iDAN

28 Ogos 2009

Dari Blog Mazidul 4 (Singgahsana)

Idan, tergelak saya membaca coretan awak. Ceritalah lagi .. lagi dan lagi.

Sdr Mazidul!

Iyer! lah pula.. sian adik tu nak tunggu sampai bermisai!!!

Empat2 anak saya lelaki jadi tak payah sangat nak berbual tentang pendidikan seks. Mereka pun macam kawan bagi saya. Tenguk wayang pun kami kerap bersama. Di rumah pun ada akses internet 24 jam yang saya sambungkan lebih dari empat kabel. Nampaknya mereka okey... bila kita berterus terang bahaya porno di internet semua itu. Mereka lebih banyak muat turun lagu & filem animasi.

Bagusnya bila mereka rapat dengan internet Bahasa Inggeris mereka memang okey belaka. Bayangkan yang nombor dua di Angah tu, UPSRnya 4A1B... yang Bnya Bahasa Malaysia. Sebab banyak amat baca komik, SMS & Cit cat kot!. Bahasa Inggeris dapat A sebab asyik bermain permainan komputer. Bila saja wirawannya jumpa jalan mati. Rupanya banyak permainan komputer klunya ada di internet. Kejap-kejap buka kamus. Kita yang tua ni memang dungu bila ditanya bab ini.

Saya ada tanya pada anak saya yang bungsu soalan Cepu Emas kita ini.

"Azim.. kalau Azim ada adik dia tanya soalan kenapa ayah ada bird ibu tak ada.. apa Azim nak jawab?"

"Ala! cakap ajer!.. nanti adik sudah besar adik akan tahu sendiri.. tunggulah adik dah besar"

Rasanya boleh pakai ayat Azim jika nak matikan soalan tu.

Jika anak lelaki,

"Mungkin juga belum bermisai adik akan tahu, Nanti adik akan dapat Mimpi Basah...(Ceritalah sikit intro tentang mimpi basah tu)... masa itu barulah adik akan faham sendiri. Ayah tak pandai nak terangkan nanti cikgu akan ajar semuanya di sekolah..." Selitkan cara Sdr Fina.

Cikgu kena jawab ni..!.

Kalau perempuan,

"Tunggu sampai adik pakai pampers macam ibu, pasti adik akan tahu sendiri!..."

Ibunya pula pening nak jawab! Isk!!!

Angah@Aziq terpilih ke MRSM selepas PMRnya panggilan pertama di Sarawak; ibunya tak sanggup berjauhan & panggilan kedua di Pulau Pinang tapi sayang masalah panggilan yang dibuat oleh pihak MRSM melalui telefon peribadinya, tak boleh diterima ketika Aziq di asrama. Dia minta MRSM pun pandai-pandai dia online tak cerita dengan ayahnya pun.

Isunya ada yang mengatakan permainan komputer itu melekakan kanak-kanak. Bagiku tak semestinya, yang penting mereka pandai membahagikan masa. Kita kena mengawal mereka bila nampak terlampau leka & membiarkan pelajaran mereka merosot. Rakanku yang buat Phd pun ramai yang gila bermain permainan komputer. Bukan takat komputer di pusat hiburan pun dia memang handal.

Salah seorangnya yang bernama Razel di UPM, mungkin ada yang mengenali beliau. Malahan aku rapat dengan Profesor Madya Dr. Luqman Chuah b. Abdullah. Sejak dia kecil memang suka sangat dengan komik. Ada Komik kartun cina yang seorang Gemuk seorang Kurus tu dari siri 1 hingga akhir dia ada. Samalah Doraemon & banyak kartun lain. Dia ada belaka koleksinya. Sampaikan telah jadi pensyarah rajin sangat beli VCD kartun.

Jangan kita sekat minat & kreativiti anak-anak kita. Ramai juga aku lihat kenalanku yang menyekat segala. Sampaikan TV pun tak boleh nak lihat. Akhirnya anak-anaknya jadi orang biasa sahaja. Memang kita berpuas hati dengan cara sekatan kita tetapi di jiwa anak-anak bagaimana. Pasti sampai ke akhir hayat dia terkilan zaman kanak-kanaknya tak dapat pun menikmati kemeriahan komik, kartun & hiburan lain selain mentelaah pelajaran.

27 Ogos 2009

Tidak benar tiada tukang sebat: PGSM (Ceritera)

Salhan K Ahmad
Ogos 27, 09
7:16pm

Tidak benar negara ini tidak mempunyai kemahiran melaksanakan hukuman sebat seperti kehendak syariah kerana ia pernah dilaksanakan di Kelantan, kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini.

"Pada April lalu, satu persidangan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mendengar makluman daripada pegawai-pegawai penjara yang menyatakan bahawa mereka telah dilatih untuk melakukan hukuman sebatan ini dan bersedia sekiranya ada apa-apa hukuman dan mereka akan laksanakan," kata Presiden PGSM Mohamad Isa Abdul Ralip dalam satu sidang media.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin yang menyebut bahawa hukuman ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno tidak dapat dijalankan kerana tiada jurusebat untuk menjalankan hukuman berkenaan.

Mohamad Isa menambah, kegagalan melaksanakan hukuman tersebut berpunca daripada "kelemahan" Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enakmen syariah Pahang telah lama berkuatkuasa dan mahkamah tentu mengetahui wujudnya kepakaran itu.

"Pihak mahkamah syariah Kuantan pula mengeluarkan perintah tersebut, mereka tentu sudah tahu (ada tukang sebat). Takkanlah lepas jatuh hukuman baru nak cari tukang sebat?" katanya.

"Kita kena tengok juga enakmen pentadbiran undang-undang Islam di negeri Pahang ini sudah lama, sejak 1987 lagi, tentang sebatan dan prosedur pelaksanaan hukum sebatan ini.

"Tidakkan selama ini KDN tidak menyedari tidak ada tukang sebat. Sebab itulah kami kecewa dengan kenyataan (Hishammuddin) tersebut," tambahnya.

Jelasnya, hukuman sebat secara syarie pernah dijalankan di Kelantan beberapa tahun lepas di penjara Pengkalan Chepa.

PGSM yang bergabung dalam Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengadakan sidang akhbar khas di Kuala Lumpur sebagai reaksi kepada kenyataan beberapa pihak berhubung hukuman terhadap model sambilan itu.

Selain PGSM, Pembela turut disertai antaranya Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas itu, seorang kakitangan Jabatan Penjara Kelantan mengesahkan sebatan secara syarie pernah dijalankan di penjara di negeri itu.

Beliau, yang enggan dikenali, bagaimanapun tidak dapat menyatakan tahun ia dilaksanakan tetapi yakin ia melibatkan seorang pesalah lelaki.

"Kalau ikut peraturan kita (peringkat persekutuan), memang tidak boleh sebat orang perempuan. Tapi kalau mahkamah syariah kata boleh, bolehlah," katanya lagi.

Ditanya sama ada penjara menyediakan kakitangan khas untuk menyebat pesalah wanita, sumber itu berkata: "Setakat ini kita tidak ada tukang sebat untuk pesalah wanita."

MalaysiaKini

Gantung sebat Kartika 'langgar prosedur mahkamah'
Sentuh kes syariah, hina mahkamah
Salhan K Ahmad
Ogos 27, 09
1:27pm



Tindakan ketua hakim syarie Pahang menggantung keputusan menyebat Kartika Sari Dewi Shukarno melanggar prosedur mahkamah syariah negeri berkenaan, kata Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Timbalan presidennya Muhammad Burok berkata, campur tangan daripada pihak yang tidak berkaitan dalam kes berkenaan juga menggugat pentadbiran keadilan kes tersebut.

"Dengan hormatnya saya bertanya atas kapasiti apa ketua hakim Pahang menggantung perintah mahkamah tinggi (syariah)?

"Adakah dia duduk di situ sebagai ahli mahkamah rayuan (syariah). Mahkamah rayuan belum bersidang lagi, belum ada semakan," kata Muhammad dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

"Jadi dia beri perintah itu atas kapasiti apa? Ketua hakim? Tapi yang berhak untuk menggantung keputusan ini adalah mahkamah rayuan, yang mana ketua hakim boleh menjadi panel dalam mahkamah rayuan ini."

Jelasnya lagi, mahkamah yang berhak untuk membuat keputusan lanjut - termasuk menangguhkan hukuman - adalah mahkamah rayuan, dan bukannya ketua hakim.

"Jadi keputusannya nanti adalah keputusan mahkamah rayuan, bukan keputusan ketua hakim," katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan panel hakim rayuan syariah "masih belum dilantik" di Pahang.

"Kalau semua tahu tentang prosedur ini, maka kemelut ini tidak berlaku sekarang," jelas Muhammad lagi.

Tambahnya, walaupun tempoh rayuan telah tamat, Kartika masih boleh memohon untuk melanjutkan tempoh rayuan.

"Ada prosedur untuk menyemak semula hukum itu kerana waktu rayuan sudah tamat. Jadi ada pilihan, apabila rayuan sudah tamat, dia boleh ke mahkamah untuk melanjutkan masa merayu," katanya.

Tambahnya, kedua-dua pihak pendakwaan dan pesalah juga boleh memohon untuk menyemak keputusan berkenaan, manakala hakim juga boleh menyemak keputusannya sendiri.

MalaysiaKini

Sentuh kes syariah, hina mahkamah
Salhan K Ahmad
Ogos 27, 09
1:27pm

Menteri diminta berhenti mengeluarkan "kenyataan jahil" berhubung prosedur mahkamah syariah kerana tindakan itu mencampuri urusannya dan boleh dianggap menghina mahkamah, kata Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Timbalan presidennya Muhammad Burok turut menyeru pihak-ihak yang tidak berkaitan dengan urusan perundangan Islam supaya tidak mencampuri urusan mahkamah syariah.

Beliau mengeluarkan amaran ini susulan kenyataan beberapa menteri yang mengulas hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno yang bersalah mengambil alkohol oleh mahkamah syariah Pahang.

"Apabila umat Islam, lebih-lebih lagi pucuk pimpinan kita hendak keluarkan kenyataan, yang pertama mesti dapatkan maklumat yang tepat.

"Jangan keluar kenyataan yang menunjukkan kejahilan kamu tentang undang-undang Islam dalam Malaysia dan menunjukkan kita tidak yakin dengan undang-undang Islam ini," katanya.

"Ini adalah amaran kepada sesiapa yang cuba halang hukuman tersebut kerana itu adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

"Sesiapa yang menghalang atau cuba menghalang perjalanan kes, itu adalah menghina mahkamah. Saya tidak tahu berapa ramai yang sudah melakukan kesalah menghina mahkamah, termasuk menteri," kata Muhammad dalam satu sidang akhbar anjuran gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut mendakwa campur tangan yang wujud daripada menteri telah menyebabkan perjalanan kes ditangguhkan dengan tidak mengikut prosedur.

“Kes ini telah diputuskan di mahkamah... tetapi bila ada campur tangan pihak tertentu, itu menyebabkan ketidakadilan kepada institusi mahkamah itu sendiri dan juga kepada orang yang dijatuhi hukum.

“Orang itu pula memang hendak menjalani hukuman. Beliau sudah insaf dan mahu menjalani hukuman secepat mungkin, tidak kiralah pada bulan Ramadan atau sebagainya. Kalau kita tidak boleh buat siang sebab berpuasa, kita boleh buat (sebatan) waktu malam,” kata Muhammad lagi.

Menteri dalam negeri kelmarin menegaskan bahawa hukuman ke atas Kartika tidak dapat dijalankan kerana tiada jurusebat untuk menjalankan hukuman berkenaan

Hukuman ditangguhkan kerana ia merupakan kes pertama yang dihadapi, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau juga dilaporkan berkata, Jabatan Penjara perlu dipersiapkan dengan keperluan-keperluan bagi menjalankan hukuman berkenaan.

Bagaimanapun kenyataannya itu dipertikaikan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Mohamad Isa Abdul Ralip dengan alasan hukuman tersebut pernah dilaksanakan seperti pernah didedahkan dalam satu seminar anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), April lalu.

Selain PPMM dan PGSM, Pembela turut disertai antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

MalaysiaKini

Senator, profesor OKU terhebat meninggal dunia (Singgahsana)


Ogos 27, 09 11:45am

kemaskini 6.25pm
Pakar ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini, kata isteri allahyarham Hasnah Wahab.

Hasnah yang turut berada dalam penerbangan itu menemani suaminya mendapati Ismail yang sedang tidur di kerusi sebelahnya tiba-tiba terlentuk kepalanya ke atas bahunya.

"Saya dapati suami saya sudah tidak bernyawa dan bila saya pegang, tangannya sudah sejuk," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Masjid Ba'alwie di Jalan Lewis, Singapura sementara menunggu jenazah Ismail diuruskan.

Hasnah berkata suaminya meninggal dunia dalam kapal terbang kira-kira 2.30 pagi iaitu kira-kira sejam suku sebelum pesawat itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi.

Menurutnya, Ismail, 61, ke China kerana menghadiri satu mesyuarat mengenai urusan universitinya, International University College of Technology Twintech.

Mereka bertolak 25 Ogos dan pulang malam keesokannya dan dijadual tiba di Singapura pada 3.45 pagi ini.

Sebaik tiba di sini, jenazah Ismail dibawa ke Hospital Besar Singapura kira-kira 8 pagi untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Jenazah Ismail kemudian dibawa ke Masjid Ba'alwie untuk dimandi dan dikafankan.

Kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Datuk Ahmad Anuar Adnan membantu menguruskan jenazah Ismail.

Jenazah Ismail kemudian disembahyangkan oleh imam Hasan Al-Attas bersama para pegawai kedutaan dan jemaah masjid.

Jenazah kemudian dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dibawa ke Lapangan Terbang Senai, Johor untuk diterbangkan oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia ke Lapangan Terbang Subang.

Hasnah berkata jenazah suaminya akan dibawa ke rumah mereka di no. 7140, Jalan Melati 2, Sungai Kantan, Fasa 2, Kajang.
Beliau berkahwin dengan Ismail selama 27 tahun dan pasangan itu dikurniakan enam anak.

Beliau terkilan kerana arwah suaminya tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan pertama anak mereka pada hujung tahun ini.

"Suami saya beria-ia sangat hendak menghadiri perkahwinan pertama anak kami," kata Hasnah sambil menambah tiga anaknya masih bujang dan tiga lagi masih bersekolah.

Ismail mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya dan cacat penglihatan di Malaysia.

Allahyarham juga ialah bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), ketua pegawai eksekutif Twintech Holdings dan naib canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Allahyarham Ismail dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya termasuk anugerah Guinness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah doktor falsafah.

Sementara itu di Kajang, abang allahyarham Zakaria Salleh, 64, berkata jenazah adiknya dijangka tiba di rumah allahyarham kira-kira 6.30 petang dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Kantan.

Katanya, adiknya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum berlepas ke Beijing.

Bagaimanapun, Isnin lepas, Ismail yang menghadapi masalah buah pinggang, telah menjalani rawatan dialisis di Kuala Lumpur.

Zakaria bertindak sebagai "mata", penjaga, pembantu peribadi dan pemandu kepada Ismail sejak kecil.

"Saya telah berjanji dengan arwah mak saya, saya akan jaga dia selama-lamanya," kata beliau. (Bernama)

Ucap takziah

Sementara itu, ketua Dewan Pemuda PAS mengucap takziah kepada keluarga allahyarham Dr Ismail.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nasrudin Hassan berkata, Dr Ismail sebagai seorang ikon yang berjaya walaupun dalam keadaan kurang upaya.

"Namun peranan serta semangat beliau melebihi daripada orang kebiasaan.

"Dewan Pemuda PAS menghargai peranan beliau terutama dalam memperjuangkan nasib serta hak golongan orang kurang upaya di Malaysia dan berharap agar kerajaan melaksanakan segala usaha dan peranannya sebagai satu tanda penghargaan kepada beliau," katanya.

MalaysiaKini

iDAN: Aku tak pernah berbual dengan Allahyarham tetapi selalu melihat beliau di TV pun rumahnya tak jauh dari rumahku. Rumah Allahyarham di sekitar Jalan Melati di Sungai Kantan. Seharian aku memang suka sangat ikut hadapan rumahnya jika ke Kajang. Sekitar Jalan Melati sememangnya terdiri dari rumah orang yang berada. Ada perbagai rekabentuk yang menarik berciri santai & mewah. Ada ala barat ada juga rumah ala Jepun.

Selalunya jika di Jenaris sesak banget sememang aku akan sembahyang di sebelahan rumah Allahyarham Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang aku panggil Surau Bunian atau aku lari ke Masjid Kajang. Tahun lalu kerap juga aku bersama Allahyarham menunaikan solat tawarih bersama. Surau bunian & Masjid Kajang selalunya tak ramai jemaah. Masih banyak ruang kosong berbanding Jenaris. Setiap tahun Imamnya adalah dari kalangan mereka yang Tahfiz Al-Quran.

Semalam aku ke pakar jantung; buat kali ke lima; masalah jantungku juga belum selesai. Nampaknya sekitar tahun ini makin ramai mereka yang meninggal akibat serangan jantung. Pembunuh secara senyap. Jika kita perhatian umur yang meninggalkan akibat serangan jantung ini sekitar 50an. Nampaknya usiaku pun cuma ada sekitar 10 tahun sahaja lagi jika usiaku panjang. Mungkin lebih awal dari itu.

Maka itu aku nyatakan hidup kita ini sekadar mimpi. Belum puas pun kita menikmati hidup ini kekinian kita terpaksa berhadapan dengan sakit kronik. Aku memang amat keliru kenapa rata-rata kita mahukan berkerja sampai usia 58 tahun, sedangkan dalam usia selebihnya apakah kita dapat menikmati kehidupan pesara sebaiknya. Atau tidak sempat. Mati ketika bertugas.

Semalam selain aku berbual dengan Pesakit Jantung dari Kuala Pilah yang berusia 65 tahun, aku juga sempat berbual dengan seorang pangkat abang, berumur sekitar 52 tahun. Dia bermasalah injap atau pembuluhan jantungnya tersumbat. Ada dua pilihan yang doktor sarankan, pertama makan ubat & kedua kena buat pembedahan.

"Saya tanda tangan sahaja mahu kerja sampai 58 tapi rasanya saya pun akan berpencen awal!" Nada harapan tentang kerjayanya kepadaku.

"Kalau kerja itu okey, tak stres saya rasa elok kerja sahaja tapi kalau kerja macam saya dulu stres amat baik berhenti sahaja, sakit macam kita ini memang tak boleh stres. Kot! jadi lagi melarat!" Aku bersuara. "Lagipun tenguk perkembangan sekarang ini, ramai sangat meninggal sebab serangan di usia macam kita ini.."

"Penyanyi kumpulan Rabbani yang meninggal itu berumur 40an sahaja kan..?"

"Haa aah! Allahyarham Ustaz Asri 40 tahun meninggal sebab serangan jantung"

Amat muda lagi meninggalkan anak-anak kecil lagi. Aku yang berulang ke klinik ini apakah masih menaruh harapan tinggi agar usia akan bertambah panjang. Keluh hatiku. Bukan tanda putus harapan tetapi kerisauan itu sememangnya memenjara diri.

GAMBARAN JANTUNG

Jumlah kerja yang dilakukan oleh jantung adalah bersamaan dengan kerja yang dilakukan oleh seseorang individu yang mengangkat beban 6 kg (14lb) setinggi 1.5m (5 kaki) pada setiap minit. Setelah melakukan kerja sedemikian beberapa kali, seseorang individu akan menjadi letih, tetapi jantung tidak begitu. Ini amat baik kerana badan tidak boleh berfungsi tanpa bekalan darah yang tetap, oleh itu peredaran darah atau sistem kardiovaskular merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan yang berterusan.

Arteri koronari menghantar bekalan darah ke otot jantung. Arteri koronari kanan menghantar ke kiri dan kanan jantung manakala arteri koronari kiri menghantar ke kiri jantung.

Jantung merupakan organ berotot yang geronggang dan bersaiz lebih besar sedikit daripada genggaman tangan. Jantung terletak sedikit ke sebelah kiri di bahagian tengah dada.
Dinding jantung terdiri dari otot yang mempunyai ciri-ciri pengecutan yang khusus. Jantung dibahagikan kepada 2 bahagian, yang dibahagikan lagi kepada ruang atas dan ruang bawah iatu atrium dan ventrikel. Ruang atas dan ruang bawah dihubungkan oleh injap, yang terbuka dan tertutup semasa denyutan jantung dan menghalang pengaliran darah ke belakang pada waktu antara denyutan jantung.

Injap di sebelah kiri mempunyai dua kuspa dan dikenali sebagai injap mitral atau bikuspid. Injap di sebeslah kanan pula mempunyai 3 kuspa dan dikenali sebagai injap trikuspid.

STRUKTUR JANTUNG

Injap-injap yang dikenali sebagai injap semilunar, memisahkan ventrikel daripada salur darah yang mengangkut darah keluar dari jantung. Injap pulmonari memisahkan ventrikel kanan daripada arteri pulmonari, manakala injap aorta memisahkan ventrikel kiri daripada aorta.

Apabila ventrikel mengecut, injap semilunar membuka, membolehkan darah mengalir ke depan. Apabila injap semilunar menutup, injap trikuspid dan mitral membuka dan membenarkan darah mengalir melaluinya ke dalam ventrikel yang mengendur itu. Penutupan injap jantung yang berlainan inilah yang menghasilkan bunyi 'lubb dubb' yang boleh didengar melalui stetoskop.

Peta Rumah Mila (Singgahsana)

Biasanya sepanjang awal Syawal di Merulah aku berkampung. Hari Raya pertama hinggalah ke 3 Hari Raya biasanya memang di sanalah aku berada. Apatah lagi sementara emak Mila masih ada. Sekarang mak mertuaku memang masih berkeadaan seperti lapan tahu lalu. Sakit buah pinggangnya masih begitulah. Jika tiada lagi ibu ayah Mila tentunya kami tak akan lama beraya di Meru.

Jika anda biasa ke pekan Meru Klang pasti perasan ada lampu isyarat seperti di dalam peta ini. Dari pekan Meru pastikan lihat catatan km kereta anda. Sekitar 3 km anda pasti jumpa satu papan tanda besar Jalan Iskandar. Tak jauh dari papan tanda tersebut anda nampak maskot durian di kanan anda, dikiri ada surau.

Belok ke kiri sekitar lima enam buah rumah nampak kedai perabut cermin sebelah kedai tersebutlah rumah Mila. Arwah Pak Mertua bernama Abdul Rahman Ngalipan, ibu mertuaku bernama Miskiah binti Pairan. Jika anda berhari raya sekitar sana nanti apalah salahnya sudi-sudikan menjenguk kami.

26 Ogos 2009

PR di Malaysia tahun 2007 (Ceritera)

(Extracted from hansard dated 18-04-2007)

10.05 am

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Minta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyatakan tatacara dan bilangan terkini pemberian taraf penduduk tetap kepada warga asing mengikut agama dan negara. Bagaimana siasatan latar belakang terhadap pemohon dibuat dan keperluan mengemukakan pengesahan setaraf dengan Sijil Kelakuan Baik daripada negara asal pemohon.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri [Datuk Tan Chai Ho]: Tuan Yang di- Pertua, tatacara yang diguna pakai bagi pemberian taraf pemastautin tetap kepada orang asing yang mempunyai permit masuk yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan memiliki pasport antarabangsa negara asal.

Taraf ini juga diberikan kepada mereka yang lahir di Malaysia sebelum merdeka yang mana kedua-dua ibu bapanya bukan warganegara dan menetap di Malaysia. Mereka yang menggunakan sijil anak angkat di mana maklumat mengenai taraf ibu bapa kandung disahkan tidak diperoleh juga boleh diberikan taraf pemastautin tetap.

Sungguhpun begitu, taraf pemastautin tetap bukan hak kepada individu tetapi satu anugerah oleh Kerajaan Malaysia kepada orang asing. Kerajaan mempunyai garis panduan mengenai golongan yang biasanya dipertimbangkan taraf tersebut adalah seperti berikut:

(i) seseorang yang mempunyai kelulusan profesional atau kepakaran yang membolehkannya memberikan perkhidmatan profesional dan kepakarannya kepada negara ini tanpa menjejaskan kepentingan warganegara negara yang sedia ada;

(ii) seseorang yang kemasukannya memberi faedah ekonomi kepada negara ini;

(iii) isteri atau suami yang sah kepada warganegara yang telah tinggal bersama pasangannya di negara ini secara berterusan selama lima tahun atau lebih;

(iv) anak-anak kepada warganegara Malaysia berumur di bawah enam tahun; dan

(v) seseorang yang dibenarkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri masuk ke Malaysia atas dasar belas kasihan.

Sehingga kini seramai 377,842 orang asing telah diberikan taraf pemastautin tetap. Mereka terdiri daripada pelbagai negara seperti Indonesia, China, India, British, Thailand, Filipina, Singapura, Jepun dan lain-lain. Proses permohonan bagi mendapatkan taraf pemastautin tetap mengambil masa kerana setiap permohonan perlu diteliti, dikaji dan diperhalusi supaya setiap permohonan diproses secara adil dan saksama.

Pemohon akan ditemu duga oleh pegawai imigresen bagi mendapatkan maklumat dan menyoal siasat. Selain daripada itu tapisan keselamatan daripada pihak polis juga merupakan salah satu prosedur yang perlu diikuti oleh pemohon. Ia akan dijadikan asas dan alasan dalam pemberian taraf tersebut. Sekian, terima kasih.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya berkenaan dengan pemberian taraf penduduk tetap dan juga Sijil Kelakuan Baik. Semenjak tahun 1992, jumlah pendatang asing tanpa izin yang terlibat dalam kegiatan jenayah telah meningkat hampir tiga kali ganda dari 1,313 kes dalam tahun 1992 kepada 3,500 kes pada tahun 2004.

Dari tahun 2003 hingga 2005, lebih daripada 62% pendatang asing tanpa izin yang terlibat dalam kes jenayah adalah pendatang asing tanpa izin Indonesia. Sehingga Mac 2006, seramai 149,269 warga asing dari 10 buah negara iaitu Indonesia, Kemboja, India, Singapura, Filipina, China, Thailand, Brunei, Taiwan dan Britain telah diberi taraf sebagai penduduk tetap. Dalam angka itu, lebih kurang 95% warga asing dari 10 negara itu yang menjadi penduduk tetap adalah warga Indonesia.

Soalan saya ialah selain berdasarkan kepada latar belakang profesionnya, kelulusan akademik, pelaburannya, kepakarannya, banyak negara juga menerima seseorang itu menjadi warga penduduk tetap berdasarkan kepada pengesahan kelakuan baik daripada negara asalnya. Mengapakah ini tidak dilakukan di dalam negara kita? Berapa ramaikah penduduk tetap yang didapati bersalah di sisi undang-undang telah dilucutkan taraf penduduk tetap dan apakah mekanisme yang boleh digunakan oleh pihak kementerian untuk merujuk kepada institusi kehakiman ataupun agensi-agensi kerajaan yang lain tentang penduduk-penduduk tetap yang bersalah supaya tarafnya dilucutkan dan dirujuk kepada pihak imigresen untuk tindakan selanjutnya. Minta penjelasan.

Datuk Tan Chai Ho: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebelum warga asing diberikan taraf pemastautin sebagai penduduk tetap, latar belakang warga asing disiasat oleh pihak polis. Apabila kita dapat green light dengan izin iaitu di mana warga asing yang tidak terlibat dalam jenayah. Jadi kementerian ini barulah boleh timbangkan sama ada memberikan taraf pemastautin tetap kepada warga asing itu. Jadi, jika pihak polis tidak ada memberitahu kementerian ini yang katakan warga asing itu tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah. Jadi kita baru boleh setuju supaya PR boleh dibagi kepada warga asing itu. Jadi selepas itu, kalau warga asing yang mempunyai PR dan melakukan jenayah, jadi ini akan disiasat oleh pihak polis dan mereka akan menghadapi tindakan perundangan oleh pihak polis dan Menteri kementerian ini ada kuasa untuk menarik balik taraf PR itu. Setakat ini yang saya dapat tahu sudah 17 orang warga asing yang mempunyai taraf PR yang telah ditarik balik oleh kementerian ini.

situs

http://www.kelanajaya.com.my

Isu ini berbangkit Lantaran aku terbaca artikel di Blog Sdr Mazidul tentang kemasukan pendatang tanpa izin PATI yang begitu mudah ke negara kita. Ini kisah pendatang dari negara jiran kita Indonesia, bagaimana pula pendatang yang datang secara sah & Pemastautin Tetap (PR). Aku ada memberi respon tentang isu ini mungkin anda dapat lihat respon aku di situs Sdr Mazidul.

Jika mahu tahu betapa kerajaan kita memudahkan bukan PR di negara kita melabur di sini sila klik ke situs ini, ianya memerlukan ada punya Adobe Acrobat Reader sebab datanya di dalam PDF. Rasanya kita rakyat marhaen yang memang tak berwang & takut menyambut cabaran ekonomi negara akan terus terpinggir pun tercicir. Golongan PATI & PR ini akan terusan mengatasi ekonomi kita satu ketika nanti.

Itu yang berlaku kepada tanah pusakaku di Perak. Hingga kini masih tidak selesai, ianya jatuh ke tangan PR orang Indonesia, Hamidah namanya & suaminya orang cina (Apek) di sekitar Lawan Kuda Gopeng. Apek ini semasa aku mahu melihat tanah tersebut membela anjing & memakai seluar pendek.

Aku masih merisik adakah lantaran kerja Pejabat Tanah Kampar, atau pun ada warisku yang senyap-senyap mencuri geran kami yang hilang; menjualnya kepada si Hamidah ini. Isunya adalah ianya tanah pusaka Rizab Melayu yang dimiliki sejak tahun 1920an. Kenapa aku antara pewaris terdekat tidak tahu kedudukan sebenar tanah ini. Lima ekar lebih luasnya, masih banyak lagi geran tanah milik Arwah apak yang lesap masih dalam pencarianku. Seyogia ianya angkara pencerobohan Peti Besi Gajah rona hijau ketika dalam jagaan Arwah Opah Bi. Pun musibah adik beradik tak pernah mahu ambil tahu; keluarga tiri memang tak boleh diharapkan sangat dalam menjaga harta pusaka.

Kardio (Singgahsana)

"Tinggi glukos ni..." Dr Firdaus bersungut.

"Bagaimana sakit saya yang lain, apa keputusan ujian darah yang di ambil bulan sudah" Dr Firdaus mengklik komputernya, " Yang lain saya rasa okey!, kolestrol, darah baik, darah jahat... emmm! seimbang , glukos dalam tempoh tiga bulan 7.8 mmol/l agak tinggi kalau sudah 8.0 mmol/l itu sudah bahaya.."

Huh! memang susah untuk mengawal pengambilan gula. Dua minggu lalu bacaan glukos@gula cuma 5.4 mmol/l tadi naik ke 7.2 mmol/l. Padanlah sepanjang hari badan ini gatal semacam. Memang Dr Firdaus mengakuinya jika gula tinggi di badan mudah di serang sakit gatal-gatal.

Sebenarnya aku ketemu Dr Firdaus sebab dia adalah pakar jantung di Klinik Kardio Hospital Serdang. Dia memang mengajar di UPM, aku sendiri tak ingat nama anak Kak Senah yang telah pun bertugas di Hospital Ipoh. Pasti dia yang mengajar anak buahku ini. Dengan Kak Senah aku memang rapat dengan anaknya memang tak kenal sangat. Lima tahun dia di UPM aku sendiri tak pernah ketemu dia di UPM. Dia sendiri tak cari aku, aku lagilah segan nak cari dia sebab dia anak dara, pangkat anak saudara pun jumpanya pun sesekali sahaja.

Masih tak buat Ujian Stres jadi masalah jantung aku masih tak selesai. Bulan Disember nanti akan ada lagi temu janji. Aku pun tak tahu yang nak buat Ujian Stres itu kena pakai pakaian sukan, kena pakai kasut sukan. baru tadi aku perasan tertulis merah di kad perubatanku, nanti jika datang kena pakai pakaian sukan. Tak dapat aku bayangkan bagaimana seseorang itu menjalani Ujian Stres. Maknanya enam temujanji barulah dapat kata putus. Buat masa ini aku masih tertanya-tanya.

"Bukankah salah satu tanda sakit jantung, sesak nafas bila berada dalam gelap?... tak boleh rasa stres jika dalam keadaan gelap?.."

"Tak, itu mungkin perasaan sahaja.."

Doktor pasti arif dari ujian darah pasti dia tahu keadaan fizikal pesakitnya. Aku memang pernah sakit dada terlalu kuat, sampai berpeluh payah bernafas, nak tarik pun payah nak lepas pun payah, sakit amat. Kemudian dada sebelah kiri terasa bengkak. Aku baca risalah yang diedarkan memang itu petanda ada masalah jantung.

"Kadang-kadang kesan ubat yang kita makan pun jadi masalah begitu!" Kata Dr Firdaus.

Kata-katanya mengingatkan aku akan Dr Husni. Seorang Dr Muda di Klinik Husni Seri Serdang. Bila dia baca data di ujian darahku memang kesan ubat tertera di sana. Bila ada kesan sampingan ubat yang kita makan selalunya hati akan menjadi mangsa utamanya.

Memang payah mentafsir organ di dalam badan. Lalu aku terpaksa bertawakal & berdoa. Buat kata-kata Pak Cik dari Kuala Pilah berumur 65 tahun tadi.

"Mati... ajak maut itu kerja Tuhan, kita jangan putus asa, banyakkan berdoa & rajin-rajin solat berjemaah..."

Dia staf kerajaan & baru sahaja kena santau, itu yang katanya paru-parunya bermasalah. Dia tak ada masalah diabetes, darah tinggi pun terkawal. Doktor suruh dia datang ke pakar jantung sebab faktor umur, lagi pun baru-baru ini dia masuk wad sebab kena santau itu.

Hampir jam 1:00 tengah hari barulah aku pulang dari Klinik Kardio Hospital Serdang. Macam biasa sendirian ke sana sejak awal pagi lagi.

25 Ogos 2009

Dari Blog Mazidul 3 (Singgahsana)

iDAN berkata...

HUKUMAN ORANG YANG MINUM ARAK(KHAMAR) Dalam Kanun Jenayah Syar'iyah seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat dan tidak kurang dari empat puluh kali sebat, hukuman ini adalah berdalilkan hadis rasulullah saw yang diriwayatkan dari Ali Ibn Abi Talib ra:- Rasulullah saw telah menyebatkan orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saidina Abu bakar telah menyebat sebanyak empat puluh kali sebat juga, dan saidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw. Dan ini yang lebih aku sukai. - Riwayat Muslim. Itu yang kita baca di dunia maya. Memang sudah sampai masa semua mereka yang terlibat menjadi Majlis Fatwa Kebangsaan mendapat kata putus tentang hukuman peminum arak seantero Malaya. Seragamkan. Jika Ulama sendiri "bertelagah" tentang memberi hukum, kita rakyat marhaen pasti lebih keliru. Pun yang pasti kes Kartika Sari Dewi kini menjadi perhatian dunia betapa kita memang Negara Islam membuat langkah awal memerangi arak dengan hukuman sebat. Jangan sampai negara luar ketawa nanti jika budaya kehidupan kita berbeda, jika mereka ke kelab-kelab elit mereka ternampak bersepah anak muda bebas minum arak. Kes bergesel sengaja tak sengaja ini pun tak selesai. Terus ujud & tumbuh membiak. Aduhai! memang makin kita memikir semua ini makin terasa gerladangan amat moral kita kini. Kita subahat juga Sdr Mazidul terusan membiarkan kemungkaran ini... kan? Penat!

Selasa, 2009 Ogos 25 14:09:00 MYT

Padam
Blogger iDAN berkata...

Combi memang kita risau bila di luar sana perbagai kejadian yang tak terfikir oleh kita bebas berlaku. Di rumah anak remaja kita dapat kita tegur di luar sana masyarakat sudah tak ambil kisah. Itulah bahayanya jika kita hidup dalam masyarakat yang makin payah dikawal. Bayangkan jika remaja kita merantau di luar negara sana, negara yang bebas segala; hanya keimanan sahaja yang menentukan perjalanan hidup mereka. Kita hanya sekadar dapat berdoa sahaja. Semoga anak remaja kita dilindungan Allah Nan Esa.

Selasa, 2009 Ogos 25 14:19:00 MYT

Jika kita tenguk filem Melayu lama, pasti kita pernah terdengar perkataan ini "Hei! Dewata kau berikanlah rahmat pertunjukmu!" Lebih kurang begitulah, sejarah orang Melayu memang dulunya bukan baragama Islam. Islam dibawa oleh pedagang Arab atau India yang datang ke Tanah Melayu. Maka itu tidak hairan ketagih minum arak ini telah ujud sejak berzaman. Semasa aku kanak-kanak pun aku masih ingat bagaimana arwah Apak seorang peniaga kedai runcit menjual arak lantaran memang ada pelanggannya orang Cina, India atau Benggali yang membeli. Bukan perkara pelik orang kita Melayu pun ramai minum arak di zaman 50an & 60an ketika di memang kelab malam gila dengan joket lambaknya atau tarian mambonya. Malahan iklan arak pun terdengar dicorong radio Saluran India terutama yang botolnya ada gambar anjing bodoh itu. Kononnya arak itu jika diminum membuatkan seseorang itu kuat perkasa. Maka sering aku lihat anak muda kampungku berjalan terhuyung-hayang mabuk todi. Aku masa itu masih kanak-kanak bukan main seronok mengarak pemuda mabuk ini. Tenguk orang mabuk ini berjalan, kelakar gila. Tak terasa pun mabuk itu perkara pelik di kampung. Todi haram pun berluasa terdapat di estet-estet. Memang arak boleh dicapai di mana-mana. Seperkara lagi zaman 60an memang filem hindustan mendapat tempat di jiwa masyarakat Melayu kampungku. Jika kita perasan sering amat babak dalam filem hindustan bila wirawannya kecewa putus cinta pasti mabuk kecewa menonggeng dengan nyanyian terhuyung-hayangnya. Pengaruh atau ikutan filem hindustan ini pun satu hal. Kes Kartika Sari Dewi; Menurut rekod pada Januari lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman sama ke atas satu pasangan yang melakukan kesalahan sama tetapi kes model sambilan ini adalah kes bagi kali ketiga. Setiap kali hakim itu menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang sama, terdengar suara sumbang membantah akan keputusannya atas alasan yang pelbagai termasuk mencabuli jaminan perlembagaan.

Selain itu juga hukuman yang diberikan untuk menghindar orang lain daripada meminum arak yang jelas menjadi ibu kepada kesalahan. Apabila minum arak, ia akan menyebabkan seseorang itu hilang akal dan melakukan pelbagai kesalahan. Maklumat daripada Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip

Apa pun kembalilah kita kepada al-Quran dan Hadis. Biarlah Allah dan Rasul yang menjadi ikutan dan penentu kehidupan kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat mengenai arak, 10 golongan: yang memerahnya, minta diperahkannya, meminumnya, membawanya, minta dihantarnya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya, minta dibelikannya.” (Hadis riwayat Tarmidzi dan Ibn Majah)

Amat jelas apa yang disarankan oleh agama kita Islam tentang pegharaman arak. Maka itu tak seharusnya kita pandang ringan & ambil tindakan tak kisah dengan masalah arak ini. Bila hilang akal apa juga tindakan semenang menjadikan tindakan tidak berakal.

24 Ogos 2009

UBATAN HIJAU (Delima Merkah)

TAJUL ARIFIN HAJI PATA @ HAJI FATHAL

Penggunaan tumbuhan hijau sebagai ubat dalam masyarakat Melayu telah memakan zaman. Namun kita akui bahawa amalan dan tradisi asalnya telah banyak diperkaya oleh interaksi pelbagai budaya yang telah dialami oleh masyarakat kita. Sementara dari segi kaedah penggunaannya mungkin berbeza. Ubatan hijau merupakan ubat semulajadi yang berkesan dan telah digunakan beribu-ribu tahun untuk mengubati sebahagian besar penyakit.

Rawatan dengan penggunaan ubatan hijau adalah berbeza dengan penggunaan dadah ortodoks yang berkuasa. Sebab orang ramai mengambil perubatan tumbuh-tumbuhan yang lebih lembut dari mengguna dadah ortodoks sentiasa membawa risiko yang besar dan kesan sampingan. Dengan itu , minat orang ramai di dunia memilih ubatan hijau sebagai cara pemeliharaan kesihatan turut bertambah.

KUNYIT

Kunyit adalah antara tumbuhan yang memang diketahui khasiatnya. Nama saintifiknya adalah Curcuma longa ( C. domestika) dan berasal dari famili Zingiberaceae. Ia mudah dikenali kerana kunyit adalah herba berdaun lebar dan runcing di hujung serta berbatang pendek. Tinggi keseluruhannya boleh mencapai 1 meter. Daunnya berbau wangi apabila disiat atau diramas. Kunyit mempunyai rizom yang isinya berwarna oren. Herba ini boleh dibiak melalui rizom. Kunyit ditanam secara meluas sama ada di ladang atau secara kecil-kecilan di rumah . Isinya boleh dibeli di kedai runcit, pasar atau pasar raya dalam bentuk segar atau telah ditepungkan.

Ia boleh mengurangkan masalah sakit perut, boleh merangsang pengeluaran jus hempedu, antibakteria dan menahan bengkak. Selain itu, ibu kunyit dicampur dengan kapur dan disapukan pada leher untuk mengurangkan batuk.


LIDAH BUAYA

Nama saintifiknya adalah dan berasal dari famili Liliaceae . Herba ini mempunyai batang seperti pokok ubi keladi, dengan ketinggian nya mencapai 15 sm dan berdiameter di antara 1- 2 sm. Daunnya berwarna hijau, bertompok-tompok kelabu, berduri lembut di tepi daun dan mempunyai isi yang tebal dan berlendir. Ditanam di kawasan kampung dan taman sebagai hiasan dan kerana khasiat perubatannya. Dikenali juga sebagai tumbuhan yang sesuai untuk ditanam di dalam pasu. Kegunaannya untuk mengubati sakit mulut, sakit tekak, bahan dalam kosmetik dan melicinkan kulit muka. Lendir kuning daripada pangkal daun apabila dikeringkan digunakan sebagai pelawas untuk memudahkan membuang air besar. Jeli aloe vera dugunakan juga untuk mengelak atau merawat ulser.

LIDAH JIN

Nama saintifiknya adalah Sansevieria trifasciata dan berasal dari famili Liliaceae. Spesis ini mempunyai daun yang panjang, tebal dan runcing. Terdapat dua varieti Sanseivera yang lazim ditemui. Satu varieti berdaun kelabu berbelang hijau tua dan satu varieti lagi berdaun kelabu kekuningan dan berbelang hijau tua. Varieti kedua ini juga mempunyai jalur kuning di sekeliling tepi daunnya. Bunganya berwarna putih , berjambak dengan tangkai yang panjang dan tegak. Sansevieria merupakan tumbuhan hiasan yang mudah ditanam dan mudah hidup. Ia boleh tumbuh dengan baik di atas tanah atau di dalam pasu. Benihnya boleh didapati melalui belahan pokok , pemisahan anak , daun atau keratan daun. Kegunaannya sebagai ubat sakit telinga dan ubat gatal. Di samping itu, jusnya juga dipakai untuk di kepala untuk merangsang pertumbuhan rambut. Jusnya yang suam juga digunakan bagi mengubati sakit gigi.

NANAS

Nama saintifiknya adalah Ananas comosus, Merr. dan berasal dari famili Bromeliaceae. Tumbuhan ini berdaun tebal dan runcing seperti tombak dengan duri disekeliling helaian daun. Daunnya bersusun dalam bbentuk kembang ke atas. Batangnya pendek dan berbuah di hujung batang. Buahnya besar, lazimnya sebiji bagi satu pohon dengan kulit yang bercantum terus dengan isi. Isinya mempunyai rasa masam atau manis dan boleh dimakan. Rasanya enak tetapi jika dimakan mentah dan segar mungkin memberi sedikit rasa gatal atau sebal pada lidah. Nanas merupakan tumbuhan pertanian yang penting dan mudah didapati. Ia ditanam di ladang khusus atau sebagai tanaman sampingan di rumah atau kampung. Kegunaannya, jus nanas muda boleh digunakan sebagai pelawas kencing, ubat sakit puan dan pembunuh kutu. Jus daunnya untuk memberhentikan sendu dan merangsang pembuangan air besar. Buah nanas liar dikatakan lebih mengandungi asid dan lebih mujarab untuk melawaskan kencing dan membunuh kutu.

LALANG

Nama saintifiknya adalah Imperata cylindrica dan berasal dari famili Graminae. Lalang merupakan tumbuhan jenis rumput dengan ketinggian antara 1- 1.5 sm. Daunnya panjang , berwarna hijau dengan urat selari. Permukaan daunnya kesat, runcing di hujung dan tajam di tepinya. Bunganya berwarna putih, ringan dan berjambak. Akarnya pula mempunyai rizom yang tajam. Ia tumbuh meliar di kawasan terbuka yang terdedah pada cahaya matahari yang tinggi. Mudah merebak melalui rizom atau biji benihnya yang diterbangkan oleh angin. Kegunaannya untuk mengubati penyakit asma, batu karang, dijadikan tonik dan melawas kencing. Selain itu, rizomnya yang dikeringkan , direndamkan dalam air panas dan dijadikan minuman , seperti air the untuk demam. Abu bakaran lalang boleh digunakan sebagai ubat sengal-sengal tulang (reumatik).

LELIPAN

Nama saintifiknya Pedilanthus tithymaloides (L) Poit. var variegata dan berasal daripada famili Euphorbiaceae. Pokok jenis renek dengan ketinggian di antara 1-1.5 meter. Batangnya berbentuk zig-zag, lurus, agak lembut, licin dan berwarna hijau tua. Daunnya kecil dan tebal dalam susunan berselang, berbentuk bujur dan runcing di hujung serta mempunyai warna berbelang antara hijau muda, merah jambu dan putih. Bunganya pula berwarna merah dan keluar di pucuk. Ia ditanam sebagai tanaman hiasan di dalam pasu atau di tempat terbuka. Tumbuhan ini juga sering ditanam sebagai pokok pagar. Kegunaannya , akar pokok ini digunakan sebagai “emetik”. Manakala getah daripada batangnya yang hijau digunakan sebagai ubat “kutu belut” (kutil) atau ubat bisa sengatan lipan dan kala jengking.

LENGKUAS

Nama saintifiknya Alpinia galanga Sw. (Lengkuas galanga , Stuntz) dan berasal daripada famili Zingiberaceae. Herba keluarga halia ini tumbuh berumpun dan bersaiz agak besar. Daun dan pelepahnya berwarna hijau. Bunga dan buahnya bergugus di hujung batang. Bunga berwarna putih dan buahnya pula menjadi hijau apabila tua. Herba ini membiak melalui rizom yang agak besar.. Isi rizomnya berwarna kuning keputihan. Walaupun herba ini tumbuh meliar, tetapi mudah didapati kerana ia merupakan jenis halia yang sering ditanam oleh penduduk kampung. Rizomnya mudah didapati di pasar, terutama yang menjual sayur-sayuran kampung. Kegunaannya, tumbuhan ini masih meluas digunakan sebagai campuran masakan serta rempah ratus dan ubatan. Rizomnya digunakan bagi merawat penyakit berkaitan dengan penghadaman, cirit-birit dan sejuk di dalam badan. Digunakan juga bagi merawat demam yang berulang-ulang. Lengkuas digunakan dalam bentuk kapsul untuk menghilangkan mabuk laut atau mabuk perjalanan.

MELUR

Nama saintifiknya adalah Jasminum sambac, Ait. dan berasal daripada famili Oleceae. Jenis pokok renek yang mempunyai ketinggian di antara 1-2 meter. Batangnya agak lurus dan berwarna perang. Daunnya berwarna hijau , berbentuk bujur dengan ukuran sehingga 5 sm panjang dan 3 sm lebar. Bunganya berwarna putih, berbau wangi dan mungkin berlapis. Ditanam di kawasan kampung sebagai tanaman hiasan. Digemari oleh kaum India untuk mendapatkan bunga bagi upacara keagamaan.

Kegunaannya, batangnya dikeringkan dan dijadikan rokok untuk pesakit resdung . Bunganya disapu pada payu dara untuk menggalakkan pengeluaran susu bagi ibu yang menyusukan anak. Bunga yang diluluhkan bersama bunga Gardenia dan akar Acacia myriophylla digunakan untuk sakit kepala.Manakala jus bunga dicampur dengan rizom cekur untuk dibuat pencuci mata.

TONGKAT ALI

Nama saintifiknya Euricoma longifolia. Ia berjaya menarik perhatian ramai selepas pihak media melaporkan hasil penyelidikan tentang keberkesanannya sebagai penggalak syahwat yang meningkatkan fungsi seksual. Kajian menunjukkan ia mengandungi beberapa fitokimia yang meningkatkan paras testosteron iaitu hormon jantina yang diperlukan untuk fungsi seksual lelaki. Ia juga diperlukan di dalam perkembangan anggota seksual dan otak. Tongkat Ali bukan sahaja berfungsi sebagai tonik seks, tetapi dalam perubatan tradisional Tongkat Ali digunakan lebih meluas sebagai ubat sakit jantung, strok, kanser prostat dan lenguh otot dan sendi. Selain itu, ia juga digunakan sebagai ubat osteoporosis dan retak pangkal peha dan ubat untuk lemah ingatan dan kepupusan fungsi otak dalam Senile Dementia seperti penyakit Alzheimer di kalangan orang lanjut usia.

MEMPELAS

Nama saintifiknya adalah Tetracera indica dan berasal daripada famili Dilleniaceae. Mempelas adalah rumpai jenis menjalar dan memanjat. Batangnya berkayu dan mempunyai diameter sehingga 10 sm. Daunnya mempunyai bulu kasar dan lekuk yang amat jelas pada permukaan daun mengikut urat daun. Pucuk muda berwarna merah kehitaman dan daunnya bertukar menjadi hitam apabila tua. Bunganya berwarna putih dengan benang sari berwarna merah. Tumbuh meliar di kawasan semak dan terbuka. Sering di dapati di sekitar perkampungan, kebun kecil dan dusun.

Kegunaannya, akarnya direbus dan airnya diminum untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan suhu badan ketika diserang demam panas. Manakala daunnya pula dijadikan ubat pupuk bagi penyakit gatal kulit.

POKOK LETUP-LETUP

Nama saintifiknya Passiflora foetida. Lazim kelihatan di kawasan perkampungan khususnya di ladang getah atau kelapa sawit. Sejenis tumbuhan digunakan sebagai tumbuhan penutup bumi. Pemilihan tersebut mungkin berdasarkan tumbuhan ini senang tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi kerana ia sejenis tumbuhan liar. Kegunaannya untuk merawat gatal-gatal kulit Selain itu untuk merawat luka dengan menggunakan beberapa daun yang dilumatkan yang dipupuk pada bahagian luka. Mana kala untuk merawat batuk pula dengan merebuskan beberapa batang pokok letup-letup. Air rebuskan seluruh pokok tersebut hendaklah diminum airnya setelah ia suam.

PANDAN WANGI

Nama saintifiknya Pandanus odorxus, Ridl. dan berasal dari famili Pandanaceae. Pandan Wangi merupakan pokok jenis renek. Tumbuh dalam rumpun dengan ketinggian di antara 0.6 – 1.5 meter. Daunnya panjang dengan urat daun selari dan berbau wangi. Panjang daunnya sehingga 70 sm dan 5 sm lebar. Tumbuh di kawasan berpaya dan sekitar sungai. Menjadi tanaman sampingan dan hiasan di rumah atau kebun-kebun sayur di kampung. Kegunaannya , abunya boleh merawat penyakit campak. Daunnya yang segar digunakan untuk rambut dan menjadi bahan utama dalam penyediaan bunga rampai, terutama semasa majlis perkahwinan masyarakat Melayu.

PEGAGA EMBUN

Nama saintifiknya Hydrocotyle rotundifolia dan berasal dari famili Umbelliferae. Tumbuhan ini daripada jenis herba yang menjalar. Keseluruhan tumbuhan ini kelihatan seperti pegaga biasa. Ia mempunyai batang berwarna hijau , kelihatan agak lembut dan licin. Daunnya mempunyai tujuh cuping . Buahnya bergugus seperti buah kelulut tetapi berbulu lembut dan berwarna perang tua apabila masak. Tumbuhan liar di tepi sungai, tanah berpasir dan di kawasan lapang yang redup dan lembab. Kadang kala ia juga ditanam secara kecil-kecilan oleh penduduk kampung. Kegunaannya, pucuknya dijadikan ulam dipercayai boleh menurunkan tekanan darah tinggi. Akarnya ditumbuk dan airnya diminum untuk merawat darah tinggi dan pedih hati. Ia juga ditumbuk dan dijadikan satu daripada ramuan untuk membuat ubat batuk. Daunnya ditumbuk dan dibuat demah atau dipupuk untuk merawat sakit kulit di bawah kemaluan kanak-kanak.

SENDUDUK

Nama saintifiknya Melastoma malabathricum dan berasal dari famili Melastomaceae. Pokok renek, batang berwarna kemerahan dengan diameter di antara 5 – 10 sm dan ketinggiannya di antara 3 – 5 meter. Daunnya berbulu panjang dengan tangkai daun juga berwarna kemerahan . Bunganya berwarna unggu, manakala buahnya berwarna biru keunguan. Tumbuh di kawasan belukar dan kampung. Kegunaannya, akar pokok ini direbus bersama pokok ubatan lain sebagai ubat periuk bagi kegunaan wanita lepas bersalin. Ia juga digunakan untuk membasuh bagi pesakit gigi dan untuk tujuan melembutkan kaki serta membuang angin. Buahnya pula disapu pada luka kecil. Daun dan akarnya digiling dan ditabur pada kudis dan bintik-bintik cacar untuk menghilangkan parut. Daunnya juga digunakan untuk merawat cirit-birit dengan memakan pucuknya selain digunakan untuk merawat buasir. Manakala bagi merawat penyakit keputihan (Leukorea) , daun direbus bersama sedikit gula , Halia (Zingiber officinalis) dan Bonglai (Zingiber cassumunar).

TEMBAGA SUASA

Nama saintifiknya Crinum asiaticum, Linn
. dan berasal dari famili Amaryllidaceae. Sejenis herba yang mempunyai daun yang besar dan panjang sehingga hampir 2 meter seperti pandan. Batangnya agak besar dan berisi (tuber). Herba ini tumbuh di tepi pantai dan pedalaman Malaysia. Ia ditanam sebagai pokok hiasan dan ubatan , terutama oleh penduduk kampung. Kegunaannya, untuk membuang keracunan di dalam badan. Akarnya dikunyah untuk memaksa muntah dan juga dihancurkan sebagai ubat pupuk pada luka. Daunnya digunakan sebagai ubat pupuk secara sendiri atau dicampur dengan daun Gandarusa dan lada hitam atau belimbing dan cempaka hutan, untuk mengubati bengkak, sakit kepala dan demam. Selain daripada itu, daun yang dibubuh minyak kelapa dan dipanaskan , kemudian dibalutkan pada tempat bengkak, terseliuh atau salah urat, boleh mengurangkan kesakitan.

KESIMPULAN

Negara kita Malaysia, terkenal dengan limpahan alam flora yang tumbuh segar di hutan tropika. Tidak dapat dinafikan bahawa tumbuhan hijau mempunyai hubungan yang rapat dengan bidang perubatan dalam masyarakat Melayu. Ubatan Hijau jelas sekali sebagai satu sumber semulajadi untuk mendapatkan kelegaan dan kesembuhan dari penyakit. Masyarakat Melayu Islam misalnya, mempunyai kaedah yang begitu halus dalam menggunakan tumbuhan hijau sebagai ubat untuk merawat sesuatu penyakit. Khazanah perubatan lama yang diwarisi sejak zaman berzaman ini dirasakan begitu penting sekali selari dengan pentingnya perubatan moden di hari ini.

BIBLIOGRAFI

Abd. Rahman Md. Derus. 1998. Pengenalan Dan Penggunaan HERBA UBATAN. Penerbit Multi Triple Vision Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Ahmad Zamzam Mohamed. 5 Disember 1999. Keistimewaan Air Rebusan Pokok Letup-Letup. Mingguan Malaysia. Hal : 27

Azahari Ibrahim. 1997. Ubat-ubatan Tradisional Arab dan Melayu. Penawar 200 Jenis Penyakit. Darul Nu’man. Kuala Lumpur.

Johari Mohd. Saad, 30 Mei 1999, New Sunday Times.

Muhammad Zakaria dan Mustafa Ali Mohd. 1992. Tumbuhan dan Perubatan Tradisional. Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur

Majalah baru Zunar usik PM (Ceritera)

Jimadie Shah Othman
Ogos 24, 09
11:18am

kemaskini 1.36pm Kartunis politik terkenal Zulkiflee Anwar Haque akhirnya kembali bergelumang bersama dunia kreatif melalui majalah Gedung Kartun setelah meninggalkan organ PKR Suara Keadilan beberapa bulan lalu.

Berslogankan "majalah jenaka alternatif", terbitan sulung dwibulanan itu memaparkan gelagat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara (foto kiri).

Edisi awal September kini sudah berada di pasaran.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang kini lantang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut menyumbang rencana dalam Gedung Kartun.

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan" (foto kanan).

Edisi sulung ini menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta kontroversi ISA.

"Kita juga akan muatkan kartun istimewa karya Dr Farish A Noor," kata Zulkiflee atau lebih popular dikenali Zunar, tanpa mendedahkan karya pengamat politik itu.

Dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, kartunis terkemuka itu berazam menerokai pasaran genre berkenaan dengan tema "kartun alternatif" kerana, menurutnya, ia mempunyai pasaran yang besar.

"Ini yang pasaran mahukan. Kita lihat di Internet dan blog, banyak kartun berbentuk humor sebegitu.

"Ia bentuk yang orang suka, cuma tidak ada orang buat," katanya, yang bertindak sebagai ketua pengarang, yang terkenal dengan "kartun hidung besar" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya perbezaan menguruskan sebuah akhbar politik dan majalah kartun, Zunar berkata: "Tukar medium sahaja".

Menurutnya, idea menerbitkan majalah kartun dengan konsep sebegitu telah lama dirancang tetapi baru menjadi kenyataan kerana kesuntukan masa.

Dengan cetakan pertama sebanyak 10,000 naskhah, majalah tersebut akan berada di pasaran dua kali sebulan – pada 10 dan 20 hari bulan.

Majalah 68 halaman, terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd itu dijual di seluruh Malaysia dengan harga RM4 (Sabah dan Sarawak RM5).

Zunar, yang turut menyumbang karyanya kepada Malaysiakini, meninggalkan Suara Keadilan pada Mei lalu setelah empat tahun bertugas - dipercayai mangsa politik dalaman elit PKR.

MalaysiaKini

23 Ogos 2009

Peta Seantero Dunia (Singgahsana)

Aku baru sahaja cuba memasuki akaunku di Wikimapia, nampaknya semuanya dipadamkan. Yang menjadi masalah semakin hari semakin terlampau peranan Wikimapia untuk kita mencari lokasi tempat. Ada yang begitu rajin memadam semua lokasi, sampaikan payah kita mahu menemui, masjid, pasar & lain-lain lokasi penting.

Puncanya bukan apa ada kelompok di Wikimapia yang dikira bagaikan kata Cikgu Rashid bersikap "Beruk Berayam" Bunyi istilah ini memang agak buruk tetapi itulah kenyataannya.

"Cikgu apa maksudnya Beruk Berayam itu cikgu" Masa itu aku di bangku Darjah Lima sekolah di kampungku.

"Beruk kalau dapat ayam mesti dicabut-cabutnya bulu ayam sampai ayam tu togel, faham maksud saya?."

"Orang tak tahu untung, betul cikgu?"

"Lebih kurang begini, dapat sesuatu kuasa dia salah guna, dapat rezeki dia membazirkan.."

Memang makin togel Wikimapia. Sampai jika kita klik ke situs Melayu, kubur Mona Fendi yang aku tanda sejak lebih dari 3 tahun lalu telah hilang. Mesti ramai nak tahu di mana lokasi kubur Mona Fendi kan?.

Bilamana akaun seseorang itu telah dipadam semua yang ditandanya ikut terpadam. Puncanya golongan Beruk Berayam ini marah sangat seseorang itu menandakan tempat-tempat yang penting bagi dirinya, seperti rumahnya, rumah di kampungnya, rumah opahnya & mungkin gerai tempat dia selalu lepak. Semua lokasi peribadi ini terlarang di Wikimapia.

Kononnya golongan ini mahukan semua tempat yang tersohor sahaja, Saya pernah menulis ke empunya Wikimapia. Bagi mereka tidak menjadi masalah asalkan ditandakan secara betul & tidak ada perkataan porno, lucah atau tidak sopan disertakan. Akibatnya bila semua akaun yang tersalah menandakan lokasi peribadi tadi dicantas (banned) maka terikutlah terpadam lokasi masjid, pasar atau tanah perkuburan. Memang biasanya bila akaun seseorang dicantas semua lokasi yang beliau tandakan juga terpadam.

Apakah golongan Beruk Berayam ini mampu mencari semula lokasi penting ini. Apakah golongan Beruk Berayam ini mampu pusing satu dunia untuk mendapat maklumat sebenar sesuatu tempat yang selalu berubah. Maka makin payah untuk kita mencari maklumat terperinci dengan Wikimapia oleh kerana ujudnya penggodam ini.

Seperkara lagi, biasanya akaun dari mereka yang pernah menandakan lokasi terlarang ini bagi golongan Beruk Berayam ini sentiasa dipantau. Jika akaun menggunakan Bunga, mahu didaftar Bunga1 pun tak boleh, sampai ke taraf itu mereka mahu menguasai Wikimapia. Wikimapia pula banyak berkait rapat dengan Google Earth. Jadi kedua-dua server ini makin jadi tidak berhasil memberikan maklumat terkini lantaran sikap golongan Beruk Berayam ini.

Aku tadinya mahu menunjukkan di mana lokasi Masjid Kajang kepada rakanku lantaran mahu menandakan ada Restoran Rahsia yang baru dibuka. Aku selalu ceritera kepada kekawan betapa menariknya Restoran Rahsia ini. Jika masjid Kajang pun tidak ditandakan di Wikimapia tentunya payah dia mahu ke sana. Aku terpaksa reka akaun baru & menandakan lokasi Masjid Kajang & menandakan di Mana Restoran Rahsiaku itu. Aku yakin menjelang tiga hari lagi akan hilanglah akuan aku sekali gus bersama lokasi Restoran Rahsia tersebut. Jika golongan ini merasakan masjid ini penting mereka akan menggunakan akaun klon mereka menanda semula lokasi masjid tersebut & melenyapkan nama penanda lokasi terawal. Tentunya ini membuang masa & tak pasti apakah sebenarnya harapan serta cita-cita golongan Beruk Berayam ini.

Perkara ini pernah berlaku di kampungku sendiri, kelakarnya Mat Saleh dari luar negara menandakan lokasi Sekolah Kebangsaan di kampungkan. Bagaimana Mat Saleh ini boleh tahu, apakah dia pernah datang ke kampungku. Malahan Kubur Pedas yang penuh misteri entah kali ke berapa hilang asyik hilang di Wikimapia. Padahal telah lebih tiga tahun lalu aku yang rajin menandakan tempat & bangunan di sekitar perkampunganku.

Aku teringat akan Dr Asraf yang lama berada di United Kingdom. Dia pernah menunjukkan betapa terperincinya plan di alam maya mereka. Aku terlupa URLnya. Jika mahu ke rumah rakan, taip sahaja nombor lot rumah, bukan setakat rumah ditemui, berapa petak parkir yang tersedia pun dilukiskan terperinci.

Itu yang aku pertikaikan kepada geng Beruk Berayam tersebut. Mana yang lebih kita mahu temui di peta yang kita lihat. Balai Poliskah atau rumah rakan kita. Jika di bandar memanglah tidak lojik untuk menandakan lokasi sebuah rumah jika tinggal di Flat. Cukuplah sekadr Blok Flat ditandakan. Bagaimana kalau di kampung yang rumahnya jarang-jarang. Ada yang terpencil sampai beratus meter. Satu kilometer pun ada jauhnya rumah seseorang. Sebagai contoh rumah milik Haji Soba. Kalau di kampung aku siapa tak kenal Haji Soba. Dia Imam di kampungku, salahkah atau cacatkah Wikimapia jika kita tandakan rumah Imam kita sendiri. Memang rumah Haji Soba ini jauh terpencil. Begitu juga apa bedanya pentingnya kita tahu mahu rumah Ketua Kampung atau rumah Tok Penghulu. Sayangnya golongan Beruk Berayam ini telah menolak semua itu. Jadi jika kita mahu mengembara. Bagaimana mahu mencari rumah P. Ramlee melalui Wikimapia. Memang tak jumpa.

Kita kena buat sendiri nampaknya lokasi rumah kita. Macam yang aku buat ini.

Sila Klik ini Peta Rumahku

22 Ogos 2009

Janda RM7j (Ceritera)

Oleh ISMA ISMAIL, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Menuntut hak, ambil kesempatan atau tamak? Itulah persoalan yang timbul apabila ada wanita membuat tuntutan hingga jutaan ringgit daripada bekas suami mereka apabila berlaku perceraian. Sepanjang tahun lalu hingga Ogos tahun ini, tujuh kes perceraian membabitkan pemimpin politik, ahli perniagaan dan artis boleh dianggap paling mahal atau elit apabila jumlah keseluruhan tuntutan mereka melebihi RM7 juta. Tuntutan paling tinggi dibuat Siti Aishah Chou Abdullah, 24, iaitu bayaran mutaah RM3 juta daripada bekas suaminya, Wan Ismail Wan Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Kelantan. Ini diikuti bekas pramugari, Nor’aini Md Dom, 48, yang menuntut bayaran mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya, Mohamed Rithuan Mohamed Shamsudin, 57, pada November tahun lalu.

Azizah Ali, 47, bekas isteri pemilik syarikat perunding kejuruteraan awam di Kuala Terengganu, Terengganu, turut membuat tuntutan mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya.

Apabila ditanya mengenai rasional tuntutan dibuatnya, Siti Aishah berkata, biarpun ada pihak menganggap RM3 juta yang dituntutnya keterlaluan, jumlah itu sebenarnya wajar. “Saya bukan tamak atau ingin mengaut hartanya tetapi jumlah tuntutan itu wajar kerana dia (bekas suami) tidak tunaikan janji dibuatnya sebelum kami berkahwin selain mengambil kira pengorbanan saya untuk menjadi isterinya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad. Wanita berasal dari Kemboja itu berkata, tuntutan mutaah RM3 juta itu adalah pampasan perceraiannya kerana dia dan dua anak, Wan Mohd Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, hidup terumbang-ambing selepas bercerai. “Saya sanggup tinggalkan tanah air sendiri untuk berkahwin dengannya (bekas suami) kerana percaya mampu dapat perlindungan tetapi sebaliknya pula berlaku. “Sebelum berkahwin, dia (bekas suami) berjanji mahu beri rumah besar (banglo) dan kereta mewah, tetapi semuanya hanya tinggal janji,” katanya. Menurut Siti Aishah, selepas perceraian mereka disahkan pada 18 November tahun lalu, dia terpaksa pikul semua tanggungjawab mencari nafkah bagi menampung belanja dengan bantuan keluarganya. Di kalangan artis pula, penyanyi popular 1980-an, Siti Fairuz Sheikh Mohamad, antara yang membuat tuntutan mutaah tertinggi iaitu RM200,000 selain pelakon, Norish Karman yang menuntut nafkah perbelanjaan RM11,000 sebulan daripada bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir. Siti Fairuz berkata, dia menuntut bayaran RM200,000 daripada bekas suami, Mohamad Zainuddin Kordi, 46, kerana jumlah itu adalah haknya. “Mungkin ada yang menganggap tuntutan RM200,000 besar dan boleh membuatkan saya hidup mewah tetapi jika diukur daripada tahap ekonomi serta kehidupan sekarang, ia jumlah yang kecil. “Sepanjang 20 tahun berkeluarga, saya hanya menjadi suri rumah sepenuh masa dan tiada tabungan untuk masa depan. Oleh itu jumlah berkenaan saya tuntut sebagai hak, selain anggaran sepanjang tempoh perkahwinan,” katanya. Menurut Siti Fairuz, jumlah itu dikira tidak mencukupi untuk dia membeli kediaman dan sebagainya, namun memadai baginya meneruskan kehidupan bersama lima anak di bawah tanggungannya. “Ia boleh dianggap sagu hati perkahwinan dan saya akan gunakan untuk memulakan perniagaan bagi masa depan anak,” katanya. Norish pula dalam hujah bertulisnya menyatakan, dia menuntut nafkah sementara RM11,000 sebulan kerana bekas suaminya mampu menyediakan tuntutan itu berdasarkan pendapatan yang dianggarkan sehingga RM20,000 sebulan. “Permohonan dibuat demi kepentingan dan kebajikan anak supaya mereka dapat hidup selesa, gembira, berjaya dunia dan akhirat, walaupun rumah tangga ibu bapa mereka tidak dapat dipertahankan.” Demikian antara kandungan hujah bertulis tuntutan Norish yang difailkan melalui peguam, Akbardin Abdul Kader, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 17 Julai lalu. Hasil perkongsian hidup dengan Hashimuddin, Norish atau nama sebenarnya Nor’ Asikin, 34, dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Amany Hashimuddin, 10; Muhammad Hady Amieran Hashimuddin, 6; dan Nur Hanyz Amanda Hashimuddin, 5. Dua lagi artis yang turut mengemukakan tuntutan nafkah tinggi daripada suami ialah pelakon, Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon dan Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain. Kes tuntutan nafkah edah, mutaah dan tunggakan nafkah Lydiawati, 43, diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat, Selangor, Mei lalu dan dia menerima bayaran RM36,000 daripada bekas suaminya, Azhar Mohd Zar, 35. Wan Nor Azlin 41, membuat 14 tuntutan, termasuk nafkah diri dan tiga anaknya berjumlah RM26,000 terhadap suami, Mohd Yazli Yaacob, 39, di Mahkamah Rendah Syariah, 8 April lalu. JUMLAH TUNTUTAN 1. Siti Aishah Chou Abdullah - RM3 juta (mutaah) 2. Nor’aini Md Dom - RM2 juta (mutaah) 3. Azizah Ali - RM2 juta (mutaah) 4. Siti Fairuz Sheikh Mohamed - RM200,000 (mutaah) 5. Salina Zaimon (Lydiawati) - RM36,000 (nafkah) 6. Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain - RM26,000 (nafkah) 7. Nor’ Asikin Karman (Norish Karman) - RM11,000 sebulan

Tiada had tuntutan

KUALA LUMPUR: Walaupun belum mencapai ‘tahap Hollywood’ yang ada kalanya membabitkan angka tidak masuk akal, tuntutan perceraian di negara ini jelas menunjukkan peningkatan berdasarkan ‘dengan siapa aku berkahwin’. Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata tuntutan nafkah mencecah jutaan ringgit oleh bekas isteri bukan perkara luar biasa. “Ini kerana, selain hak membuat tuntutan, tidak wujud had atau garis panduan berkaitan berapa jumlah yang boleh dituntut oleh seorang wanita daripada bekas suami. “Contoh paling mudah ialah nafkah semasa. Bagi individu biasa, mereka menuntut RM10 sehari untuk makanan, tetapi bagi golongan berada ia boleh mencecah RM300,” katanya.

Berkaitan ketidak seragaman itu, Musa memaklumkan, tuntutan nafkah tidak tetap kerana ia bergantung kepada pendapatan bulanan bekas suami.

Biasanya, mahkamah syariah hanya membenarkan tuntutan nafkah semasa berjumlah satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan bulanan orang yang dituntut. “Asas nafkah semasa ada tiga, iaitu keperluan tempat tinggal, makanan serta pakaian. Oleh itu, biasanya nafkah semasa jumlahnya kecil kerana ia diberi dalam bentuk bulanan, tetapi berlainan dengan nafkah tertunggak. “Nafkah tertunggak boleh mencecah ratusan ribu ringgit kerana bekas suami gagal menjelaskan nafkah semasa yang perlu dibayar setiap bulan untuk tempoh lama seperti bertahun-tahun,” katanya. Musa berkata, jika bekas suami gagal melunaskan nafkah mengikut perjanjian dan ia kali pertama berlaku, mahkamah akan mengarahkan bekas suami membuat bayaran mengikut kadar atau cara yang diterima kedua-dua pihak. Bagaimanapun, jika bekas suami masih ingkar, mahkamah ada kuasa untuk memutuskan cara pembayaran dibuat sama ada bayaran penuh, walaupun ia mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit, atau bayaran bulanan. “Bayaran bulanan juga boleh dilakukan melalui potongan gaji daripada majikan bekas suami. Ia bergantung kepada kata putus mahkamah. “Ada juga contoh di mana bekas suami mempunyai rumah sewa dan sewa kediaman berkenaan dimasukkan terus ke akaun anak sebagai bayaran nafkah,” katanya.
Nor’ Asikin Karman (Norish Karman) meminta saraan nafkah RM11,000 sebulan
Berkaitan penyelesaian mutaah pula, Musa berkata, ia sagu hati perceraian yang wajib dibayar bekas suami kepada bekas isteri yang diceraikan tanpa sebab wajar menurut syarak. Kerana itu ada di kalangan wanita membuat tuntutan mutaah dalam jumlah besar mencecah jutaan ringgit kerana berasakan hak mereka tidak dibela. “Bagaimanapun, jumlah jutaan ringgit yang dituntut itu bukan jaminan untuk wanita memperoleh keseluruhannya. Ini kerana ia juga bergantung kepada kemampuan bekas suami,” katanya. Dalam masa sama Musa mengingatkan, nafkah yang diberi bekas suami setiap bulan tidak boleh digunakan oleh bekas isteri kecuali untuk anak. Menurut beliau, kerana itu, anak berumur 12 tahun ke atas boleh meminta wang nafkah berkenaan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing. “Jika ibu makan duit anak, ibu terbabit perlu menjawab di akhirat atas perbuatannya yang tidak amanah,” katanya Harian Metro iDAN : Bagiku satu yang amat payah dilaksanakan kehidupan yang bertemu dengan jalan buntu atau perceraian. Mungkin hati yang memilih jalan ini ada kepuasannya namun cubalah bayangkan kita di tempat anak. Hati seorang anak yang menerima kehilangan kasih sayang seorang ayah atau ibu. Jika pun ada ketika si ayah atau ibu boleh melawat anaknya. Manakan sama kasih sayang yang tercurah jika kedua ibu ayah tinggal sebumbung. Cubalah jangan mencari jalan perpisahan, saling beralah & menerima kekurangan sikap atau perangai pasangan kita. Hidup kita pun bukanlah lama sangat di dunia ini. Takutnya nanti kita dipersalahkan lantaran semua tahu; Allah Azzawajalla amat benci dengan perceraian. Talak adalah perkara yang halal tetapi dibenci oleh ALlah. Sebagaimana Hadith Rasulullah yang bererti : 'Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah ta'ala ialah talak' (Riwayat Abu Daud) Tak dapat aku bayangkan bagaimana Allah Azzawajalla murka akan kita di akhirat nanti lantaran kita memilih jalan perceraian. Apatah lagi dengan perceraian tersebut ada isteri yang terbiar ada anak yang menjadi gerladangan.

310 pesakit h1n1 dibenar keluar wad (Ceritera)


PASAr Ramadan seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam menjadi medan dua peniaga Aizul Mu'min dan Aiman Hussin menjual topeng muka berharga 80 sen sehelai atau RM1.20 dua helai kepada pengunjung.

KUALA LUMPUR - Tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan selesema babi (H1N1) didaftarkan kelmarin manakala seramai 230 pesakit dengan gejala penyakit seperti influenza (ILI) telah dimasukkan ke wad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, seramai 310 pesakit telah didiscaj keluar dari hospital menjadikan baki yang dirawat setakat ini seramai 1,476 pesakit di 102 buah hospital termasuk tiga hospital swasta di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 316 kes disahkan positif H1N1 di mana 40 daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kemasukan baru manakala lapan kes dipindah keluar dari unit itu.

Kosmo!

iDAN : Agar Selesema B@bi ini tidak menjadi wabak yang tragis.

5 juta berisiko

BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

“Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam, di sini, semalam.

Katanya, wabak itu dijangka merebak lebih cepat pada musim tengkujuh.

“Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam.

“Tempoh ini sangat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah isu kesihatan,” katanya.

Liow berkata, kajian WHO juga menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda daripada jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus itu.

“Ini bermakna jika kita merekod 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang,” katanya. — Bernama

H1N1: Pemuda kesal sikap peniaga

MUAR: Sikap segelintir pihak yang menjual penutup muka pada harga tinggi sehingga mencecah RM1.50 sekeping di daerah ini ketika penularan wabak Influenza A (H1N1), sangat mengecewakan dan ibarat ‘menangguk di air keruh’.

Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Muar, Ahmad Amryn Malek, berkata pihaknya menerima banyak rungutan, khususnya daripada ibu bapa yang kecewa dengan kenaikan harga penutup muka yang dijual di daerah ini.

Katanya, sebelum masyarakat kecoh memperkatakan mengenai wabak H1N1, penutup muka yang kurang sambutan hanya dijual pada harga 40 sen sekeping, tetapi kebelakangan ini harganya naik mendadak hingga RM1.50.

“Selain banyak rungutan yang diterima daripada masyarakat di sekitar daerah ini, Pemuda Umno Bahagian Muar menghadapi masalah sama.

“Disebabkanya harganya mahal, kami terpaksa ke Melaka untuk mendapatkan penutup muka yang masih boleh diperoleh pada harga 40 sen sekeping,” katanya.

Kosmo!

Resah menunggu disebat (Ceritera)




SUNGAI SIPUT - Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, kini resah menunggu detik menjadi wanita pertama di Malaysia disebat atas kesalahan meminum arak.

Ibu kepada dua orang anak itu bagaimanapun sudah bertekad untuk menghadapi hukuman itu tanpa ada niat melarikan diri.


KARTIKA melayan Wan Badariah dan Shukarnor sewaktu berbuka puasa di rumah mereka di Sungai Siput malam tadi manakala (gambar kanan) dia memohon doa meminta ditabahkan hati menghadapi dugaan.



KERATAN Kosmo! 23 Julai.


Dia sudah banyak kali menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar diberikan keberanian dan ketenangan.

"Saya tidak akan lari. Saya tahu ramai bersimpati dan menyokong saya.

"Saya cuma berharap saya mampu menghadapi hukuman itu meskipun ia dibuat pada bulan Ramadan,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawang, Sungai Siput, kira-kira 70 kilometer dari sini semalam.

Kartika akan dibawa ke Penjara Kajang, Selangor untuk ditahan selama seminggu sebelum dikenakan hukuman sebat enam kali di situ.



Kosmo!

iDAN: Islam sebenarnya sekadar mengajar & mengingatkan. Rasanya Kartika Sari Dewi & keluarga telah pun mendapat pengajaran itu. Hukuman sebat sebenarnya bukanlah seperti yang dipapar bagaimana hukuman sivil laksanakan. Cukup sekadar menyakitkan yang tidak meninggalkan kesan sepanjang hayat. Andaianku begitulah, tak tahulah bagaimana pihak penjara akan melaksanakan hukuman ini nanti.