iDAN

14 September 2009

Khasiat Buah Mengkudu (Delima Merkah)

Dari Situs Ibu Kesuma


Buah mengkudu juga dikenali dengan pelbagai nama mengikut negara. Contohnya "Noni" (Hawaii, Polynesia); "Nono" (Tahiti); "Lada" (Guam); "Indian Mulberry" (India); "Painkiller tree" (Kepulauan Caribbean); "Nhau" (Sebahagian di Asia Tenggara); "Cheesefruit" (Australia); "Bumbo" (Afrika) dan ""Kura" (Fiji).

Mengkudu merupakan sejenis tumbuhan yang biasa di jumpai dikawasan tropika. Mengkudu, secara amnya boleh dikategorikan kepada dua jenis yang biasa dilihat iaitu mengkudu kecil dan mengkudu besar. Ia juga boleh dikategorikan kepada berbiji dan tidak berbiji namun yang tidak berbiji agak sukar ditemui.Di barat mengkudu dipanggil queen of morinda, ia juga di panggil cheese fruit kerana baunya yang menyerupai bau keju setelah masak. Ada yang mengatakan bau buah mengkudu masak menyerupai bau muntah.

Mengkudu termasuk dalam golongan pokok saka dan boleh mencapai ketinggian antara 15-20 kaki.Kayunya mudah dibelah setelah kering dan biasa dijadikan kayu api atau bahan bakar.Daunnya besar berukuran 15-50 x 5-17 cm dan berbentuk tunggal.

Pucuk mudanya biasa dijadikan sayuran atau ulaman.Ia kaya dengan vitamin A.Bunganya pula kecil-kecil berwarna putih dan berbau agak wangi. Bunganya mempunyai dua jantina iaitu jantan dan betina.Buahnya bulat sebesar telur ayam, permukaannya agak berkerutu.

Ketika muda buahnya berwarna hijau dan akan bertukar menjadi kuning apabila masak. Mengkudu membiak melalui keratan batang dan biji benih. Bijinya berwarna hitam dan boleh bertahan selama 6 bulan.Ia akan bercambah setelah 3-9 minggu disemai.Ia akan mula mengeluarkan buah setelah lebih kurang 3 tahun ditanam dan akan mengeluarkan buah sepanjang tahun selama lebih dari 25 tahun.Noni mula di komersialkan di Hawaii pada tahun 1993 setelah para saintis membuat kajian mengenai khasiat perubatannya.

Mengkudu mula digunakan sebagai ubatan dikepulauan pasifik selatan, kemudian di China dan India.Mengkudu digunakan dalam perang dunia kedua oleh tentera yang berada di kepulauan Polenisia untuk mengelakkan keletihan dan menguatkan badan.

Dikepulauan carribean mengkudu dikenali sebagai 'pain killer tree' dan ia digunakan untuk meredakan kesakitan akibat demam, bengkak dan terseliuh.

Di Myanmar pula, buah yang masih mudah dijadikan gulai manakala yang telah masak dimakan bersama garam.

Di malaysia mengkudu biasanya dijadikan penawar untuk gangguan semasa kencing tidak lawas), senggugut dan pendarahan. Daun mengkudu juga biasa dijadikan campuran mandian untuk perempuan selepas bersalin untuk memulihkan kecergasan badan. Daunnya biasa dijadikan alas batu tungku, dikatakan dapat membantu mengeluarkan darah nifas selepas bersalin.

Kajian yang dilakukan oleh seorang ahli botani yang terkenal iaitu Dr Isabella abbof mendapati mengkudu mempunyai khasiat untuk mencegah diabetes dan penyakit barah serta tekanan darah tinggi.

Sementara itu seorang ahli kimia , Dr. Joseph Bafz pula mendapati mengkudu dapat mencegah dan melegakan asma, hay fever dan rheumatis.

Pengambilan jus mengkudu juga boleh mencegah penyakit yang disebabkan oleh kekurangan hormon seperti nyanyuk dan juga melambatkan proses penuaan.

Cara penggunaan asas buah mengkudu ialah dengan cara mengisar buahnya menjadi jus (untuk di minum) untuk kegunaan luaran pula, buahnya akan disapu pada bahagian yang terlibat.60 % dari kandungan jus mengkudu terdiri dari air menyebabkan ia selamat diminum pada bila-bila masa.

Walaupun begitu, mengkudu akan merendahkan kandungan glukosa dalam darah, untuk pesakit diabetes yang mengambil insulin, kandungan glukosa dalam darah perlu dipantau selalu kerana jika kandungan gula dalam darah terlalu rendah ia akan mengakibatkan hipoglisomia yang akan menyebabkan pesakit berada dalam keadaan khayal yang memerbahayakan.

Gambir Sarawak kaya khasiat (Delima Merkah)

Biasanya pelancong dari luar yang berkunjung ke Kuching, Sarawak hanya membayangkan khasiat dari segi seks, apabila melihat gambir dijual di kaki lima di Main Bazaar atau Tebingan Sungai Serawak di Bandaraya Kuching.

Namun khasiat Gambir Sarawak, lebih daripada apa yang difikirkan mereka yang mementingkan seks semata-mata, malah turut menjadi pilihan untuk kegunaan lain seperti sakit gigi, ulser dan menurunkan tekanan darah.

Gambir atau nama saintifiknya 'uncaria gambier' biasa ditemui di hutan kebanyakan negara khasnya di kawasan hutan di Nusantara, India dan China. Tumbuhan manjalar itu mempunyai daun berbentuk lebar, manakala bunganya kuning. Kandungan utama herba itu ialah tannin yang mempunyai astrigen.

Wujud rekod yang membuktikan gambir digunakan sejak zaman dulu sebagai penawar bisa gigitan ular dan sebagai krim untuk menyembuh kesan kebakaran pada kulit.

Di kalangan masyarakat Cina purba, tumbuhan itu turut digunakan untuk melegakan sakit tekak dan ulser, selain membuang angin dalam badan.

Bagi penduduk kepulauan Nusantara, ia dimakan bersama pinang dan sirih kerana herba itu dikatakan memberi kesan mengkhayalkan.

Di Sarawak pula, herba itu mungkin satu daripada herba utama yang dijual dan dihasilkan di situ kerana ada jalan yang dikenali sebagai Jalan Gambier di tengah-tengah Bandaraya Kuching.

Sebenarnya gambir adalah satu daripada tujuh spesies daripada keluarga tumbuhan Uncaria yang ada di Sarawak.

Di negara lain pula, wujud beberapa spesies lagi dari keluarga Uncaria yang mempunyai kandungan serupa dengan gambir tempatan.

Kajian di China mendapati, tumbuhan 'uncaria ramulus' misalnya mampu melegakan otot tegang, melebarkan pembuluh darah, menurunkan tekanan darah, merawat hipertensi dan pening kepala dan merawat sawan.

Namun penggunaan berlebihan tumbuhan itu dikatakan memberi kesan sampingan termasuk cirit-birit, kerosakan buah pinggang, mual, bengkak kaki, sakit perut dan pedih ulu hati.

Penyelidikan di Institut Sains Perubatan China, Taiwan pula mendapati Uncaria rhynchophylla pula mendapati ekstraknya mampu melegakan kekejangan dan sawan.

Namun di Sarawak, gambir pula dipercayai mempunyai kehebatan lain kerana ia digambarkan mampu 'memperkasakan' lelaki ketika hubungan kelamin walaupun tiada ujian klinikal bagi membuktikan khasiat berkenaan.

Lazimnya batang gambir dikerat bagi mengeluarkan getahnya yang kemudian dikeringkan sebelum dipotong dalam bentuk kepingan kecil.

Untuk menggunakannya, pengamal terutama lelaki perlu mencampurkan kepingan herba itu dengan air bagi membolehkannya disapu pada bahagian kemaluan lelaki.

Sehubungan itu, Sarawak khasnya Kuching kini kian sinonim dengan 'Gambir Sarawak' malah terdapat pelawat yang sanggup datang ke negeri ini semata-mata hendak mendapatkan bekalannya.

Cecair gambir dalam botol kecil dan kepingan gambir yang bersaiz kira-kira sebesar batang mancis dijual pada harga RM10.

Sejak empat tahun lalu, penjualan gambir dalam bentuk kepingan kecil dan cecair memang perkara biasa terutama di sekitar Tebingan Sungai Sarawak dan Jalan Main Bazaar di Kuching.

Pada masa sama, kepingan gambir juga boleh diperoleh di kedai perubatan tradisional Cina yang di bandar utama di Sarawak.

Sejajar dengan perkembangan teknologi, gambir Sarawak juga dipromosi dan diiklan secara meluas di internet walaupun jarang kelihatan di media arus perdana.

Ahli botani dan ekologi tempatan, Dr Paul Chai berkata, cuma gambir Sarawak dikaitkan dengan khasiat berkenaan kerana di kawasan lain termasuk di Semenanjung, tumbuhan itu hanya untuk tujuan perubatan.

Penulis buku Medicinal Plants of Sarawak itu, berkata penggunaan gambir sebagai 'ubat kuat' lelaki hanya satu daripada kegunaan tumbuhan itu di kalangan pelbagai suku kaum di Sarawak.

Di kalangan suku Iban dan Melanau misalnya, gambir dikenali sebagai akar kelawit dan ia digunakan sebagai penawar gigitan ular dan kesan sampingan akibat termakan cendawan beracun.

Bagi masyarakat Melayu di Sarawak pula katanya, gambir sering digunakan untuk menahan sakit terutama sakit gigi.

Beliau tidak menafikan Gambir Sarawak mungkin spesies yang berbeza dengan kawasan lain memandangkan hutannya antara hutan tropika yang tertua di dunia.

Sehubungan itu, beliau berpendapat khasiat gambir perlu dikaji secara saintifik kerana ternyata ia mmepunyai potensi komersial dan farmaseutikal.

"Kajian mendalam mengenai khasiat dan kesan sampingan herba itu perlu diusahakan bagi memastikan ia tidak memudaratkan terutama jika digunakan secara berlebihan," katanya yang juga bertugas sebagai perunding Pertubuhan Kayu Kayan Antarabangsa (ITTO).

iDAN: Dah dekat sebulan gigi geraham ini meraam, sakitlah amat. Kalau ada gambir sarawak mesti boleh cuba sebagai penawar. Kena cari juga ni.