iDAN
28 Februari 2008
Wajah-Wajah (Singgahsana)
Pejamkan mata. Cuba kita bayangkan wajah pasangan kita. Apakah yang terbit dari dalam kamar hati kita. Apakah ada rasa ketenangan atau rasa sejuk dalam hati kita...
Bayangkan pula wajah ibu kita, bagiku dapat bayangan wajah ibu aku telah rasa cukup damai & membahagiakan. Biarpun ibuku memang telah lama tiada. Dapat aku rasakan segarnya suasana pagi di kampung halaman. Rumah lamaku yang ada pokok jambu di halamannya. Nampak arwah emak menyedai baju di halaman. Terbayang masakan ibu yang tersedap di dunia.
Bayangkan pula wajah ayah. Mungkin pengalaman & perasaan kita berbeda dengan kehadiran seorang ayah. Bagiku apakku seorang yang sentiasa sibuk. Bertanggung jawab. Punya bebanan keluarga yang besar. Mana tidaknya mahu membahagiakan tiga keluarga sekali gus bukannya mudah. Aku tidak dapat ketenangan sepenuhnya bilamana mengingati wajah apakku. Tapi ada satu perasaan yang segar, aku paling hormat akan apakku. Pun aku dapat rasakan dia memang amat menyayangiku. Biarpun aku tidak serapat mana dengan apakku.
Bayangkan wajah teman baik kita. Siapakah yang paling rapat dengan kita. Apakah kehadiran teman rapat kita amat bermakna. Apakah kita bergantung harap dengan dia. Apakah dia benar-benar dapat membantu kita ketika kita susah atau sekadar teman yang sering mempergunakan kita. Mengambil kesempatan dengan apa yang kita ada.
Kembali ke wajah pasangan kita; cuba kita bayangkan andai kata kita kehilangan dia. Bagaimana?. Sedih tentunya; atau adakah kita telah bersedia & tak kisah sangat tanpa pasangan kita. Jika kita punyai cahayamata cuba fikirkan tetiba kita kehilangan dia bagai kejadian Nurin, bagai kejadian Sharlinie.
Mana agaknya lebih kita berduka akan kehilangan seseorang: Isteri, anak, ayah, ibu, rakan, pemimpin kita, Rasul, agama atau siapa?.
Kenapa hari ini aku persoalkan ini. Kenapa aku menganggap kita ini ada auranya. Dengan melihat wajah pun kita telah dapat merasakan aura seseorang. Ianya memang berbeda-beda; bagaimana aura itu terbit pun bergantung dengan diri masing-masing. Bila kita sebut Mawi semua mengakui auranya terlalu kuat. Tenguk wajahnya pun ramai tergila-gila akan dia; malahan ada yang sanggup tidur dengan dendangan lagunya. Tak dengar lagu Mawi sehari gelisah & meresah bukan main. Aura Mawi mungkin banyak lekat kepada peminat perempuannya, peminat lelaki mungkin tidak melampau.
Jika aku aura yang kuat melakat mungkin jika artis P. Ramlee atau Ziana Zain. Tenguk P. Ramlee menyanyi tak berbaju pun sedap gila. Tenguk kelentikan Ziana Zain menari lagilah tak keruan. Kalau pelakon kini mungkin lekat di hati ini wajah si Dynas. Matanya nampak terserlah tajam.
Kembali kepada wajah tadi; kita kerap menyebut cinta pandang pertama. Maka itu juga dalam soal berkawan atau memilih pasangan. Cukup dengan wajah sudah terbit rasa cinta & asyik masyuknya kita kepada seseorang. Kekuatan wajah yang terukir senyum memang boleh menggoda & mengaburkan mata hati kita. Jangan terpedaya dengan kecantikan & wajah semata. Kenalah jauh lebih intim & merapati hati budi seseorang.
Posted on 28.2.2008 at 8:21 AM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan