iDAN

26 Julai 2010

Antara Prof & Penyair 5 (Singgahsana)

Pcb
Sepi Itu Indah

Ada ketikanya hati bagaikan mahu dibedung kesepian. Mahu menukik resah sendiri. Mahu berbicara dalam diri; mahu mengenal apa kekurangan yang ada. Apakah kekusutan yang pernah dialami ini. Suasana ini memerlukan kesepian. Sepi sendiri mebawa diri, agar memberi erti.

Sesungguhnya Hotel Murah ini memberikan aku kenangan paling ranum; lantaran terlepas dari satu bebanan kerisauan akan masalah jodoh Afiz. 10.6.10 lalu Afiz selamat dinikahkan di Machang biar pun banyak rahsia serta kekeruhan berlaku namun kami selamat melangsungkan majlis pertunangan & penikahan Afiz. Afiz telah menjadi suami kini & aku kini telah punyai menantu. Rasmi dari segi agama.

Selepas semuanya selesai, aku sekeluarga meraikan kegembiraan kami di Hotel Paloh Inn milik jutawan Datuk Nordin, Kota Bharu Kelantan. Siapa jua yang pernah bermalam di sini pastinya akan teruja mahu kesini lagi. Faktor pertama tentulah lantaran bayaran sewanya yang amat munasabah. Bayangkan saya & keluarga berenam cuma memerkukan RM120 boleh tidur di bilik yang besar lagi luas bak dewan. Boleh main ping pong di dalamnya; Azim amat suka akan Hotel Paloh Inn ini, siap boleh berlari-lari sekitar kamar & melompat riang celahan katilnya. Ada TV pun bilik air yang luas & air cucur hujan bagaikan air terjun derasnya. Untuk mencari gerai makanan juga hanya seberang jalan sahaja. Siangnya pula boleh melawat kilang membuat batik; pun boleh membeli belah di komplek batik milik Datuk Nordin.

Empat katil bujang & sebuah kelamin RM100, sewa tilam sekadar RM20.

Sepulangnya dari Kota Bharu, Kelantan cadangnya mahu bermalam di Kota Bharu, Perak; tetapi memandangkan rumah Opah Bi belum tentunya ada orang; maka aku bermalam di Hotel Ekonomi Kampar ini. Ahad 13.6.10 ada kenduri di Sahom tak jauh dari Lata Salu.

Sebab itu aku teruja amat nak bermalam di Kampar biar pun sendirian. Ingin mengembalikan kenangan lalu, biar pun aku seorang kesepian di sini. Bagusnya Hotel Ekonomi ini adalah kebersihan & kelengkapannya. Biar pun kamarnya tak sebesar mana tetapi bersih malahan ada Tanda kiblat. Biarpun miliknya bukan orang kita Melayu.

Sepanjang malam aku puas mundur madir sekitar bandar Kampar. Pekan Kampar hanya hidup hingga 11 malam; selepas itu tak banyak kedai dibuka. Terasa aku bagaikan di bumi asing lantaran boleh dikatakan 80% penghuni di bandar ini Cina. Terkenang aku akan sepinya aku sendirian di kotaraya Jepun. Amat sepi sendiri di dunia rasmi orang asing.

Masalah makan tak timbul masih ada kedai yang dibuka sampai lewat malam. Aku memilih untuk makan di Restoran milik orang kita Melayu. Aku cuba makan Nasi Goreng Ikan Masin (Dr Imah marah aku makan ikan masin) bersama Telor Mata Kerbau. Biar pun tidak sesedap masakan di Restoran Erawan tapi kira aromanya menyelerakan aku, perut memang kosong sebenarnya. Aku teringat Sabri ketika makan nasi ganja; memang dia nampak tak puas makan, aku pun sebenarnya nak tambah nasi & kuahnya yang agak unik aromanya. Pekena Milo Panas, Ais Kosong & lepas makan khayal bersama Nusantara.

Tiba di kamar aku memang penat & lenguh urat kaki. Talian yang jarang kuguna 016 9094343 boleh diakses; maka sepanjang malam sebelum lelap aku sempat bermain SMS dengan Amid, Prof Nizam & Kak Imah.

Kak Imah telah 33 tahun tak pernah jumpa; dialah satu-satunya pangkat kakak yang masih hidup & masih aku terkenang. Tak sangka juga sekitar 12:00 tengah malam Kak Imah masih terjaga menjawab SMSku. Satu kejutan yang amat manis buatku. Sementelah dulu pernah Prof Nizam kasi aku nombornya; tapi aku tak simpan di telefonku.

Pernah tinggal beberapa tahun di asrama 73 Jalan Tambun ini.;
banyak tersimpan kenangan pahit manis di sini.

Tak banyak sebenarnya kenangan aku bersama Kak Imah semasa di SMI berbanding Kak Azee yang aku anggap amat licik & asing. Kak Azee aku kenali sejak aku di Sekolah Rendah lagi yang aku anggap bagaikan kakak sendiri tetapi tak sangka dia sanggup menipu meminjam wang pun dia juga sanggup bersama berkompromi seorang lagi sahabat penaku melapah hatiku. Dua orang yang namanya perempuan sampai sekarang amat sukar aku maafkan ketidakjujuran perlakuannya. Lantaran aku masa itu amat naif, jujur & murni mengulit ikatan tetapi dipermainkan oleh sikap kepuraan jenis perempuan gerladangan yang bagiku amat sukar kuterima.

Kak Azee khabarnya ada masalah dengan kekasihnya pun rakan pena seorang lagi rupanya jenis pandai bersendawara suka berpura & bermain kayu tiga. Aku dijadikan mangsa korban oleh dua orang perempuan ini. Padahal ketika itu aku masih di bangku sekolah lagi. Kak Azee orang utara, yang telah berkerja sanggup kebas duit simpananku. Bukan sedikit ratusan RM bagi pelajar sekolah seperti aku pastinya amat tinggi nilainya. Sahabat pena yang rapat dengan Kak Azee ini pula sanggup menjaja hatiku di pasar malam. Huh! kisah lama; perit jika di kenang.

Kak Imah bagiku adalah seorang akak contoh yang bersopan; merendah diri & sepanjang aku di SMI aku sering amat kerinduan akan kehadirannya. Biar pun dia bukan pun pernah menyemaikan rasa kasih tapi dia jujur dalam hubungan. Mungkin sahaja yang sering terbawa-bawa ingatan terhadapnya ke dalam mimpi.

Aku terlelap dengan kenangan indah berbaul dengan tragis di SMI; Asrama Jalan Watson berakhir dengan aku terpaksa berhenti sekolah selama sepenggal. Aku duduk di kampung belajar sendiri ketika mahu menghadapi MCE. Aku adalah pelajar harapan di kampung; ketika itu akulah pelajar paling cemerlang di sekolah kampung; tak ada seorang pun pelajar mendapat 5A ketika itu; aku paling cemerlang mendapat 4A 1B; tetapi Asrama Putra adalah asrama terbiar!, amat terbiar. Kebebasan yang terlampau telah menyekat untung nasibku; ketika penghujung pengajian baru tersedar, memang telah terlambat!.

Sepanjang tingkatan 5 aku tidak pernah masuk pun kelas Sains & Matematik, aku mengikut arus songsang. Maka itu aku makin benci persekitaran Asrama Putra; bilamana asa samseng yang memterbalikkan beja bacaku; aku patah harap untuk kekal menjadi pelajar Rancangan Khas yang terbiar!.

Aku terlena dengan mimpi Dang Wangi & asrama putri masa lalu di Hotel Ekonomi Kampar.

- bersambung