DR ABDUL HALIM (depan), Prof Dr
Bukhari Lubis (kanan), Prof Dr Zakaria Ali (kiri) dan pelajar UPSI yang
hadir pada Diskusi Sastera dan Media.
SUJANA KONDORID pelajar Major Kesusasteraan Melayu UPSI cergas mengajukan soalan.
ROZNINAH (kiri) dan Salbiah Ani ketika menjawab soalan daripada pelajar Major Kesusasteraan Melayu UPSI.
Jumlah halaman mengecil sedangkan ia sebahagian sejarah negara
TANGGUNGJAWAB
sosial dan sejarah yang perlu dipikul oleh media dalam konteks
penerbitan bahan sastera sebagai salah satu cara untuk membangunkan
masyarakat dan negara disorot pada Diskusi Sastera dan Media.
Diskusi anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, UPSI
dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), turut
melihat fungsi media secara praktikal dalam mengembangkan sastera sama
ada melalui akhbar, majalah atau buku.
Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA),
Syed Mohd Zakir Syed Othman, menganggap persoalan hubungan antara
khalayak sastera dengan media dan masalah halaman sastera yang semakin
mengecil sebagai isu serantau dunia sastera.
“Pertemuan dengan
pengarang kreatif dari negara serantau seperti Thailand, Indonesia,
Singapura dan Brunei Darussalam mendedahkan, masalah yang sedang sastera
Malaysia hadapi turut berlaku di negara terbabit.
“Bagaimanapun,
Malaysia masih bernasib baik kerana Berita Harian menyediakan ruangan
Sastera setiap hari, manakala Dewan Sastera yang diterbitkan Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1970-an masih di pasaran,” katanya pada
dialog di Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.
Syed Mohd Zakir yang lebih
dikenali sebagai SM Zakir melihat pengecilan ruangan sastera menunjukkan
sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam dunia dagang dan
pasaran bebas seperti yang pernah berlaku pada zaman sekitar
kemerdekaan.
“Sastera tidak lagi dilihat sebagai komponen yang dapat
menarik keuntungan dan penerbitan karya kreatif dilihat tidak lebih
daripada tanggungjawab sosial untuk memartabatkan bahasa ibunda atau
rasmi sesebuah negara,” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Ketua
Jabatan Bahasa dan Kesusasteraannya, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli
Saludin, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin.
Bagaimanapun,
beliau berharap sastera dan penerbitan karya kreatif dilihat sebagai
tanggungjawab sejarah kerana hubungan antara media dengan dunia sastera
sudah melalui sejarah yang panjang dan penting.
“Baru-baru ini,
saya bertemu dengan editor majalah Kompas di Jakarta yang mengakui
sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam aspek pasaran bagi
majalah gergasi itu dan tidak dianggap sebagai tanggungjawab sosial.
“Hanya
tinggal satu saja untuk menerbitkan karya sastera, iaitu tanggungjawab
sejarah tetapi ia tidak boleh diremehkan kerana sastera menyumbang dalam
sejarah perjuangan dan pengisian kemerdekaannya,” katanya pada diskusi
yang turut dihadiri Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof Madya
Dr Nor Azmi Mostafa dan Pengerusi Jawatankuasa Diskusi Sastera dan
Media, Dr Abdul Halim Ali.
Pandangan Syed Mohd Zakir itu wajar
diberikan perhatian dalam memastikan hubungan sastera dan media serta
tanggungjawab sosial dan sejarah kembali diberi nafas segar tetapi
khalayak sastera juga perlu mengambil kira realiti gerak kerja media
yang lebih bersifat praktikal.
Justeru tidak hairanlah Diskusi
Sastera dan Media itu turut membuka ruang kepada editor yang terbabit
secara praktikal dalam meneruskan kesinambungan sastera sebagai
tanggungjawab sosial dan sejarah, tetapi terikat kepada tuntutan
keuntungan bagi membolehkan syarikat terus beroperasi.
Editor
Sastera, Berita Harian, Salbiah Ani, ketika diminta mengulas pemilihan
karya bagi terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu menjelaskan
baik pengarang berjenama mahupun pendatang baru diberi peluang kerana
penekanan adalah kepada mesej bukan pada status.
“Terus terang
saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya
untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis
berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga
tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka
tidak diberi peluang,” katanya.
Selain itu, pemilihan karya untuk
terbitan dalam kedua-dua akhbar terbabit lebih bertumpu kepada karya
yang mengetengahkan mesej yang baik dan tidak menggunakan teknik terlalu
kabur sehingga menyukarkan pemahaman pembaca massa.
Justeru,
Berita Harian dan Berita Minggu tidak membataskan ruangan Sastera untuk
penggiat sastera tulen semata-mata kerana sokongan pembaca massa
diperlukan bagi membolehkan halaman terbabit terus berdaya saing.
“Kami
bergerak dari dana yang kosong dan dalam situasi semasa yang pembaca
lebih cenderung kepada berita politik, ekonomi dan hiburan, saya sangat
bersyukur ruangan Sastera mendapat dua halaman setiap hari. Beli dan
bacalah akhbar untuk mengetahui bentuk karya pilihan editor.
“Pemberian
halaman berdasarkan jumlah pembaca dan pendapatan yang dijana daripada
halaman menyesakkan Editor Sastera. Faktor kos kertas dan keterbatasan
ruang menjadikan iklan terlalu mahal. Berapa ramai penerbit buku sedia
membeli iklan?,” katanya.
Editor Dewan Sastera, Rozninah Abd
Azib, membuat saranan serupa kepada pembaca bagi memastikan karya
mereka mendapat tempat dalam majalah terbitan DBP kerana tanpa membeli
dan membaca sukar penyumbang menilai bentuk karya yang menjadi pilihan.
“Betul
apa yang dikatakan rakan seperjuangan saya, Salbiah Ani kerana tanpa
membeli dan membaca akhbar atau majalah yang menjadi sasaran penulis,
mereka tidak dapat memahami bentuk karya yang mendapat tempat,” katanya.
Pengurus
PTS Litera, Asma Fadila Habib, berkata PTS Sdn Bhd (PTS) mengambil
inisiatif dan mengembangkan sastera serta karya sastera kerana menyedari
wujudnya ruang kosong dalam bidang penerbitannya.
“Oleh itu,
kami mula mengkaji keperluan pasaran dengan memberi tumpuan kepada genre
yang berasaskan kehendak pembaca generasi muda, tetapi pada masa sama
tetap memperjuangkan bahasa.
“Kami mulakan dengan penerbitan
novel dewasa dengan menekankan kepada pemilihan judul karya kreatif yang
cenderung kepada Islam tetapi tidak terlalu ‘ekstrim’ dalam penekanan
kepada latar agamanya,” katanya.