iDAN

01 Oktober 2008

Malaikat Maut Mengintai Selalu (MMms) Penyair iDANRADZi ditahan di Wad Kecemasan (Siri Famili)

(Aku terbaca di internet, ada peminat tulisanku menghantar kisah ini di ruang forum; ceritera ini sebenarnya masih tak selesai. Aku pun tak sunting setiap episod; jadi ada ayat yang tergantung & kesilapan perbagai. Aku sedang mengolahnya semula; jika di bawah ceritera tertulis iDAN: XX bermakna ianya telah disunting semula.)

Penyair iDANRADZi ditahan di Wad Kecemasan.

"Tak boleh tahanlah Mila ... sakitnya."

"Nak ke klinik ke?"

"Tunggulah dulu, ada tak pil tahan sakit di rumah?"

Sejak jam 1:30 pagi lagi aku telah terjaga dari tidur. Rasa sakit rusuk kanan sebelah belakang, nyilu sekali sakitnya. Misterinya jam yang sama 1:30 pagi dua hari sebelum ini sakit sebegini menyerang aku. Tiba-tiba sahaja sakit. Aku bagaikan tak boleh bangun atau berdiri. Aku kuatkan diri bagaikan mahu melangkah ke bilik air. Sakitnya perut ini. Apakah aku salah makan. Termenung di bilik air. Sekadar buang air kecil; sakit terusan amat menyilukan.

Aku cuba mencapai Minyak Kayu Putih, menyapunya serata perut, dahi & tengkuk. Tak ada bedanya, duduk pun tak boleh, baring lagilah sakit teramat sakit. Sungguh aku tak pernah rasa kesakitan yang sebegini. Aku berharapkan dengan menyapu minyak angin itu akan mengurangkan lagi sakit dirusukku. Lagi disapu lagi merebak sakitnya. Hampir separuh badan sakit belaka. Sakit apa ini?.


Di atas tikar kayu ini yang kerap aku terlena di anjung rumah.

Sejam berlalu, sakitnya terusan menyilu. Dari anjung bawah aku ke kamar atas. Naik turun tangga, tak tahu nak duduk atau baring di mana. Gelisah menahan sakit.

" Mila ada tak nampak Panadol di rumah kita ini "

" Ada tu dalam kotak ubat... "

Aku menelan dua biji Panadol. Ke dapur mencari halia, manalah tahu takut angin. Mencampurkan halia dengan air suam. Masa berlalu tapi sakit tak reda. Makin kuat hingga menyesakkan nafas. Uhh! tak boleh jadi, bernafas pun sudah sebiji-sebiji. Nak tarik nafas sakit nak hembuskan nafas pun sakit. Memang aku terbayang Malaikat Maut akan datang, aku mengucap panjang.

" Begini rupanya orang nak mati... " Desus hatiku.

Badan sudah mula berpeluh, aku cuba kembali ke bilik air dengan sedikit kudrat yang makin rapuh. Amat nyilu, amat sakit. Bagaikan aku mahu pitam, aku mencurahkan air ke muka berkali-kali agar tidak tumbang & pengsan di bilik air. Aku mula memikirkan yang tidak-tidak. Terbayang satu persatu kenalan & saudara mara aku yang meninggal mengejut.

Begini rupanya nyawa ingin dicabut, sakit seluruh badan, tak ada ubat penawar. Duduk, bangun, baring & berjalan semuanya serba tak kena. Sakit di mana-mana.

Setiap sakit mesti berpunca dari dosa. Memang dosa aku terlalu banyak. Maka inilah hukumannya, di dunia lagi aku diazabkan dengan kesakitan yang amat sangat. Aku bagaikan akur sendiri.

"Jomlah Mila, kita ke klinik... tapi mana Panel Doktor yang buka 24 jam di Kajang ini? "

"Tak kisahlah abg kita pergi ke klinik mana-mana..."

Mila bangun.

Afiz baru dua hari periksa SPM, Mila ambil cuti separuh hari untuk memberi semangat Afiz menghadapi peperiksaan. Malam-malam lagi sudah memasak. Untuk sarapan.

Mila kini bertukar kerja di Pulau Carey. Tinggal di sana. Telah dua hari dia berulang-alik sebab Afiz tentunya. Azim & Anif tak Sekolah Kebangsaan. Azim & Anif tentulah seronok tidak sekolah pagi, pergi sekolah agama sahaja. Aku membiarkan mereka dilambung mimpi indah.

Jam 3:00 sekitar tiga pagi, aku teringat Zali@Tok Perak, isterinya memang Ketua Jururawat di Kajang; mesti dia banyak cadangan dalam bab sakit ini.

"Zali, maaflah menggangu kau tidur...kau tahu kat mana ada Panel Doktor UPM yang 24 jam di Kajang ini... " Suaraku terketar-ketar menahan sakit.

"Kenapa apa pasal?... siapa sakit "

"Aku... perut ini, sakit sangat dah dekat 2 jam tak reda sakitnya "

"Kajang rasanya tak ada klinik 24 jam, pergi sajalah ke Hospital, Wad Kecemasan ... kalau ke klinik pun bila tak reda sakit tu.. kena hantar ke hospital juga.. " Betul juga katanya.

"Sakit Appendix sebelah kanan ke..?.. " Aku sudah membayangkan kena bedah macam Mila. Mila masa sekolah dah kena bedah sebab Appendix.

"Ha..ah! .. sakit tak bila tekan .. "

"Tak tapi keras sangat perut ni... angin ke..? nyilunya di dalam .. batu karang ke iyerr! " Aku sudah tak boleh tahan. Sakit sangat terketar-ketar nak berbual. Aku syak macam kena serangan batu karang.

Mila sudah bersiap memakai tudung. Aku membuka pintu pagar, menggesa Mila agar cepat. Dalam Avanza kemek Mila aku terfikir, jika Mila tiada di rumah bagaimana iyer... siapa nak hantar aku, siapa nak memandu. Aku teringat masa Mila kena serang Gastrik , kerap ketika dinihari aku menghantar dia ke klinik. Sekarang aku di sebelah Mila, dia memandu laju. Jam masih awal 3:00 pagi. Belum subuh lagi.

"Nak pergi mana ni..? klinik atau hospital ? "

"Entahlah Mila, rasanya elok ke hospital.."

Aku paling malas kena tahan masuk wad. Malas, tak pernah pun duduk sebagai pesakit barang semalampun di hospital. Jaga orang sakit itu kerap; Ziarah tengah malam biasa. Di Hospital memang Malaikat Maut mengintai selalu. Selang beberapa hari dah dengar orang yang aku ziarahi itu meninggal. Aku membayangkan hospital itu tempat berulang alik Malaikat Maut. Ish.. malasnya..! Telah hampir ke simpang empat Balai Polis Kajang.

"Hospital jalan mana iyer ayah.."

"Laa!.. biar bebetul jalan ke hospital pun Mila tak tahu.." Aku cakap dalam hati;

Sudah panik kot Isteri aku ini. Sampai tak ingat jalan, bagus jugak dalam hatiku.

"Mila tak payahlah lah kita ke hospital, Seri Serdang sahajalah.. ke Klinik Penawar "

"Hospital sahajalah... nanti apa-apa terjadi ..kan susah... belok kiri kan?.. " Terhoyong hayang Mila memandu, aku mendesak ke lain... dia pula ke lain. Tahu rupanya dia jalan ke Hospital Kajang. Titik.

Dinihari; embun jantan basah membasahi sakitku. Aku bagaikan nampak kelibat Malaikat Maut di Hospital Kajang... amat begis lagi sasanya!

- bersambung

iDAN: Nov08.