iDAN

04 Mei 2011

Mior & Aku

Kak Izie semasa remaja.


Mior Hashim Manap
Tahniah menerima cucu yg pertama! Moga dewasanya setajam atuk akan fikirannya!!


Idan Radzi
Mior tengah sarat bercinta dengan Kak Izie; masa tu Abg Hisham rajin berdrama, Sani Sudin Kopratasa masih dengan basikal lumbanya, saya kagum dengan Din Morgan boleh hafal skrip kejap sangat; Abg Sabtu lebih kurang sy asyik lupa skrip...


Idan Radzi
Sesekali Pyan datang.. Pyan Habib tak ubah macam dulu dengan beg galasnya.. sesekali jenguk kita. A Samad Said pun rakan baik Mior... sering datang melihat kita berlatih drama.


Idan Radzi
Arwah Abg Sabtu & Arwah Zain Yahya amat intim... saya hilang dari dunia seni sebab gila nak kahwin; sekadar mengimbau dari jauh perkembangan aktiviti seni Mior juga rakan lain.
SukaTidak suka


Sebenarnya sejak Mior berlakon drama Ke Arah Mana, aku telah begitu meminati artis bernama Mior Hashim Manap ini. Kebetulan Mior juga ada talian darah, jiran sekampung. Kampung Mior di Malim Nawar, sesekali ada Mior datang ke Kampungku di Kota Bharu Perak.

Tak sangka hubungan ini boleh terjalin tatkala aku merantau ke KL. Kami pernah menyambut hari kemerdekaan bersama. Pernah menonton bersama; sayangnya belum sempat aku berlakon teater bawah arahan Mior aku telah menarik diri sebab ketika itu masalah ekonomi meruncing; aku gila nak kahwin dengan Mila.

Aku hanya sempat menjadi Pak Pacak ketika berlakon teater bawah arahan Allahyarham Zain Yahya, drama Tiada Gendang Mengiringi Tari yang dinobatkan Johan bagi Wilayah Persekutuan sekitar awal tahun 80an. Aku sempat berkampungdi UM dalam Pesta Teater peringkat kebangsaan selama dua minggu di sana.

Cuma itu kenangan manis aku dalam perlibatan di pentas teater.
Kerja seni Mior terus berkembang, dari pelakon jadi pengarah. Begitu juga rakan lain, ramai telah melupai aku tetapi aku masih ingatkan mereka.

Taman Budaya Kuala Lumpur antara tempat kami selalu bersama.

Pelawak masih diperlukan.

Kumpulan Senario ujud dari rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan (SPK) pada tahun 1995 melalui TV3. Shamsul Ghau-Ghau menjadi juara dan Mazlan Pet-Pet menjadi naib juara pada ketika itu.

Telah 16 tahun berlalu; Kumpulan Senario masih punyai peminatnya. Selain TV3 pastinya RTM pun ketandusan pelawak bagi menjayakan rancangan berbentuk komedi. Pertandingan sehebat SPK seharusnya di ujudkan bagi siaran TV tempatan. Paling tidak ianya dapat mencungkil bakat artis tanah air selain bergantung dengan Raja Lawak di Astro.

Kita tidak perlu TV Berbayar jika ada penaja yang mampu berkongsi keuntungan dengan TV tempatan. Selain menambah rezeki Pelawak tempatan jika juga dapat mengembangkan bakat seni lakon komedi bagi artis tanah air. Penyanyi yang lahir rasanya telah terlalu ramai berbanding Pelawak. Jadikan contoh Astro yang tak jemu menerbitkan rancangan lawak jenaka ini sebagai pemangkin artis kelakar kita mencari rezeki.

Bakat TV 2011 bila agaknya akan disiarkan. Agar rancangan ini akan mencungkil bakat pelawak selain bakat artis di bidang lain.

Pencarian Bakat TV 2011 Bermula Di Seremban 13 Feb

SEREMBAN, 4 Feb– Generasi muda yang berbakat dalam bidang tarian, nyanyian berkumpulan, bermain alat muzik, lawak jenaka, silap mata dan ventriloquism dijemput menyertai Pencarian Bakat TV 2011 yang akan memulakan sesi uji bakat di Ruang Legar Terminal 1, Seremban pada 13 Feb.

Pengarah Penyiaran Negeri Sembilan Norbaiyah Datuk Baharudin berkata uji bakat anjuran NEGERIfm itu akan diadakan dari 10 pagi hingga 6 petang.

“Pencarian dalam bakat seni tarian dan alatan muzik terbuka secara solo atau berkumpulan, bagi kategori nyanyian hanya berkumpulan, kategori komedi secara solo manakala silap mata secara solo atau duo,” katanya di sini Jumaat.

Beliau mengingatkan peserta yang datang supaya membawa peralatan persembahan dan CD lagu sendiri atau alat muzik ‘hand instrument’ moden atau tradisional bagi uji bakat kategori alatan muzik.

Katanya pencarian di Seremban diharap dapat menarik ramai bakat baru di seluruh negeri sebelum pemilihan ke peringkat seterusnya dijalankan oleh Unit Hiburan TV, RTM.

Episod pertama Pencarian Bakat TV 2011 akan bermula pada bulan Mei.

Norbaiyah berharap mereka yang berminat akan membuat persediaan awal dan mendapatkan borang penyertaan menerusi laman web facebook radiomalaysianegerifm atau www.negeri.fm.

Untuk keterangan lanjut, hubungi talian 06-6753066 pada waktu pejabat.

– BERNAMA

03 Mei 2011

Ish! 8

mengantuk sangat ni...

16,253 Pengikut Kempen Kami.

Bukanlah niat kami mahu Astro itu bankrap, bukan juga terdetik di hati kami rasa dengki "Tauke" Astro itu semakin kaya bertambah kaya; Kempen kami lebih untuk memberikan kesedaran agar orang kita (Melayu terutamanya yang seantero dunia tahu kaum Melayu adalah kaum paling kreatif di dunia) jangan menjadi mangsa plagiat orang lain. Jika Astro boleh berjaya kenapa kita tak boleh berjaya. Kenapa kita tak punyai ide seperti Astro. Kenapa kita tak boleh bersaing. Itu isu pokok & dasar kempen kami. "Kami Mahu Maharaja Lawak (ML) Disiarkan Sepenuhnya Di Astro Prima" bukan di Astro Warna. (Sila Klik URL atas) Salahkah tafsiranku bakat pelawak orang kita dalam sedar tak sedar telah dipergunakan@plagiat oleh pihak Astro untuk mengauk keuntungan besar@berganda. Sedangkan untuk menyewa Astro bukannya murah. Astro Prima bukan siaran TV yang percuma. Malahan dalam siaran mereka di Astro masih terselit iklan. TV Berbayar buang masa dengan iklan, Astro untung besar lagi. Untuk melanggan Pakej Mustika yang ada Astro Warna pula bukannya murah; kena tambah bayaran RM15.95 serta kos bertukar pakej. Hendak hentikan langganan kena bayar kos tukar pakej lagi. (bagi satu pelanggan kiralah ada 3 juta pelanggan Astro kini) Kenapa orang kita asyik jadi mangsa, ada bakat bernilai orang lain yang ambil untung, ada kemudahan berniaga pun orang kita yang jadi Ali Baba. Sebagai contoh seniman Tanah Air kita Tan Sri Dr. P. Ramlee karya seninya siapa yang memegang Hak Ciptanya. Waris Allahyarham seharusnya menjadi jutawan tetapi hanya sekadar manusia biasa. Siapalah si Anak Melayu yang amat kreatif ini bila hak beliau dipinggirkan. Bayangkan jika warisnya telah menjadi jutawan. Filem hitam putihnya pasti mampu dironakan & dipasarkan ke seantero dunia bagi juadah hiburan antara bangsa. Jutaan peminat pasti akan menyerbu pawagam. Jika kita sebut bunyinya tak manis tapi cubalah kita fikirkan, kenapa Astro diberikan hak terbuka; hanya satu-satunya syarikat TV berbayar di Malaya yang begitu maju. Tanpa saingan; bila kita sebut bab gula! lagi tak manis: ceriteranya pun sama bagaikan Tauke Astro ini. Kuasa Taukenya (TAUKE bukan asal Bahasa Melayu) mengatasi kuasa Agong negara. Satu gergasi sahaja meMonopoli segala ruang TV Berbayar. Bagai Tauke Gula. Apakah lantaran Tauke Astro memang pintar berniaga. Aku@kami (suara 16 ribu++ rakyat marhaen) telah pun dua aduan di Biro Aduan Awam JPM dua-dua ditolak; hanya dibuat siasatan tak sampai seminggu. Aku juga telah membuat aduan di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; tindakan mereka adalah sifar 0.00%. Antara aduanku: Kami mahukan ada pihak memantau penyelewengan hak pengguna atau pelanggan Astro. Iklan tak perlu ada jika telah berlesen; notis perlu ada jika mahu naikkan sewaan. Rancangan realiti perlu dibuat kajian semula. Paling penting pihak berwajib perlulah memberikan bantuan@saingan yang sihat dengan mengujudkan beberapa buah lagi stesen TV berbayar yang gah agar rakyat marhaen mendapat pilihan. Para artis yang tersingkir dari ML perlu berfikiran lebih positif; bagaimana mahu mendekati peminat jika memang terdapat tindakan Astro menangguk untung di air keruh carilah syarikat penyiaran yang lain untuk mengembangkan bakat. Jika telah terdapat 16 ribu orang lebih menyokong kempen kami ini; bukankah ini petanda ada kekeruhan di hati peminat. Mereka mahukan pihak Astro jangan kenakan tambahan harga sewa untuk menyaksikan ML. Tetapi pihak Astro telah pun memberikan kata putus; ML telah ditaja oleh Astro Warna. ML hak Astro Warna. Jika memang Astro Warna izinkan dua siri sahaja untuk Astro Prima; hanya itulah sahaja. Peminat ML terpaksalah berkampung di You Tube. Alahai!. Aku bukan Admin bagi kempen ini tapi dalam bualan aku dengan Admin kempen ini; dia amat berharap aku mengambil alih kempen ini. Aku buat aduan kepada pihak berwajib & telah pun dua kali pihak Astro telefon aku. Kempen ini sebenarnya menuju jalan buntu. Nampaknya Astro Warna ada alasan tersendiri; tak dapat tidak jika pelanggan Astro mahu menonton ML secara langsung terpaksalah berkorban RM; menukar pakej yang sedia ada. Melanggan Pakej Mustika yang telah pun menaja ML, satu yang tak mungkin ianya dapat dikembalikan ML ke Astro Prima. Ianya memang strategi perniagaan. Pelanggan sekadar boleh boikot tidak mengundi@SMS atau tidak melanggan Pakej Mustika itu sahaja. Isu atau moralnya ketidakpuasan hati pelanggan Astro terletak balik ke pilihan@selera kita sendiri. Polisi Astro: pihak mereka tidak pernah memaksa kita melanggan Astro. Kenapalah kita tak punyai Syarikat TV Berbayar yang sehebat Astro. Kena ada dana yang kukuh untuk menyaingi kehebatan Astro. Mana hartawan yang sayangkan seni Tanah Air; kenapa tidak berfikiran atau bersaing bagai Tauke Astro ini. Paling tepat jika para Persatuan Seniman Malaysia atau SENIMAN dan FINAS memantau masa depan Syarikat TV berbayar ini tidak sampai mengetepi kebajikan artis Tanah Air. Satu hari nanti pastinya kita mahu melihat semua seniman dapat berkumpul & bertanding bagaikan ML di Syarikat TV berbayar yang lebih unggul berbanding Astro. ML memang dapat mengumpulkan ahli keluarga bersantai di depan TV. (Isu ini berbangkit lagi; Nasib Filem Melayu kita pun dalam dilema bila kita tidak bagai rakyat India yang ketagih ke pawagam; sila lihat artikel di bawah ini. Aku sehati & sejiwa dengan M. Jamil) Ada produser filem tempatan tetap menyokong Astro setelah dua minggu filem mereka ditayangkan di pawagam, mereka menyerahnya kepada Astro First untuk mencari keuntungan. Aku hormati akan keputusan M Jamil. Jika kita merasakan darah kita digigit nyamuk nak buat apa biarkan. Takutnya ianya jadi penyakit Denggi yang amat bahaya. Tampar sahaja. Agar Ilahi Jauhkanlah Musibah Ini. Jika ada saingan yang sihat aku setuju agar M Jamil menarik balik keputusannya. Jangan sampai Astro nak plagiat filem Melayu pula. Diulangi Jangan sampai Astro Nak Plagiat Filem Melayu pula. iDAN Petikan Berita Astro First beri untung KEWUJUDAN Astro First pada pertengahan Januari lalu disambut baik oleh produser tempatan kerana menambah pendapatan mereka. Sudah banyak filem terbaru ditayangkan selepas dua minggu menemui peminat. Namun dalam laporan Rap kelmarin, produser M Jamil menolak filem terbarunya, Momok Jangan Panggil Aku ditayangkan Astro First (Saluran 480) selepas masuk panggung 5 Mei nanti. Menurutnya, dia membuat keputusan itu kerana melihat sudah tiada lagi hak eksklusif untuk filem Melayu dan berasakan ia budaya kurang sihat. Sebagai produser, M Jamil berkata, dia bebas membuat keputusan sendiri. Bagaimanapun, dua produser yang dihubungi tidak bersetuju dengan kenyataan beliau. Kata mereka, Astro First tidak perlu dianggap sebagai 'pengacau' sebaliknya satu alternatif menarik dan menguntungkan buat produser yang mahu mencari pulangan tambahan selain dari pawagam. Produser pengedaran JAS Sdn Bhd yang menerbitkan filem …Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman, berkata kewujudan Astro First banyak membantu menjana keuntungan tambahan buat produser kerana tidak ramai orang suka menonton di pawagam. "Untuk golongan yang tidak suka ke pawagam, mereka lebih suka menunggu tayangan di Astro First selepas dua minggu sesebuah filem ditayangkan. "Mereka tak perlu lagi tunggu pada hari raya yang biasanya akan diisi dengan tayangan filem di pawagam. Dakwaan Astro First punca kutipan di pawagam terjejas juga tak benar kerana produser akan dapat hasilnya apabila filem mereka ditayangkan di saluran itu. "Penonton yang melanggan Astro First perlu membayar RM15 dan sebahagian kutipan akan diserahkan kepada produser.

"Sistemnya sama seperti pawagam dan di sini ia tidak menjejaskan apa-apa pun. Bahkan, ia lebih membantu produser menjana keuntungan lebih.

"Astro First menggunakan mekanisme terbaru dalam gaya hidup di negara kita.

"Sebenarnya yang rugi adalah pengusaha panggung kerana mereka lebih utamakan orang luar dari produk sendiri. Cuba mereka bagi ruang untuk filem kita. Seharusnya pengusaha pawagam bagi ruang filem tempatan tapi semuanya nak buat bisnes semata-mata.

"Jadi, apa yang Astro First buat ini juga adalah bisnes yang membantu keuntungan produser tempatan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut filemnya …Dalam Botol sudah ditayangkan menerusi Astro First dan Raja Azmi sudah mengecapi keuntungan tambahan.

Dia tidak berasakan keputusan menayangkan di Astro First menjejaskan minat orang ke pawagam.

"Bagi saya mereka yang tengok wayang dan tengok TV adalah sasaran berbeza.

"Apapun terpulanglah kerana setiap produser yang ada hak masing-masing. Asto First tidak pernah memaksa tapi yang penting kita ada cara alternatif untuk mendapatkan untung," katanya.

Sama seperti Raja Azmi, produser MIG Productions Sdn Bhd, David Teo bersetuju setiap produser punyai hak sendiri memilih atau menolak tawaran Astro First.

Namun sebagai individu yang sudah lama menghitung kerugian dan keuntungan dalam pembuatan filem, David berpendapat Astro First lebih menolong mengembalikan semula keuntungan kepada produser.

"Bagi filem yang kutip bawah RM4 juta, produser mesti masuk Astro First untuk tambah pendapatan. Ia tak jejaskan kutipan di pawagam.

"Tapi terpulanglah pada produser buat keputusan kerana ada orang tak mahu untung lebih. Memang ada produser yang lebih utamakan panggung.

"Sebagai pengedar untuk filem ini juga, Momok Jangan Panggil Aku, saya sudah bagi penerangan kepada M Jamil supaya dia faham keburukan dan kebaikannya tapi ahli lembaga pengarah syarikat ini buat keputusan tak nak masuk. Saya hormati keputusan mereka.

"Produser lama pun sokong Astro First sepatutnya orang baru lebih lagi. Saya tak masuk pun masih boleh hidup tapi mereka yang tak masuk, akan rugi. Orang nak tolong kita buat untung, mengapa nak tolak?" katanya.

Norman Abdul Halim dari KRU Studios pula berkata, mereka mendapat keuntungan berlipat ganda apabila memilih menayangkan filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) menerusi Astro First.

"Terpulanglah kepada setiap produser untuk buat keputusan. Ini satu terma perniagaan yang perlu diterima atau tidak oleh kita. Bagi kami ia tak beri kesan buruk pada tayangan HMM di pawagam walaupun penonton tahu kami akan tayangkan di Astro First. Tayangan di pawagam dan Astro First sama hangat. Malah sambutan untuk DVD juga hebat apabila dijual lebih 50 ribu unit.

"Ini menunjukkan Astro First buka pasaran baru kerana orang yang pergi tengok wayang pun masih menonton di rumah.

"Saya rasa memang ada kesan psikologi kerana menonton di pawagam dan rumah berbeza. Tapi semuanya bergantung kepada penonton sendiri. Namun, jangan anggap Astro First negatif," katanya.

Berita.

7 lesen telah dikeluarkan!.

CYBERJAYA: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pemberian lesen kepada tujuh stesen TV berbayar akan dikaji semula mulai hari ini dan jika didapati mereka tidak berkemampuan, ia akan ditarik balik. Kajian semula itu dijangka siap dalam tempoh dua bulan, katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan lesen “content application service provider”, “network facility service provider” dan “network service provider” kepada stesen TV Berbayar Astro di sini hari ini. Beliau berkata mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, jika penerima lesen berkenaan tidak menggunakannya dalam satu tempoh tertentu, kedudukan itu boleh dikaji semula kerana terdapat pihak lain yang berminat. Pemegang lesen berkenaan adalah U Television Sdn Bhd, Asiaspace Digital Network Sdn Bhd, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Fine TV Network Sdn Bhd, TM Net Sdn Bhd, MOL Media Sdn Bhd dan De Multimedia Sdn Bhd. Ditanya sejak bila lesen telah diberikan kepada tujuh syarikat itu, Rais berkata: “Ia berbeza antara satu dan tiga tahun.” Dalam tempoh tersebut sebahagian sahaja sudah memulakan operasi, katanya. Kepada satu soalan, Rais enggan menyebut nama syarikat yang tidak aftif beroperasi kerana itu akan memberi gambaran negatif sedangkan mereka belum lagi memulakan operasi. “Untuk berlaku adil kepada orang ramai pula, mereka ini perlu menunjukkan prestasi kerana jika tidak, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) akan masuk campur dan menarik balik (lesen). Tak ada faedahnya jika diberi lesen, penerimanya tidak mampu menggunakannya,” katanya. Mengulas tentang penyerahan lesen-lesen kepada Astro hari ini, Rais berkata ia adalah satu sejarah dalam dunia penyiaran kerana Astro, sebuah stesen penyiaran angkasa lepas, dapat diletakkan di bawah seliaan AKM 1998. Lesen-lesen itu terletak di bawah kerangka migrasi Astro daripada rejim Akta Penyiaran 1998 yang telah dimansuhkan kepada rejim AKM 1998. Dengan perkembangan itu, Rais berharap stesen TV lain seperti RTM, Media Prima dan tujuh stesen TV berbayar berkenaan dapat menonjolkan identiti dan kreativiti ala Malaysia menerusi siaran mereka. – Bernama

iDAN: Pelik juga tak pernah pun kita diuar-uarkan keujudan TV Berbayar ini. Apakah kerajaan tidak membantu memberi dana agar syarikat ini boleh bersaing. Milik siapakah syarikat ini?. TM Net Sdn Bhd seharusnya telah pun gah melancarkan promosi TV kabel yang begitu popular & mendapat sambutan hangat di US.

Jika memang syarikat ini tidak dapat menyaingi Astro kenapa tidak SEGERA dikeluarkan lesen lain untuk syarikat yang boleh beroperasi di pelusuk Tanah Air.

RM160,000 Royalti Karya P.Ramlee Diserahkan

Teks oleh Thani Hasbullah

KUALA LUMPUR, 11 OGOS 2010: Isu mengenai bayaran royalti kepada waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee sudah sering kali dibangkitkan serta dipersoalkan sejak sekian lama. Namun, perkara ini nampaknya sekali lagi timbul selepas kematian anak tunggal lagenda seni itu iaitu Mohamad Nasir Ramlee pada 2008 lalu.

Sewaktu hayat Allahyarham Nasir, pembahagian bayaran royalti ini telah dibuat mengikut hukum faraid. Malah pada ketika itu, Nasir bersetuju untuk menyerahkan sebahagian royalti kepada salah seorang anak angkat P Ramlee iaitu Sazali.

Namun setelah kematian Nasir, bayaran royalti tertangguh untuk tempoh untuk yang singkat. Bagi menyelesaikan ianya sekali lagi menggunapakai hukum faraid dan royalti tersebut telah dibahagikan kepada keluarga Nasir iaitu balunya Surijaningsih Bakar serta 7 anaknya, Zakaria Nasir Nasir, Zaidee Nasir Nasir, Gurlina Nasir, Gurnawan Nasir, Gurnarisasca Nasir, Natasya Nasir, Najua Nasir. Namun sebahagian royalti tersebut turut diberikan hak kepada Sazali yang kini sedang sakit.

Jalan penyelesaian itu dibuat setelah pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), badan kutipan royalti iaitu Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) dan AmanahRaya Berhad telah menemui kata sepakat mengenai pembahagian royalti dalam karya penulisan dan penciptaan lagu itu.

Hasilnya, sebanyak lebih RM160,000 kutipan royalti bagi tahun 2008 dan 2009 telah diserahkan kepada keluarga Nasir. Cek telah disampaikan sendiri oleh Menteri KPDNKK, Dato' Ismail Sabri Yaakob pada majlis khas diadakan di Hotel Le Meriden, petang semalam.

Menurut Ismail Sabri ketika bercakap pada majlis itu berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat.

"Majlis ini akan menjadi satu titik permulaan permuafakatan antara badan bukan kerajaan (NGO) dengan pihak kementerian dalm mencari jalan penambahbaikan untuk membangunkan industri kreatif. Majlis ini juga membuktikan pihak kerajaan memandang serius isu royalty dan menyanjung tinggi karya-karya Allahyarham.

"Saya tahu banyak lagi keluhan warga seni mengenai isu ini telah dipaparkan di media, antara yang paling terkini adalah Datuk Sarimah Ahmad, pelakon dan penerbit veteran yang mempersoalkan mengenai royalti ulang tayang filem lakonan beliau.

"Selain itu, ada juga rungutan daripada para penerbit drama TV dan penulis skrip yang merasakan hak eksklusif mereka sebagai pencipta sesebuah karya dinafikan. Jelas di sini terdapat kelompangan di dalam peruntukan undang-undang kita yang mungkin perlu dilihat semula dan diberi penambahbaikan.

"Semua rungutan dan luahan rasa tidak puas hati para karyawan seni ini telah diambil kira di dalam sesi penderafan pindaan Akta Hakcipta 1987 (2010) yang sedang giat dijalankan kerajaan sekarang ini. Kita sedang pinda peruntukan baru itu agar ia lebih komprehensif dan memastikan ianya selaras dengan piawaian antarabangsa," katanya.

Dalam majlis penyerahan cek itu, Ismail Yaakob turut mengumumkan pihak kementerian bercadang menubuhkan Tabung Amanah Tan Sri P. Ramlee di mana AmanahRaya Berhad telah dilantik sebagai pemegang Amanah.

"Kami akan bekerjasa dalam menghalusi serta mengenalpasti terma-terma serta ahli-ahli yang tersenarai di dalam tabung tersebut. Ia akan menyenangkan semua pihak dalam pembahagian wang royalti dan sebagainya," tambah Ismail.

Turut hadir pada majlis itu ialah, Timbalan KPDNKK, Datuk Rohani Abdul Karim dan Dato' Tan Lian Hoe, Pengerusi MyIPO, Dato' Abdul Manan Ismail, Ketua Pengarah MyIPO, Azizan Mohamad Sidin, pegawai-pegawai kerajaan serta rakan-rakan media.

iDAN: Orangnya telah tiada hasil seninya baru dapat... sedih kan... tu pun tak sebanyak mana. Tapi kira berbaloilah jika ada pihak yang prihatin. Sebab itu isu Astro First ini juga sebaiknya di dalami. Mungkin M Jamil ada jawapannya yang tersendiri. Hanya M Jamil. Bagaimana nak berbual dengan M Jamil ini. Naa Mungkin.

Osama dibunuh komando SEAL

WASHINGTON 3 Mei – Pasukan tentera rahsia yang membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan kelmarin terdiri daripada anggota komando elit SEAL Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang diterbangkan khas menyeberangi sempadan dari Afghanistan.

Dalam operasi sulit itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa Pakistan, beberapa helikopter Blackhawk MH-60 yang diubah suai berlepas dengan membawa pasukan SEAL dari Pangkalan Udara Ghazi menuju ke bandar garison Abbottabad, kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Islamabad.

Sejumlah 22 orang terbunuh atau ditangkap selepas tembakan bertalu-talu dilepaskan selama lebih 40 minit, termasuk Osama yang mati akibat terkena dua tembakan di sebelah kiri muka.

Mayatnya dibawa dengan helikopter yang kembali ke pangkalan, manakala sebuah helikopter mengalami kerosakan mekanikal dan terpaksa dimusnahkan oleh tentera AS, kata pegawai tentera dan White House kepada akhbar National Journal, semalam.

Jika tidak kerana sasaran bernilai tinggi itu, misi tersebut boleh dianggap sebagai rutin bagi pasukan SEAL Team Six yang sangat terlatih, secara rasminya dikenali sebagai Kumpulan Pembangunan Peperangan Khas Tentera Laut tetapi sebagai DevGru di kalangan penduduk tempatan di pangkalan mereka di Dam Neck, Virginia.

Sasaran kali ini sangat istimewa dan serangan ke atas pekarangan sebuah rumah seluas setengah hektar di Abbottabad itu memerlukan latihan rapi, kerana itu mereka mendirikan pekarangan serupa di Camp Alpha, sebahagian daripada Pangkalan Udara Bagram di Afghanistan.

Operasi latihan diadakan beberapa kali pada awal bulan lepas.

DevGru terletak di bawah Pusat Pemerintahan Operasi Khas Bersama (JSOC), gabungan luar biasa terdiri daripada pelbagai pasukan petugas rahsia dan unit misi khas.

Mereka menjawab langsung kepada Presiden AS dan menjalankan operasi di seluruh dunia berdasarkan arahan sulit Presiden yang berteraskan undang-undang (atau luar batas undang-undang). – AgensPembunuhan Osama difilemkan

LOS ANGELES 3 Mei - Pengarah yang pernah memenangi Anugerah Oscar, Kathryn Bigelow dilapor sedang menerbitkan filem bertajuk Kill Bin Laden yang memaparkan pembunuhan dalam serangan pada 11 September, Osama Bin Laden oleh Amerika Syarikat (AS).

Filem yang dibiayai anak perempuan jutawan teknologi Larry Ellison, Megan Ellison itu akan menampilkan aktor Australia, Joel Edgerton, 36, yang sebelum ini pernah berlakon dalam Star Wars.

Menurut laman web industri filem, Deadline.com semalam, Bigelow yang juga pengarah wanita pertama memenangi Oscar menerusi filem The Hurt Locker pada tahun lalu, telah merancang dan memilih pelakon untuk filem tersebut sejak beberapa minggu lalu.

Plot asal filem itu dibuat berdasarkan misi-misi tentera AS yang gagal membunuh pemimpin al-Qaeda tersebut di kawasan sempadan antara Afghanistan dan Pakistan.

Bagaimanapun, Deadline.com melaporkan, jalan cerita Kill Bin Laden akan diubah kepada berakhir dengan 'kejayaan' sama seperti operasi tentera AS yang berjaya membunuh ketua militan tersebut. - dpa

Kematian Osama tidak jejas rangkaian militan Asia Tenggara

JAKARTA 3 Mei - Rangkaian militan di Asia Tenggara melihat pembunuhan Osama bin Laden di Pakistan hanya sebagai tamparan kecil kepada perjuangan mereka.

Reaksi terhadap kematian Osama itu disiarkan di satu laman web Indonesia yang dikendalikan oleh seorang militan dikenali sebagai 'Putera Jihad'.

"Jika berita itu benar, kita semua patut bergembira kerana memang menjadi impiannya untuk mati syahid di jalan Allah.

"Umat Islam tidak perlu bimbang, kerana dengan kehadiran Sheikh Osama atau tidak, jihad akan diteruskan dan Sheikh Osama yang lain akan muncul sebagai pengganti," menurut kenyataan di laman web itu.

Gerakan militan di Asia Tenggara seperti Jemaah Islamiah (JI) di Indonesia dan Abu Sayyaf di Filipina pernah bekerjasama dengan al-Qaeda serta mendapat inspirasi daripada rangkaian yang diasaskan oleh Osama itu, tetapi mempunyai matlamat dan kaedah yang berasingan, kata penganalisis.

Pengerusi pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), Said Aqil Siradj berkata, kematian Osama 'tidak akan terus menghapuskan fahaman radikal dari muka bumi'.

"Kita perlu sentiasa berwaspada kerana fahaman radikal sudah lama wujud dan tidak akan hilang, komitmen kita yang berterusan untuk bertindak memerangi fahaman radikal tidak boleh luntur," ujar beliau.

Sungguhpun al-Qaeda sudah lama menjalinkan hubungan erat dengan militan di Asia Tenggara, rangkaian Osama itu tidak pernah menguasai kumpulan militan di rantau ini dan kematiannya tidak akan menjejaskan operasi mereka, kata penganalisis.- AFP

Labu Sayongku Pecah lagi.


"Kemuning telah pecahkan Labu Sayong ayah..!" aku yang sedang tenguk ZEE terkesima, kali ke berapa agaknya Labu Sayong ini telah pecah. Rasanya sejak di Kampung Malaysia Tambahan lagi aku memang amat menyukai Labu Sayong ini. Aku pasti nak ada Labu Sayong di rumah.

"Dah agaknya dah, bila ayah letak atas meja makan ibu nakkan meja makan tu kosong, suka sangat nak buat padang golf..." ayatnya kurang manis tapi memang aku rasa terkilan, bagiku Labu Sayong itu tak pun menyakitkan mata jika diletak di atas meja makan; aku rajin taruh air dalamnya jika ianya di atas meja. Bila Mila letak atas sofa Jati yang aku sekadar letak koleksi topi-topiku; maka berdebulah ia di situ. Sudah lama tak rasa airnya seakan rasa lumpur. Hari ini Labu Sayongku pecah lagi.

Si Kemuning ia tahu apa; benda berharga ke atau tidak ke ia suka panjat sana panjat sini. Aku pun sering jadi Si Kemuning terperangkap dengan banyak pinggan mangkuk yang diletak amat genting sudutnya. Jika Mila ke dapur perkara perangkap benda genting ini memang sering berlaku. Bertahun-tahun aku jaga pinggan mangkuk jarang terjadi kejadian terhempas ke lantai pinggan mangkuk kaca ini. Jika Mila ke dapur; emm! awas!. Maka itu aku kini suka beli pinggan mangkuk aluminium. Huh! lesut pula; pernah aku terjumpa di luar rumah ianya hampir berkarat, dijadikan pinggan makanan keluarga Si Topeng. Kemuning tetiba datang, kata jiran anak Rosli; ayahnya yang beli. Si Topeng pula kejap suka bertamu di rumah ini, kejap menghilangkan diri di rumah Abang Rosli.

Masa Kemuning datang; ianya amat naif, kurus, mukanya garang amat; tak boleh dipegang pasti menggigit. Sekarang sejak ia beranakkan Kemoren di rumah ini; dia makin gemuk, bulunya halus; manja amat. Tidur pun tak mahu di luar rumah. Tapi perangainya memang pelik; suka panjat-memanjat; kejap tidur atas TV, kejap atas almari, pantang kita tertidur di depan ruang tamu mesti ia akan tidur sebelah kita. Numpang sekaki mimpi kita.

Paling terakhir aku beli Labu Sayong ini sekitar lebih 3 tahun lalu. Ketika anak Kak Kiah buat majlis kahwin. Cantik amat Labu Sayong ini; aku beli pun sekitar belasan RM sahaja. Bukan di kedai pusat bandar Kuala Kangsar tapi di sekitar Kampung Bendang Panjang. Nampaknya bila aku ke sana lagi, ada sesuatu impianku agar dapat memiliki paling tidang sebuah Labu Sayong lagi. Soal pecah jangan fikirkan; dah benda mudah pecah nak buat bagaimana?. Kalau semua orang beli berzaman ianya tak pecah maka macam mana makcik yang buat Labu Sayong nak cari makan. Cumanya rasa sayang aku pada benda berseni begini memang buat aku teruja ingin memiliki lagi. Alahai labuku.

28 April 2011

Dr Faridah PKupm

"Tinggi gula awak ni, saya tukar ubat"

"Saya kurang minum air kosong kut!; pun kurang amat berpeluh"

"Bukan masalah minum air kosong, tapi pemakanan gula yang banyak; risikonya amat tinggi jika gula terus berlebihan begini"

Gula dibadanku bulan lalu 11.0 mmol/L; hari ini 8.8 mml/L. Sebaiknya sekitar 6.0 mml/L. Dr Faridah @ Tha Zin Ko nampak muda orangnya, tambah ubat lagi satu jenis. Dr. Aditya Adawiyah Darwis ada mesyuarat hari ini, lagi pun aku lewat 5 hari dari temujanji. Selalunya yang jaga kes aku adalah Dr Adawiyah. Biasalah jika tak siapa ingatkan aku, asyik terlajak harinya.

Sakit yang lain nampaknya makin reda; jantung, buah pinggang, kolestrol semakin bagus. Darah Tinggi & Diabetes sahaja yang masih meragam. Masih kena makan 5 jenis ubat setiap hari, lain ubat herba.

Ada beberapa faktor dapat kukesan penyakit kronik masih dihidapi. Pertamanya adalah pemakanan, sukar nak dibendung lantaran asyik makan di luar. Jadual makan ubatnya tidak teratur, sering aku terlepas waktu makannya lantaran jadual makan harian pun tak teratur. Kawalan diri dalam mengekang nafsu makan agak payah. Selera makan memang tinggi. Stres itu masih ujud terutama tentang sukar tidur malam. Tak cukup tidur tentunya akan mengakibatkan Tekanan Darah Tinggi sukar dikawal. Terakhirnya memang tak dinafikan kurang bersenam.

27 April 2011

Aziq sambung belajar di Perlis.


Bersyukur amat aku, Aziq diterima belajar di Matrikulasi di Perlis. Bunyi amat jauh; tapi telah itu pilihan dia. Masa mengisi borang di Dunia Maya dia sendiri yang buat pilihan. Nampaknya dia juga sedar kini terasa janggal nak berjauhan dengan keluarga. Jika aku bersamanya mengisi borang pasti tak sejauh itu.

Faktor ekonomi juga mungkin menjadi salah satu petanda; Aziq terlalu lurus dalam mengisi borang macam ibunya. Hakikatnya kami bukanlah keluarga yang berada. Aku telah berpencen, Mila biar pun masih berkerja tapi hutangnya keliling pinggang. Baru sekitar tahun ini dia terlepas sedikit bebanan lantaran emaknya meninggal dunia ketika Afiz buat kenduri kahwinnya. Jika tidak memang dia terpaksa menjaga ibunya; bukan sedikit belanja untuk keluarganya di kampung.

Dalam congakan aku kos dia membantu keluargaku ini, manalah sampai separuh gajinya. Bila aku suruh dia uruskan bil elektrik pun tak sampai dua tahun; telah jadi hura-hara. Bila aku bersara begini sering dia mengeluh tak cukup duit. Terkadang terpaksa korek duit tabung. Maka itu aku seringkan ingat-ingatkan anakku jika mahu sambung belajar, jangan pilih tempat jauh-jauh. Jika nak berjauhan sangat baik pilih Luar Negara. Jika di Perlis bayangkanlah tak mungkin aku dapat jumpa Aziq selang seminggu bagai di Gombak tempat dia ambil SPM. Paling jauh pun aku suka dia belajar di Melaka. Sebab ada banyak memudahan jika dia mahu balik ke rumah.

Ada rakannya yang sama belajar di sekolah rendah & SAM10 dapat panggilan ke sana. Mereka pun terasa ingin tunggu panggilan di Asasi di sekitar sini. Aziq ada juga meminta Asasi di UM, UiTM & beberapa IPTA sekitar lembah Klang. Aku berharap dia akan dapat panggilan pada awal Mei nanti. Agar takdir tuhan tidak memisahkan kami jauh.

Jika dapat panggilan UTP, emm! aku memang berat hati melepaskan, biar jaraknya tak sejauh Perlis. Ianya terpulanglah kepada Aziq & Mila buat keputusan.

25 April 2011

UTP Tronoh.


"Jenaris ke Jalan Duta pun dah ambil masa sejam, Jalan Duta ke Gopeng mesti sekitar tiga jam..." aku mencongak waktu, " dah empat jam; Gopeng ke UTP mahu 2 jam, aku bukan reti sangat ke sana; sebab dah banyak jalan baru, silap ikut terbabas pula ke Parit!". Avanza mana sdap bawa laju; 90 ke 100km munasabahlah.

Bermakna aku akan berjalan jauh esok mahu sekitar 5 ke 6 jam perjalanan. Malam pulak tu. Agar tak ada gangguan. Mila kerja hari ini jika tak siang elok bertolak; tidur di sekitar Tronoh atau Bandar Seri Iskandar. cari hotel bajet rendah memang menarik.

Aku baru telefon Yasin staf di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), dia ajak tidur di rumahnya; isunya tak tahu sampai jam berapa, jika bawah jam 12:00 malam mungkin munasabah; kalau jam 2:00 atau 3:00 pagi baik aku cari masjid atau tidur di tempat rehat sahaja.

Aziq nak temuduga belajar di sana; aku pula lebih suka dia masuk Matrikulasi. Lagi berapa hari sahaja keputusan pengambilannya. 28hb bulan ini. Tak sampai lagi seminggu. Bukannya tak bagus UTP ini tapi isunya bajet. Dalam bualan aku dengan Yasin; sejak kebelakangan ini Petronas hanya kasi biasiswa kepada sekitar 20% pelajarnya. Jika dulu memang Petronas kasi sampai sekitar 50% pelajarnya. Biasanya ada biasiswa adalah kerja menanti.

Nak kejar 20% itu bukan mudah, biasanya organisasi begini pasti ada kuota untuk anak-anak stafnya. Pelajar sekarang pandai belaka; jika kita ini memang tak kabel; Naa Mungkin mudah nak rebut peluang 20% itu.

Itu pun ramai pelajarnya yang diberikan biasiswa tak ada akerja, mereka lepaskan untuk berkerja di tempat lain.

Tak apalah harap-harap aku dapat jumpa rakan lama. Ada dua orang sahabatku di sana; Yasin & Muhammad Ahmad.

21 April 2011

Aziq dapat Dua Anugerah


Anugerah Terbaik Gred Purata (CGPA 1.0)
& Anugerah Terbaik SPM 2010

Biar pun Aziq tak dapat 10A, lantaran kesilapan kecil; dia tersilap buat surat kiriman & karangan Bahasa Inggerisnya (BI) hatta dia cuma dapat Bahasa Inggerisnya B+. Memang dia rasa terkilan amat; Sebelum ini dari UPSR, PMR pun trial exam SPMnya tak pernah pun BI meragam. Pasti A. Aku pun terkilan dengan keputusan BI ini. Tak dapat A dalam mata pelajaran BI memang banyak peluang terlepas.

Namun bila dikira Gred Purata, Aziq mengatasi pelajar lain, biar pun rakannya ramai juga dapat 10A, sebabnya dia dapat banyak A+. Tak ada siapa dapat mengatasi CGPAnya 1.0. Ini pastinya mengejutkan aku, hatta sebaiknya kementerian mengambil kira akan peluang Aziq dalam banyak bidang. Kenapa mesti mahukan syarat A dalam banyak perkara. Sedangkan bukan semua pelajar dapat B itu lemah atau tak cemerlang. Malahan Aziq juga mendapat anugerah pelajar terbaik SPM 2010 di sekolahnya.

Aku pernah menulis bab ini lantaran syarat yang dikena bagi anak staf Sime Darby. Terlampau sangat mahukan keputusan A maka Aziq tersingkir dari mendapat sebarang anugerah lantaran keputusan BI yang bukan A. Aku suruh juga Mila isi borang anugerah tersebut biar pun bahagian pentadbiran anugerah ini kata tak cukup syarat. Ura-uranya mereka akur juga apa pendapat aku. Pastilah jika kita di tempat Aziq rasa terkilan. Bukan senang nak dapar 9A itu; tapi tak siapa nak pandang pun. Sudahlah sesal amat sebab kesilapan kecil BI itu, pulak tu lepas banyak amat peluang.

Dia memang sedar akan masalah BI dia ketika peperiksaan tetapi masa amat terhad. Ini satu panduan yang baik bagi mereka yang nak menghadapi SPM, biar pun anda pelajar yang cemerlang; pastikan faham betul-betul apa kemahuan soalan.

Esok anugerahnya; jam 7:30 pagi kena ada di Sekolah Menengah Teknik Gombak, sedihnya aku sekadar dapat menghantar Aziq, terpaksa berkorban keinginan aku mahu melihat Aziq terima anugerah demi Qasrina. Qasrina kena demam kuning; kenderaan cuma satu yang okey!. Hari ini hari kelima aku terpaksa berkejar ke sana ke sini lantaran kehadiran cucu sulungku ini. Nanti petang aku akan buat pendaftaran Surat Beranaknya. Tadi pagi telah hantar Qasrina ke klinik.

Kebetulan aku telah bersara, jika tidak bagaimanalah Afiz nak uruskan semua, apatah lagi dia tak dapat cuti lantaran kerja sementaranya di TESCO itu tidak membenarkan. Semalam pun sama, semua urusan keluar hospital Atoknya Qasrina yang uruskan.
Penyair iDANRADZi & Aziq

Harapanku Qasrina cepat pulih, pun perjalananku esok berjalan lancar. Sebab setelah hantar Mila & Aziq ke Gombak terpaksa berkejar ke Jenaris untuk hantar Qasrina ke Klinik Kajang.

23.4.11

Afiz & Mie buat keputusan tak mahu Qasrina asyik disuntik, sian bayi yang baru lahir terlalu banyak kena suntikan. Seyogia aku sempatlah melihat hari anugerah Aziq yang meriah. Di sini dapat aku rakam beberapa gambar kenangan ketika Aziq menerima dua anugerah.

Sekolah Menengah Teknik Gombak semakin berjaya melibatkan pelajarnya dengan seni budaya. Antaranya mereka telah ada kumpulan kugiran sendiri. Sedap lagu yang didendangkan. Selain persembahan kugiran, ada juga persembahan deklamasi puisi & pentomin.

Tentunya ini meninggalkan kenangan nan indah buat Aziq & keluarga kami. Setiap pelajar yang dapat A+ mendapat RM50 A RM30 & A- RM20. Semua dana ini datangnya dari tabung PIBG. Sijil & hadiah saguhati ini sebagai pemberian yang bermakna bagi pelajar yang telah giat & tekun belajar.

Ish! 7

manalah bebudak ghairah nak tenguk majlis ni..

Mamat Khalid: Filem Untuk Usop Wilcha Dah lama Dirancang

Teks: Syafiqah Jalal

KUALA LUMPUR, 21 APRIL 2011: Impak yang diterima daripada penonton bagi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) adalah sangat luar biasa. Sehinggakan setiap dialognya kini menjadi ikutan dan ingatan ramai. Antaranya adalah ayatnya yang menjadi trend kini iaitu "cer citer cer citer" dan "kite bakor, kite bakor".

Malah, apa yang paling diingati dan disukai adalah watak Shy8 atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri, 46, sebagai Usop Wilcha dalam filem tersebut. Bagai sudah menjadi fenomena pula apabila setiap gerak gerinya dan katanya dalam HKLBR kini telah menjadi tarikan, perhatian dan ikutan sehingga kini.

Maka, tidak khairanlah jika pengarahnya, Mamat Khalid memberitahu dia bakal tampil pula dengan sebuah filem khas yang memberikan penekananan pada watak Usop Wilcha dalam HKLBR. Apa yang pasti, filem tersebut kini dalam proses pre-production.

"Terus-terang saya katakan, Shy8 memang seorang yang sangat bekerja keras dan komited pada kerjanya. Jika tidak, saya tak rasa dia boleh sampai ke tahap ini. Ini kerana apa yang saya tahu bukan mudah untuk dia capai seperti apa yang dia dapat sekarang.

"Dia sudah mula berlakon dari tahun 2001 lagi iaitu semasa saya mengambilnya sebagai pelakon tambahan dalam filem Lang Buana. Namun bakat dan kebolehannya belum menonjol waktu itu dan ramai tidak menyedari kewujudannya sehinggalah dalam HKLBR.

"Saya tak terkejut dengan apa yang telah diterima sekarang dan saya telah pun menyiapkan pre-production untuk filem khas buat wataknya iaitu berjudul Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh.Filem yang akan mengangkat watak Usop Wilcha sebagai peneraju utama filem ini dijangka bakal memulakan penggambaran pada bulan Julai 2011.

"Sebenarnya perancangan untuk menghasilkan filem ini sudah pun lama dibuat. Iaitu sebelum HKLBR ditayangkan lagi. Waktu itu, saya dah pun berbincang dengan dia. Seorang lagi adakah Zizan Raja Lawak kerana dia bakal pegang watak sebagai Werewolf daripada Bangladesh itu," katanya kepada murai.com.my

Dalam pada itu, Mamat Khalid juga akui berasa amat bangga dengan populariti dan respon yang diterima oleh Shy8 dari orang ramai. Apatah lagi, Mamat antara orang yang terawal yang mula mencungkil bakat Usop dalam bidang lakonan.

"Alhamdulilah, mungkin dah sampai masanya Tuhan nak bagi rezeki ini kepadanya. Padahal, dia bukannya baru berada dalam industri seni ini. Malah, sejak tahun 1997 lagi dia sudah tampil dengan sebuah album solonya sendiri. Cuma baru kini bakatnya terserlah dan disedari.

"Terus-terang masa pertama kali mengambilnya berlakon saya sendiri tidak tahu sejauh mana kebolehannya. Namun saya percaya setiap orang pasti ada keistimewaan dan kebolehan mereka masing-masing. Saya suka pelakon yang on the dot sepertinya.

"Malah saya kini pun sedang berusaha untuk mencungkil banyak lagi bakat baru. Saya rasa kita patut beri peluang kepada bakat baru. Dari situ barulah kita tahu sejauh mana seseorang pelakon itu boleh pergi.

"Sebagai contoh, sekarang ini saya sudah nampak pendatang baru Azwan Anuar yang memegang watak Wak Kaswi dalam HKLBR. Saya rasa dia ada potensi untuk pergi jauh dalam bidang lakonan," kata Mamat Khalid yang ditemui selepas siaran langsung Maharaja Lawak di Finas, Jumaat lalu.

20 April 2011

Qasrina Safiyya suka menjeling

1. Sekitar 8:00 malam Qasrina Safiyya baru sampai di Jenaris, esok atau lusa kena hantar dia ke Seremban; Mie mahu berpantang dengan emaknya. Tak pasti berapa lama di sana. Dalam hujan lebat kami bertolak dari Hospital Serdang; sesak amat terpaksa solat di Masjid baru Sungai Ramal Luar. Qasrina & ibunya sihat walafiat.

2. Setelah kurang 3 hari genap sembilan bulan kini Qasrina telah pun dapat melihat sinar mentari. Hebat si Afiz 11 bulan dari tarikh nikah telah dapat anak. Ayahnya dulu kena tunggu 7 tahun baru dapat jumpa si Afiz ini.

Pertama kali Qasrina lihat Atoknya dia menangis seketika, kemudian nampak dia suka amat menjeling. Kulitnya putih bersih; rambutnya lebat. Beratnya 3.06kg.

2.48 petang Selasa19.4.11. Kini hari keempat Mie@Husna berada di Wad 5F katil P 01. Semalam aku naik kapcai sahaja nak jumpa Qasrina; ayahnya lepas balik kerja juga naik kapcai sahaja berkejar ke Hospital Serdang. Opahnya naik Avanza dari tempat kerja di Damansara ke Hospital Serdang. Kebetulan aku & Opahnya serentak naik satu lif ke tingkat lima.

"Nak Nyaie ada bawakan Qasrina untuk bunga" besar bunga yang Opahnya belikan untuk Husna & Qasrina. Qasrina tengah lena tidur.

"Ish! ada lesung pipitlah... ini mesti curi lesung pipit pamannya Azim" paksunya Azim di sekolah, cuma kami bertiga melawat Mie di wad.

"Ada emaknya datang tadi" aku bertanya Mie sebab semalam emaknya tak muncul-muncul.

"Ada, tu emak ada bawakan bubur!"

"Pukul berapa dia sampai, dulu dia ke dulu Linda & Liza"

"Emak sampai awal jam 12:00 tengah hari" aku perasan Linda & Liza sampai jam 1:00 tengah hari. Jauh Liza memandu sendirian dari Puncak Alam; siap Linda & Liza bawakan banyak hadiah untuk anak saudaranya. Aku terkilan sebab tak dapat kejar mereka di hospital. Sibuk dengan masalah bil elektrik. TNB buat hal lagi; asyik nak keluarkan surat notis potong perkhidmatan, biar pun kami sudah bayar.

Bil di ofis Mila, sejak sekitar setahun dua ini aku serahkan urusan bil kepada Mila, entah berapa kali dah asyik datang surat notis; naik penat aku, pernah satu hari tu sampai Staf Teknikal datang nak potong, dia kasi tempoh sejam dua sahaja untuk dipotong. Hampir 30 tahun aku jaga masalah bil tak pernah jadi seperti ini. Huh! nak salahkan siapa. Mila lambat bayar atau TNB asyik syok hantar notis. Bil pun menggila asyik Bil Anggaran sekitar RM500 sebulan. Paling angin depan mataku Pembaca Meter bermasalah ini tak mahu kasi Bil Terperinci. Pintu pagar terlopong, tak ada pun halangan untuk dia guna teropong meter bacaannya itu. Asyik Bil Anggaran. Aku sudah buat aduan kepada TNB masalah ini. Mereka gelak besar adalah. Memang masalah ini aku akan korek di liang lahat nanti. Mendera pengguna namanya itu. Takkan asyik nak longgok duit di TNB.

Bayangkan aku belum sempat sarapan lantaran selepas Subuh aku sambung tidur sampai meninggi hari; penat amat nak sambut cucu. Jam 1:00 tengah hari baru aku perasan ada notis nak potong elektrik sehari sudah; dari pengalamanku mereka akan nuat potongan sekitar jam 2:00 petang. Biar pun meter elektrik di rumahku belum pernah dipotong tapi memang trauma juga bila tenguk notis potongan ini. Aku berbual dengan rakan sekerja dulu pun sering mereka juga bersungut masalah yang sama, khidmat TNB & kadar bayaran yang tidak munasabah.

"Pemotongan akan dibuat pada 19.4.11 atau tarikh selepas ini" tertera di notis potongan, bil sampai ke peti surat 20.4.11. Itulah cemerlangnya kerja TNB, bayangkan asyik buat bil anggaran sekitar RM500 sebulan. Kadar berganda; bayaran lebih tiga kali ganda banding bil sebenar kami gunapakai. Pulak tu asyik nak potong meter elektrik rumah orang. Mabuk apa TNB ini.

Jika aku jutawan memang aku guna punca kuasa elektrik sendiri, aku nak lihat sangat TNB ini bankrap. Bukan berdoa tapi cara khidmat mereka melampau amat. Titik bab TNB.

Dari jendela wad 5F nampak taman indah di luar sana. Ada kerusi untuk bersantai, tapi tak pernah aku nampak ada orang ke taman ini. Dua hari lalu aku & anak-anak cuba mencari pintunya; pintu ke sana ada tapi tertulis notis. Pelawat tidak dibenarkan masuk ke bilik ini. Pulak!. Macam mana nak ke taman tersebut!.

"Kita rakyat marhaen berhimpit dengan ruang katil yang terhad, taman tu lapang luas!" pesakit sebelah kanan Mie dah hampir seminggu di wad; ada masalah darah tinggi & diabetes seperti aku. Suaminya ramah; orang Puchong.

"Saya pun tak sangka masih ada Kelas Tiga, apa maknanya negara maju; kata Selangor sudah jadi negeri maju; orang negara maju Wad Besalin semuanya percuma mana timbul kelas dua atau tiga jikalau sudah percuma...!" aku berpendapat sedemikian.

"Kecualilah memang kita yang nak Kelas Satu atau nak privasi sikit tak tahu nak guna duit!"

"Haa aah! jika pelawat pun tak boleh ke taman tu baik buat wad tambah katil, bayar sikit pun tak apa!" suaminya mencelah.

"Cukai kita dah banyak amat; cukai jalan rayanya, rumah, tanah, nak makan KFC pun kita kena cukai!" tambahnya

"Itulah fasal dua hari sudah saya sempat berbual dengan adik yang nak sambut anak pertama juga, air temuni dah keluar cuma tak buka luas lagi, masih disuruh balik ke rumah sebab katil semua penuh tadi saya jumpa dia isterinya terpaksa dibedah, sebab songsang katanya!" jika diberikan rehat di wad bila telah keluar air temuni apalah salahnya, mungkin tak jadi kes songsang ini. Aku tak pasti apa jadi pada nyonya dengan anaknya pun ada dua tiga orang lagi punyai kes yang sama.

Bukan tujuan blog ini nak mengungkit, Mie amat beruntung dilayan dengan baik, malahan siap dibantu menggunakan vacuum. Semalam sahaja aku dengar ada tiga kes terpaksa dibedah. Pesakit katil sebelah kiri Mie juga doktor cadangkan untuk dibedah. Dia terus tukar ke Kelas Satu, tak tahu ceriterannya.

Ramai berkata jauh bedanya layanan Kelas Satu & Kelas Dua atau Tiga. Bagiku ini memang tak kena, kita bukan hidup di dunia kasta. Tak semua kita mampu nak ke Hospital Swasta. Tanpa rakyat mana ada negara. Ini memang tanggungjawab kerajaan. Perkhidmatan hospital kerajaan kenalah terusan diperbaiki.

Sesekali cubalah kita melawat di Hospital Klang; Hospital Tengku Ampuan Rahimah; sebagai contoh yang nyata; sarat amat! pesakit di sana terlalu ramai & sesak. Kerajaan memang kena ambil serius masalah Hospital Klang ini. Aku bercakap setelah sering ke sana. Kena buat bangunan baharu. Saranan aku lupakan tentang Kelas Dua & Tiga. Jangan sebut kelaslah seragamkan saja. Nak buat Kelas Satu itu terpulang. Tapi layanan & perkhidmatan jangan pula dikelaskan!. Jangan sampai Kelas Satu ada alat bantuan bersalin Vacuum yang kelas seragam ini sifar!. Kena perbetulkan ini.

Orang luar negara dah beranak dalam air!.

Baru sebentar tadi dapat tenguk gambar Qasrina Safiyya; semalam Atoknya sendirian ke Taman Seri serdang (SS) buat pendaftaran cucu pertama. Pun belikan ubat demam kuning Qasrina. Khamis pagi dia kena suntik di Klinik Kajang. Selalunya kata jururawat bayi perempuan cepat pulihnya sakit demam kuning ini; agar Mie rajin jemur dia cahaya mentari pagi.

Esok mungkin Mie akan balik ke Seremban. Lambat berurut nanti jadi masalah pula. Kalau Mila di Meru pasti dah berulang kali Mak Bidan datang mengurut ibu bersalin & cahaya mata yang baru lahir. Kata Mie emaknya dah tempah tukang urut di Seremban.

Qasrina Safiyya