iDAN

03 Ogos 2010

PJJ4 Isteri kerja jauh dipulau suami(Agama)


SAYA sudah bersuami tetapi tinggal berasingan. Saya bekerja di pantai timur manakala suami bekerja di ibu kota.

Suami seorang yang panas baran dan ego. Kadang-kadang apabila dia menyedari kesalahan saya, dia memulaukan saya berhari-hari, langsung tidak menegur saya, malah tidak akan memandang dan menghubungi saya, seolah-olah saya tidak wujud.

Sejak berkahwin, suami tidak pernah memberikan wang belanja, tidak pernah menyediakan keperluan saya, bahkan langsung tidak peduli perasaan saya.

Keperluan saya seperti rumah, makan dan pakaian adalah atas saya sendiri.

Dia tidak mengeluarkan perbelanjaan untuk keperluan itu.

Suami enggan ke tempat saya dan hanya saya yang kerap ke ibu kota.

Saya pernah menegur suami serta mengajak dia berbincang, tetapi hanya sia-sia kerana dia akan memulaukan saya dan marah.

Katanya, saya isteri tidak bertanggungjawab. Saya buntu dan sangat terasa dengan sikap suami.

Suami juga enggan memiliki anak, kecuali dengan syarat saya bertukar ke ibu kota. Saya berusaha untuk bertukar, tetapi proses ini memakan masa.

NOR ZALFARITA,
Terengganu

PERKAHWINAN hendaklah dibina atas dasar kasih sayang (mawwadah dan rahmah) antara suami isteri (al-Rum (30): 21).

Apabila berumah tangga pasangan hendaklah hidup bersama agar perasaan sayang bertambah sepanjang masa. Ia juga masa untuk lebih mengenali isi hati suami isteri.

Jelas dalam Islam bahawa seorang isteri yang sah berhak mendapat nafkah daripada suaminya.

Isteri tidak berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz (derhaka) dengan tidak menurut kemahuan suami tanpa sebab yang sah.

Sepatutnya hal di atas tidak berlaku kepada anda. Suami hendaklah melayan isteri dengan sebaik mungkin.

Setiap suami hendaklah ingat pesan Rasulullah s.a.w ketika haji wida yang antara lain bermaksud: "...Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. "Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina..."

Dalam menyelesaikan masalah anda berdua, ada baiknya berbincang dengan ibu bapa dan keluarga. Semoga mereka dapat memberi nasihat yang baik sebelum mengambil langkah lain.

Harian Metro