iDAN

20 April 2009

AF7: Aril sertai Akim, Yazid, Isma dan Hafiz ke final (Hiburan)




Oleh WAHIDA ASRANI


Aril berjaya melangkah ke konsert akhir apabila menerima undian tertinggi menerusi AF Masuk - foto THE STAR oleh EHFAN SHAH

KUALA LUMPUR: Khairil Azam Pilus atau Aril berjaya menempah tempat ke konsert akhir Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) minggu depan apabila dia diserap semula menerusi undian AF Masuk dan sekaligus menyertai empat peserta akhir lain iaitu Ismaliza Ismail (Isma), Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), Afiq Hakim Ahmad (Akim) dan Mohd Yazid Ibrahim (Yazid).

Menerusi undian AF Masuk yang boleh dilakukan oleh penonton sejak minggu lalu itu, Aril yang tersingkir pada minggu ketujuh yang lalu telah menerima undian tertinggi sebanyak 52.5 peratus menewaskan sembilan lagi peserta yang turut tersingkir sebelum ini iaitu Aishah dengan 26.6 peratus, Zizi (7%), Sidi (6%), Claudia (5%), Qhaud (2%), Rini (0.8%), Rubisa (0.4%), Obri (0.3%) dan Nas Adila (0.2%).


Aril, Isma, Hafiz, Akim dan Yazid akan beraksi di konsert akhir yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada Sabtu depan.

Mengulas mengenai AF Masuk yang dibuat itu, kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, elemen itu diperkenalkan semula pada musim ini setelah mengambil kira faktor 'kehebatan' peserta-peserta kali ini.


"Kali ini kita dapat saksikan persaingan antara setiap peserta begitu sengit daripada aspek peratusan undian. Lantaran itu, kami ingin memberi peluang kepada penonton untuk memilih siapa yang mereka rasakan layak berada di konsert akhir dan seterusnya memenangi gelaran juara kali ini.

"Dan saya rasa kali ini juga memberikan kelainan tersendiri kerana hanya Isma merupakan satu-satunya peserta wanita yang akan berentap di peringkat akhir," katanya sejurus berakhirnya konsert mingguan AF7, di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.


Namun begitu, Khairul menafikan bahawa undian AF Masuk sememangnya sengaja dibuat bertujuan untuk membawa semula Aril ke dalam Akademi.

"Baik Aril mahupun peserta-peserta lain yang telah tersingkir, semuanya berbakat. Sebenarnya, AF Masuk ini telah dibincangkan bersama oleh pihak produksi dan pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina sejak awal lagi.

"Melalui perbincangan itu, kami berpendapat kemungkinan akan buat AF Masuk jika pengetua merasakan ianya perlu. Tapi ketika minggu-minggu terawal dulu, kami sendiri tidak pasti akan lakukannya atau tidak.

"Sehinggalah ketika minggu-minggu seterusnya sewaktu Qhaud tersingkir, kami memikirkan semula tentang perkara ini," kata Khairul.


Dalam pada itu, Tiara pula berkata, dia mengambil keputusan untuk melakukan AF Masuk pada minggu lalu kerana merasakan ia adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

"Minggu-minggu sebelumnya, saya tidak rasa perlu melakukannya. Bukan saya maksudkan peserta-peserta yang tersingkir itu tidak hebat, tetapi saya rasakan penyingkiran dua peserta minggu lalu, Claudia dan Aishah adalah antara peserta yang 'kuat'.

"Dan sebab itu saya putuskan untuk buat AF Masuk," kata Tiara.

Sementara itu, ditanya tentang AF Masuk yang dilihat tidak adil buat empat peserta akhir yang berjaya bertahan sehingga minggu kesembilan ini, kata Khairul, dia akui elemen ini mungkin tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu.

"Memang benar bagi sesetengah orang, ia dilihat tidak adil kerana keempat-empat peserta itu telah bersusah payah untuk berada di tahap ini. Tetapi AF bukan hanya pertandingan nyanyian semata-mata, ia turut diselitkan dengan pelbagai elemen lain termasuklah 'drama'.

"Kami sebelum ini juga sering menerima komen daripada penonton yang mahukan AF Masuk dibuat semula. Jadi, bila penonton menyuarakan apa yang mereka mahu, kami perlu fikirkan dan ambil kira perkara itu kerana program yang kami buat adalah untuk mereka (penonton)," kata Khairul.