iDAN

Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan

26 September 2016

NYAWA II

NYAWA II

Dari denyutan nadi ayah & ibu
bersatu janin seorang aku
yang bersemi dalam hembusan roh
bernafas jantungku ke dunia-Mu.

Isteri adalah kekasihku dunia akhirat
aku tidak pernah membahagikan cintaku
siang malam menanti kehadiranmu
dalam tidur & jagaku Bidadariku.

Iman adalah nyawaku nan ramah dalam diri
tidak pernah pun diri mengerti abadi.
Dia memerhatiku dalam duduk atau berdiri
dalam solat doa ibadah atau kiblat-Mu
aku bak asyik buta hati lalai duniawi.

Nyawaku punya siapa jika bukanmu kekasihku
Nyawaku punya siapa jika bukan-Mu Ilahiku
Nyawaku punya siapa bila mati tak bernadi lagi.

(Hatta kenapa tamak dengan harta & kuasa
sementelah segalanya takkan kekal lama)

iDANRADZi
Kota Bharu Perak.

Bila tanya Pak Google puisi iDAN jumpa ini
di situs orang lain...





18 September 2016

07 Disember 2013

Pulai Chondong Machang

KOSONG ii

Sepimu kosong
mengusung hati kosong
aku semakin murung
menanti hari kosong
awak semakin serung
mencuri erti kosong
makin petah berbohong
berjanji setia kosong
tanpa kenal dek untung
aku diselimuti mendung
terkurung di dunia kosong
awak tak lagi berkunjung
nyawa semakin kusabung
amat takut dipancung
kembali ke tanah kosong.

iDANRADZi
Jenaris Kajang.

04 Disember 2013

Puisi Sahabat Jiwa



BIARLAH AKU MENJERIT

Di celah-celah sinar mentari
kusambut dinginnya rona pagi
menyelimut samar kabus melingkari
di pepohon rimbun menghijau dalam sepi.

Aku di puncak gunung ini
bersama gerimis awan yang mengucup bibirmu
mencari langit yang lusuh birunya
sedangkan angin gunung mendakap dada.

Di birai puncak ini
aku menjerit namamu...indah
penuh gema yang mengudara bertebaran
menyusur lautan meniti lembah-lembah
mengejar belantara berlari di rimba-rimba
membelah dada langit menggegar seluruh alam
memecah sunyinya waktu yang kesepian.

Di puncak ini
aku resah kerinduan
nanar menggapai lembut dadamu
terdera mencari kucupan bibirmu lagi
tersiksa aku bersama rangkulmu yang panjang
aku merindu dakapan kasehmu di puncak rindu ini.

Namamu tetap aku jeritkan dalam jiwa...

## Sahabat Jiwa - AE##

29 November 2013

Puisi Alam Maya

SETIA ALAM MAYA

Ada ketika aku hidupkan awak dalam alam maya
untuk aku dapat berbual & berceritera
tentang bulan juga megah merak kayangan
tentang suara riang-riang juga desah merbah
kita menjadi amat intim di persada maya
namum kita tak pernah kenal siapa diri
awak hanya gadis jelmaan
yang tak pernah pun datang
mengintai aku di dunia nyata ini.

Sesekali aku jadi amat gelisah
bilamana kutahu awak semakin leka kendiri
dengan rakan FBmu yang baru hebat berjanji
yang amat pandai mengayatmu malam & siang
sampaikan awak lupa akan aku yang sekadar ada
ada ketika aku tiada di untuk terus berinternet
lebih sedihnya awak tuduh aku cemburu
awak tegar menuduh aku fitnah rakan barumu
sedangkan aku baru amat mengenalimu
rakan barumu itu pun aku yang mengenalkan
namun rakan barumu memenjaramu ke laman lain
yang tak mungkin awak dapat mengintaiku lagi.

Aku baru sedar aku makin amat merinduimu
dengan hati sepi ini aku tambah sepi tanpa awak
bersenda leka bagai dulu saban malam hingga dinihari
aku tercari-cari ayat-ayatmu yang ramah lagi mesra
bagaikan awak tak pernah kenal erti perpisahan
berjanji mahu menjadi teman intimku di alam maya
tapi segalanya hanya kosong tinggal hanya janji
bagaikan awak termakan sihir rakan barumu.

Memang dunia maya dunia yang amat KEJAM
tak hairan ramai hati yang koyak rabak
sebab semuanya terlalu bebas tanpa sempadan
saling berlumba dengan ketangkasan maklumat
tak mungkin YM dapat mengatasi FB
tak mungkin FB dapat mengatasi Wsapp
dari satu era ke era yang lebih pantas
sedangkan aku sekadar dapat menghubungi awak
melalui PC dugung ini; jika awak ketik FB ini
dapatlah awak berhubungan denganku
jika awak tangkas dengan rakan baru
di Wsapp atau terus dail HP dengan rakan barumu
hatta awak akan pasti TERPISAH renggang denganku
tersesatlah kita selamanya mengikut arah sendiri
dengan 1001 watak manusia alam maya
yang tak PASTI hati budinya.

iDANRADZi
Kota Bharu Perak
 

21 Ogos 2013

Pasti Terhakis


Terpanggil untuk menyelam dasar wawasan
yang terpenjara dek segala fitnah petualang
semua perundangan semakin sirna hilang
berlaku curang tanpa siapa pun menghalang
kejatuhan nilai moral menolak seri pesona
diri tidak dapat lagi menjana piagam mulia.

Bila warga alam kian bertuhan kebendaan
tiada lagi nilai simpati pun nilai keintiman
yang licik terang-terangan meratah enak
juadah yang miskin tanpa teragak-agak
merompak segala kemewahan milik diri
tiada lagi nilai murni memagari jauhari. 

Terpanggil untuk memalu tabuh kesedaran
tak siapa lagi menghirau amanat Tuhan
memilih mana yang dapat membawa rahmat
melanggar ajaran yang mengekang visi kudrat
tunggulah pembalasan tanpa dapat menangkis
kuasa terkini sekadar pinjaman pasti terhakis.

Idanradzi
Kota Bharu Perak
17 Jun 2013  
 Terbit di Harakah Daily

MAMAHAN USIA

iDANRADZi,


Di medan perang kuasa
derita bermaharajalela melata lara
menepis simpati diri sembilu bumi
menjentik anak kecil tidak berdosa
tamak sempadan bak Belanda melanda
senjata bukan lagi perlindung diri
tetapi mencari sasaran gegar bergegar
minda dahaga & kemarau ihsan.


Di medan gerbang jalan raya
ego pemandu tanpa erti waspada
menolak tolak ansur bergalur arus
mengejar waktu tanpa ketentuan jitu
lalai engkar dek gagal memintas
panduan bukan lagi aturan jalan
tetapi kemalangan maut taut bertaut
nyawa melayang & tragedi berulang.


Di medan nafsu jiwa raga
noda bertakhta leka menukik usia
mengabai nahi mungkar berbaur balur
mengejar kemewahan tanpa had kepuasan
intim keprihatinan bagai galaksi mainan
pakatan bukan lagi modal insan
tetapi perjarakan wasasan gelut bergelut
impian menghilang & airmata terbuang.


IDANRADZI
Kota Bharu, Perak.
18 Mac 2012 

Terbit di Harakah Daily.

Puisi iDAN Ingkar


Idanradzi,

Ingkar
Dirantai oleh bara dendam sengketa
menyeringai ego ke medan bencana
bergalaskan janji melata memujuk rasa
berpagarkan penyokong membawa rebah
terbenamlah tunggak iman di maya gundah.

Di lembah serba mewah berhias laba
bertintakan emas sejarah agong dicipta
nasib rakyat marhaen berulang nestapa
dikerah tenaga secara sadis lagi sengsara
menyambung hayat sekadar secukup sara.

Agihan yang tak seimbang membawa padah
habis diselongkar khazanah alam terpunggah
sampaikan dirampas empunya hak mutlak
terhakislah sifat keprihatinan menjadi onak
tak lagi hiraukan diri berlaku kejam dan tamak.

(Tanpa ada yang menyedarkan pun mahu
disedarkan; waima terusan berlaku ingkar)

IDANRADZI
Kota Bharu Perak.

30 Jul 2013 

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

27 Mei 2013



VAN AWAM
Hujan tak ada teksi nak singgah
banjir tak ada saliran nan mengalir
aku & Azim basah tempias di hentian
pemandu teksi tak pandai toleh iksan
lambaianku hanya hilang di titis hujan
55 tahun lebih merdekanya negaraku
beginilah nasib bila tiada kereta sendiri
peliknya mana perginya bas awam kini
JUSCO dah jadi AEON sesaknya seragam
di Jepun tukar nama sejak tahun 1989
mungkin tak mahu keliru dengan TESCO
pernah aku janji ketemu dengan rakan
aku tunggu di JUSCO dia tunggu di TESCO
penat eh... sebab sebutannya seakan sama
hujan lebat di AEON aku terkurung resah
kasihan Dzuan datang dalam hujan kilat
dia sakit tetap mahu jemput aku & Azim
tentunya hutang budi sebegini tak terbalas
akan pasti dibawa ke mati niat yang ikhlas
kerajaan kena pantau pengangkutan awam
di Cheras Selatan sebab amat naif
sepanjang hari aku menunggu teksi
tak nampak pun sebuah bas awam
kenapa tak ikut cara Siam & Indon
tak perlulah bas cantik atau teksi antik
van bas mini MPV kan amat sesuai
keluarkan saja lesen untuk pribumi
agar kemakmuran bersama dinikmati



iDANRADZi
Balakong
27.5.13


26 Mei 2013

Penyu Menangis

Penyu Menangis
 
penyu terus menangis
menolak kelodak sesak
fitnah nan bertaburan di pantai negara
memisahkan akar penaga laut
menindih rakyat jelata berpaut
penyu terus menangis
menolak ombak resah
desah angin jadi penyata belanjawan
tikar kasih bertaburan di anjung zaman
sepinya villasetia di ujung pantaileka
penyu terus menangis
kekitaan semakin berseloka sumbang
mencari arah ke puncak gemilang
namun gelombang masih belum tenang
penyu terus menangis
tumpah air matanya ke akuku ini
bagaimana mahu kulapi air matamu!!!
sebak rebah tak sudah.

iDANRADZi
 Jenaris/UPM
Rabu, 05 Mei 1999 17:27:56

Harajuku Tokyo
1988


22 April 2013

Puisi Pasar





PASAR BESAR KAJANG

Aku suka melihat di celahan penjaja Cina
orang kita Minang rajin berniaga
tak kiralah apa jua yang dijual
biarpun sekadar pucuk selasih
paku pakis ulaman petai jering
belimbing besi asam keping tempe
jantung pisang atau kerdas dari rimba
aku bakal menjadi pembelinya
sebab nak tunggu tanam sendiri
tak mungkin pokok petai atau jering
boleh tumbuh rendang di konkrit
atau pokok kerdas yang aku sendiri
tak kenal bagaimana rimbunnya

melata di celahan hutan batu di kota.

Aku sekadar dapat membantu sedikit
sebab ulaman tak mahal mana di pasaran
ianya tak sama dengan harga intan belian
tetapi ramai kita tak sedar khasiatnya
bagaikan mutiara yang tersembunyi
tak boleh ditukar dengan wang ringgit
herba dari rimba hasil ladang tradisional
adalah ubatan amat mujarab untuk menjaga
kesihatan kalau pun tidak menjadi penawar
tetapi awet muda memanjangkan usia
agar perniagaan yang mulia & halal ini
biarlah ujud beribu tahun lagi;
datanglah ke Pasar Besar Kajang.

iDANRADZi
Jenaris Kajang
21 April 2013


09 Oktober 2012

Puisi iDAN Naib Juara Pertandingan Mencipta Puisi

Ada LIMA puisi iDAN dipertandingkan dalam Pertandingan Mencipta Puisi di PuspaFM: Jangan lupa malam ini bermula jam 9:00 malam ini 6.10.2012 sekitar 3 buah puisi akan dideklasikan oleh DJ bersuara Unik Alan Tam.

2. Keputusan pemenang juga akan diumumkan malam nanti.


3. Banyak puisi menarik dari kalangan pendengar PuspaFm akan berkumandang. Sila klik URL ini untuk mendengarnya. Anda juga dipelawa memeriahkan AuraFM dengan mendaftar menjadi ahli online tanpa sebarang bayaran.



http://radio.puspafm.net:8000/listen.pls

http://www.mesrachat.net/

http://www.LepakChat.org/


4. URL yang ini untuk anda mendaftar menjadi ahli.


http://www.facebook.com/groups/Ruangan.Game.PuspaFM.2012/


Jangan tak dengar jika memang anda orang seni & minat dengan sastera terutama puisi/sajak
. 
Puisi iDAN antara 11 puisi terpilih.

Ermita Dominic:

-11 YANG TERPILIH- Penyair Idanradzi

TITIK SABAR

Bertali arus janji-janji rapuh
melilit juraian yang geruh
segala keintiman semakin gugur
tak kenal rasa sesal lagi akur
biarpun puas aku menegur.

Kekhilafan itu bukan alasan
jika berkali-kali memungkiri
kemaafan itu bukan mainan
jika saban kali memanipulasi
biarpun jenuh aku menasihati.

Jangan salahkan cermin mengajuk
bayangannya adalah diri sendiri
jangan marahkan aku merajuk
aku tak larat lagi asyik memujuk
titik sabar ini telah pun termaktub.

(Aku sentiasa memberikan ruang
di lipatan hati ini demi nilai diri murni)

IDANRADZI
Jenaris Kajang.


(Emm ini antara TITIK kejayaan yang menjadi
kenangan terindah sepanjang aku berkarya)
Alan Tam Selagi Termampu:
1-mawar Putih[pusara ayah]
2-penyair idanradzi[titik sabar]
3-mohd uzir[kalam al-quran]
1-saguhati-[yan ismail]
2-saguhati-[Ann Kay]
3-saguhati-AkimiashailyFully Marbuli]
4-saguhati-[Evy Afendy]
5-saguhati-[Ramlah Ayoub]
1-Hadih Misteri- Huzaimi Ahmad
2-Hadih Misteri- Sizuka Kaizoku
3-Hadiah Misteri-Liah Omar
-CENDERAHATI- Khas Tuk Alan Tam Selagi Termampu-

Sy tak menyangkakan pun dapat tempat Naib Johan Pertandingan Mencipta Puisi bagi sy terpilih antara 11 puisi pun sudah cukup baik. Terima Kasih PuspaFM

10 Ogos 2012

Ke Arah Mana? III

 

Antara bait puisinya...

"Saling mencari arah pulang
biarpun sekian jauh merantau
bak bangau nan terbang melayang


pasti suka hinggap di belakang kerbau
memerhati seluang menari riang memukau
akan menyambar kasih untuk lena di pulau."

Jangan tak beli Harakan di pasaran; menarik amat puisi ini.
 

"Penyair Idanradzi
kata ‎...aku menulis di semua akhbar dan majalah terpulang kepada editor mahu menerima tulisan aku atau TIDAK; aku tetap menulis; sebagai contoh terbaik tanya editor BH pernahkah aku berhenti menghantar karya ke sana? Memang tak pernah berhenti.. Ke Arah Mana (pertama)... aku rasa mmg aku hantar ke BH; tapi tidak tersiar; Ke Arah Mana II aku hantar ke Harian Metro terlah tersiar... Jangan labelkan aku dengan sebarang fahaman politik sebab sastera itu berkembang; biarlah ianya bebas bersuara di mana jua akhbar nan berlesen pun majalah yang perbagai tema... politik itu adalah hak kebebasan individu.. jangan komen... "
 

01 Ogos 2012

Puisi di Aura FM

CURIGA
Suasana pagi tak selalu ceria buat aku
sebab kehidupan ini memaksa aku menjadi senja
suram bak mahu malam dari pagi ke petang
maka itu aku mengharapkan kasih kau bertandang
sering orang bilang bila kasih bersemi mesra
semua pohon bak ghairah menyambut musim bunga
memutik dan kembang segala kuntuman indah
aroma kelopaknya segar mewangi megah.

Tolonglah jadikan pagi hingga ke malamku indah mewangi
jangan bunuh aku dengan suram wajahmu
jangan bunuh aku dengan pisau sangsimu
jangan bunuh aku dengan api amarahmu
tak salah kita jadi pasangan setia
tak salah kita jadi kekasih bahagia
tak salah kita akan sentiasa bersama
saling percaya & tak curiga.

IDANRADZI
Jenaris Kajang.
— bersama Mahyan Mohd Hassim dan Roos Muri Shah.

· · · 5 jam yang lalu

06 April 2012

BENGKAK MATA HATI



sengaja atau tak sengaja awak asyik mencarik-carik hatiku tanpa rasa simpati sampaikan diri bungkam rebah sampai ke pagi...

bantal resah ini telah basah dengan air mata sampaikan bengkak mata hati...

terkadang aku terfikir apakah cinta ini masih subur atau akan mati lemas dek angkara kekasih hati...

pelik aku masih berbisik tidak mahu kehilanganmu biarpun aku ini entah apa di hatimu.

iDANRADZi
Sungai Milu Chenderiang

30 Januari 2012

J.M Aziz

Oleh: Djazlam Zainal

Penyu Menangis Siapalah Tahu *

Anak muda berlagu sayang
di bukit remis melepas rindu
adik ketawa di rantau abang
penyu menangis siapalah tahu

Sesak nafasnya sesak
tak tahu adik tak tahu
sebak dadanya sebak
tak tahu adik tak tahu
bengkak jantungnya bengkak
tak tahu adik tak tahu

Retak hatinya retak
tak tahu adik tak tahu

Lenyap ditelan derauan ombak
telur penawar hatinya lebur
tumpah air matanya melimpah-ruah
agar terhibur adik terhibur

Anak muda berlagu sayang
di batu remis melepas rindu
adik ketawa di rantau abang
penyu menangis siapalah tahu
penyu menangis siapalah tahu

Kelabu matanya kelabu
tak tahu adik tak tahu
sendu tangisnya sendu
tak tahu adik tak tahu

Sayu jiwanya sayu
tak tahu adik tak tahu
layu langkahnya layu
tak tahu abang pun tak tahu

* telah dijadikan lagu oleh penyanyi nombor 1 Malaysia
Sudirman Haji Arshad


Puisi Penyu

Bergurau senda di rantau adik
bergetak ketawa di rantau abang
tetamu bertemasya lalu mengusik
jantung hatinya berlubang

Siapa tahu matanya kelabu
siapa tahu dadanya sesak sebak
sedang air matanya berguguran
di atas lubang yang dikambus
sering digali orang
namun demikian penyu bertelur seumur

Telurnya berlubang segar
telurnya mewangi pantai timur
telurnya berisi penawar

Demikianlah nyanyian
lagu puisi penyu
dalam derita menabur jasa


Kesian Dia *

Kasih sayang tiada sempadan
bagai laut dan pantai
nasib malang bercerai badan
bak pasir dibelah badai

Buah hati timbangan badan
tidak dua dan tiga
sudah berjanji berpegang tangan
kiranya terlepas jua

Kesian dia
kesian dia
kesian dia
kesian dia

Serakit sirih seumbut pinang
selaut kasih sepantai sayang

Kalau boleh pinjamkan selendang
abang rindu harum baunya
merayu pada yang disayang
jika ada sisa kasihnya

Kesian dia
kesian dia
kesian dia
kesian dia

Biduk sebuah kita bermudik
dibuai tapak gelombang
biduk kekasih itulah adik
tempat abang menumpang sayang

Kesian dia
kesian dia
kesian dia
kesian dia

Serakit sirih seumbai pinang
selaut kasih sepantai sayang

Ombak kasih datang bertandang
pantai sayang menanti
namun abang tetap mengenang
sendiri kehilangan hati

Kesian dia
kesian dia
kesian dia
kesian dia

Serakit sirih seumbai pinang
selaut kasih sepantai sayang


* telah dijadikan lagu oleh penyanyi nombor 1 Malaysia
Sudirman Haji Arshad


Berkolek Bersajak ( 1 ) *

Aku berkolek
di dada laut
dengan jala-jemala
kutebar sepenuh tenaga
memburu hidup

Aku bersajak
di tangga pondok
dengan mata pena
kukhabar kisah manusia
di pintu maut

Aku berkolek dan vbersajak
dari pantai timur
ke kuala selut
mencari penawar
turubn-turunlah angin selatan
sorong-soronglah kolekku ke Pelabuhan Kelang

19 Mac 1972

* telah dijadikan lagu oleh penyanyi lagu-lagu puisi Ibrahim Bachik


Sepi Itu Indah
( untuk seniwati Sarimah )

Serakit puisi seumbai madah
selaut sepi sepandai indah

Di bawah jendela pantai terbuka
di tengah laut nan sepi
kudendangkan lagu puisi
kuntum cintanya berkelopak kembang
setanjung kasih seteluk sayang

Puteri penyu bermadah
sepi itu indah
sepi itu penawar rindu

Putih kebiru-biruan
laut indah berbunga mesra
kucah manis menyimbah
kolek sebuah kita berdua
lalu berkayuh meniti buih
dari pantai timur ke kuala lumpur
berlabuh kasih

Puteri penyu bermadah
sepi itu indah
sepi itu pewangi kalbu


Sebutir Bintang
( untuk Sudirman Haji Arshad )

Sebutir bintang timur
bertapak
di hujung malam

Sebutir bintang timur
berkelip-kelip
gilang-gemilang
pamar-berpamar

Sebutir bintang timur
berkilat
terang benderang
bersinar banar

Sebutir bintang di langit pagi
sinar cahayanya berseri di muka
air pasang naik meninggi
riaknya berbunga emas manis
bertabur kembang selaut seni
mengharum wangi nama ibunda tercinta

Berita Harian 23 April 1989


J.M. Aziz, nama sebenarnya Abdul Aziz bin Abdul Rahman dilahirkan pada tahun 1934 di Hujung Tanjung Seberang Takir, Kuala terengganu. Anak kelima daripada enam orang adik beradik. Bapanya terkenal sebagai seorang penyanyi kasidah manakala ibunya penyanyi lagu-lagu rakyat.

Bermula dengan profesi sebagai polis hutan, J.M. Aziz terarah kepada puisi. Suatu dugaan yang maha berat diuji kepada beliau apabila beliau di korantin kerana penyakit kusta di Sungai Buluh, Selangor pada tahun 1965. Sejak itu kehidupan J.M. Aziz berubah. Beliau terus menggunakan nama Jiwa Merana tanda kesengsaraan yang membelenggu dirinya. Melihat keadaan itu, sasterawan A. Samad Said mengubahnya menjadi J.M. yang memberi maksud jiwa merana tetapi lebih manis bagi mengikis rasa deritanya yang terlampau. Begitulah asalnya nama itu menjadi sinonim kepada J.M. Aziz.

II

Biar pun J.M. Aziz pengkisah kepada lautan, malah pernah digelar penyair laut, namun beliau juga sinonim dengan panggilan penyair ' penyu menangis '. Ini gara-gara lagu yang didendangkan oleh allahyarham Sudirman, ' Penyu Menangis Siapalah Tahu ' mengetop dan menjadi siulan. Mengapakah lagu itu begitu ngetop sedangkan ia hanya sebuah senikata yang dicuplik daripada puisi? Sebenarnya, ' Penyu Menangis " adalah suara hati penyair buta ini yang mana ia adalah akibat derita penyakit kusta yang dihadapinya. Suara batinnya sungguh luar biasa. J.M. Aziz dilahirkan di perkampungan nelayan di pantai timur Malaysia yang kaya dengan kemiskinan itu. Membayangkan itu, saya terus terbayang kisahnya ' Gadis Pantai ' novel karangan Pramoedya Ananta Toer, yang mana mengisah penderitaan gadis pantai di tangan Bendoro. Derita itu dirasainya, kerana ayah dan saudara maranya adalah pelaut yang miskin. Biarpun kehidupannya agak sederhana, namun ia tidak mengubah nasib biarpun bertungkus lumus sebesar mana sekali pun. Ikan-ikan segar, pari atau ketuka, udang dan sembilang laut, sotong, kepah dan ketam segar akan jatuh ke tangan orang tengah, tempat nelayan mengambil wang pendahuluan untuk membeli jala, membetulkan perahu yang bocor, pecah, ataupun bagi membeli beras, minyak, asam garam, dan membeli pakaian anak-anaknya yang mahu ke sekolah. Tompokan jiwanya terus terusan merana dengan hal ehwal kehidupannya yang bertompokan hutang itu. Sebuah tragedi bangsa merdeka yang dilaungkan akan diberi jambatan emas hingga ke akhirat. Tetapi dengarlah lagu yang mereka dendangkan! Dalam lagu ' Nyanyian Ombak ' nyanyian Zubir Ali dengan groupnya Harmoni, Zubir menyinis, " laut lebih mengerti/ dari mereka yang berkata/ selembut puisi . "

J.M. Aziz tulus menyanyikan derita batinnya disamping menyampaikan khabar derita saudara-saudaranya pelaut pantai timur. Di manakah keadilan yang diharapkan. Orang yang bertungkus lumus mencari penghidupan, terus menerus dilanda kesusahan. Orang yang hanya menadah hasil perih terik nelayan, bisa lumayan hidup dan senyumannya yang melebar. Mereka berdasi baru, cantik dan tidak seperti kaumnya yang berdasi buruk, hapak dan pengap.

III

J.M. Aziz setia dengan alamnya. Keseluruhan puisi yang dihasilkan adalah berlatar belakangkan laut, nelayan, dan sekitar penderitaan pelaut. Dengan gaya puisi tradisi, yang mengharmonikan syair, pantun dan gaya Melayu, penyair ini cukup membesarkan negerinya Terengganu. Rasanya, penyair yang paling banyak menyerlahkan negeri kelahirannya adalah J.M. Aziz. Sudah tentu kerana kecintaannya kepada kehidupannya yang melarat itu dan santun bangsanya yang terus terusan hanya melihat kesengsaraannya dengan senyum mendada. Dan dengan puisinya yang girang dan kelihatannya senang dan santai, tambah menyatakan bahawa penyair ini sebenarnya sedang gembira dengan kesengsaraan.

IV

Pada awal 1990an, saya sempat bertandang ke rumahnya untuk membuat sedikit tinjauan bagaimana kehidupan penyair ini terus berlangsung. Saya sebagai staff sebuah institusi pendidikan Melayu terbesar iaitu Institut Teknologi MARA, Shah Alam ( sekarang Universitas Teknologi MARA )
berasa pilu dengan kehidupan sang penyair yang acapkali dibuai dengan ujaran yang muluk-muluk. Rumahnya, hanya rumah tradisi Melayu kampung yang melarat yang relatif naif. Di depan, berhadapan tangga rumah atau barangkali serambi tertulis dengan ironis ' RUMAH PUISI '. Saya ke sana dengan serampang dua mata, selain meninjau, juga mahu menjemput beliau bagi satu acara konvokensyen pelajar. Daripada acara blak-blakan seperti memanggil artis ( Inul barangkali ) lebih real saya seorang akademik memanggil penyair yang buta matanya tetapi terang mata hatinya. Dan saya berhasil membawa seniman besar ini ke mercu tanda keagongan ilmu manusia.

Semoga ia tercatat dalam sejarah penulis.


Wajah ceria penyair besar ketika mudanya pada tahun 1952

22 Disember 2011

Sastera dipinggirkan?

Rozninah & Salbiah
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Jumlah halaman mengecil sedangkan ia sebahagian sejarah negara

TANGGUNGJAWAB sosial dan sejarah yang perlu dipikul oleh media dalam konteks penerbitan bahan sastera sebagai salah satu cara untuk membangunkan masyarakat dan negara disorot pada Diskusi Sastera dan Media.

Diskusi anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, UPSI dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), turut melihat fungsi media secara praktikal dalam mengembangkan sastera sama ada melalui akhbar, majalah atau buku.

Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman, menganggap persoalan hubungan antara khalayak sastera dengan media dan masalah halaman sastera yang semakin mengecil sebagai isu serantau dunia sastera.

“Pertemuan dengan pengarang kreatif dari negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam mendedahkan, masalah yang sedang sastera Malaysia hadapi turut berlaku di negara terbabit.

“Bagaimanapun, Malaysia masih bernasib baik kerana Berita Harian menyediakan ruangan Sastera setiap hari, manakala Dewan Sastera yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1970-an masih di pasaran,” katanya pada dialog di Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.

Syed Mohd Zakir yang lebih dikenali sebagai SM Zakir melihat pengecilan ruangan sastera menunjukkan sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam dunia dagang dan pasaran bebas seperti yang pernah berlaku pada zaman sekitar kemerdekaan.

“Sastera tidak lagi dilihat sebagai komponen yang dapat menarik keuntungan dan penerbitan karya kreatif dilihat tidak lebih daripada tanggungjawab sosial untuk memartabatkan bahasa ibunda atau rasmi sesebuah negara,” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraannya, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin.

Bagaimanapun, beliau berharap sastera dan penerbitan karya kreatif dilihat sebagai tanggungjawab sejarah kerana hubungan antara media dengan dunia sastera sudah melalui sejarah yang panjang dan penting.

“Baru-baru ini, saya bertemu dengan editor majalah Kompas di Jakarta yang mengakui sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam aspek pasaran bagi majalah gergasi itu dan tidak dianggap sebagai tanggungjawab sosial.

“Hanya tinggal satu saja untuk menerbitkan karya sastera, iaitu tanggungjawab sejarah tetapi ia tidak boleh diremehkan kerana sastera menyumbang dalam sejarah perjuangan dan pengisian kemerdekaannya,” katanya pada diskusi yang turut dihadiri Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof Madya Dr Nor Azmi Mostafa dan Pengerusi Jawatankuasa Diskusi Sastera dan Media, Dr Abdul Halim Ali.

Pandangan Syed Mohd Zakir itu wajar diberikan perhatian dalam memastikan hubungan sastera dan media serta tanggungjawab sosial dan sejarah kembali diberi nafas segar tetapi khalayak sastera juga perlu mengambil kira realiti gerak kerja media yang lebih bersifat praktikal.

Justeru tidak hairanlah Diskusi Sastera dan Media itu turut membuka ruang kepada editor yang terbabit secara praktikal dalam meneruskan kesinambungan sastera sebagai tanggungjawab sosial dan sejarah, tetapi terikat kepada tuntutan keuntungan bagi membolehkan syarikat terus beroperasi.

Editor Sastera, Berita Harian, Salbiah Ani, ketika diminta mengulas pemilihan karya bagi terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu menjelaskan baik pengarang berjenama mahupun pendatang baru diberi peluang kerana penekanan adalah kepada mesej bukan pada status.

“Terus terang saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka tidak diberi peluang,” katanya.

Selain itu, pemilihan karya untuk terbitan dalam kedua-dua akhbar terbabit lebih bertumpu kepada karya yang mengetengahkan mesej yang baik dan tidak menggunakan teknik terlalu kabur sehingga menyukarkan pemahaman pembaca massa.

Justeru, Berita Harian dan Berita Minggu tidak membataskan ruangan Sastera untuk penggiat sastera tulen semata-mata kerana sokongan pembaca massa diperlukan bagi membolehkan halaman terbabit terus berdaya saing.

“Kami bergerak dari dana yang kosong dan dalam situasi semasa yang pembaca lebih cenderung kepada berita politik, ekonomi dan hiburan, saya sangat bersyukur ruangan Sastera mendapat dua halaman setiap hari. Beli dan bacalah akhbar untuk mengetahui bentuk karya pilihan editor.

“Pemberian halaman berdasarkan jumlah pembaca dan pendapatan yang dijana daripada halaman menyesakkan Editor Sastera. Faktor kos kertas dan keterbatasan ruang menjadikan iklan terlalu mahal. Berapa ramai penerbit buku sedia membeli iklan?,” katanya.

Editor Dewan Sastera, Rozninah Abd Azib, membuat saranan serupa kepada pembaca bagi memastikan karya mereka mendapat tempat dalam majalah terbitan DBP kerana tanpa membeli dan membaca sukar penyumbang menilai bentuk karya yang menjadi pilihan.

“Betul apa yang dikatakan rakan seperjuangan saya, Salbiah Ani kerana tanpa membeli dan membaca akhbar atau majalah yang menjadi sasaran penulis, mereka tidak dapat memahami bentuk karya yang mendapat tempat,” katanya.

Pengurus PTS Litera, Asma Fadila Habib, berkata PTS Sdn Bhd (PTS) mengambil inisiatif dan mengembangkan sastera serta karya sastera kerana menyedari wujudnya ruang kosong dalam bidang penerbitannya.

“Oleh itu, kami mula mengkaji keperluan pasaran dengan memberi tumpuan kepada genre yang berasaskan kehendak pembaca generasi muda, tetapi pada masa sama tetap memperjuangkan bahasa.

“Kami mulakan dengan penerbitan novel dewasa dengan menekankan kepada pemilihan judul karya kreatif yang cenderung kepada Islam tetapi tidak terlalu ‘ekstrim’ dalam penekanan kepada latar agamanya,” katanya.

iDAN:

...“Terus terang saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka tidak diberi peluang,” katanya....

Aku begitu lama masih bergelut untuk melepaskan karya barang sebuah karya puisi ke di Berita Minggu kini telah masuk ke tahun ketiga. Jika tanpa semangat penyairan aku pasti telah hilang daya kreativiti sebab cuba dibunuh oleh Editor yang mungkin terlalu teliti & sukar menerima tulisan seperti puisiku. Nah hari ini aku dapat lihat wajah Editor untuk Sanggar Sastera di Berita Harian & pengakuan jujur... tiada sikap kronisme & tidak mahu puisi kabur. Itulah sebaiknya agar dunia sastera tanah air akan berkembang & tidak menjadi hambar.

Cumanya baik puisi mudah atau pun puisi kabur ada pengikutnya. Yang penting bagiku setiap penulis kena menjaga keindahan Bahasa Melayu agar ianya terus diminati semua kaum di seantero dunia. Bahasa Melayu perlu kita kembangkan dengan apa cara sekalipun. Biarlah ianya terbentuk dengan pelbagai ragam supaya kita nampak akan coraka atau batik bahasanya.

TULISAN SALBIAH ANI: ANDA MELIHAT DARI SISI YANG BETUL, TERIMA KASIH
GODAM.

Salbiah Ani pengarang sastera Berita Harian menulis dari sisi yang betul tentang Little India. Tanpa mahu prejudis ataupun meluahkan prasangka berbaur perkauman, siapalah yang boleh menolak sebenarnya projek Little India di Brickfields yang dirasmikan bersama Najib dan Perdana Menteri India, Manmohan Singh semalam sebenarnya adalah sebuah filem yang mempunyai tajuk lain dan membawa cerita lain.

Jalan cerita Little Brickfields ini jelas amat bersimpang siur ketika semua penonton mengharapkan ia adalah sebuah filem yang berjudul 1Malaysia!

Kita amat melayani permintaan yang di luar kotak 1Malaysia. Kita tidak pernah bersimpati pada mereka yang tertinggal. Dan nanti mampukah kita menjawab atau memenuhi impian mereka yang tertinggal ini untuk membuka satu kawasan bernama 1Melayu atau 1Jawa atau 1Banjar yang dirasmikan bersama Najib dan Presiden Indonesia.

Dengan wang dileburkan sebanyak RM35juta untuk projek Little India, apakah kita juga bersedia mengeluarkan peruntukan serupa untuk 1Melayu?

Perlu diingat, hasrat mahu melihat Little India menjadi antara kawasan pelancongan adalah sama dengan hasrat mencantikkan ChinaTown di Jalan Petaling, sebelum ini. Kedua-dua lokasi itu memberi untung sebenarnya kepada dua bangsa, Cina dan India. Adakah kita juga bersedia mempromosi satu kawsan Little Melayu untuk dijadikan kawasan tarikan pelancongan dan sekaligus memberi keuntungan perniagaan kepada peniaga Melayu?

Demikian nasib peniaga Melayu sebenarnya. Mereka adalah anak dalam kendongan, tetapi susu yang ada diberi kepada monyet, beruk, ungka, mawas, cikah, lotong, orang utan, gorila, chimpanzee dan siamang di hutan! Nasib mereka tidak pernah dipeduli.

Bukan kisah kawasan perniagaan mereka mahu dipromosi secara global sering didengar, tetapi kisah mereka menjual air dan nasi lemak di tepi jalan yang kemudian dihambat penguatkuasa yang selalu dilaporkan!

Apalah malangnya Melayu? Mungkin tidak salah kita ulangi menyebut tafsiran Malaysia itu berkali-kali untuk menjelaskan apa sebenarnya Melayu. MALAYSIA - MALAY bermakna Melayu. SIA- bermakna Rugi. Dan benarlah Malaysia itu tafsirannya MELAYURUGI!

Kekeh rakyat yang berdecit-decit mungkin tidak didengari oleh Najib, memperlekehkan apa sebenarnya 1Malaysia. 1Malaysia benarlah merujuk kepada pengezonan kawasan tempat tinggal dan perniagaan mengikut kaum!

Apabila Salbiah tersentak menerima panggilan seseorang bercerita tentang pendapatnya mengenai Little India, kita juga tersentak mendengar terlalu ramai orang Melayu tersentak melihat betapa sungguhnya Najib merealisasikan konsep 1Malaysianya menerusi Little India.

Harus diingat, hampir semua bandar utama di negara ini telah menjadi ChinaTown dan hampir semua bandar yang penduduknya ramai India seperti di Jalan Datok Klana, Klang telah diiktiraf sebagai Little India. Ditanyakan lagi di mana 1Melayu beb?

1Malaysiakah kita beb kalau yang dibela hanya berpilih-pilih!

Godam: Sastera tanpa noktah buat Arena Wati
Bersama Salbiah Ani

MASIH lekat dalam ingatan penulis detik pertama kali bertemu Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Arena Wati, ketika ditugaskan menemuramahnya oleh mantan pengarang Sastera Berita Harian, Allahyarham AR Kamaluddin, bagi mendapatkan reaksi mengenai mogok seni kedua SN, Datuk (Dr) A Samad Said kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Rasa gentar menguasai diri ketika memujuk Allahyarham untuk sedia ditemu bual di hadapan pintu rumahnya di Kepong, tanpa membuat sebarang temu janji kerana mereka yang rapat dengannya, sememangnya tahu Arena Wati enggan memiliki telefon bagi mengelakkan dirinya daripada diganggu ketika berkarya. Degupan jantung yang kencang pada awal pertemuan, melayang pergi apabila wawancara akhirnya berlangsung hampir tiga jam dengan penulis bersimpuh di atas lantai sambil menulis di atas meja, manakala Allahyarham duduk di kerusi dan kebetulan tidak sihat pada masa itu.

Pertemuan itu, turut membuka peluang kepada penulis untuk melihat sendiri beberapa jenis ubat yang perlu diambil saban hari dengan membelinya di klinik swasta tanpa merungut, meskipun dirinya layak mendapatkannya daripada hospital kerajaan sesuai dengan kedudukannya sebagai SN, sebab pilihannya adalah mutu. Dalam pertemuan itu juga, Allahyarham menyatakan pendirian tidak masuk campur dalam hal yang membabitkan DBP dan dapat penulis rasanya betapa ada sesuatu yang dipendam dan enggan dikongsi sehingga trilogi karyanya, Armageddon yang memuatkan Mandala, Menora dan Pentagon, dibiarkan beberapa lama tanpa penerbit.

Kesediaannya membiarkan triloginya itu tanpa penerbit dan terus gigih menyiapkan Pentagon, satu daripada tiga triloginya itu yang tertangguh kerana rasa belum berpuas hati dengan fakta yang diperoleh, menyedarkan penulis betapa nyala cinta Allahyarham kepada dunia penulisan kreatif sentiasa membara dan tidak mungkin diganggu gugat.

Trilogi Armageddon yang bahannya dikumpul sejak 1974 seperti pengakuan Allahyarham pada wawancara dengan penulis, hanya mula digarap pada 2001 dan akhirnya diserahkan kepada Penerbit UKM untuk diterbitkan sebelum menemui pembaca pada 2005. Allahyarham mengaku tergerak untuk menangani trilogi Armageddon ketika berada di Jeddah ekoran perasaannya tertekan dengan peristiwa sekatan minyak oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec) kepada Eropah dan Amerika dalam usaha melawan Yahudi, tetapi gagal selepas Arab Saudi berlaku khianat.

Pertemuan kedua penulis dengan Allahyarham pada Mei 2003 ketika Arena Wati dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Mastera yang pertama kali diperkenalkan dengan hadiah ditaja Kerajaan Brunei Darussalam, berlangsung dalam suasana ceria pagi. Penulis disambut Arena Wati dengan kata-kata, “Apa yang kau hendak budak.” dan berlangsung lebih sejam di satu ruang legar Dewan Bankuet, diakhiri dengan laungan, “Kau tengok budak perempuan ni, pagi-pagi hari dia hendak menyakitkan hati aku.”

Mereka yang mendengar laungan Arena Wati di Laman Karyawan DBP pada pagi itu, pasti menyangka Salbiah Ani dimarahi, tetapi hakikatnya ia seloroh pengarang itu kerana beliau berlalu pergi dengan wajah menyimpul senyum, manakala penulis memperoleh jawapan untuk kolum Bicara Pengarang yang diperkenalkan pada 2003 di laman Sastera, Berita Harian. Dua pertemuan dengan Allahyarham juga memadamkan segala tanda tanya mengenai kemarahannya kepada Gabungan Persatuan Penulis Muda Kelantan (Gema) ketika menjemput Arena Wati sebagai panel pembicara pada bengkel penulisan di Kota Bharu dan membenarkan kata-kata bahawa beliau manusia yang berpegang kepada janji.

Daripada tampangnya yang serius, sesiapa juga dapat menduga bahawa beliau tegas dalam pendirian dan langkahnya ke setiap majlis wacana di DBP dalam keadaan lengkap bersongkok dan bertongkat selagi tidak uzur, membuktikan kasihnya yang tidak bertepi kepada dunia sastera tanah air. Sesungguhnya Arena Wati tidak pernah menganggap dirinya berada pada kedudukan tinggi dan dalam kesibukan membaca beberapa bahan rujukan untuk menangani triloginya, ciri khas Allahyarham dalam dunia sastera Malaysia, beliau tetap mengikuti perkembangan generasi muda dalam dunia sastera.

Dalam pertemuan itu Allahyarham mengakui sesetengah pengarang muda mengatasi sasterawan tersohor dan menasihatkan mereka mementingkan ilmu dengan meluaskan bacaan dalam pelbagai bidang ilmu biarpun selepas tamat pengajian di universiti, bagi membolehkan karya mereka mendapat pengiktirafan selain tidak diperlekehkan. Tidak mungkin juga akan penulis lupakan kenyataan apabila ditanya perasaannya ketika dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Mastera 2003, “Saya bersyukur. Tidak terlalu gembira kerana nanti mati dalam kegembiraan. Anugerah ini satu lagi cabaran yang diletakkan di bahu dan saya junjung. Jangan beri anugerah hanya untuk melihat keris atau badik lama. Nama dan gambar disiarkan, tetapi karya apa pun tidak ada selepas itu. Nilai dulu yang kita capai, boleh dicapai anak muda sekarang.” Tidak keterlaluan untuk dikatakan iltizamnya dalam dunia sastera banyak dipengaruhi pengalaman selama sembilan tahun sebagai pelaut yang turut membuka keajaiban dunia ilmu dalam buku kepada Arena Wati atau nama sebenarnya, Muhammad Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan Andi Buyung, anak kelahiran Makasar, Indonesia. Kelebihan ilmu dalam karyanya juga yang turut memungkinkan Allahyarham dilantik sebagai Felo di Universiti Cornell, Amerika Syarikat; Universiti Leiden, Belanda; Universiti Kyoto, Jepun; Karyawan Tamu UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia penyelidik di Yayasan Sabah dan Penulis Tamu di DBP.

Godam: 'Hanya kerana RM300, muslihat naik pangkat'

Oleh Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my

PANGGILAN yang penulis terima daripada seorang mantan sarjana bahawa beliau dikenakan bayaran RM300 bagi membolehkannya membentangkan kertas kerja pada suatu seminar di salah sebuah universiti awam tersohor tanah air menyebabkan penulis tersentak.

Tersentak kerana dipelawa membentangkan kertas kerja, tetapi serentak itu dikenakan bayaran pula sedangkan selama ini setahu penulis dan sebahagian besar orang awam bahawa hanya peserta seminar yang akan dikenakan yuran penyertaan, tetapi tidak pembentang kertas kerja.

Nama pun khidmat mereka diperlukan bagi membentangkan kertas kerja dan sudah pasti serba sedikit kajian perlu dilakukan terlebih dulu sebelum mereka boleh memperkatakan sesuatu, lalu di mana logiknya jika mereka turut dikenakan bayaran.

Tambahan pula pada acara sedemikian rupa sememangnya berlaku perkongsian ilmu kerana sudah pasti pembentang kertas kerja jauh lebih arif dan berpengetahuan daripada orang yang dikongsi maklumat berbanding peserta sesuatu seminar.

Lalu perkara yang dibangkitkan teman ini penulis ajukan kepada seorang teman sarjana yang menyambut pertanyaan penulis dengan nada separuh menyindir: “Salbiah bayaran yang dikenakan untuk pembentangan kertas kerja adalah amalan biasa.

“Ia menjadi amalan universiti di mana sekalipun di dunia ini termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom kerana salah satu syarat untuk kenaikan pangkat dan merit pada peringkat universiti ialah melalui pembentangan kertas kerja, apalagi jika peluang diperoleh di luar negara!,” jelas teman sarjana ini.

Malah, penulis diberitahu sarjana di Indonesia yang ingin melihat tulisan mereka diterbitkan dalam jurnal antarabangsa negara itu juga perlu menjelaskan bayaran kepada penerbit dan penjelasan teman ini bahawa tulisan mereka yang disiarkan dalam Jurnal Melayu dibayar mengejutkan!

Jurnal Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang memuatkan tulisan akademik berhubung dunia Melayu diterbitkan empat kali setahun, antara terbitan akademik badan berkanun terbabit yang memberi ruang kepada sarjana seantero dunia untuk berkongsi hasil penelitian masing-masing.

Jurnal Melayu yang dilancarkan mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman, pada tahun terakhir sebelum persaraannya itu dan diterbitkan empat kali setahun, kini sudah digantikan dengan Malay Literature.

Begitu juga, Jurnal Bahasa dan Tenggara serta semua majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tiada yang meminta penulisnya membayar penerbit untuk melihat karya mereka diterbitkan, sebaliknya badan berkanun terbabit yang membayar penulis!

“Syarat yang sama juga diguna pakai oleh semua universiti di dunia kalau nak menulis untuk jurnal antarabangsa. Orang yang menulis perlu membayar dan khabarnya itulah strategi yang digunakan sebuah universiti dalam menaikkan penarafan mereka pada peringkat antarabangsa,” jelas teman ini.

Khabarnya universiti terbabit membayar sekitar RM30,000 untuk sebuah artikel yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa yang diiktiraf dalam bagi menyumbang kepada piawaian untuk kedudukan mereka dan ternyata strategi terbabit membantu dan terbukti berhasil.

Penulis diberitahu pendekatan bayar untuk membentangkan kertas kerja hanya dikecualikan untuk panel yang menerima jemputan khas dan pembentang ucap utama selain mereka menerima bayaran, mereka akan diberi penginapan dan tiket kapal terbang atas jemputan terbabit.

Begitulah daifnya dunia kesarjanaan dan rupa-rupanya selama ini penulis ‘tertipu’ apabila melihat seminar antarabangsa anjuran sebuah badan antarabangsa disertai sejumlah pembentang kertas kerja dari luar negara dengan sesetengah daripada mereka bermata biru, kelabu dan coklat cair.

Rupa-rupanya ada ‘kisah’ yang tersembunyi di sebalik kehadiran mereka, iaitu kedatangan mereka ditanggung penganjur seminar sehingga mereka dengan rela hati terbang di awan biru beribu-ribu kilometer kerana ilmu!

Anehnya apabila badan penganjur itu kekurangan dana dan tidak lagi menanggung kedatangan pembentang kertas kerja dari luar negara, tidak kelihatan lagi tokoh bahasa dan sastera Melayu di kalangan kulit putih hadir pada seminar antarabangsa.

Hal yang sama sudah lama berlaku di kalangan universiti awam yang menganjur seminar antarabangsa dan sejak akhir-akhir ini, bukan saja penyertaan tidak bersifat sejagat tetapi juga pembentangan sehingga pemilihan perkataan antarabangsa menimbulkan tanda tanya!

Lalu penulis berhujah dengan teman ini bahawa perkongsian ilmu yang sepatutnya menjadi matlamat utama dalam sesuatu seminar sebenarnya adalah alasan kedua kerana hakikatnya habuan kenaikan pangkat yang mahu diperoleh.

“Perkongsian ilmu dalam dunia kesarjanaan hanya boleh dikongsi dengan manusia hebat seperti mereka. Sama juga seperti bidang lain dan ia tidak mungkin boleh dikongsi dengan masyarakat biasa kerana bukan bidang mereka dan tidak mungkin menarik minat atau difahami kelompok terbabit.”

Masih tidak berpuas hati dengan hujah teman itu, penulis katakan ciri kenaikan pangkat pada masa ini yang berasaskan pembentangan kertas kerja pada seminar dalam apalagi luar negara dan penerbitan tulisan dalam jurnal akademik antarabangsa memungkinkan wujudnya unsur kroni.

“Betul kriteria kenaikan pangkat sedia ada membolehkan berlakunya kenaikan pangkat yang dirancang antara pembentang kertas kerja dan kroni mereka baik dalam universiti yang sama atau universiti luar.”

Justeru, teman ini mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi bukan saja memberi markah kepada jumlah pembentangan kertas kerja, penghasilan buku akademik dan esei yang diterbitkan dalam terbitan yang tersenarai dalam International Scientific Index (ISI).

Sebaliknya, memberi peratusan markah lebih tinggi kepada sarjana yang memberi sumbangan kepada masyarakat awam selaku pembayar cukai sebagai ciri paling utama bagi kenaikan pangkat kerana ia lebih berpijak di bumi nyata dan lebih ramai mendapat manfaat serta tidak bersikap mendewa-dewakan yang asing!

iDAN:

Apa jua bidang malahan bahan ilmiah juga jika telah diperdagangkan atau berharapkan mendapat laba dari bakti yang lebih berupa amalan jihat disilapgunakan maka ianya menjadi tambah mahal & sampai satyu ketika akan menjadi jumud bila tiada lagi berkat atau perhitungan Ilahi.

30 Julai 2011

NILAI ILMU



Ilmu yang ada jangan diperdagangkan
ianya adalah anugerah dari Nan Esa
sekadar dimiliki sementara.

Adalah lebih baik diperkembangkan
sebagai sedekah insyaAllah janji Allah SWT
jika awak berikan ilmu yang ada tanpa berkira
ianya akan bercambah malahan akan diberikan tunas baru.

Sementelah sehebat mana pun ilmu di dada:

"Celuplah jari kelingking ke dalam lautan dan angkat jari tersebut.
Air yang ada pada jari tu adalah himpunan ilmu para manusia (ilmu dunia)
yang sebesar-besar laut itu lah ilmu Allah SWT."

Rasulullah tak pernah kaya biarpun ilmunya amat gah
berbanding kita asyik bangga akan status yag ada
seyogia bersandar ilmu sedikit egonya melangit.

:Tiada si kaya tiada zakatnya, si miskin jangan abaikan.

iDANRADZi Desa Tualang Perak.

15 Julai 2011

SePi CERI


Bila kubuka periuk rasa
ada peria & cuka di dalamnya
Bila kubuka kuali hati
ada cili & bara di dalamnya.

Bagaimana aku mahu memasak harapanmu
jika pisau di tangan telah melukai jari naluri
bagaimana aku mahu menjamu juadah buatmu
jika semua aroma terasa basi di bibir sepimu.

☼ Hari ini kita berjalan jauh dengan arah masing-masing
☼ kau tak pernah mahu singgah di hentian rehat
☼ atau berbual waima aku jadi mengantuk hingga mahu terbabas
☼ tanpa sedarmu aku masih bagai dulu asyik kemaruk kenangan lalu
☼ bagaimana kita berbulan madu di bawah rumpun ceri desaku
♥ & aku amat lena tertidur di ribaan kasihmu.

:aku buka pintu hati & makin sesat dengan cinta-Mu.

iDANRADZi
Desa Tualang Perak.