iDAN

03 Disember 2009

Dari Mana Datangnya Manusia (Singgahsana)

Logo Desa Sri Jenaris

"Nak buat apa beli rumah dalam hutan ini, jual balik carilah rumah yang dekat sikit dengan bandar!" aku dengar tak dengar sahaja ibu Mila bising. Ingatkan dia suka melihat menantunya beli rumah untuk anaknya berteduh. Emmm! kalau aku ada duit memang nak beli bangunan atas pejabat Mila. Agar senang Mila berulang kerja. Aku memang tak mampu, rumah teres kecil ini sahaja yang mampu aku beli. Itu pun aku buat dua nama, telah korek semua duit simpan & duit KWSP.

Darah mudaku tersirap juga, baik aku ambil angin Jenaris di luar. Bersama sigarku; Aku lihat kereta Mila telah mula berkabus. Jam baru sekitar 8:00 malam. Memang udara di Jenaris nyaman amat. Suasana sunyi amat; tak nampak pun kereta sesak lalu lintas. Aku menyukai suasana kampung, maka itu aku teruja tinggal di Jenaris, nama sebenarnya Desa Sri Jenaris. Masih rasa suasana desa; kelilingnya masih tidak dibangunkan; sekadar ladang getah, hutan, masih terdapat jeram & air terjun. Bab mertua komplen ini; Teringat aku akan Dr Thomas yang rapat denganku, dia pernah mengadu padaku, Mak Mertuanya datang rumah membebel rumah yang dibeli kecil banding harganya terutama dapur katanya kecil amat; dia beli rumah ratusan ribu RM di Bukit Belimbing, Seri Kembangan. Memang dapurnya tak seluas mana!.

"Saya rasa iDAN, mahu campak sahaja dia punya beg keluar rumah!" aku tahan gelak sahaja, dunia kehidupan seorang doktor pun begitu juga.

"Saya beli rumah itu sekitar RM200 ribu, memang itu harganya yang saya mampu... ini bukan kampung!... mana boleh samakan dapurnya!"

Aku dapat pujuk dua rakanku sekerja membeli rumah di sini, mahu ke ofis UPM sekitar 30 minit, ke pekan Kajang sekitar 10 minit. Selang beberapa tahun aku dapat pujuk dua lagi rakanku tinggal di sini. Menjadi kami berlima sefakulti tinggal di sini.

Semua itu ceritera kira-kira 20 tahun lalu; sekarang ini Jenaris telah menjadi bagaikan sebuah bandar. Jalan depan rumah sudah bagai jalan raya besar, aku lemas & sering bersungut nak keluar rumah pun tak bebas ada sahaja kereta atau motosikal yang mahu melintas. Giant, Kamdar, Kolej Komuniti & pelbagai kedai telah sarat di sini, selang sekilometer telah ada TESCO, ke UPM telah ada lebuh raya 20 minit sahaja, ke KL sekitar 30 minit sahaja, enam lorong lebuh rayanya, tiga pergi & tiga balik. Banyak pilihan jalan rayanya. Kami telah tinggal di pusat bandaraya. Rumah ini dulunya RM40 ribu sekarang telah menjadi RM150 ribu. Itu harga kosong tidak dideko. Rumah seluas ini yang pegangan bebas bila-bila masa akan laku sekitar RM200 ribu jika telah ditambah belakangnya. Begitu cepat nilai harta tanah naiknya. Itu bedanya pegangan bebas & pajakan.

Sedihnya sekarang tinggal aku bertiga sahaja yang sefakulti tinggal di Jenaris, itu pun masing-masing bawa hal. Maklumlah dua rakanku itu telah jadi orang kaya raya, jenguk aku tanya khabar pun tak mahu. Payah kalau sudah jadi orang kaya ni!, sibuk memanjang!. Arwah Nasha gantung diri & Arwah Abg Din sakit serangan jantung baru bulan puasa lalu pergi meninggalkanku. Atan & Sahak ini aku tak pasti sejak jadi VVIP memang tak kenal aku lagi. Kalau aku tak SMS atau telefon taubat lahom tak tahu khabar mereka ini. Sesekali aku ke surau tak juga jumpa mereka ini; pelik!. Setahu aku Atan antara orang yang bertimang-timang dengan jemaah@kariah surau. Sahak rumahnya sebelah pagar Surau.

Surau Desa Sri Jenaris

Surau Jenaris kekinian telah boleh sembahyang Jumaat, pening tenguk dari mana datangnya manusia ini, tiap kali Jumaat melimpah sampai ke luar surau. Maka itu Hari Raya Haji baru ini aku sembahyang di masjid Penjara Kajang, sekitar 10 minit sahaja dari rumah ini demi mendapat keselesaan bersembahyang raya. Jangkanya aku mahu beraya di Meru entah kenapa Mila tetiba tukar fikiran mahu beraya di Jenaris. Meriah sembahyang di masjid Penjara Kajang. Siap ada jamuan raya selepas syolat. Raya Haji ini sekadar lemang & rendang juadahnya; masa Hari Raya Puasa tempoh hari siap pelbagai kuih-muihnya. Jemaah lelakinya sekadar separuh masjid, perempuan yang nampaknya semakin ramai!. Hampir penuhlah jemaahnya masjid Penjara Kajang.

Jika aku kelapangan aku suka ke Kamdar. Kamdar selalu buat tawaran harga, memang barangannya amat murah & berbaloi. Sepasang Baju Melayu sekitar RM50 telah tolak potongan; memang cantik jika potongannya 50%. Begini juga kain ela, selimut, cadar & barangan lain. Parkir pun percuma. Pilihan makanan pula banyak di sini. Ada makanan mamak 24 jam begitu juga Mc D yang baru dibuka. Jika mahu makan KFC & lain-lainnya kenalah ke TESCO. Afiz sampai sekarang masih berkerja sambilan di KFC. Malam-malam dia jadi juruwang di KFC.

Inilah namanya pembangunan sekitar 20 tahun telah padat; aku tak pasti apa akan jadi 20 tahun akan datang. Aku memanglah antara ada & tiada ketika itu nanti. Yang pasti jalan raya memang kena ditambah, tak mungkin kenderaan akan lancar kecuali kerajaan memikirkan LRT atau pengangkutan lain yang boleh melancarkan perjalanan.

Masjid Penjara Kajang