iDAN

18 Julai 2012

Mengenali sifat seorang penghuni syurga

Oleh Ibrahim Abdullah

KEJAR IBADAT: Kebersihan hati kunci membuka pintu syurga dalam ibadat, kehidupan.

Kebersihan hati kunci buka pintu amalan baik memasuki alam tertinggi

KISAH menarik perlu dihayati bakal penghuni syurga adalah seperti sabda Rasulullah SAW kepada sahabat, “Sebentar lagi seorang penghuni syurga akan masuk.” Mendengar khabar itu semua mata btertumpu ke pintu masjid. Dalam fikiran sahabat, terbayang watak orang yang luar biasa.

Tiba-tiba masuklah seorang lelaki yang mukanya masih basah dengan air wuduk. Penampilannya biasa saja. Ia bukan orang terkenal iaitu Abu Umamah Ibnu Jarrah. Keesokan harinya, peristiwa serupa berulang, demikian pula hari ketiga. Sahabat menjadi hairan, amalan apa dimiliki orang itu hingga Rasulullah SAW menyebutnya calon penghuni syurga.

Di kalangan sahabat, Abdullah bin Amr bin ‘Ash, meminta izin kepada Abu Umamah untuk menginap tiga hari di rumahnya. Tiga hari tiga malam, Abdullah memperhatikan, meneliti bahkan mengintip tuan rumah. Namun tidak ada satu pun yang istimewa. Hari dilalui tidak jauh berbeza dengan sahabat lain. Ibadatnya pun biasa saja.

Pasti ada sesuatu yang disembunyikan. Aku mesti berterus terang kepadanya, ujar Abdullah. Ia pun bertanya, amal apakah yang engkau lakukan sehingga Rasulullah SAW memanggilmu calon penghuni syurga? Jawapan Abu Umamah sungguh mengecewakan, “Apa yang engkau lihat itulah.”

Ketika Abdullah hendak pergi, tiba-tiba tuan rumah berkata: “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku tidak pernah iri hati dan dengki terhadap nikmat yang Allah berikan kepada orang lain. Sebelum tidur, aku selalu bersihkan hati daripada ujub, takbur, dengki dan rasa dendam.

Ada banyak teladan dalam kisah itu. Namun yang pasti, hanya orang bersih hati yang akan memasuki syurga tertinggi, juga bertemu dengan Al-Khaliq, Allah Azza Wa Jalla.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan (iaitu) di hari harta dan anak pinak tidak berguna, kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.” (Surah as-Syu’araa, ayat 78)

Kebersihan hati adalah kunci untuk membuka pintu syurga. Sekecil mana pun amalan, tetap akan dapat memasukkan orang ke syurga, asalkan ia memiliki hati bersih. Sebaliknya, sebanyak mana pun amalan, tidak akan bererti sama sekali apabila kita memiliki hati penuh penyakit.

Abu Umamah layak diteladani. Ia bukan sahabat terkenal seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin Khattab, Usman bin ‘Affan atau Ali bin Abi Talib. Ibadatnya tidak tersohor seperti Abu Darda’, Abdul Rahman bin ‘Auf, Salman al-Farisi, juga beberapa sahabat lainnya.

Namun darjatnya di mata Allah dan Rasul-Nya demikian tinggi, hingga Rasulullah SAW menyatakan ia sebagai calon penghuni syurga kerana hatinya bersih daripada penyakit, kebencian dan dendam. Sehingga semua amalan kebaikannya tetap utuh dan bernilai di hadapan Allah.

Oleh itu, selain sibuk memperbanyak amalan kebaikan, hendaklah menjaga hati daripada penyakit membahayakan kerana sia-sia saja menghiasi diri dengan amalan wajib mahupun sunat sedangkan hati tidak pernah dibersihkan. Sebaliknya walaupun amalan kita biasa saja, namun hati bersih, maka nilainya akan jauh lebih tinggi di hadapan Allah.

Walau bagaimanapun syaitan tidak akan duduk diam tetapi berusaha menghancurkan amalan baik sedang dikerjakan hamba. Maka sedang kita sibuk mengerjakan amalan, jangan lupakan hati. Lindungi daripada penyakit yang membinasakan amalan.

Menurut Rasulullah SAW, ada tiga penyakit yang akan menghancurkan amalan seseorang iaitu yang pertama ialah takbur atau sombong.

Imam al-Ghazali dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ berkata, takbur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Orang takbur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya.

Sedikit saja di hati ada sikap takbur, maka syurga akan menjauh, amalan tidak mempunyai erti. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sikap takbur walaupun sebesar debu.” (Hadis riwayat Muslim)

Kedua, hasad atau iri hati (dengki). Ciri khas seorang pendengki adalah adanya rasa tidak rela melihat orang lain mendapat nikmat dan sangat berharap nikmat itu segera lenyap daripadanya. Ia susah melihat orang lain senang dan senang melihat orang lain susah.

Dengki sangat berkesan menghancurkan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dengki itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Ketiga, riak atau beramal kerana mengharap pujian orang lain. Riak adalah tingkatan terendah daripada amalan. Rasulullah SAW menyebutnya syirik kecil yang juga boleh menghapuskan kebaikan. Allah tidak akan menerima suatu amalan yang dalamnya ada seberat debu saja perasaan riak.

Hadis qudsi mengungkapkan bagaimana murkanya Allah kepada orang yang riak dalam amalannya. Pada hari kiamat Allah berfirman, ketika semua manusia melihat catatan amalannya, “Pergilah kamu semua kepada apa yang kamu jadikan harapan (riak) di dunia. Lihatlah apakah kamu semua memperoleh balasan daripada mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Firman Allah yang bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat (iaitu) orang yang lalai dari solatnya dan orang berbuat riak.” (Surah al-Maa’um, ayat 4 – 6)

Kerana tidak ada kebersihan hati, banyak orang jadi hina dan sengsara. Allah menciptakan wang supaya manusia dekat dengan Allah. Wang yang dikurniakan disedekahkan, berzakat dan menolong orang sehingga darjat meningkat di sisi Allah.

Namun sebaliknya, banyak menjadikan dirinya hamba wang, demi mencari wang dia sanggup menipu orang, mencuri, rasuah, menculik, menyorok dan menaik harga barang serta bersubahat. Inilah menyebabkan hati seseorang tidak bersih dan menghapuskan segala amalan kebaikan dikerjakannya.

Justeru, amalan seseorang menggambarkan kebersihan hati nurani kerana sifat ujub, takbur, dengki dan rasa dendam menyebabkan halangan serta gangguan untuk seseorang itu menjadi penghuni syurga.