iDAN

09 Mac 2011

Rumah berbumbung Zink, Atap Nipah atau Genting ( Singgahsana)


Sejak zaman kanak-kanak lagi aku telah biasa dengan bahang panas rumah berbumbung zink; Siang amat panas tapi jika malam sedapnya tidur, sejuk sangat. Rumah asal tempat tumpah darahku tanpa siling bayangkan jika musim luruh pokok getah sekeliling tanpa daun amat teramatlah panas. Bagaimana pun di bawah rumah sedap melepak; main congkak buah getah atau tidur di pangkin.

Seyogia mana nak tanding sedapnya tidur di rumah Arwah Pak Sahak; Pak Sahak seorang duda di kampungku; rumahnya dia buat sendiri; dindingnya sekadar buluh yang dicincang & beratap rembia atau Atap Nipah. Pak Sahak adalah Tok Siak & Tukang Azan...; Bilal di kampungku; dia buat kerja sendiri tolong asahkan pisau motong getah (menoreh gerah), ambil upah menebas, jual bubu, pandai buat parang, pisau juga gasing dari kayu jambu batu atau pelbagai kerja kampung yang lain dia mahir belaka. Dia terima upah ala kadar.

Selalunya aku terlena di rumahnya bilamana dia bercerita kisah Bawang Putih Bawang Merah, Si Tenggang, Pak Pandir, Hang Jebat Derhaka dan banyak lagi cerita rakyat dia tahu belaka. Terkadang dia merengus juga bilamana aku & rakan asyik mahu dia ulang semula cerita yang kami suka; sampai telah hafal segala peristiwa di dalam ceritera.

Dia meninggal dunia sendirian anak Pak Sahak tak pernah kami kenal, katanya isterinya telah kahwin dengan orang Kedah; tentunya anaknya bersama keluarga tiri. Sejak aku kecil hingga aku tinggalkan kampung halaman tak pernah lihat keluarga Pak Sahak melawat dirinya.

Arwah Pak Sahak tinggal kenangan.

Kini tinggal di bandar boleh kata semuanya beratap genting; waima rumah kos rendah sekali pun atapnya tetap weh! oii. Rasanya tak seindah mana lainlah jika banglow agam siap kolam renang. Boleh tidur lena di rumah beratap genting tetapi bahananya pencuri suka mengintai sebab mereka sangkakan penghuni rumah sebegini kaya belaka orangnya.