iDAN

18 April 2010

Impian (Singgahsana)


Kita merancang sesuatu tetapi mungkinkah perancangan itu berlaku seperti yang dirancang?. Kita sering mahukan kesempurnaan namun mungkinkah segalanya terjadi dengan sempurna lagi jitu. Kita sering mengimpikan yang indah belaka tetapi impian kita sering terhalang!.

Tercapai atau gagal itu masalah lain yang penting kita ada harapan & cita-cita. Barulah hidup ini ada tujuan. Tanpa harapan & cita-cita bagaimana mahu kita mengarahkan kehidupan. Hidup ini terkadang bagaikan air yang mengalir. Kita tak dapat mengekang aliran air. Air nan mengalir pastilah dari muara ke kuala . Jika anak sungai akan menjadi sungai kemudian alirannya menuju ke laut. Jika air terjun pastilah dari dataran tinggi ke juram yang rendah.

Kenapa mesti ada ketikanya kita menjadi keliru; bagaikan mengharapkan air mengalir ke arah songsang. Menongkah arus; bukan kerja senang lainlah jika kita berkayak, itu pun lebih mudah mengikut arus. Bermotorboat mungkin boleh tapi bukan sebarangan orang yang mampu meredah gelombang. Merentas arus yang deras. Memerlukan kemahiran yang cekal lagi teruji.

Aku menulis bab ini lantaran, dalam kehidupan kita sering amat kita terleka, sering meletakkan satu keadaan di tempat yang salah. Seperti asyik berhutang dengan kemampuan yang tiada. Bermewah bukan pada tempatnya. Asyik mengimpikan yang indah sedangkan ianya belum tentu tercapai.

Secara hukum akal tiada satu impian pun tidak boleh dicapai; yang pasti kena rajin tekun & tabah menujunya. Bayangkan jika kita impikan rumah yang agam. Jika dulu rumah kembar dua di pinggir kota sekitar RM200K sahaja, sekarang rata-rata dalam sekitar RM500K malahan lebih mahal dari itu.

Jika makan gaji seperti aku atau Kak Mila, paling banyak wang simpanan KWSP dalam sekitar RM300K itu jika berkerja di swasta sehingga usia 50an. Aku memang tak sampai pun RM100K duit imbuhan & lain-lain tuntutan; kerja kuli kerajaan gaji tak sebanyak mana. Lain cerita mereka ada ijazah atau ada PhD bergelar Prof dan sebagainya. Maka bolehkah kita berangan memiliki rumah seagam sebegitu?.

Kenapa kita tidak tukar impian kita ke arah lain, buat rumah di kampung, di tanah sendiri; rasanya sekitar RM100K pun sudah setaraf dengan rumah agam impian kita.

Sejak dulu aku impikan rumah begini!.
Gila.

Begitu juga kenderaan mewah; dalam kitab agama pun sering tertulis; antara keperluan hidup adalah kenderaan yang selesa lagi sempurna. Kenapa mesti kita impikan kenderaan mewah yang berharga RM100K lebih. Sedangkan kemampuan kita sekadar Avanza atau MPV yang sekitar RM60K harganya. Lagi pun semua amat akur akan susut nilai akan harga kenderaan mewah ini. Kebanyakan kenderaan paling lama pun kita gunapakai dalam sekitar 10 tahun lebih dari itu jadilah kenderaan seperti kereta perangku. Boleh guna dalam jarak dekat sahaja; agak tinggi untuk baikpulih semula. Jual mana laku lagi.

Maka dalam bab kenderaan biarlah ukur baju di badan sendiri tak ada gunanya bermegah dengan kenderaan tahu-tahu ketika beli sekitar RM170K baru pakai sekitar 5 tahun nak jual separuh dari harga itu pun payah. Jika kita ini orang berniaga rasanya tak ada masalah bagaimana jika makan gaji. Takkan kerugian ini membawa kita ke arah korupsi.

Itu contoh paling besar. Begitu juga dalam membuat keputusan remeh yang lain; dalam berbelanja di zaman kini sememangnya kena berjimat cermat. Silap berbelanja, boros & tak kena pada tempatnya pasti kita menjadi mangsa keadaan. Maka itu bila kita dengar pemimpin kita asyik sebut projek yang bernilai ratusan juta RM malahan aset kaum keluarga mereka pun bernilai berbillion sedarlah di mana kita rakyat marhaen yang amat kecil ini.

Apakah kita boleh merubah hidup ini; fikirkanlah & pandukanlah hidup anda sebelum setua aku kini. Masih belum terlambat mahu merubah hidup ini.

- Alahai 20hb esok jantungku akan diimbas tak tahu apa keputusannya!.

Bagaimana kita merancang penjagaan kesihatan pun itu satu masalah!. Sedangkan kalau rajin bersenam pun kita mungkin tidak diresahkan oleh kesakitan yang kronik ini. Ini pun tidak mampu kita lakukan. Kecuali kemalangan maut; tak siapa dapat menduganya. Itu takdir namanya.