada 2005. Allahyarham mengaku tergerak untuk menangani trilogi Armageddon ketika berada di Jeddah ekoran perasaannya tertekan dengan peristiwa sekatan minyak oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec) kepada Eropah dan Amerika dalam usaha melawan Yahudi, tetapi gagal selepas Arab Saudi berlaku khianat.

Pertemuan kedua penulis dengan Allahyarham pada Mei 2003 ketika Arena Wati dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Mastera yang pertama kali diperkenalkan dengan hadiah ditaja Kerajaan Brunei Darussalam, berlangsung dalam suasana ceria pagi. Penulis disambut Arena Wati dengan kata-kata, “Apa yang kau hendak budak.” dan berlangsung lebih sejam di satu ruang legar Dewan Bankuet, diakhiri dengan laungan, “Kau tengok budak perempuan ni, pagi-pagi hari dia hendak menyakitkan hati aku.”

Mereka yang mendengar laungan Arena Wati di Laman Karyawan DBP pada pagi itu, pasti menyangka Salbiah Ani dimarahi, tetapi hakikatnya ia seloroh pengarang itu kerana beliau berlalu pergi dengan wajah menyimpul senyum, manakala penulis memperoleh jawapan untuk kolum Bicara Pengarang yang diperkenalkan pada 2003 di laman Sastera, Berita Harian. Dua pertemuan dengan Allahyarham juga memadamkan segala tanda tanya mengenai kemarahannya kepada Gabungan Persatuan Penulis Muda Kelantan (Gema) ketika menjemput Arena Wati sebagai panel pembicara pada bengkel penulisan di Kota Bharu dan membenarkan kata-kata bahawa beliau manusia yang berpegang kepada janji.

Daripada tampangnya yang serius, sesiapa juga dapat menduga bahawa beliau tegas dalam pendirian dan langkahnya ke setiap majlis wacana di DBP dalam keadaan lengkap bersongkok dan bertongkat selagi tidak uzur, membuktikan kasihnya yang tidak bertepi kepada dunia sastera tanah air. Sesungguhnya Arena Wati tidak pernah menganggap dirinya berada pada kedudukan tinggi dan dalam kesibukan membaca beberapa bahan rujukan untuk menangani triloginya, ciri khas Allahyarham dalam dunia sastera Malaysia, beliau tetap mengikuti perkembangan generasi muda dalam dunia sastera.

Dalam pertemuan itu Allahyarham mengakui sesetengah pengarang muda mengatasi sasterawan tersohor dan menasihatkan mereka mementingkan ilmu dengan meluaskan bacaan dalam pelbagai bidang ilmu biarpun selepas tamat pengajian di universiti, bagi membolehkan karya mereka mendapat pengiktirafan selain tidak diperlekehkan. Tidak mungkin juga akan penulis lupakan kenyataan apabila ditanya perasaannya ketika dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Mastera 2003, “Saya bersyukur. Tidak terlalu gembira kerana nanti mati dalam kegembiraan. Anugerah ini satu lagi cabaran yang diletakkan di bahu dan saya junjung. Jangan beri anugerah hanya untuk melihat keris atau badik lama. Nama dan gambar disiarkan, tetapi karya apa pun tidak ada selepas itu. Nilai dulu yang kita capai, boleh dicapai anak muda sekarang.” Tidak keterlaluan untuk dikatakan iltizamnya dalam dunia sastera banyak dipengaruhi pengalaman selama sembilan tahun sebagai pelaut yang turut membuka keajaiban dunia ilmu dalam buku kepada Arena Wati atau nama sebenarnya, Muhammad Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan Andi Buyung, anak kelahiran Makasar, Indonesia. Kelebihan ilmu dalam karyanya juga yang turut memungkinkan Allahyarham dilantik sebagai Felo di Universiti Cornell, Amerika Syarikat; Universiti Leiden, Belanda; Universiti Kyoto, Jepun; Karyawan Tamu UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia penyelidik di Yayasan Sabah dan Penulis Tamu di DBP.

Godam: 'Hanya kerana RM300, muslihat naik pangkat'

Oleh Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my

PANGGILAN yang penulis terima daripada seorang mantan sarjana bahawa beliau dikenakan bayaran RM300 bagi membolehkannya membentangkan kertas kerja pada suatu seminar di salah sebuah universiti awam tersohor tanah air menyebabkan penulis tersentak.

Tersentak kerana dipelawa membentangkan kertas kerja, tetapi serentak itu dikenakan bayaran pula sedangkan selama ini setahu penulis dan sebahagian besar orang awam bahawa hanya peserta seminar yang akan dikenakan yuran penyertaan, tetapi tidak pembentang kertas kerja.

Nama pun khidmat mereka diperlukan bagi membentangkan kertas kerja dan sudah pasti serba sedikit kajian perlu dilakukan terlebih dulu sebelum mereka boleh memperkatakan sesuatu, lalu di mana logiknya jika mereka turut dikenakan bayaran.

Tambahan pula pada acara sedemikian rupa sememangnya berlaku perkongsian ilmu kerana sudah pasti pembentang kertas kerja jauh lebih arif dan berpengetahuan daripada orang yang dikongsi maklumat berbanding peserta sesuatu seminar.

Lalu perkara yang dibangkitkan teman ini penulis ajukan kepada seorang teman sarjana yang menyambut pertanyaan penulis dengan nada separuh menyindir: “Salbiah bayaran yang dikenakan untuk pembentangan kertas kerja adalah amalan biasa.

“Ia menjadi amalan universiti di mana sekalipun di dunia ini termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom kerana salah satu syarat untuk kenaikan pangkat dan merit pada peringkat universiti ialah melalui pembentangan kertas kerja, apalagi jika peluang diperoleh di luar negara!,” jelas teman sarjana ini.

Malah, penulis diberitahu sarjana di Indonesia yang ingin melihat tulisan mereka diterbitkan dalam jurnal antarabangsa negara itu juga perlu menjelaskan bayaran kepada penerbit dan penjelasan teman ini bahawa tulisan mereka yang disiarkan dalam Jurnal Melayu dibayar mengejutkan!

Jurnal Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang memuatkan tulisan akademik berhubung dunia Melayu diterbitkan empat kali setahun, antara terbitan akademik badan berkanun terbabit yang memberi ruang kepada sarjana seantero dunia untuk berkongsi hasil penelitian masing-masing.

Jurnal Melayu yang dilancarkan mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman, pada tahun terakhir sebelum persaraannya itu dan diterbitkan empat kali setahun, kini sudah digantikan dengan Malay Literature.

Begitu juga, Jurnal Bahasa dan Tenggara serta semua majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tiada yang meminta penulisnya membayar penerbit untuk melihat karya mereka diterbitkan, sebaliknya badan berkanun terbabit yang membayar penulis!

“Syarat yang sama juga diguna pakai oleh semua universiti di dunia kalau nak menulis untuk jurnal antarabangsa. Orang yang menulis perlu membayar dan khabarnya itulah strategi yang digunakan sebuah universiti dalam menaikkan penarafan mereka pada peringkat antarabangsa,” jelas teman ini.

Khabarnya universiti terbabit membayar sekitar RM30,000 untuk sebuah artikel yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa yang diiktiraf dalam bagi menyumbang kepada piawaian untuk kedudukan mereka dan ternyata strategi terbabit membantu dan terbukti berhasil.

Penulis diberitahu pendekatan bayar untuk membentangkan kertas kerja hanya dikecualikan untuk panel yang menerima jemputan khas dan pembentang ucap utama selain mereka menerima bayaran, mereka akan diberi penginapan dan tiket kapal terbang atas jemputan terbabit.

Begitulah daifnya dunia kesarjanaan dan rupa-rupanya selama ini penulis ‘tertipu’ apabila melihat seminar antarabangsa anjuran sebuah badan antarabangsa disertai sejumlah pembentang kertas kerja dari luar negara dengan sesetengah daripada mereka bermata biru, kelabu dan coklat cair.

Rupa-rupanya ada ‘kisah’ yang tersembunyi di sebalik kehadiran mereka, iaitu kedatangan mereka ditanggung penganjur seminar sehingga mereka dengan rela hati terbang di awan biru beribu-ribu kilometer kerana ilmu!

Anehnya apabila badan penganjur itu kekurangan dana dan tidak lagi menanggung kedatangan pembentang kertas kerja dari luar negara, tidak kelihatan lagi tokoh bahasa dan sastera Melayu di kalangan kulit putih hadir pada seminar antarabangsa.

Hal yang sama sudah lama berlaku di kalangan universiti awam yang menganjur seminar antarabangsa dan sejak akhir-akhir ini, bukan saja penyertaan tidak bersifat sejagat tetapi juga pembentangan sehingga pemilihan perkataan antarabangsa menimbulkan tanda tanya!

Lalu penulis berhujah dengan teman ini bahawa perkongsian ilmu yang sepatutnya menjadi matlamat utama dalam sesuatu seminar sebenarnya adalah alasan kedua kerana hakikatnya habuan kenaikan pangkat yang mahu diperoleh.

“Perkongsian ilmu dalam dunia kesarjanaan hanya boleh dikongsi dengan manusia hebat seperti mereka. Sama juga seperti bidang lain dan ia tidak mungkin boleh dikongsi dengan masyarakat biasa kerana bukan bidang mereka dan tidak mungkin menarik minat atau difahami kelompok terbabit.”

Masih tidak berpuas hati dengan hujah teman itu, penulis katakan ciri kenaikan pangkat pada masa ini yang berasaskan pembentangan kertas kerja pada seminar dalam apalagi luar negara dan penerbitan tulisan dalam jurnal akademik antarabangsa memungkinkan wujudnya unsur kroni.

“Betul kriteria kenaikan pangkat sedia ada membolehkan berlakunya kenaikan pangkat yang dirancang antara pembentang kertas kerja dan kroni mereka baik dalam universiti yang sama atau universiti luar.”

Justeru, teman ini mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi bukan saja memberi markah kepada jumlah pembentangan kertas kerja, penghasilan buku akademik dan esei yang diterbitkan dalam terbitan yang tersenarai dalam International Scientific Index (ISI).

Sebaliknya, memberi peratusan markah lebih tinggi kepada sarjana yang memberi sumbangan kepada masyarakat awam selaku pembayar cukai sebagai ciri paling utama bagi kenaikan pangkat kerana ia lebih berpijak di bumi nyata dan lebih ramai mendapat manfaat serta tidak bersikap mendewa-dewakan yang asing!

iDAN:

Apa jua bidang malahan bahan ilmiah juga jika telah diperdagangkan atau berharapkan mendapat laba dari bakti yang lebih berupa amalan jihat disilapgunakan maka ianya menjadi tambah mahal & sampai satyu ketika akan menjadi jumud bila tiada lagi berkat atau perhitungan Ilahi.