iDAN

26 Ogos 2009

PR di Malaysia tahun 2007 (Ceritera)

(Extracted from hansard dated 18-04-2007)

10.05 am

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Minta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyatakan tatacara dan bilangan terkini pemberian taraf penduduk tetap kepada warga asing mengikut agama dan negara. Bagaimana siasatan latar belakang terhadap pemohon dibuat dan keperluan mengemukakan pengesahan setaraf dengan Sijil Kelakuan Baik daripada negara asal pemohon.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri [Datuk Tan Chai Ho]: Tuan Yang di- Pertua, tatacara yang diguna pakai bagi pemberian taraf pemastautin tetap kepada orang asing yang mempunyai permit masuk yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan memiliki pasport antarabangsa negara asal.

Taraf ini juga diberikan kepada mereka yang lahir di Malaysia sebelum merdeka yang mana kedua-dua ibu bapanya bukan warganegara dan menetap di Malaysia. Mereka yang menggunakan sijil anak angkat di mana maklumat mengenai taraf ibu bapa kandung disahkan tidak diperoleh juga boleh diberikan taraf pemastautin tetap.

Sungguhpun begitu, taraf pemastautin tetap bukan hak kepada individu tetapi satu anugerah oleh Kerajaan Malaysia kepada orang asing. Kerajaan mempunyai garis panduan mengenai golongan yang biasanya dipertimbangkan taraf tersebut adalah seperti berikut:

(i) seseorang yang mempunyai kelulusan profesional atau kepakaran yang membolehkannya memberikan perkhidmatan profesional dan kepakarannya kepada negara ini tanpa menjejaskan kepentingan warganegara negara yang sedia ada;

(ii) seseorang yang kemasukannya memberi faedah ekonomi kepada negara ini;

(iii) isteri atau suami yang sah kepada warganegara yang telah tinggal bersama pasangannya di negara ini secara berterusan selama lima tahun atau lebih;

(iv) anak-anak kepada warganegara Malaysia berumur di bawah enam tahun; dan

(v) seseorang yang dibenarkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri masuk ke Malaysia atas dasar belas kasihan.

Sehingga kini seramai 377,842 orang asing telah diberikan taraf pemastautin tetap. Mereka terdiri daripada pelbagai negara seperti Indonesia, China, India, British, Thailand, Filipina, Singapura, Jepun dan lain-lain. Proses permohonan bagi mendapatkan taraf pemastautin tetap mengambil masa kerana setiap permohonan perlu diteliti, dikaji dan diperhalusi supaya setiap permohonan diproses secara adil dan saksama.

Pemohon akan ditemu duga oleh pegawai imigresen bagi mendapatkan maklumat dan menyoal siasat. Selain daripada itu tapisan keselamatan daripada pihak polis juga merupakan salah satu prosedur yang perlu diikuti oleh pemohon. Ia akan dijadikan asas dan alasan dalam pemberian taraf tersebut. Sekian, terima kasih.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya berkenaan dengan pemberian taraf penduduk tetap dan juga Sijil Kelakuan Baik. Semenjak tahun 1992, jumlah pendatang asing tanpa izin yang terlibat dalam kegiatan jenayah telah meningkat hampir tiga kali ganda dari 1,313 kes dalam tahun 1992 kepada 3,500 kes pada tahun 2004.

Dari tahun 2003 hingga 2005, lebih daripada 62% pendatang asing tanpa izin yang terlibat dalam kes jenayah adalah pendatang asing tanpa izin Indonesia. Sehingga Mac 2006, seramai 149,269 warga asing dari 10 buah negara iaitu Indonesia, Kemboja, India, Singapura, Filipina, China, Thailand, Brunei, Taiwan dan Britain telah diberi taraf sebagai penduduk tetap. Dalam angka itu, lebih kurang 95% warga asing dari 10 negara itu yang menjadi penduduk tetap adalah warga Indonesia.

Soalan saya ialah selain berdasarkan kepada latar belakang profesionnya, kelulusan akademik, pelaburannya, kepakarannya, banyak negara juga menerima seseorang itu menjadi warga penduduk tetap berdasarkan kepada pengesahan kelakuan baik daripada negara asalnya. Mengapakah ini tidak dilakukan di dalam negara kita? Berapa ramaikah penduduk tetap yang didapati bersalah di sisi undang-undang telah dilucutkan taraf penduduk tetap dan apakah mekanisme yang boleh digunakan oleh pihak kementerian untuk merujuk kepada institusi kehakiman ataupun agensi-agensi kerajaan yang lain tentang penduduk-penduduk tetap yang bersalah supaya tarafnya dilucutkan dan dirujuk kepada pihak imigresen untuk tindakan selanjutnya. Minta penjelasan.

Datuk Tan Chai Ho: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebelum warga asing diberikan taraf pemastautin sebagai penduduk tetap, latar belakang warga asing disiasat oleh pihak polis. Apabila kita dapat green light dengan izin iaitu di mana warga asing yang tidak terlibat dalam jenayah. Jadi kementerian ini barulah boleh timbangkan sama ada memberikan taraf pemastautin tetap kepada warga asing itu. Jadi, jika pihak polis tidak ada memberitahu kementerian ini yang katakan warga asing itu tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah. Jadi kita baru boleh setuju supaya PR boleh dibagi kepada warga asing itu. Jadi selepas itu, kalau warga asing yang mempunyai PR dan melakukan jenayah, jadi ini akan disiasat oleh pihak polis dan mereka akan menghadapi tindakan perundangan oleh pihak polis dan Menteri kementerian ini ada kuasa untuk menarik balik taraf PR itu. Setakat ini yang saya dapat tahu sudah 17 orang warga asing yang mempunyai taraf PR yang telah ditarik balik oleh kementerian ini.

situs

http://www.kelanajaya.com.my

Isu ini berbangkit Lantaran aku terbaca artikel di Blog Sdr Mazidul tentang kemasukan pendatang tanpa izin PATI yang begitu mudah ke negara kita. Ini kisah pendatang dari negara jiran kita Indonesia, bagaimana pula pendatang yang datang secara sah & Pemastautin Tetap (PR). Aku ada memberi respon tentang isu ini mungkin anda dapat lihat respon aku di situs Sdr Mazidul.

Jika mahu tahu betapa kerajaan kita memudahkan bukan PR di negara kita melabur di sini sila klik ke situs ini, ianya memerlukan ada punya Adobe Acrobat Reader sebab datanya di dalam PDF. Rasanya kita rakyat marhaen yang memang tak berwang & takut menyambut cabaran ekonomi negara akan terus terpinggir pun tercicir. Golongan PATI & PR ini akan terusan mengatasi ekonomi kita satu ketika nanti.

Itu yang berlaku kepada tanah pusakaku di Perak. Hingga kini masih tidak selesai, ianya jatuh ke tangan PR orang Indonesia, Hamidah namanya & suaminya orang cina (Apek) di sekitar Lawan Kuda Gopeng. Apek ini semasa aku mahu melihat tanah tersebut membela anjing & memakai seluar pendek.

Aku masih merisik adakah lantaran kerja Pejabat Tanah Kampar, atau pun ada warisku yang senyap-senyap mencuri geran kami yang hilang; menjualnya kepada si Hamidah ini. Isunya adalah ianya tanah pusaka Rizab Melayu yang dimiliki sejak tahun 1920an. Kenapa aku antara pewaris terdekat tidak tahu kedudukan sebenar tanah ini. Lima ekar lebih luasnya, masih banyak lagi geran tanah milik Arwah apak yang lesap masih dalam pencarianku. Seyogia ianya angkara pencerobohan Peti Besi Gajah rona hijau ketika dalam jagaan Arwah Opah Bi. Pun musibah adik beradik tak pernah mahu ambil tahu; keluarga tiri memang tak boleh diharapkan sangat dalam menjaga harta pusaka.

Kardio (Singgahsana)

"Tinggi glukos ni..." Dr Firdaus bersungut.

"Bagaimana sakit saya yang lain, apa keputusan ujian darah yang di ambil bulan sudah" Dr Firdaus mengklik komputernya, " Yang lain saya rasa okey!, kolestrol, darah baik, darah jahat... emmm! seimbang , glukos dalam tempoh tiga bulan 7.8 mmol/l agak tinggi kalau sudah 8.0 mmol/l itu sudah bahaya.."

Huh! memang susah untuk mengawal pengambilan gula. Dua minggu lalu bacaan glukos@gula cuma 5.4 mmol/l tadi naik ke 7.2 mmol/l. Padanlah sepanjang hari badan ini gatal semacam. Memang Dr Firdaus mengakuinya jika gula tinggi di badan mudah di serang sakit gatal-gatal.

Sebenarnya aku ketemu Dr Firdaus sebab dia adalah pakar jantung di Klinik Kardio Hospital Serdang. Dia memang mengajar di UPM, aku sendiri tak ingat nama anak Kak Senah yang telah pun bertugas di Hospital Ipoh. Pasti dia yang mengajar anak buahku ini. Dengan Kak Senah aku memang rapat dengan anaknya memang tak kenal sangat. Lima tahun dia di UPM aku sendiri tak pernah ketemu dia di UPM. Dia sendiri tak cari aku, aku lagilah segan nak cari dia sebab dia anak dara, pangkat anak saudara pun jumpanya pun sesekali sahaja.

Masih tak buat Ujian Stres jadi masalah jantung aku masih tak selesai. Bulan Disember nanti akan ada lagi temu janji. Aku pun tak tahu yang nak buat Ujian Stres itu kena pakai pakaian sukan, kena pakai kasut sukan. baru tadi aku perasan tertulis merah di kad perubatanku, nanti jika datang kena pakai pakaian sukan. Tak dapat aku bayangkan bagaimana seseorang itu menjalani Ujian Stres. Maknanya enam temujanji barulah dapat kata putus. Buat masa ini aku masih tertanya-tanya.

"Bukankah salah satu tanda sakit jantung, sesak nafas bila berada dalam gelap?... tak boleh rasa stres jika dalam keadaan gelap?.."

"Tak, itu mungkin perasaan sahaja.."

Doktor pasti arif dari ujian darah pasti dia tahu keadaan fizikal pesakitnya. Aku memang pernah sakit dada terlalu kuat, sampai berpeluh payah bernafas, nak tarik pun payah nak lepas pun payah, sakit amat. Kemudian dada sebelah kiri terasa bengkak. Aku baca risalah yang diedarkan memang itu petanda ada masalah jantung.

"Kadang-kadang kesan ubat yang kita makan pun jadi masalah begitu!" Kata Dr Firdaus.

Kata-katanya mengingatkan aku akan Dr Husni. Seorang Dr Muda di Klinik Husni Seri Serdang. Bila dia baca data di ujian darahku memang kesan ubat tertera di sana. Bila ada kesan sampingan ubat yang kita makan selalunya hati akan menjadi mangsa utamanya.

Memang payah mentafsir organ di dalam badan. Lalu aku terpaksa bertawakal & berdoa. Buat kata-kata Pak Cik dari Kuala Pilah berumur 65 tahun tadi.

"Mati... ajak maut itu kerja Tuhan, kita jangan putus asa, banyakkan berdoa & rajin-rajin solat berjemaah..."

Dia staf kerajaan & baru sahaja kena santau, itu yang katanya paru-parunya bermasalah. Dia tak ada masalah diabetes, darah tinggi pun terkawal. Doktor suruh dia datang ke pakar jantung sebab faktor umur, lagi pun baru-baru ini dia masuk wad sebab kena santau itu.

Hampir jam 1:00 tengah hari barulah aku pulang dari Klinik Kardio Hospital Serdang. Macam biasa sendirian ke sana sejak awal pagi lagi.

25 Ogos 2009

Dari Blog Mazidul 3 (Singgahsana)

iDAN berkata...

HUKUMAN ORANG YANG MINUM ARAK(KHAMAR) Dalam Kanun Jenayah Syar'iyah seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat dan tidak kurang dari empat puluh kali sebat, hukuman ini adalah berdalilkan hadis rasulullah saw yang diriwayatkan dari Ali Ibn Abi Talib ra:- Rasulullah saw telah menyebatkan orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saidina Abu bakar telah menyebat sebanyak empat puluh kali sebat juga, dan saidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw. Dan ini yang lebih aku sukai. - Riwayat Muslim. Itu yang kita baca di dunia maya. Memang sudah sampai masa semua mereka yang terlibat menjadi Majlis Fatwa Kebangsaan mendapat kata putus tentang hukuman peminum arak seantero Malaya. Seragamkan. Jika Ulama sendiri "bertelagah" tentang memberi hukum, kita rakyat marhaen pasti lebih keliru. Pun yang pasti kes Kartika Sari Dewi kini menjadi perhatian dunia betapa kita memang Negara Islam membuat langkah awal memerangi arak dengan hukuman sebat. Jangan sampai negara luar ketawa nanti jika budaya kehidupan kita berbeda, jika mereka ke kelab-kelab elit mereka ternampak bersepah anak muda bebas minum arak. Kes bergesel sengaja tak sengaja ini pun tak selesai. Terus ujud & tumbuh membiak. Aduhai! memang makin kita memikir semua ini makin terasa gerladangan amat moral kita kini. Kita subahat juga Sdr Mazidul terusan membiarkan kemungkaran ini... kan? Penat!

Selasa, 2009 Ogos 25 14:09:00 MYT

Padam
Blogger iDAN berkata...

Combi memang kita risau bila di luar sana perbagai kejadian yang tak terfikir oleh kita bebas berlaku. Di rumah anak remaja kita dapat kita tegur di luar sana masyarakat sudah tak ambil kisah. Itulah bahayanya jika kita hidup dalam masyarakat yang makin payah dikawal. Bayangkan jika remaja kita merantau di luar negara sana, negara yang bebas segala; hanya keimanan sahaja yang menentukan perjalanan hidup mereka. Kita hanya sekadar dapat berdoa sahaja. Semoga anak remaja kita dilindungan Allah Nan Esa.

Selasa, 2009 Ogos 25 14:19:00 MYT

Jika kita tenguk filem Melayu lama, pasti kita pernah terdengar perkataan ini "Hei! Dewata kau berikanlah rahmat pertunjukmu!" Lebih kurang begitulah, sejarah orang Melayu memang dulunya bukan baragama Islam. Islam dibawa oleh pedagang Arab atau India yang datang ke Tanah Melayu. Maka itu tidak hairan ketagih minum arak ini telah ujud sejak berzaman. Semasa aku kanak-kanak pun aku masih ingat bagaimana arwah Apak seorang peniaga kedai runcit menjual arak lantaran memang ada pelanggannya orang Cina, India atau Benggali yang membeli. Bukan perkara pelik orang kita Melayu pun ramai minum arak di zaman 50an & 60an ketika di memang kelab malam gila dengan joket lambaknya atau tarian mambonya. Malahan iklan arak pun terdengar dicorong radio Saluran India terutama yang botolnya ada gambar anjing bodoh itu. Kononnya arak itu jika diminum membuatkan seseorang itu kuat perkasa. Maka sering aku lihat anak muda kampungku berjalan terhuyung-hayang mabuk todi. Aku masa itu masih kanak-kanak bukan main seronok mengarak pemuda mabuk ini. Tenguk orang mabuk ini berjalan, kelakar gila. Tak terasa pun mabuk itu perkara pelik di kampung. Todi haram pun berluasa terdapat di estet-estet. Memang arak boleh dicapai di mana-mana. Seperkara lagi zaman 60an memang filem hindustan mendapat tempat di jiwa masyarakat Melayu kampungku. Jika kita perasan sering amat babak dalam filem hindustan bila wirawannya kecewa putus cinta pasti mabuk kecewa menonggeng dengan nyanyian terhuyung-hayangnya. Pengaruh atau ikutan filem hindustan ini pun satu hal. Kes Kartika Sari Dewi; Menurut rekod pada Januari lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman sama ke atas satu pasangan yang melakukan kesalahan sama tetapi kes model sambilan ini adalah kes bagi kali ketiga. Setiap kali hakim itu menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang sama, terdengar suara sumbang membantah akan keputusannya atas alasan yang pelbagai termasuk mencabuli jaminan perlembagaan.

Selain itu juga hukuman yang diberikan untuk menghindar orang lain daripada meminum arak yang jelas menjadi ibu kepada kesalahan. Apabila minum arak, ia akan menyebabkan seseorang itu hilang akal dan melakukan pelbagai kesalahan. Maklumat daripada Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip

Apa pun kembalilah kita kepada al-Quran dan Hadis. Biarlah Allah dan Rasul yang menjadi ikutan dan penentu kehidupan kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat mengenai arak, 10 golongan: yang memerahnya, minta diperahkannya, meminumnya, membawanya, minta dihantarnya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya, minta dibelikannya.” (Hadis riwayat Tarmidzi dan Ibn Majah)

Amat jelas apa yang disarankan oleh agama kita Islam tentang pegharaman arak. Maka itu tak seharusnya kita pandang ringan & ambil tindakan tak kisah dengan masalah arak ini. Bila hilang akal apa juga tindakan semenang menjadikan tindakan tidak berakal.

24 Ogos 2009

UBATAN HIJAU (Delima Merkah)

TAJUL ARIFIN HAJI PATA @ HAJI FATHAL

Penggunaan tumbuhan hijau sebagai ubat dalam masyarakat Melayu telah memakan zaman. Namun kita akui bahawa amalan dan tradisi asalnya telah banyak diperkaya oleh interaksi pelbagai budaya yang telah dialami oleh masyarakat kita. Sementara dari segi kaedah penggunaannya mungkin berbeza. Ubatan hijau merupakan ubat semulajadi yang berkesan dan telah digunakan beribu-ribu tahun untuk mengubati sebahagian besar penyakit.

Rawatan dengan penggunaan ubatan hijau adalah berbeza dengan penggunaan dadah ortodoks yang berkuasa. Sebab orang ramai mengambil perubatan tumbuh-tumbuhan yang lebih lembut dari mengguna dadah ortodoks sentiasa membawa risiko yang besar dan kesan sampingan. Dengan itu , minat orang ramai di dunia memilih ubatan hijau sebagai cara pemeliharaan kesihatan turut bertambah.

KUNYIT

Kunyit adalah antara tumbuhan yang memang diketahui khasiatnya. Nama saintifiknya adalah Curcuma longa ( C. domestika) dan berasal dari famili Zingiberaceae. Ia mudah dikenali kerana kunyit adalah herba berdaun lebar dan runcing di hujung serta berbatang pendek. Tinggi keseluruhannya boleh mencapai 1 meter. Daunnya berbau wangi apabila disiat atau diramas. Kunyit mempunyai rizom yang isinya berwarna oren. Herba ini boleh dibiak melalui rizom. Kunyit ditanam secara meluas sama ada di ladang atau secara kecil-kecilan di rumah . Isinya boleh dibeli di kedai runcit, pasar atau pasar raya dalam bentuk segar atau telah ditepungkan.

Ia boleh mengurangkan masalah sakit perut, boleh merangsang pengeluaran jus hempedu, antibakteria dan menahan bengkak. Selain itu, ibu kunyit dicampur dengan kapur dan disapukan pada leher untuk mengurangkan batuk.


LIDAH BUAYA

Nama saintifiknya adalah dan berasal dari famili Liliaceae . Herba ini mempunyai batang seperti pokok ubi keladi, dengan ketinggian nya mencapai 15 sm dan berdiameter di antara 1- 2 sm. Daunnya berwarna hijau, bertompok-tompok kelabu, berduri lembut di tepi daun dan mempunyai isi yang tebal dan berlendir. Ditanam di kawasan kampung dan taman sebagai hiasan dan kerana khasiat perubatannya. Dikenali juga sebagai tumbuhan yang sesuai untuk ditanam di dalam pasu. Kegunaannya untuk mengubati sakit mulut, sakit tekak, bahan dalam kosmetik dan melicinkan kulit muka. Lendir kuning daripada pangkal daun apabila dikeringkan digunakan sebagai pelawas untuk memudahkan membuang air besar. Jeli aloe vera dugunakan juga untuk mengelak atau merawat ulser.

LIDAH JIN

Nama saintifiknya adalah Sansevieria trifasciata dan berasal dari famili Liliaceae. Spesis ini mempunyai daun yang panjang, tebal dan runcing. Terdapat dua varieti Sanseivera yang lazim ditemui. Satu varieti berdaun kelabu berbelang hijau tua dan satu varieti lagi berdaun kelabu kekuningan dan berbelang hijau tua. Varieti kedua ini juga mempunyai jalur kuning di sekeliling tepi daunnya. Bunganya berwarna putih , berjambak dengan tangkai yang panjang dan tegak. Sansevieria merupakan tumbuhan hiasan yang mudah ditanam dan mudah hidup. Ia boleh tumbuh dengan baik di atas tanah atau di dalam pasu. Benihnya boleh didapati melalui belahan pokok , pemisahan anak , daun atau keratan daun. Kegunaannya sebagai ubat sakit telinga dan ubat gatal. Di samping itu, jusnya juga dipakai untuk di kepala untuk merangsang pertumbuhan rambut. Jusnya yang suam juga digunakan bagi mengubati sakit gigi.

NANAS

Nama saintifiknya adalah Ananas comosus, Merr. dan berasal dari famili Bromeliaceae. Tumbuhan ini berdaun tebal dan runcing seperti tombak dengan duri disekeliling helaian daun. Daunnya bersusun dalam bbentuk kembang ke atas. Batangnya pendek dan berbuah di hujung batang. Buahnya besar, lazimnya sebiji bagi satu pohon dengan kulit yang bercantum terus dengan isi. Isinya mempunyai rasa masam atau manis dan boleh dimakan. Rasanya enak tetapi jika dimakan mentah dan segar mungkin memberi sedikit rasa gatal atau sebal pada lidah. Nanas merupakan tumbuhan pertanian yang penting dan mudah didapati. Ia ditanam di ladang khusus atau sebagai tanaman sampingan di rumah atau kampung. Kegunaannya, jus nanas muda boleh digunakan sebagai pelawas kencing, ubat sakit puan dan pembunuh kutu. Jus daunnya untuk memberhentikan sendu dan merangsang pembuangan air besar. Buah nanas liar dikatakan lebih mengandungi asid dan lebih mujarab untuk melawaskan kencing dan membunuh kutu.

LALANG

Nama saintifiknya adalah Imperata cylindrica dan berasal dari famili Graminae. Lalang merupakan tumbuhan jenis rumput dengan ketinggian antara 1- 1.5 sm. Daunnya panjang , berwarna hijau dengan urat selari. Permukaan daunnya kesat, runcing di hujung dan tajam di tepinya. Bunganya berwarna putih, ringan dan berjambak. Akarnya pula mempunyai rizom yang tajam. Ia tumbuh meliar di kawasan terbuka yang terdedah pada cahaya matahari yang tinggi. Mudah merebak melalui rizom atau biji benihnya yang diterbangkan oleh angin. Kegunaannya untuk mengubati penyakit asma, batu karang, dijadikan tonik dan melawas kencing. Selain itu, rizomnya yang dikeringkan , direndamkan dalam air panas dan dijadikan minuman , seperti air the untuk demam. Abu bakaran lalang boleh digunakan sebagai ubat sengal-sengal tulang (reumatik).

LELIPAN

Nama saintifiknya Pedilanthus tithymaloides (L) Poit. var variegata dan berasal daripada famili Euphorbiaceae. Pokok jenis renek dengan ketinggian di antara 1-1.5 meter. Batangnya berbentuk zig-zag, lurus, agak lembut, licin dan berwarna hijau tua. Daunnya kecil dan tebal dalam susunan berselang, berbentuk bujur dan runcing di hujung serta mempunyai warna berbelang antara hijau muda, merah jambu dan putih. Bunganya pula berwarna merah dan keluar di pucuk. Ia ditanam sebagai tanaman hiasan di dalam pasu atau di tempat terbuka. Tumbuhan ini juga sering ditanam sebagai pokok pagar. Kegunaannya , akar pokok ini digunakan sebagai “emetik”. Manakala getah daripada batangnya yang hijau digunakan sebagai ubat “kutu belut” (kutil) atau ubat bisa sengatan lipan dan kala jengking.

LENGKUAS

Nama saintifiknya Alpinia galanga Sw. (Lengkuas galanga , Stuntz) dan berasal daripada famili Zingiberaceae. Herba keluarga halia ini tumbuh berumpun dan bersaiz agak besar. Daun dan pelepahnya berwarna hijau. Bunga dan buahnya bergugus di hujung batang. Bunga berwarna putih dan buahnya pula menjadi hijau apabila tua. Herba ini membiak melalui rizom yang agak besar.. Isi rizomnya berwarna kuning keputihan. Walaupun herba ini tumbuh meliar, tetapi mudah didapati kerana ia merupakan jenis halia yang sering ditanam oleh penduduk kampung. Rizomnya mudah didapati di pasar, terutama yang menjual sayur-sayuran kampung. Kegunaannya, tumbuhan ini masih meluas digunakan sebagai campuran masakan serta rempah ratus dan ubatan. Rizomnya digunakan bagi merawat penyakit berkaitan dengan penghadaman, cirit-birit dan sejuk di dalam badan. Digunakan juga bagi merawat demam yang berulang-ulang. Lengkuas digunakan dalam bentuk kapsul untuk menghilangkan mabuk laut atau mabuk perjalanan.

MELUR

Nama saintifiknya adalah Jasminum sambac, Ait. dan berasal daripada famili Oleceae. Jenis pokok renek yang mempunyai ketinggian di antara 1-2 meter. Batangnya agak lurus dan berwarna perang. Daunnya berwarna hijau , berbentuk bujur dengan ukuran sehingga 5 sm panjang dan 3 sm lebar. Bunganya berwarna putih, berbau wangi dan mungkin berlapis. Ditanam di kawasan kampung sebagai tanaman hiasan. Digemari oleh kaum India untuk mendapatkan bunga bagi upacara keagamaan.

Kegunaannya, batangnya dikeringkan dan dijadikan rokok untuk pesakit resdung . Bunganya disapu pada payu dara untuk menggalakkan pengeluaran susu bagi ibu yang menyusukan anak. Bunga yang diluluhkan bersama bunga Gardenia dan akar Acacia myriophylla digunakan untuk sakit kepala.Manakala jus bunga dicampur dengan rizom cekur untuk dibuat pencuci mata.

TONGKAT ALI

Nama saintifiknya Euricoma longifolia. Ia berjaya menarik perhatian ramai selepas pihak media melaporkan hasil penyelidikan tentang keberkesanannya sebagai penggalak syahwat yang meningkatkan fungsi seksual. Kajian menunjukkan ia mengandungi beberapa fitokimia yang meningkatkan paras testosteron iaitu hormon jantina yang diperlukan untuk fungsi seksual lelaki. Ia juga diperlukan di dalam perkembangan anggota seksual dan otak. Tongkat Ali bukan sahaja berfungsi sebagai tonik seks, tetapi dalam perubatan tradisional Tongkat Ali digunakan lebih meluas sebagai ubat sakit jantung, strok, kanser prostat dan lenguh otot dan sendi. Selain itu, ia juga digunakan sebagai ubat osteoporosis dan retak pangkal peha dan ubat untuk lemah ingatan dan kepupusan fungsi otak dalam Senile Dementia seperti penyakit Alzheimer di kalangan orang lanjut usia.

MEMPELAS

Nama saintifiknya adalah Tetracera indica dan berasal daripada famili Dilleniaceae. Mempelas adalah rumpai jenis menjalar dan memanjat. Batangnya berkayu dan mempunyai diameter sehingga 10 sm. Daunnya mempunyai bulu kasar dan lekuk yang amat jelas pada permukaan daun mengikut urat daun. Pucuk muda berwarna merah kehitaman dan daunnya bertukar menjadi hitam apabila tua. Bunganya berwarna putih dengan benang sari berwarna merah. Tumbuh meliar di kawasan semak dan terbuka. Sering di dapati di sekitar perkampungan, kebun kecil dan dusun.

Kegunaannya, akarnya direbus dan airnya diminum untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan suhu badan ketika diserang demam panas. Manakala daunnya pula dijadikan ubat pupuk bagi penyakit gatal kulit.

POKOK LETUP-LETUP

Nama saintifiknya Passiflora foetida. Lazim kelihatan di kawasan perkampungan khususnya di ladang getah atau kelapa sawit. Sejenis tumbuhan digunakan sebagai tumbuhan penutup bumi. Pemilihan tersebut mungkin berdasarkan tumbuhan ini senang tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi kerana ia sejenis tumbuhan liar. Kegunaannya untuk merawat gatal-gatal kulit Selain itu untuk merawat luka dengan menggunakan beberapa daun yang dilumatkan yang dipupuk pada bahagian luka. Mana kala untuk merawat batuk pula dengan merebuskan beberapa batang pokok letup-letup. Air rebuskan seluruh pokok tersebut hendaklah diminum airnya setelah ia suam.

PANDAN WANGI

Nama saintifiknya Pandanus odorxus, Ridl. dan berasal dari famili Pandanaceae. Pandan Wangi merupakan pokok jenis renek. Tumbuh dalam rumpun dengan ketinggian di antara 0.6 – 1.5 meter. Daunnya panjang dengan urat daun selari dan berbau wangi. Panjang daunnya sehingga 70 sm dan 5 sm lebar. Tumbuh di kawasan berpaya dan sekitar sungai. Menjadi tanaman sampingan dan hiasan di rumah atau kebun-kebun sayur di kampung. Kegunaannya , abunya boleh merawat penyakit campak. Daunnya yang segar digunakan untuk rambut dan menjadi bahan utama dalam penyediaan bunga rampai, terutama semasa majlis perkahwinan masyarakat Melayu.

PEGAGA EMBUN

Nama saintifiknya Hydrocotyle rotundifolia dan berasal dari famili Umbelliferae. Tumbuhan ini daripada jenis herba yang menjalar. Keseluruhan tumbuhan ini kelihatan seperti pegaga biasa. Ia mempunyai batang berwarna hijau , kelihatan agak lembut dan licin. Daunnya mempunyai tujuh cuping . Buahnya bergugus seperti buah kelulut tetapi berbulu lembut dan berwarna perang tua apabila masak. Tumbuhan liar di tepi sungai, tanah berpasir dan di kawasan lapang yang redup dan lembab. Kadang kala ia juga ditanam secara kecil-kecilan oleh penduduk kampung. Kegunaannya, pucuknya dijadikan ulam dipercayai boleh menurunkan tekanan darah tinggi. Akarnya ditumbuk dan airnya diminum untuk merawat darah tinggi dan pedih hati. Ia juga ditumbuk dan dijadikan satu daripada ramuan untuk membuat ubat batuk. Daunnya ditumbuk dan dibuat demah atau dipupuk untuk merawat sakit kulit di bawah kemaluan kanak-kanak.

SENDUDUK

Nama saintifiknya Melastoma malabathricum dan berasal dari famili Melastomaceae. Pokok renek, batang berwarna kemerahan dengan diameter di antara 5 – 10 sm dan ketinggiannya di antara 3 – 5 meter. Daunnya berbulu panjang dengan tangkai daun juga berwarna kemerahan . Bunganya berwarna unggu, manakala buahnya berwarna biru keunguan. Tumbuh di kawasan belukar dan kampung. Kegunaannya, akar pokok ini direbus bersama pokok ubatan lain sebagai ubat periuk bagi kegunaan wanita lepas bersalin. Ia juga digunakan untuk membasuh bagi pesakit gigi dan untuk tujuan melembutkan kaki serta membuang angin. Buahnya pula disapu pada luka kecil. Daun dan akarnya digiling dan ditabur pada kudis dan bintik-bintik cacar untuk menghilangkan parut. Daunnya juga digunakan untuk merawat cirit-birit dengan memakan pucuknya selain digunakan untuk merawat buasir. Manakala bagi merawat penyakit keputihan (Leukorea) , daun direbus bersama sedikit gula , Halia (Zingiber officinalis) dan Bonglai (Zingiber cassumunar).

TEMBAGA SUASA

Nama saintifiknya Crinum asiaticum, Linn
. dan berasal dari famili Amaryllidaceae. Sejenis herba yang mempunyai daun yang besar dan panjang sehingga hampir 2 meter seperti pandan. Batangnya agak besar dan berisi (tuber). Herba ini tumbuh di tepi pantai dan pedalaman Malaysia. Ia ditanam sebagai pokok hiasan dan ubatan , terutama oleh penduduk kampung. Kegunaannya, untuk membuang keracunan di dalam badan. Akarnya dikunyah untuk memaksa muntah dan juga dihancurkan sebagai ubat pupuk pada luka. Daunnya digunakan sebagai ubat pupuk secara sendiri atau dicampur dengan daun Gandarusa dan lada hitam atau belimbing dan cempaka hutan, untuk mengubati bengkak, sakit kepala dan demam. Selain daripada itu, daun yang dibubuh minyak kelapa dan dipanaskan , kemudian dibalutkan pada tempat bengkak, terseliuh atau salah urat, boleh mengurangkan kesakitan.

KESIMPULAN

Negara kita Malaysia, terkenal dengan limpahan alam flora yang tumbuh segar di hutan tropika. Tidak dapat dinafikan bahawa tumbuhan hijau mempunyai hubungan yang rapat dengan bidang perubatan dalam masyarakat Melayu. Ubatan Hijau jelas sekali sebagai satu sumber semulajadi untuk mendapatkan kelegaan dan kesembuhan dari penyakit. Masyarakat Melayu Islam misalnya, mempunyai kaedah yang begitu halus dalam menggunakan tumbuhan hijau sebagai ubat untuk merawat sesuatu penyakit. Khazanah perubatan lama yang diwarisi sejak zaman berzaman ini dirasakan begitu penting sekali selari dengan pentingnya perubatan moden di hari ini.

BIBLIOGRAFI

Abd. Rahman Md. Derus. 1998. Pengenalan Dan Penggunaan HERBA UBATAN. Penerbit Multi Triple Vision Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Ahmad Zamzam Mohamed. 5 Disember 1999. Keistimewaan Air Rebusan Pokok Letup-Letup. Mingguan Malaysia. Hal : 27

Azahari Ibrahim. 1997. Ubat-ubatan Tradisional Arab dan Melayu. Penawar 200 Jenis Penyakit. Darul Nu’man. Kuala Lumpur.

Johari Mohd. Saad, 30 Mei 1999, New Sunday Times.

Muhammad Zakaria dan Mustafa Ali Mohd. 1992. Tumbuhan dan Perubatan Tradisional. Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur

Majalah baru Zunar usik PM (Ceritera)

Jimadie Shah Othman
Ogos 24, 09
11:18am

kemaskini 1.36pm Kartunis politik terkenal Zulkiflee Anwar Haque akhirnya kembali bergelumang bersama dunia kreatif melalui majalah Gedung Kartun setelah meninggalkan organ PKR Suara Keadilan beberapa bulan lalu.

Berslogankan "majalah jenaka alternatif", terbitan sulung dwibulanan itu memaparkan gelagat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara (foto kiri).

Edisi awal September kini sudah berada di pasaran.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang kini lantang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut menyumbang rencana dalam Gedung Kartun.

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan" (foto kanan).

Edisi sulung ini menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta kontroversi ISA.

"Kita juga akan muatkan kartun istimewa karya Dr Farish A Noor," kata Zulkiflee atau lebih popular dikenali Zunar, tanpa mendedahkan karya pengamat politik itu.

Dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, kartunis terkemuka itu berazam menerokai pasaran genre berkenaan dengan tema "kartun alternatif" kerana, menurutnya, ia mempunyai pasaran yang besar.

"Ini yang pasaran mahukan. Kita lihat di Internet dan blog, banyak kartun berbentuk humor sebegitu.

"Ia bentuk yang orang suka, cuma tidak ada orang buat," katanya, yang bertindak sebagai ketua pengarang, yang terkenal dengan "kartun hidung besar" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya perbezaan menguruskan sebuah akhbar politik dan majalah kartun, Zunar berkata: "Tukar medium sahaja".

Menurutnya, idea menerbitkan majalah kartun dengan konsep sebegitu telah lama dirancang tetapi baru menjadi kenyataan kerana kesuntukan masa.

Dengan cetakan pertama sebanyak 10,000 naskhah, majalah tersebut akan berada di pasaran dua kali sebulan – pada 10 dan 20 hari bulan.

Majalah 68 halaman, terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd itu dijual di seluruh Malaysia dengan harga RM4 (Sabah dan Sarawak RM5).

Zunar, yang turut menyumbang karyanya kepada Malaysiakini, meninggalkan Suara Keadilan pada Mei lalu setelah empat tahun bertugas - dipercayai mangsa politik dalaman elit PKR.

MalaysiaKini

23 Ogos 2009

Peta Seantero Dunia (Singgahsana)

Aku baru sahaja cuba memasuki akaunku di Wikimapia, nampaknya semuanya dipadamkan. Yang menjadi masalah semakin hari semakin terlampau peranan Wikimapia untuk kita mencari lokasi tempat. Ada yang begitu rajin memadam semua lokasi, sampaikan payah kita mahu menemui, masjid, pasar & lain-lain lokasi penting.

Puncanya bukan apa ada kelompok di Wikimapia yang dikira bagaikan kata Cikgu Rashid bersikap "Beruk Berayam" Bunyi istilah ini memang agak buruk tetapi itulah kenyataannya.

"Cikgu apa maksudnya Beruk Berayam itu cikgu" Masa itu aku di bangku Darjah Lima sekolah di kampungku.

"Beruk kalau dapat ayam mesti dicabut-cabutnya bulu ayam sampai ayam tu togel, faham maksud saya?."

"Orang tak tahu untung, betul cikgu?"

"Lebih kurang begini, dapat sesuatu kuasa dia salah guna, dapat rezeki dia membazirkan.."

Memang makin togel Wikimapia. Sampai jika kita klik ke situs Melayu, kubur Mona Fendi yang aku tanda sejak lebih dari 3 tahun lalu telah hilang. Mesti ramai nak tahu di mana lokasi kubur Mona Fendi kan?.

Bilamana akaun seseorang itu telah dipadam semua yang ditandanya ikut terpadam. Puncanya golongan Beruk Berayam ini marah sangat seseorang itu menandakan tempat-tempat yang penting bagi dirinya, seperti rumahnya, rumah di kampungnya, rumah opahnya & mungkin gerai tempat dia selalu lepak. Semua lokasi peribadi ini terlarang di Wikimapia.

Kononnya golongan ini mahukan semua tempat yang tersohor sahaja, Saya pernah menulis ke empunya Wikimapia. Bagi mereka tidak menjadi masalah asalkan ditandakan secara betul & tidak ada perkataan porno, lucah atau tidak sopan disertakan. Akibatnya bila semua akaun yang tersalah menandakan lokasi peribadi tadi dicantas (banned) maka terikutlah terpadam lokasi masjid, pasar atau tanah perkuburan. Memang biasanya bila akaun seseorang dicantas semua lokasi yang beliau tandakan juga terpadam.

Apakah golongan Beruk Berayam ini mampu mencari semula lokasi penting ini. Apakah golongan Beruk Berayam ini mampu pusing satu dunia untuk mendapat maklumat sebenar sesuatu tempat yang selalu berubah. Maka makin payah untuk kita mencari maklumat terperinci dengan Wikimapia oleh kerana ujudnya penggodam ini.

Seperkara lagi, biasanya akaun dari mereka yang pernah menandakan lokasi terlarang ini bagi golongan Beruk Berayam ini sentiasa dipantau. Jika akaun menggunakan Bunga, mahu didaftar Bunga1 pun tak boleh, sampai ke taraf itu mereka mahu menguasai Wikimapia. Wikimapia pula banyak berkait rapat dengan Google Earth. Jadi kedua-dua server ini makin jadi tidak berhasil memberikan maklumat terkini lantaran sikap golongan Beruk Berayam ini.

Aku tadinya mahu menunjukkan di mana lokasi Masjid Kajang kepada rakanku lantaran mahu menandakan ada Restoran Rahsia yang baru dibuka. Aku selalu ceritera kepada kekawan betapa menariknya Restoran Rahsia ini. Jika masjid Kajang pun tidak ditandakan di Wikimapia tentunya payah dia mahu ke sana. Aku terpaksa reka akaun baru & menandakan lokasi Masjid Kajang & menandakan di Mana Restoran Rahsiaku itu. Aku yakin menjelang tiga hari lagi akan hilanglah akuan aku sekali gus bersama lokasi Restoran Rahsia tersebut. Jika golongan ini merasakan masjid ini penting mereka akan menggunakan akaun klon mereka menanda semula lokasi masjid tersebut & melenyapkan nama penanda lokasi terawal. Tentunya ini membuang masa & tak pasti apakah sebenarnya harapan serta cita-cita golongan Beruk Berayam ini.

Perkara ini pernah berlaku di kampungku sendiri, kelakarnya Mat Saleh dari luar negara menandakan lokasi Sekolah Kebangsaan di kampungkan. Bagaimana Mat Saleh ini boleh tahu, apakah dia pernah datang ke kampungku. Malahan Kubur Pedas yang penuh misteri entah kali ke berapa hilang asyik hilang di Wikimapia. Padahal telah lebih tiga tahun lalu aku yang rajin menandakan tempat & bangunan di sekitar perkampunganku.

Aku teringat akan Dr Asraf yang lama berada di United Kingdom. Dia pernah menunjukkan betapa terperincinya plan di alam maya mereka. Aku terlupa URLnya. Jika mahu ke rumah rakan, taip sahaja nombor lot rumah, bukan setakat rumah ditemui, berapa petak parkir yang tersedia pun dilukiskan terperinci.

Itu yang aku pertikaikan kepada geng Beruk Berayam tersebut. Mana yang lebih kita mahu temui di peta yang kita lihat. Balai Poliskah atau rumah rakan kita. Jika di bandar memanglah tidak lojik untuk menandakan lokasi sebuah rumah jika tinggal di Flat. Cukuplah sekadr Blok Flat ditandakan. Bagaimana kalau di kampung yang rumahnya jarang-jarang. Ada yang terpencil sampai beratus meter. Satu kilometer pun ada jauhnya rumah seseorang. Sebagai contoh rumah milik Haji Soba. Kalau di kampung aku siapa tak kenal Haji Soba. Dia Imam di kampungku, salahkah atau cacatkah Wikimapia jika kita tandakan rumah Imam kita sendiri. Memang rumah Haji Soba ini jauh terpencil. Begitu juga apa bedanya pentingnya kita tahu mahu rumah Ketua Kampung atau rumah Tok Penghulu. Sayangnya golongan Beruk Berayam ini telah menolak semua itu. Jadi jika kita mahu mengembara. Bagaimana mahu mencari rumah P. Ramlee melalui Wikimapia. Memang tak jumpa.

Kita kena buat sendiri nampaknya lokasi rumah kita. Macam yang aku buat ini.

Sila Klik ini Peta Rumahku

22 Ogos 2009

Janda RM7j (Ceritera)

Oleh ISMA ISMAIL, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Menuntut hak, ambil kesempatan atau tamak? Itulah persoalan yang timbul apabila ada wanita membuat tuntutan hingga jutaan ringgit daripada bekas suami mereka apabila berlaku perceraian. Sepanjang tahun lalu hingga Ogos tahun ini, tujuh kes perceraian membabitkan pemimpin politik, ahli perniagaan dan artis boleh dianggap paling mahal atau elit apabila jumlah keseluruhan tuntutan mereka melebihi RM7 juta. Tuntutan paling tinggi dibuat Siti Aishah Chou Abdullah, 24, iaitu bayaran mutaah RM3 juta daripada bekas suaminya, Wan Ismail Wan Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Kelantan. Ini diikuti bekas pramugari, Nor’aini Md Dom, 48, yang menuntut bayaran mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya, Mohamed Rithuan Mohamed Shamsudin, 57, pada November tahun lalu.

Azizah Ali, 47, bekas isteri pemilik syarikat perunding kejuruteraan awam di Kuala Terengganu, Terengganu, turut membuat tuntutan mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya.

Apabila ditanya mengenai rasional tuntutan dibuatnya, Siti Aishah berkata, biarpun ada pihak menganggap RM3 juta yang dituntutnya keterlaluan, jumlah itu sebenarnya wajar. “Saya bukan tamak atau ingin mengaut hartanya tetapi jumlah tuntutan itu wajar kerana dia (bekas suami) tidak tunaikan janji dibuatnya sebelum kami berkahwin selain mengambil kira pengorbanan saya untuk menjadi isterinya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad. Wanita berasal dari Kemboja itu berkata, tuntutan mutaah RM3 juta itu adalah pampasan perceraiannya kerana dia dan dua anak, Wan Mohd Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, hidup terumbang-ambing selepas bercerai. “Saya sanggup tinggalkan tanah air sendiri untuk berkahwin dengannya (bekas suami) kerana percaya mampu dapat perlindungan tetapi sebaliknya pula berlaku. “Sebelum berkahwin, dia (bekas suami) berjanji mahu beri rumah besar (banglo) dan kereta mewah, tetapi semuanya hanya tinggal janji,” katanya. Menurut Siti Aishah, selepas perceraian mereka disahkan pada 18 November tahun lalu, dia terpaksa pikul semua tanggungjawab mencari nafkah bagi menampung belanja dengan bantuan keluarganya. Di kalangan artis pula, penyanyi popular 1980-an, Siti Fairuz Sheikh Mohamad, antara yang membuat tuntutan mutaah tertinggi iaitu RM200,000 selain pelakon, Norish Karman yang menuntut nafkah perbelanjaan RM11,000 sebulan daripada bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir. Siti Fairuz berkata, dia menuntut bayaran RM200,000 daripada bekas suami, Mohamad Zainuddin Kordi, 46, kerana jumlah itu adalah haknya. “Mungkin ada yang menganggap tuntutan RM200,000 besar dan boleh membuatkan saya hidup mewah tetapi jika diukur daripada tahap ekonomi serta kehidupan sekarang, ia jumlah yang kecil. “Sepanjang 20 tahun berkeluarga, saya hanya menjadi suri rumah sepenuh masa dan tiada tabungan untuk masa depan. Oleh itu jumlah berkenaan saya tuntut sebagai hak, selain anggaran sepanjang tempoh perkahwinan,” katanya. Menurut Siti Fairuz, jumlah itu dikira tidak mencukupi untuk dia membeli kediaman dan sebagainya, namun memadai baginya meneruskan kehidupan bersama lima anak di bawah tanggungannya. “Ia boleh dianggap sagu hati perkahwinan dan saya akan gunakan untuk memulakan perniagaan bagi masa depan anak,” katanya. Norish pula dalam hujah bertulisnya menyatakan, dia menuntut nafkah sementara RM11,000 sebulan kerana bekas suaminya mampu menyediakan tuntutan itu berdasarkan pendapatan yang dianggarkan sehingga RM20,000 sebulan. “Permohonan dibuat demi kepentingan dan kebajikan anak supaya mereka dapat hidup selesa, gembira, berjaya dunia dan akhirat, walaupun rumah tangga ibu bapa mereka tidak dapat dipertahankan.” Demikian antara kandungan hujah bertulis tuntutan Norish yang difailkan melalui peguam, Akbardin Abdul Kader, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 17 Julai lalu. Hasil perkongsian hidup dengan Hashimuddin, Norish atau nama sebenarnya Nor’ Asikin, 34, dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Amany Hashimuddin, 10; Muhammad Hady Amieran Hashimuddin, 6; dan Nur Hanyz Amanda Hashimuddin, 5. Dua lagi artis yang turut mengemukakan tuntutan nafkah tinggi daripada suami ialah pelakon, Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon dan Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain. Kes tuntutan nafkah edah, mutaah dan tunggakan nafkah Lydiawati, 43, diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat, Selangor, Mei lalu dan dia menerima bayaran RM36,000 daripada bekas suaminya, Azhar Mohd Zar, 35. Wan Nor Azlin 41, membuat 14 tuntutan, termasuk nafkah diri dan tiga anaknya berjumlah RM26,000 terhadap suami, Mohd Yazli Yaacob, 39, di Mahkamah Rendah Syariah, 8 April lalu. JUMLAH TUNTUTAN 1. Siti Aishah Chou Abdullah - RM3 juta (mutaah) 2. Nor’aini Md Dom - RM2 juta (mutaah) 3. Azizah Ali - RM2 juta (mutaah) 4. Siti Fairuz Sheikh Mohamed - RM200,000 (mutaah) 5. Salina Zaimon (Lydiawati) - RM36,000 (nafkah) 6. Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain - RM26,000 (nafkah) 7. Nor’ Asikin Karman (Norish Karman) - RM11,000 sebulan

Tiada had tuntutan

KUALA LUMPUR: Walaupun belum mencapai ‘tahap Hollywood’ yang ada kalanya membabitkan angka tidak masuk akal, tuntutan perceraian di negara ini jelas menunjukkan peningkatan berdasarkan ‘dengan siapa aku berkahwin’. Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata tuntutan nafkah mencecah jutaan ringgit oleh bekas isteri bukan perkara luar biasa. “Ini kerana, selain hak membuat tuntutan, tidak wujud had atau garis panduan berkaitan berapa jumlah yang boleh dituntut oleh seorang wanita daripada bekas suami. “Contoh paling mudah ialah nafkah semasa. Bagi individu biasa, mereka menuntut RM10 sehari untuk makanan, tetapi bagi golongan berada ia boleh mencecah RM300,” katanya.

Berkaitan ketidak seragaman itu, Musa memaklumkan, tuntutan nafkah tidak tetap kerana ia bergantung kepada pendapatan bulanan bekas suami.

Biasanya, mahkamah syariah hanya membenarkan tuntutan nafkah semasa berjumlah satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan bulanan orang yang dituntut. “Asas nafkah semasa ada tiga, iaitu keperluan tempat tinggal, makanan serta pakaian. Oleh itu, biasanya nafkah semasa jumlahnya kecil kerana ia diberi dalam bentuk bulanan, tetapi berlainan dengan nafkah tertunggak. “Nafkah tertunggak boleh mencecah ratusan ribu ringgit kerana bekas suami gagal menjelaskan nafkah semasa yang perlu dibayar setiap bulan untuk tempoh lama seperti bertahun-tahun,” katanya. Musa berkata, jika bekas suami gagal melunaskan nafkah mengikut perjanjian dan ia kali pertama berlaku, mahkamah akan mengarahkan bekas suami membuat bayaran mengikut kadar atau cara yang diterima kedua-dua pihak. Bagaimanapun, jika bekas suami masih ingkar, mahkamah ada kuasa untuk memutuskan cara pembayaran dibuat sama ada bayaran penuh, walaupun ia mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit, atau bayaran bulanan. “Bayaran bulanan juga boleh dilakukan melalui potongan gaji daripada majikan bekas suami. Ia bergantung kepada kata putus mahkamah. “Ada juga contoh di mana bekas suami mempunyai rumah sewa dan sewa kediaman berkenaan dimasukkan terus ke akaun anak sebagai bayaran nafkah,” katanya.
Nor’ Asikin Karman (Norish Karman) meminta saraan nafkah RM11,000 sebulan
Berkaitan penyelesaian mutaah pula, Musa berkata, ia sagu hati perceraian yang wajib dibayar bekas suami kepada bekas isteri yang diceraikan tanpa sebab wajar menurut syarak. Kerana itu ada di kalangan wanita membuat tuntutan mutaah dalam jumlah besar mencecah jutaan ringgit kerana berasakan hak mereka tidak dibela. “Bagaimanapun, jumlah jutaan ringgit yang dituntut itu bukan jaminan untuk wanita memperoleh keseluruhannya. Ini kerana ia juga bergantung kepada kemampuan bekas suami,” katanya. Dalam masa sama Musa mengingatkan, nafkah yang diberi bekas suami setiap bulan tidak boleh digunakan oleh bekas isteri kecuali untuk anak. Menurut beliau, kerana itu, anak berumur 12 tahun ke atas boleh meminta wang nafkah berkenaan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing. “Jika ibu makan duit anak, ibu terbabit perlu menjawab di akhirat atas perbuatannya yang tidak amanah,” katanya Harian Metro iDAN : Bagiku satu yang amat payah dilaksanakan kehidupan yang bertemu dengan jalan buntu atau perceraian. Mungkin hati yang memilih jalan ini ada kepuasannya namun cubalah bayangkan kita di tempat anak. Hati seorang anak yang menerima kehilangan kasih sayang seorang ayah atau ibu. Jika pun ada ketika si ayah atau ibu boleh melawat anaknya. Manakan sama kasih sayang yang tercurah jika kedua ibu ayah tinggal sebumbung. Cubalah jangan mencari jalan perpisahan, saling beralah & menerima kekurangan sikap atau perangai pasangan kita. Hidup kita pun bukanlah lama sangat di dunia ini. Takutnya nanti kita dipersalahkan lantaran semua tahu; Allah Azzawajalla amat benci dengan perceraian. Talak adalah perkara yang halal tetapi dibenci oleh ALlah. Sebagaimana Hadith Rasulullah yang bererti : 'Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah ta'ala ialah talak' (Riwayat Abu Daud) Tak dapat aku bayangkan bagaimana Allah Azzawajalla murka akan kita di akhirat nanti lantaran kita memilih jalan perceraian. Apatah lagi dengan perceraian tersebut ada isteri yang terbiar ada anak yang menjadi gerladangan.

310 pesakit h1n1 dibenar keluar wad (Ceritera)


PASAr Ramadan seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam menjadi medan dua peniaga Aizul Mu'min dan Aiman Hussin menjual topeng muka berharga 80 sen sehelai atau RM1.20 dua helai kepada pengunjung.

KUALA LUMPUR - Tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan selesema babi (H1N1) didaftarkan kelmarin manakala seramai 230 pesakit dengan gejala penyakit seperti influenza (ILI) telah dimasukkan ke wad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, seramai 310 pesakit telah didiscaj keluar dari hospital menjadikan baki yang dirawat setakat ini seramai 1,476 pesakit di 102 buah hospital termasuk tiga hospital swasta di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 316 kes disahkan positif H1N1 di mana 40 daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kemasukan baru manakala lapan kes dipindah keluar dari unit itu.

Kosmo!

iDAN : Agar Selesema B@bi ini tidak menjadi wabak yang tragis.

5 juta berisiko

BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

“Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam, di sini, semalam.

Katanya, wabak itu dijangka merebak lebih cepat pada musim tengkujuh.

“Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam.

“Tempoh ini sangat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah isu kesihatan,” katanya.

Liow berkata, kajian WHO juga menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda daripada jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus itu.

“Ini bermakna jika kita merekod 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang,” katanya. — Bernama

H1N1: Pemuda kesal sikap peniaga

MUAR: Sikap segelintir pihak yang menjual penutup muka pada harga tinggi sehingga mencecah RM1.50 sekeping di daerah ini ketika penularan wabak Influenza A (H1N1), sangat mengecewakan dan ibarat ‘menangguk di air keruh’.

Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Muar, Ahmad Amryn Malek, berkata pihaknya menerima banyak rungutan, khususnya daripada ibu bapa yang kecewa dengan kenaikan harga penutup muka yang dijual di daerah ini.

Katanya, sebelum masyarakat kecoh memperkatakan mengenai wabak H1N1, penutup muka yang kurang sambutan hanya dijual pada harga 40 sen sekeping, tetapi kebelakangan ini harganya naik mendadak hingga RM1.50.

“Selain banyak rungutan yang diterima daripada masyarakat di sekitar daerah ini, Pemuda Umno Bahagian Muar menghadapi masalah sama.

“Disebabkanya harganya mahal, kami terpaksa ke Melaka untuk mendapatkan penutup muka yang masih boleh diperoleh pada harga 40 sen sekeping,” katanya.

Kosmo!

Resah menunggu disebat (Ceritera)




SUNGAI SIPUT - Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, kini resah menunggu detik menjadi wanita pertama di Malaysia disebat atas kesalahan meminum arak.

Ibu kepada dua orang anak itu bagaimanapun sudah bertekad untuk menghadapi hukuman itu tanpa ada niat melarikan diri.


KARTIKA melayan Wan Badariah dan Shukarnor sewaktu berbuka puasa di rumah mereka di Sungai Siput malam tadi manakala (gambar kanan) dia memohon doa meminta ditabahkan hati menghadapi dugaan.



KERATAN Kosmo! 23 Julai.


Dia sudah banyak kali menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar diberikan keberanian dan ketenangan.

"Saya tidak akan lari. Saya tahu ramai bersimpati dan menyokong saya.

"Saya cuma berharap saya mampu menghadapi hukuman itu meskipun ia dibuat pada bulan Ramadan,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawang, Sungai Siput, kira-kira 70 kilometer dari sini semalam.

Kartika akan dibawa ke Penjara Kajang, Selangor untuk ditahan selama seminggu sebelum dikenakan hukuman sebat enam kali di situ.



Kosmo!

iDAN: Islam sebenarnya sekadar mengajar & mengingatkan. Rasanya Kartika Sari Dewi & keluarga telah pun mendapat pengajaran itu. Hukuman sebat sebenarnya bukanlah seperti yang dipapar bagaimana hukuman sivil laksanakan. Cukup sekadar menyakitkan yang tidak meninggalkan kesan sepanjang hayat. Andaianku begitulah, tak tahulah bagaimana pihak penjara akan melaksanakan hukuman ini nanti.

21 Ogos 2009

Cabaran Ramadan (Singgahsana)


Di Majlis Agama Ramadan ditulis Ramadhan di DBP dieja Ramadan.

Aku pilih DBPlah kurangkan penggunaan huruf.

"Adoi! sakitnya gigi ayah ini...!"

"Pergi sajalah ke klinik ayah!, nanti nak puasa..."

"Ayah sudah tak boleh klim bayaran sakit gigi, ayah dah bersara" Sebenarnya Klinik Kerajaan mesti boleh kot!. Klinik Gigi Swasta yang tak boleh.

"Klim melalui pejabat ibulah ayah..!" Azim & Afiz bertalu memberi nasihat.

Bila mengenang kenangan lalu bagaimana azabnya cabut gigi memang aku amat takut mahu berjumpa lagi dengan doktor gigi. Aku sanggup menderita sakit gigi dari berjumpa Doktor Gigi. Kenangan lalu itu amat menyakitkan.

"Tak semua doktor gigi tu lalai macam itu ayah!" Azim memberikan semangat. Dia memang tahu ceritera ayahnya yang takut amat berjumpa Doktor Gigi.

"Tak sanggup ayah, tak sanggup, tak sanggup!" Aku terbayang bantal aku di asrama merah semua. Merah darah.

"Nanti nak puasa macam mana?"

"Sakit saja gosoklah gigi... sakit lagi... gosok lagi"

"Iyerlah itu sampai batal puasa!"

"Setahu ayah makruh ajer! gosok gigi itu, cabut gigi pun sama kan hukumnya makruh!"

Degil; memang aku ini ada watak degil. Maka sepanjang sehari berpuasa ini memang tercabarlah aku dengan denyutan sakit gigi ini. Geraham sebelah atas memang lama rosaknya. Tunggalnya makin nak mereputlah tu!.

Kenapa aku takut sangat dengan doktor gigi. Puncanya semasa aku di sekolah menengah. Semasa aku jumpa Doktor Gigi, tak dicabut betul-betul akan geraham yang telah reput. Ada tertinggal serpihan gigi tersebut yang membuatkan darahnya menitis sepanjang hari. Bayangkan aku cabut dari sebelah pagi lagi. Aku tidak menyangkakan yang darah itu menitis lantaran masih ada serpihan gigi di gusi. Sepanjang hari aku hanya memekap kapas sahaja. Sakitnya jangan ceritalah. Telan ubat tahan sakit pun tak reda. Berdenyut-denyut. Taruh Minyak Cap Kapak pun sekadar kebas di gusi. Denyutannya sampai ke jantung hati.

Sepanjang malam tak lena tidur, dapat terlelap telah nak subuh. Beberapa jam sahaja tidur dengan darah terusan menitis. Bila terjaga terkejut tenguk sarung bantal yang memang rona putih telah menjadi merah. Bila dibuka mulut terdapat hampir besar bola golf darah membeku di gusi tempat serpihan gigi itu tersembunyi. Nasib bebola darah tu tak terlekat di tetakku.

Awal pagi pergi semula ke Doktor Gigi tersebut, klinik kerajaan di Ipoh. Doktor itu berbangsa cina, garang bukan main. Marah-marahlah lagi, kebetulan aku tak faham disuruhnya telan air liur; saliva... saliva... saya tak perasan apa yang dia cakap. Bukan main ganas lagi dia buat kerja.

"Sudahlah kita sakit, kena marah-marah lagi, mentang-mentang cabut gigi percuma, taubat aku tak mahu nak jumpa Doktor Gigi lagi...!" Rungut aku dalam hati. Bila telah dibersih semua darah. Dikorek semula lubang digusiku sah ada tunggal geraham yang pecah berbaki di dalamnya. Nasiblah aku tak sampai maut kehilangan darah.

Sejak itu aku menggunakan petua & ilmu gigi peninggalan Arwah Apak. Tapi banyak pula pantang larangnya mengamal ilmu orang tua-tua ini. Paling pantang meludah di tempat yang kotor. Terlanggar pantanglah kot!... Isk! kalau memang janji Allah SWT nakkan aku sakit nak buat macam mana. Jika tak tahan juga memang terpaksa jumpa doktor gigi. Adoi! takutnya.
Gigi yang 4a itu yang sakit
dituruti nak merebak ke 5a

Perbezaan pengiraan takwim Islam, Kristian (Islam)


Oleh Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh

Pengiraan takwim Islam berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan, berbeza dengan pengiraan sistem AD dan CE yang melihat kepada kedudukan dan pergerakan matahari. Masyarakat Islam kita hari ini, terutamanya generasi muda sering terikut-ikut budaya Barat ketika menyambut tahun baru. Mereka sepatutnya lebih mengutamakan sambutan 1 Muharram

Perkembangan takwim banyak berhubung kait dengan faktor keagamaan dan sains. Dalam hal ini, ada dua cara pengiraan takwim, iaitu dengan menggunakan matahari (syamsiah atau solar) dan bulan (qamariah atau lunar).

Berkenaan penetapan takwim, Allah berfirman yang membawa maksud: "Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya." (Surah Yunus, ayat 5)

Secara umumnya, orang Rom mempopularkan penggunaan takwim solar dan pada peringkat awal, penggunaan takwim dikira bermula daripada masa bandar Rom diasaskan.

Tarikh yang digunakan ditanda dengan perkataan Rumawi iaitu ab urbe condita (auc) yang bermaksud “dari tarikh pengasasan bandar”. Andai kata tarikh ini masih dipakai hari ini, kita sekarang berada pada tahun 2757 auc. (Artikel ini ditulis pada: 29 Jun, 2007, 11:27:01 pagi)

Apabila Julius Caesar menawan Mesir pada tahun 48 sebelum Masihi, beliau memperkenalkan apa yang dipanggil takwim solar Julian (bersempena dengan namanya) pada tahun 709 auc atau tahun 46 sebelum Masihi.

Takwim ini dikatakan diperkenalkan setelah Julius Caesar meminta seorang ahli falak bernama Sosigenes untuk membuat perubahan kepada takwim yang sedia ada pada ketika itu.

Takwim baru ini mempunyai 12 bulan dalam setahun dengan bilangan hari sebanyak 365 hari dengan tambahan sehari bagi setiap empat tahun.

Namun begitu, sejarah merekodkan bahawa kesilapan berlaku dalam pengiraan takwim Julian ini apabila tambahan satu hari pada setiap empat tahun tidak dilakukan, sebaliknya tambahan ini dilakukan pada setiap tiga tahun.

Ini berlaku antara tahun 43 sebelum Masihi sehingga tahun 10 sebelum Masihi.

Augustus Caesar yang menggantikan Julius Caesar sebagai pemerintah Empayar Rom mengarahkan supaya pengiraan tahun lompat ini dihentikan dan hanya disambung pada tahun empat selepas Masihi.

Augustus Caesar juga membuat beberapa perubahan kepada jumlah hari dalam sebulan. Pada asalnya, dikatakan bulan Februari mempunyai 29 hari dan 30 hari bagi tahun lompat.

Februari kehilangan satu hari kerana pada satu ketika, dua daripada bulan dalam takwim Julian dinamakan Julai (sempena Julius Caesar) dan Ogos (sempena Augustus Caesar).

Pada asalnya Ogos hanya mempunyai 30 hari, namun Augustus Caesar menganggap dirinya sama hebat jika tidak lebih hebat daripada Julius Caesar, maka beliau telah memerintahkan supaya bulan Ogos ditambah satu hari. Ini menjadikan jumlah hari dalam bulan Ogos sebanyak 31 sama seperti bulan Julai.

Kesan pembesaran Empayar Rom menyaksikan penyebaran penggunaan takwim Julian yang kemudian turut diterima pakai gereja Kristian.

Pada tahun 527 Masihi, seorang paderi Rom bernama Dionysius Exiguus memperkenalkan sistem pengiraan takwim yang diberi nama Anno Domini atau AD (yang memulakan tarikh 1 AD sempena kelahiran Isa al-Masih). Orang Islam menggelarkan pengiraan ini sebagai al-Masihiah atau Masihi.

Menariknya, berlaku kekeliruan dengan tarikh lahirnya Nabi Isa apabila Dionysius Exiguus menyatakan bahawa Nabi Isa lahir pada tahun 754 auc tetapi ramai yang beranggapan bahawa kiraan Exuguus tidak tepat dan mempunyai ralat sebanyak beberapa tahun.

Jika ditinjau panjang purata setahun bagi takwim Julian ialah 365.25 hari dengan satu hari ditambah setiap empat tahun, ini jauh berbeza dengan panjang sebenar bagi setahun.

Namun demikian, di kalangan ahli astronomi sendiri, panjang sebenar tempoh satu tahun dipertikaikan.

Pendapat popular berpegang kepada purata tahun tropika iaitu 365.2422 hari dalam setahun manakala satu lagi pendapat mengatakan bahawa panjang purata setahun ialah 365.2424 hari.

Beza nilai ini ialah masing-masing 0.0078 hari (11 minit 13.8 saat) dan 0.0076 hari (10 minit 56.4 saat).

Akibatnya setiap 131 tahun, takwim Julian ini akan berganjak menyebabkan ia tidak lagi selari dengan perubahan musim solstis dan ekuinoks yang merujuk kepada kedudukan matahari dengan bumi dan ini menjadi sumber pengiraan yang penting bagi hari-hari kebesaran Kristian.

Menjelang abad ke-16, tarikh Hari Easter yang sepatutnya berlaku semasa Ekuinoks Musim Bunga telah memasuki musim panas.

Bagi mengatasi masalah ini, Pope Paul III mendapatkan beberapa ahli astronomi seperti Christopher Clavius untuk mencari penyelesaian kepada keadaan gawat itu dan kajian dilakukan sehinggalah Gregory XIII menjadi Pope Gereja Roman Katolik.

Beberapa cadangan dikemukakan dan Gregory XIII memilih cadangan Clavius. Pada 24 Februari 1582, beliau memperkenalkan beberapa perubahan kepada pengiraan takwim dan ini dikenali sebagai "Takwim Gregorian".

Perubahan yang diperkenalkan adalah seperti berikut:

Sebanyak 10 hari ditolak daripada takwim yang dipakai pada ketika itu menjadikan hari yang menyusul selepas Khamis, 4 Oktober 1582 sebagai Jumaat 15 Oktober, 1582 (5 Oktober 1582 jika menurut kiraan Julian).

Bagi pengiraan tahun lompat Julian, tahun itu mestilah boleh dibahagi dengan angka 4. Dalam perubahan yang diperkenalkan melalui takwim Gregorian, sesuatu tahun lompat itu hanya dikira jika sama ada boleh dibahagi dengan 400.

Oleh itu, setiap tahun yang boleh dibahagi dengan 4 ialah tahun lompat melainkan jika boleh dibahagi dengan 100 dan tidak dengan 400.

Ini menjadikan tahun-tahun 1600 dan 2000 sebagai tahun lompat tetapi tidak demikian bagi tahun-tahun 1700, 1800, 1900 dan 2100.

Hari pertama tahun baru ditetapkan pada 1 Januari setiap tahun.

Hari bagi tahun lompat ditetapkan pada 29 Februari.

Penggunaan takwim berkenaantersebar serta-merta ke negara Roman Katolik seperti Sepanyol, Itali, Portugal, Poland, Perancis dan Luxembourg dan secara berperingkat digunakan di negara seperti Jerman, Belgium, Switzerland, Belanda dan Hungary.

Britain hanya menggunakan takwim ini dalam tahun 1752 dengan perubahan pada tarikh dilakukan pada Khamis 14 September 1752 (tarikh ini ditukarkan daripada 2 September 1752).

Koloni British di seluruh dunia, termasuk Tanah Melayu, turut melakukan perubahan itu.

Akibat daripada penggunaan takwim Gregorian ini, terdapat dua tarikh bagi satu hari yang sama antara abad ke-16 dan ke-18, bergantung kepada takwim mana yang digunakan.

Mengikut konvensyen, tarikh yang menggunakan takwim Julian ditandakan dengan “OS” yakni old style manakala tarikh yang menggunakan takwim Gregorian ditandakan dengan “NS” atau new style.

Negara lain di dalam dunia turut menggunakan takwim Gregorian ini secara berperingkat misalnya Jepun (1873), Mesir (1875), Eropah Timur (antara 1912 dan 1919), Russia 1918) dan Turki (1927).

Ringkasan AD yang diterima pakai bagi pengiraan takwim Gregorian ialah ringkasan kepada “Anni Domini Nostri Jesu Christi” yang bermaksud “dalam tahun Tuhan Kami Jesus Christ.”

Takwim ini mempunyai konotasi kepada agama Kristain, oleh sebab itu mungkin menyebabkan rasa tidak senang hati di kalangan penganut Islam dan Yahudi khususnya, maka ringkasan AD diganti dengan CE iaitu “Christian Era” manakala BC (“Before Christ”) diganti dengan BCE (untuk Before Christian Era).

Namun demikian, di kalangan orang Islam di Malaysia dan rantau Melayu umumnya, ringkasan SM (sebelum Masihi) dan TM (tahun Masihi) lebih kerap digunakan.

Bagi penganut Kristian, sambutan tahun baru mempunyai konotasi keagamaan kerana tahun baru menandakan ulang tahun kelahiran al-Masih namun, kepada orang lain sambutan itu mempunyai konotasi yang berbeza.

Perubahan angka pada tahun hanya berlaku sekali setahun dan semua ini mempunyai kaitan dengan keadaan manusia itu sendiri.

Jika dilihat kepada sejarah, 2004 misalnya menyaksikan banyak pertumpahan darah dan tragedi yang berlaku di Iraq, Sudan, Russia, Thailand dan beberapa negara lain.

Bermulanya 2005 dilihat sebagai satu tanda harapan untuk memulakan kehidupan yang lebih baik tetapi yang menjadi persoalan sekarang, adakah wajar sambutan tahun baru disambut oleh orang Islam dengan pesta, hiburan dan hedonisme? Tiada salahnya menyambut ketibaan tahun baru jika niat yang disertakan adalah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik.

Sudah tentulah berpesta dan bersuka-ria tanpa mengikut lunas syariat Islam yang dilarang dan ditegah.

Menurut pandangan Islam, peredaran masa ialah satu proses alam yang ditetapkan Allah bagi dunia ini.

Malah di dalam al-Quran banyak ayat yang diturunkan menegaskan pentingnya masa dalam kehidupan manusia.

Jika ditinjau secara logik, 1 Januari hanyalah satu hari dalam setahun yang tidak mempunyai apa-apa signifikan besar kepada kehidupan manusia melainkan hanya menjadi tanda bermulanya era baru berasaskan pengiraan takwim solar yang mempunyai asal-usulnya kepada agama Kristian.

Islam mempunyai kiraan takwim sendiri apabila Saidina Umar al-Khattab menetapkan bermulanya peristiwa hijrah Rasulullah sebagai tahun bermulanya pengiraan takwim Islam.

Pengiraan takwim Islam berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan berbeza dengan pengiraan sistem AD dan CE yang melihat kepada kedudukan dan pergerakan matahari.

Orang Kristian menggunakan pengiraan berdasarkan solar kerana hari kebesarannya banyak membabitkan kedudukan matahari dan pergerakan musim seperti Hari Easter dan seumpamanya.

Golongan muda nampaknya begitu ghairah dengan sambutan tahun baru tetapi sayangnya cara berseronok itu tidak selari dengan kehendak agama Islam.

Sambutan tahun baru perlu dilakukan dengan hasrat untuk berubah ke satu keadaan yang lebih baik malangnya apa yang kita lihat ialah seolah-olah budaya hedonisme yang menerap masuk membawa bersamanya keruntuhan moral dan akhlak.

Satu perkara yang mungkin wajar direnungkan ialah mengapa orang Islam begitu beria meraikan 1 Januari dan pada waktu yang sama seperti tidak mempedulikan 1 Muharam?

Sepatutnya konsep hijrah yang dibawa oleh perayaan Maal Hijrah perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Adakah Maal Hijrah setiap tahun hanyalah satu cuti umum dalam kalendar tahunan kita semata-mata?

Penulis adalah Felo Kanan Pusat Sains dan Teknologi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

pada: 29 Jun, 2007, 11:27:01 pagi.

20 Ogos 2009

Dari Blog Mazidul 2 (Singgahsana)

"...Hadis Sahih Muslim

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bercerita: " Pada suatu ketika ada seekor anjing mengelilingi sebuah sumur. Anjing itu hampir mati kehausan. [b]Tiba-tiba dia terlihat oleh seorang wanita pelacur bangsa Yahudi. Maka dibukanya sepatu botnya, kemudian diceduknya air dengan sepatunya, lalu diberinya minum anjing yang hampir mati itu. Maka Allah SWT. mengampuni dosa-dosa wanita itu." Bahkan ada pula anjing yang masuk surga, iaitu anjing yang menemani pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang melarikan diri dari Maharaja Dikyanus dan menyembunyi diri di gua dan atas izin Allah SWT tertidur selama 300 tahun itu,”

ADam,

"...amal yang disukai Allah SWT adalah apabila engkau mati sedang lidahmu basah kerana menyebut nama Allah..."
(Hasan.R.Ibdu Hibban & Ibnu Suni)

Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi saw bersabda: Allah ta'ala berfirman: "...Apabila hambaKu merencanakan melakukan suatu amal kebaikan kemudian tidak jadi dilakukannya, maka aku mencatat baginya suatu kebajikan, tetapi bila ia melaksanakannya, maka tetap Aku mencatat amalnya itu sepuluh kebajikan sampai berganda tujuh ratus. Dan apabila ia merencanakan untuk melakukan suatu kejahatan lalu tidak jadi dilaksanakannya, maka tidaklah Aku catat baginya, tetapi apabila ia tetap melaksanakannya Aku catat baginya, sebagai satu kejahatan".(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim serta Attirmidzi dan Ibni Hibban dari Abu Hurairah)

Kita selalu baca Hadis ini cumanya kita sering terlalai mencari pengajarannya.

Banyak lagi Hadis & pertunjuk dari Al-Quran bagi kita yang telah terlanjur melakukan dosa. Apatah lagi ADam masih bujang tentunya dugaan seorang "bujang perantau" itu amat getir.

Bayangkan wanita itu orang Yahudi & anjing pula kita faham akan martabatnya dalam Islam, kenapa anjing dijadikan perantara wanita Yahudi ini untuk dibukakan pintu syurga. Kenapa tidak binatang lain, kucing, kambing atau sebagainya. Fikirkan!, apatah lagi jika sentiasa berbuat baik pun berbaik sangka sesama manusia.

Allah Azzawajalla melihat perlakuan jahat kita dengan hanya satu dosa & kebaikan ADam yang pernah.. & teruskan melakukan nahi mungkar (kes pelajar lepak itu..) pastinya mendapat ganjaran yang bukan tujuh pahala... malahan lebih berganda.

Jadi ADam nak takut apa dengan masalah "kekangan" nafsu kita ini. Selagi pintu taubat masih terbuka kita yang memang bukan bangsa Yahudi, kita yang memang dilahirkan Islam rasanya amat rapat dengan Dia Nan Esa. Dia yang perlu kita takut, kepada Dia yang perlu kita memohon pertunjuk... aib, malu, malahan penghinaan manusia terhadap martabat kita ini sememang ujian buat kita ADam.

Iman kita ini hanya setipis kulit bawang. Yakinkan di hati bilamana ada orang menegur kesilapan kita itu makna Nur dari Allah SWT. Kita jadi insan nan lebih malang bilamana senyap-senyap melakukan dosa, di mata masyarakat kita mulia di mata Dia Nan Esa kita langsung tak dipandang-Nya. Jauh sekali disapanya kesilapan kita.

Malahan lebih malang bila ada orang menegur tentang kesilapan kita, kita cepat melatah & tak mahu akur dengan kesilapan kita seyogia membiarkan api dendam memarak di dada.


Itu antara yang aku tulis di respon Blog Mazidul.

Agar
ADam jadi manusia tabah biarpun aku tahu dia terusan diperkatakan lantaran pengakuan jujurnya. Pendedahan Sdr Mazidul telah banyak menyedarkan kita betapa kita kini makin amat sifar sikap Nahi Mungkar. Kita makin ego diri & membiarkan saudara sesama Islam kita terus hanyut dengan dunia kelekaan mereka.

Nur dakwah seharusnya akan lebih mudah & tajam dengan adanya alam maya ini. Internet bagi Mantan PM kita adalah ibarat pisau. Jika telah ada pisau di hujung jari kita mahu kita buat apa dengan pisau ini.

Sesungguhnya dunia ini amat indah, apatah lagi bilamana usia kita masih muda, kesihatan kita masih utuh. Terlalu banyak ruang untuk kita menikmati keindahan dunia ini dengan perbagai rahmat & rezeki yang Allah Azzawajalla berikan. Apatah lagi dalam usia yang muda, tubuh yang sihat kita sentiasa dekat dengan-Nya.

Tiada ruginya jika menjadi hamba-Nya yang disayangi di dunia ini & dirahmati di akhirat nanti. Panduan hidup kita amat mudah, ikutlah jalan lurus ke arah Islam sebenar. Kenapa mesti kita mencari jalan berliku dengan pantang larang Islam.

Kekinian telah lebih dari tiga tahun aku diuji dengan perbagai sakit kronik, semakin hari semakin menyedarkan betapa benar sangatlah hidup ini umpama singgah bermalam. Bagaikan cuma mimpi & kenangan lalu terus berbalam amat sukar untuk mencapai keindahan masa lalu.

Dunia menangkap ikan pilai lawan melihat ia di cahaya pelita mengembangkan ekor & siripnya adalah bagaikan igauan emas yang payah kita selami. Mandi di jernihnya air Parit Kiteh Mat Jadi sebenarnya adalah nostalgia yang sukar berulang. Melihat durian berbunga & terbangnya keluang di suasana kampung bagaikan sebuah Lukisan Abstrak yang sukar difahami.

Aku semakin kerdil & mengecil di dunia ini. Aku makin dilupakan oleh siapa juga yang dulunya menyukai aku. Maka aku hiduplah dengan sisa usia & bayangan maut yang bakal mengamit aku bila-bila masa.


E-mel Penawar Selesema B@bi (Delima Merkah)

Salam..

Saya mendapat pandangan daripada kawan-kawan tentang "penawar alami "atau penawar semulajadi dalam menghadapi wabak seelsema b@bi.


Mari kita kembali kepada herba dan semulajadi. Ada baiknya kita baca nasihat kawan saya ini dulu sebelum kita mencebik bibir.


Tapi sebelum itu......jika di zaman para rasul dan nabi dahulu, apabila Allah SWT murka dengan satu-satu kaum, maka ditunjukkannya melalui mukjizat para rasul seperti manusia ditukar menjadi babi, monyet dan sebagainya. Tetapi mungkin di akhir zaman ini apabila Allah SWT murka dengan keangkuhan dan kejahatan kaum akhir zaman ini maka dicampakkannya penyakit-penyakit dari haiwan-haiwan tersebut ke atas manusia. Lalu merebaklah ia sebagai satu wabak atau bala..fikir-fikirkan..(kepada orang islam mungkin dijadikan oleh Allah SWT sebagai peringatan dsbnya)


Dan apabila satu-satu bala itu turun, maka seluruh manusia akan turut merasai bahananya. Manusia menjadi cemas dan panik bagai tiada jalan keluar terutama bagi golongan yang tidak beriman.


Sebagai muslim yang beriman dengan keadilan Allah SWT kita tidak perlu panik kerana Allah telah berjanji di dalam al Quran bahawa setiap penyakit ada ubat dan penawarnya kecuali maut.


Marilah kita fikirkan nasihat dari dari sahabat saya ini ..

Allah Swt telah mencipta manusia dengan bekalan tahanan diri untuk hidup sihat di muka bumi ini. Setiap penyakit insyaAllah ada penawarnya. Penawar terbaik ialah dari bahan sumber susu dan tumbuhan di sekeliling kita. Sumber ini mestilah mentah (raw) tanpa diproses, kerana pemprosesan seperti steril dan mecantikkan produk menghapus zat semula jadi makanan berkenaan.

H1N1 ialah serangan virus. Maka penawar yang perlu dicari ialah bersifat anti-viral. Virus hidup dalam keadaan asidik, oleh itu kurangkan karbohidrat dan banyakkan jus sayuran dan buahan yang bersifat alkali.


Disini saya ingin memberikan beberapa berita penawar alami yang saya terima dari rakan-rakan yang telah mengalami atau ada kenalan yang menghidapi H1N1.


1. Gabungan habatus sauda dan bawang putih. Kedua-dua bahan ini merupakan anti-viral dan antibiotik alami. Gabungan HS dan BP akan memberikan kesan penyerapan ke sistem imun kiga 10 kali ganda jika diambil berasingan.

2. Minyak kelapa dara (virgin coconut oil - VCO) ialah anti-viral yang sangat menakjubkan. Ia boleh diberi kepada bayi yang berusia 4 bulan ke atas. Sukatannya orang dewasa 3 sudu makan sehari. Untuk bayi bolehlah diberi 1/2 sudu teh 3 kali sehari.

3. Herba jintan putih jika dibuat teh minuman, digunakan sejak beribu tahun untuk menyembuh selesema dan demam. Mungkin juga boleh digunakan untuk menangani H1N1.

4. Buah epal hijau 6 biji sehari serta buah-buahan lain yang kaya vitamin C dan antioksiden seperti jambu batu, oren, roselle dan sebagainya. Epal mempunyai kesan alkali membunuh virus, sifat sedatif, membantu pemulihan luka, menghalang sembelit (banyak fiber), sumber tenaga dari gula yang mudah serap, pektin dalam fiber terlarut membantu dalam mengurangkan LDL dalam kolesterol, bersifat isotonik membantu hidrasi dan bersifat laksatrif.