iDAN

02 Julai 2009

Cerai kilat (Ceritera)


Oleh FUAD HADINATA YAACOB dan NORAINON OTHMAN
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Alasannya remeh, malah boleh dikatakan tidak masuk akal. Namun tindakan suami pulang lewat, lupa membeli makanan dipesan dan membuat minuman tanpa gula dikesan antara faktor menyebabkan pasangan suami isteri hari ini bercerai.

Selain itu, ada yang bercerai disebabkan pasangan lupa tarikh ulang tahun kelahiran atau perkahwinan dan suami sering bangun lambat akibat suka berjaga malam.

‘Penemuan’ itu bukan saja mengejutkan, tetapi turut menjadi faktor meningkatnya kes perceraian di negara ini pada tahun lalu dengan jumlah 22,289 kes berbanding 21,051 kes pada 2007.

Menceritakan fenomena ‘cerai murahan’ itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kesuma (Bahagian Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, berkata perceraian disebabkan alasan remeh seolah-olah menjadi perkara biasa dalam masyarakat masa kini.

Secara purata, beliau menerima sekurang-kurangnya lima panggilan telefon atau kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) sehari daripada suami atau isteri bermasalah.

Berdasarkan pengalaman, Zawiah menyenaraikan 200 faktor atau punca konflik dalam rumah tangga yang membawa kepada perceraian, sama ada pasangan baru berkahwin atau sudah lama.

Menurutnya, 200 faktor itu dikategorikan dalam 10 kelompok utama seperti tidak bertanggungjawab, kurang didikan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, ekonomi, kerjaya, kesihatan, akhlak atau sosial dan komunikasi.

“Ada kes isteri meminta cerai daripada suami selepas tiga hari berkahwin. Sejak itu, siang malam dia minta cerai tanpa alasan kukuh.

“Puncanya kerana suami tidak beli makanan dipesan, lewat pulang, malah terlupa memasukkan gula dalam minuman pun menjadi alasannya untuk meminta cerai,” katanya.

Menurutnya, hampir setiap hari si suami berdepan tekanan apabila isteri meminta cerai sejak perkahwinan mereka baru berusia tiga hari dan ia berlarutan hampir dua tahun sebelum dia membuat keputusan memenuhi tuntutan itu.

“Namun yang mengejutkan, selepas bercerai, isteri itu meminta rujuk kembali untuk hidup bersama bekas suami,” kata Zawiah.

Selain itu, katanya, ada suami atau isteri menggunakan bahasa kasar tanpa menghiraukan perasaan pasangan masing-masing sehingga menghancurkan rumah tangga.

“Pasangan ini berkahwin 10 tahun tetapi suami suka cakap kasar atau kesat bila bergaduh seperti memanggil isterinya ‘anak babi’ dan ‘mak babi’. Ada juga isteri memanggil suaminya ‘beruk’ dan ‘babi’ bila bergaduh.

“Disebabkan masalah komunikasi yang berlarutan, kemuncaknya mereka bercerai, malah ada kes suami ceraikan isteri talak tiga sekali gus,” katanya.

Menurut Zawiah, ada juga perceraian berlaku apabila isteri menyimpan barangan pemberian bekas kekasih seperti gambar, jam, beg tangan atau pakaian yang sebenarnya menimbulkan rasa cemburu suami, selain campur tangan ibu bapa.

“Satu lagi punca perceraian yang tidak boleh diketepikan ialah berkaitan seksual, sama ada seks ganas, kasar, lemah tenaga batin serta homoseksual.

“Ada isteri mengadu suaminya tidak menyentuhnya sepanjang dua tahun perkahwinan mereka. Apabila diselidik, rupa-rupanya si suami gay dan ada hubungan dengan lelaki lain.

“Di samping itu, ada kes suami suka meliwat isteri, memasukkan botol mineral dalam kemaluan isteri dan dalam senario berbeza ada isteri meminta cerai kerana suami hanya mampu melakukan seks selama dua minit meskipun mereka ada tujuh anak.

“Lebih mengejutkan, ada isteri berzina dengan penjaga lif sebuah hotel di Makkah ketika dia mengerjakan haji kerana tidak mampu menahan gelora nafsu dan minta diceraikan selepas pulang ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pakar Motivasi dan Kaunseling, Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultantsy, Hushim Salleh, berkata berdasarkan kes dikendalikannya, perceraian disebabkan perkara remeh mudah berlaku disebabkan sikap suami yang tidak menghargai isteri.

“Suami tidak pernah bertanya isteri sudah makan ke belum dan apabila buat salah, tiada ucapan maaf diluahkan, sebaliknya buat tidak tahu sepanjang hari.

“Wanita sifatnya halus dan sensitif, mereka mudah memendam perasaan dan akhirnya kecewa. Apabila suami terlupa tarikh penting seperti hari lahir sedangkan ada orang lain mengambil berat, akan berputik kasih sayang kepada orang itu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun paling menonjol dalam kes perceraian ialah kes cinta gelap iaitu suami atau isteri ada hubungan sulit dengan orang ketiga, masalah remeh-temeh perlu diberi perhatian supaya tidak melarat dan menjadi barah dalam rumah tangga.

Menurut Hushim, banyak juga sebab berkait rapat dengan faktor kewangan atau pendapatan iaitu suami isteri tidak berterus terang mengenai pendapatan mereka.

“Ini boleh dikategorikan sebagai tiada persefahaman antara suami dan isteri, misalnya berahsia mengenai perbelanjaan atau hutang kad kredit. Contohnya, suami kedekut dengan isteri tetapi apabila isterinya membeli barang kemas dengan duit sendiri dan suami melihat isteri memakainya, dia marah.

“Sudahlah tidak pernah membelikan hadiah untuk isteri, apabila isteri beli dengan duit sendiri pun dia marah. Ini menyebabkan bibit perpecahan dalam rumah tangga berlaku,” katanya.

Harian Metro

iDAN : Kesabaran melayan karenah pasangan bagiku adalah kunci penyelesaian. Bila kita menerima kekurangan sikap pasangan tentunya kita jadi insan memaafkan. Janganlah berharapkan sangat kesempurnaan terhadapan pasangan kita. Tiada seorang pun manusia di dunia ini yang sempurna.

Bertolak ansur kepada sesuatu kesalahan, fikirkan dulu tindakan terbaik untuk membetulkan sikap buruk pasangan kita. Di samping banyakkan berdoa agar Ilahi tetap membantu kita untuk memanjangkan jodoh kita. Ingat kesan kepada anak-anak kita jika terjadinya perceraian. Jangan biarkan nasi menjadi bubur. Berbincanglah & berterus terang akan apa yang kita harapkan; berikan masa untuk menjadikan kita bertindak mengikut rasional & panduan dari agama kita.

Perkara kecil jangan dibesar-besarkan, percakapan mulut jahat pasangan kita janganlah diingat-ingatkan sangat. Anggaplah perkataan yang buruk dari mulut pasangan kita lahir ketika dia tidak sedar diri atau berkeadaan marah.

Ingatlah ikatan yang dinama jodoh bukanlah kemahuan kita semata, ianya adalah atas keizinan Ilahi, maka Ilahi memang menguji kita dengan jodoh yang diberikan. Jangan lantaran tindakan kita yang tidak adil & rasional akan membuahkan suatu yang buruk bagi hubungan yang lain. Hidup tidak selama mana; bersabarlah!.