iDAN

12 Februari 2014

Ratu tidur...

Ratu tidur...
BINTANG cantik, Song Ji Hyo tidur dengan nyenyak ketika penggambaran, Running Man.



Namun, aksi ini dilakukan hanya untuk mendapatkan hadiah untuk pertandingan tidur paling lama dalam rancangan itu.

"Saya tidur dengan nyenyak tanpa mempedulikan persekitaran ketika itu," kata aktres berusia 32 tahun ini.

Pun begitu, ini bukanlah kali pertama bintang, Princess Hours ini tidur ketika penggambaran. Sebelum ini, dia pernah tertidur di atas menara permainan.

Baju dikritik: Neelofa kunci mulut!

Baju dikritik: Neelofa kunci mulut!  
  • FOTO SINAR HARIAN OLEH : SUHAIZUL IZHAR

SEBELUM ini, Neelofa tidak pernah gagal menarik perhatian ramai menerusi fesyen yang cantik persis seorang puteri.

Bagaimanapun pemilihan busana bekas juara Dewi Remaja 2010/2011 ini menjadi perbualan hangat ramai.

Ia sekali gus membuatkan nama Neelofa Mohd Noor dikritik hebat oleh peminatnya kerana kelihatan pelik dengan busana yang digayakan pada Anugerah MeleTOP Era (AME) sehingga dipersendakan dalam laman sosial.

Dia yang bertindak sebagai pengacara pada majlis berkenaan mengenakan jump suit rona merah jambu disamakan dengan karakter adiwira Power Rangers.

Lebih memburukkan lagi, pakaian itu turut dikecam kerana didakwa seksi apabila menampakkan bentuk tubuh pelakon dan pengacara Nona itu.

Tidak setakat itu, gaun neon hijau yang digayakan bintang Azura 2012 pada majlis itu turut disamakan dengan karakter animasi sekali gus menambahkan lagi kutukan terhadapnya.

Difahamkan, jump suit itu direka oleh Wanpa manakala Hatta Dolmat mereka gaun neon hijau.

Walaupun mendapat kecaman hebat, Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa mengambil 'jalan selamat' apabila enggan komen mengenai isu ini dengan lebih lanjut.

"Saya tak mahu komen dengan lebih lanjut lagi sebab ia membabitkan banyak pihak. Jadi, banyak hati yang perlu dijaga.

"Lagipun, lebih baik begitu kerana saya tak nak memburukkan lagi keadaan sedia ada," katanya.

Tambah Lofa lagi, dia memilih untuk tidak membaca segala kritikan  yang dipaparkan di media sosial.

"Saya tak baca langsung, saya dapat lihat apabila orang hantar di WhatsApp," katanya.

Nabil merajuk?

Nabil Ahmad  
  • Nabil Ahmad. - Foto Sinar Harian

PELAWAK, pelakon dan pengacara, Nabil Ahmad atau Nabil mengakui tidak akan memasuki apa-apa pertandingan lawak selepas ini melainkan program tersebut memerlukan pelawak-pelawak bersaing secara solo.

Katanya, keputusan itu diambil bukan kerana merajuk atau dicemuh peminat tempoh hari susulan tindakannya membuat lawak mengenai Luna Maya.

"Seperti saya cakap sebelum ini, saya tidak akan masuk pertandingan lagi melainkan program itu memerlukan semua bertanding secara solo, kalau tak, saya tak akan sertai lagi.

"Lagipun sebelum ini saya pernah masuk secara berkumpulan dengan Boboi dan dapat nombor tiga, kali ini secara solo," katanya.

Nabil berkata, sejak akhir-akhir ini penilaian orang pada dirinya tidak adil kerana dia dibandingkan dengan kumpulan yang mempunyai dua atau tiga ahli.

"Bagi saya penilaian orang lain pada saya agak tidak adil kerana saya satu kepala lawan tiga kepala dan bila saya buat lawak mereka rasa tak kelakar.

"Jadi selepas ini bila ada pertandingan solo, barulah orang boleh menilai secara individu, siapa yang lebih hebat," katanya.

Mengulas mengenai persembahannya yang sedikit hambar pada malam itu, Nabil berkata, dia sudah cuba membuat yang terbaik dalam tempoh yang agak terhad.

"Sebaik pulang ke Kuala Lumpur, saya telah lakukan sesi latihan berulang kali dan saya memang cuba buat yang terbaik.

"Saya menangis bukan kerana sedih, tetapi apa yang saya rasa atas pentas, saya harap penonton juga dapat rasa," katanya yang mengakui sudah memohon maaf kepada Luna Maya secara peribadi di belakang pentas sebelum pertandingan akhir tersebut.

Berkongsi perkembangan terkininya, Nabil berkata, filemnya di bawah arahan Aaron Aziz, Kriptik dijangka akan ditayangkan tidak lama lagi. Selain itu, single terbaharunya, duet bersama Tegar juga bakal diperdengarkan sedikit masa lagi.

"Beberapa projek saya seperti telefilem untuk Astro Ceria yang menjalani penggambaran di Paris, juga akan ditayangkan tidak lama lagi. Selain itu, saya juga merancang untuk menambah anak dalam masa terdekat ini," katanya.

iDAN: Masuk ke final dah kira HEBAT; ramai pelawak lain kecundang; tak jadi juara tak apa Nabil tapi Nabil telah buktikan biarpun berlawak seorang ianya telah dapat mencuit hati penonton malahan memeriahkan MLM.

Kerana RM100, isteri dikapak

 MURNI ABDUL RASHID

KOTA BHARU - Seorang  ibu yang masih berpantang mendakwa dijerut leher dan dihentak dengan kapak di bahagian kepala gara-gara gagal memberikan wang yang minta suaminya dalam kejadian di Kampung Temusu, Limbat, petang kelmarin.

Mangsa, Nor Anis Mohamad Nor, 21, ditemui ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) memberitahu masih trauma dengan kejadian tersebut memandangkan baru sahaja melahirkan anak kedua, November lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila dia gagal memberikan wang RM100 yang diminta suaminya dengan alasan tidak mempunyai pendapatan.

“Selepas itu dia mengarahkan saya ke rumah rakan dan saudara perempuan untuk meminjam wang untuknya tetapi gagal.

“Berang terlalu lama menunggu suami saya menjadi marah dan datang membawa kapak, kerana bimbang diapa-apakan, saya terjun melalui tingkap tetapi dia terus mendapatkan saya dan bawa pulang ke rumah,” katanya semalam.

Tambahnya, apabila tiba di rumah suspek bertindak di luar kawalan lalu mengasarinya dengan menjerut leher menggunakan rantai besi namun bersyukur tidak diperlakukan lebih teruk kerana ketika itu polis sampai tepat pada masanya.

Ibu kepada dua anak itu yang masih trauma untuk kembali ke rumahnya menganggap hubungan antara dia dan suami sudah berakhir memandangkan sebelum ini suspek sering bertindak kasar kepadanya.

Mangsa yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan suspek kini mahu menumpukan perhatian sepenuhnya bagi membesarkan dua anaknya dan berharap perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan kejadian tersebut dan mendapati suspek didakwa merupakan seorang penagih.

“Suspek bertindak memukul isteri dengan menggunakan kapak sebelum di rantai dan dikunci dengan mangga di bahagian leher namun gagal ditahan kerana melarikan diri dengan terjun melalui tingkap setelah sedar kehadiran pihak polis.

“Tindakan mengesan dan menangkap suspek mempunyai dua kes kesalahan lampau iaitu memiliki dadah dan kes ugutan jenayah itu sedang dijalankan dan polis menasihatkan lelaki tersebut serah diri untuk bantu siasatan,” tegasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan sekiranya disabitkan kesalahan.

'Mereka dera kakak saya'

 SYAIRI SHAARI

SHAH ALAM – “Saya kesal apabila kakak saya diperlakukan tanpa belas kasihan sedangkan dia hanya memerlukan perhatian yang lebih,” luah Zaidatul Haslinda Mohamad Arif, ketika menceritakan keadaan kakaknya yang didakwa didera oleh sebuah pusat jagaan di Rawang.

Menurut  Zaidatul, kakaknya  yang berusia 38 tahun, juga orang kurang upaya (OKU) dihantar ke sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur tetapi dipindahkan ke sebuah pusat jagaan lain di Rawang tanpa pengetahuan keluarganya.

Katanya, dia menghantar kakaknya di sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2013 tetapi dipindahkan ke Rawang bersama penghuni OKU perempuan yang lain tanpa diberitahu sehinggalah mengetahui perkara tersebut ketika hendak mengambil kakaknya pada hujung minggu.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila kakak saya dilayan bukan seperti manusia biasa di pusat jagaan di Rawang. Saya tengok ada kesan cubitan dan luka di bawah bahagian mata, belakang telinga dan badan.

“Lebih teruk lagi, kakak saya merintih kepedihan ketika saya memandikannya apabila dibawa pulang pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengakui membayar yuran RM500 kepada pusat jagaan tersebut.

Zaidatul berkata, kakaknya ada bercerita penjaganya mencucuk jari ke badannya dan memberitahu tidak mahu kembali lagi ke pusat jagaan itu kerana takut dipukul.

Kakaknya juga pernah menyatakan mahu membunuh penjaga tersebut sekiranya dia masih dihantar ke sana.

“Kakak juga kata mulutnya pernah diramas. Walaupun tiada kecederaan teruk tetapi tindakan penjaga pusat jagaan itu melampau kerana penghuni yang tinggal adalah insan istimewa,” katanya.

Menurutnya, penjaga pusat jagaan itu turut mengelak berjumpa dengannya apabila dia mahu berbincang dan mengetahui perkara sebenar.

Dalam masa yang sama, Zaidatul turut bimbang keadaan penghuni lain yang masih tinggal di situ kerana kebanyakannya tiada waris.

Dia berharap ada pihak bertanggungjawab membuat pemantauan dan tidak terlepas pandang kerana tidak mahu ada pihak lain yang mengeksploitasi insan kurang upaya.