iDAN

10 Jun 2009

Suami isteri mati krisis rumah tangga (Ceritera & Delima Merkah)



KUALA LUMPUR: Punca kematian sepasang suami isteri yang ditemui dalam sebuah unit kediaman di Kondominium Idaman Sutera, Setapak, di sini, kelmarin akhirnya terjawab sejurus laporan patologi dikeluarkan semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, menjelaskan tragedi itu dipercayai berpunca krisis rumah tangga yang dialami mereka.

“Hasil bedah siasat, pihak patologi bagaimanapun belum dapat mengesahkan sebab kematian si lelaki dan akan membuat beberapa ujian lanjut.

“Bagaimanapun, kecederaan pada tangan si mati disebabkan olehnya sendiri manakala si mati wanita cedera di tangan dipercayai akibat mempertahankan diri daripada serangan menggunakan objek tajam,” katanya.

Zakaria menjelaskan setakat ini polis percaya ia kes bunuh dan membunuh diri dipercayai berpunca masalah rumah tangga.

Si suami dipercayai membunuh isterinya sebelum membunuh diri dan kes dianggap selesai berikutan kedua-dua pihak yang terbabit ditemui mati, namun siasatan diteruskan dan mengklasifikasikan laporan kematian mengejut.

Harian Metro

iDAN:

Malam tadi aku mimpikan Arwah Nasha lagi, mungkinkah rohnya amat gusar di sana. Dia dalam kelaparan tapi tidak pula menunjukkan padaku akan kelaparannya. Rasanya kami berada di satu pesta. Apabila aku mempelawanya untuk makan di buah gerai perbagai yang dipesannya.

"Aku laparlah iDAN, tapi aku segan nak cakap dengan kau!.."

"Isk! dengan aku janganlah kau berkira sangat!" Sikap merendah diri & menyimpan perasaannya masih kekal di dirinya.

Semua tahu kisah trajis Arwah Nasha tapi tidaklah dia sekejam ceritera di akhbar ini. Dia sanggup mengorbankan nyawanya lantaran dia tahu isteri & anak-anaknya akan tetap boleh survival meneruskan hidup mereka. Dia telah sediakan segalanya. Rumah & duit pencennya jika berjimat keluarganya boleh hidup dalam sederhana.

Dia pernah mengadu padaku yang isterinya telah mendapat gaji yang lumayan; maka dengan pengalaman kerja yang ada, bukan satu yang membebankan jika isterinya berkerja sambil membesarkan anak-anaknya. Tetapi takdirnya isterinya ke arah lain. Bernikah lagi dengan suami orang. Kini dengar khabar anaknya makin bertambah. Maka anaknya terpaksa berhenti sekolah & anaknya yang sulung telah berkerja di fakulti; bekas tempat aku berkerja.

Krisis rumahtangga sememangnya banyak menjadi punca kehidupan ini amat deritanya. Maka itu seharusnya ada yang membantu keluarga yang berkrisis. Jika di jiwa setiap pasangan punyai keimaman yang kukuh pasti tidak sampai bunuh membunuh atau mencari jalan salah; sesat. Yang tambah rumitnya keujudan orang ketiga, tak kira keluarga atau rakan, kekasih baru atau perosak rumahtangga yang sering menangguk di air keruh atau pun tambah memecah belahkan keluarga yang bermasalah. Orang ketiga ini sebenarnya lebih bertanggungjawab & menanggung dosa jika pasangan tersebut mencari jalan salah lantaran hasutan atau campur tangan dalam krisis tersebut. Sebab jelas di dalam agama kita; kita juga terpaksa menanggung dosa subahat. Seperti berdosanya jika sama-sama menjual arak, membawa, membuat atau apa saja yang membuatkan arak itu berluasa jualannya.

Maka itu jika kita sebagai rakan yang tahu rumahtangga rakan kita dalam krisis, dalam bermasalah; berilah nasihat baik yang dapat mendamaikan mereka bukan memberi nasihat kalut atau batu api nan memarakkan api yang sedia ada. Jika tak pandai memberi nasihat baik jangan campur tangan; doakan dari jauh agar Allah Azzawajalla akan mencarikan jalan yang akan mengembalikan kebahagiaan mereka.

Serang di lokasi (Hiburan)



Oleh Muhd Izawan Baharin, Abdullah Wahab dan Elrafaei Sapi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Ini serangan terancang bertujuan mahu mengaibkan saya,” kata pelakon Haleeda menceritakan insiden serangan dan pergaduhan ketika penggambaran drama bersiri di sebuah rumah di Bukit Jelutong, Shah Alam, Jumaat lalu.

Haleeda atau nama sebenarnya, Halida Mazlin Badaruddin, 37, menjelaskan kejadian jam 10 malam itu berpunca daripada salah faham dan cemburu buta, namun bertukar serius dan bertambah teruk apabila ada pihak tertentu masuk campur.

“Kejadian mungkin berlaku kerana saya meminjam kereta milik seorang pelakon lelaki berikutan kereta saya dihantar ke bengkel, tetapi saya rasa perkara itu (meminjamkan kereta) tidak diketahui isterinya.

“Apabila isterinya mengetahuinya, dia terus menyerbu ke lokasi (penggambaran) malah menghubungi pihak media untuk datang sekali merakamkan kejadian,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran siri Kecuali Cintamu di Seri Kembangan di sini, semalam.

Menurutnya, ketika isterinya tiba, pelakon lelaki itu turut di lokasi penggambaran menyebabkan kekecohan berlaku, malah disebabkan campur tangan pihak lain, pelakon itu dipukul.

“Saya memang terkejut kerana perkara sedemikian berlaku sedangkan masalah ini boleh diselesaikan melalui perbincangan, tambahan pula saya kenal isteri pelakon itu dan dia juga kenal saya.

“Dalam kekecohan itu, pelakon berkenaan menampar isterinya dan saya rasa ia perbuatan yang wajar kerana tindakannya (isteri) tidak berfikir panjang itu bukan saja mengganggu penggambaran, malah mendatangkan aib kepada suaminya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, sejurus kejadian berkenaan.

Haleeda berkata, disebabkan insiden berkenaan, penggambaran drama itu terpaksa ditangguhkan menyebabkan ia memberi kesan kepada banyak pihak.

“Saya anggap tindakannya (isteri pelakon) tidak bermaruah dan tidak menggunakan akal kerana perkara remeh yang boleh dibincangkan, diperbesarkan semata-mata mahu memalukan saya.

“Sekarang kejadian itu tempias kepada dia pula kerana saya dengar dia menyesal dan meminta maaf kepada suaminya selepas sedar digunakan pihak lain,” katanya.

Ditanya mengenai seorang lelaki bergelar Datuk yang turut terbabit dalam insiden itu, Haleeda berkata, dia tidak mahu mengulas kerana kejadian itu dalam siasatan polis.

Bagaimanapun, dramatis itu menjelaskan, individu bergelar Datuk itu mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

“Biarlah polis menjalankan siasatan mengenai kejadian itu, tetapi apabila disiarkan di televisyen dan ditonton orang ramai, wujud pelbagai persepsi negatif terutama terhadap saya,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjayanya, Haleeda berkata, dia menerima beberapa tawaran berlakon selain drama Kecuali Cintamu yang sedang dalam proses pembikinan, tetapi dia mahu memberi fokus terhadap penggambaran drama itu kerana ia mengambil masa panjang.

“Disebabkan berlaku pula perkara sampingan seperti ini, saya jadi letih fizikal serta mental dan mahu berehat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan M Chandra yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung serangan dan pergaduhan itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Harian Metro

Tiada cinta

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my



AMPANG: “Saya dengan Haleeda hanya rakan sekerja, tidak lebih daripada itu,” kata pelakon Shah Hassan mengenai status hubungannya dengan penyanyi dan pelakon wanita berkenaan selepas insiden serangan dan pergaduhan ketika penggambaran drama bersiri minggu lalu.

Malah katanya, niat meminjamkan kereta kepada Haleeda adalah atas dasar membantu kawan.

“Saya membantu seorang kawan yang saya percaya, tetapi saya tidak sangka ia mengundang perkara buruk sehingga mengaibkan ramai pihak,” katanya dalam pertemuan dengan Harian Metro semalam.

Shah, 37, juga mendakwa Haleeda dan isterinya saling mengenali antara satu sama lain dan soal cemburu tidak sepatutnya timbul.

“Punca kejadian itu disebabkan cemburu buta dan tidak puas hati seorang individu bergelar Datuk,” katanya.

Beliau mendakwa disebabkan perasaan itu, isterinya terpedaya selepas dihasut sehingga menyebabkan berlaku serangan dan pergaduhan.

“Sebenarnya perkara ini dapat diselesaikan dengan berunding, tetapi disebabkan campur tangan Datuk terbabit terjadi perkara memalukan itu,” katanya.

Akhbar ini Rabu lalu melaporkan Haleeda atau nama sebenarnya, Halida Mazlin Badaruddin, 37, mendakwa meminjam kereta Shah berikutan keretanya dihantar ke bengkel dan perkara itu tidak diketahui isteri pelakon lelaki itu.

Bagaimanapun, isteri Shah menyerbu lokasi apabila mengetahui perkara itu dan mendakwa ia berikutan hasutan pihak tertentu dan dirancang untuk mengaibkannya.

Kejadian terbabit menyebabkan penggambaran drama bersiri Kecuali Cintamu itu terpaksa ditangguhkan menyebabkan ia memberi kesan kepada banyak pihak.

Berikutan kejadian serangan itu, Haleeda dan Shah membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong selepas kejadian terbabit.

Sementara itu Shah berkata, beliau tidak mahu memanjangkan lagi isu berkenaan sebab membabitkan maruah keluarga dan maruah seorang kawan.

“Jadi di peringkat keluarga, biarlah saya sendiri selesaikan manakala mengenai insiden serangan serta pergaduhan itu, saya serahkan kepada polis untuk menyiasat,” katanya.

Shah bagaimanapun menghargai sikap berkecuali produksi Kecuali Cintamu yang memahami keadaan.

“Saya harap cukuplah isu ini dihentikan di sini saja,” katanya.