iDAN
15 Mac 2008
Dynas, Hafizy selamat diijab kabul (Hiburan)
DYNAS dan suami, Hafizy Hafiz di rumah Ibu bapa Dynas di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 15 Mac – Pelakon, pengacara dan model, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 25, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Hafizy Hafiz, 36, di kediaman keluarga artis itu di Seksyen 9, Shah Alam di sini hari ini.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Dynas, Datuk Wan Mokhtar Wan Mohamad, 54, di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Sultan Salahuddin, Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Khairuddin Hayun dengan mas kahwin RM1,001.
Dengan sekali lafaz, Hafizy sah menjadi suami kepada pelakon yang sinonim dengan drama bersiri seram, Susuk itu.
Dihadiri hampir 100 ahli keluarga terdekat kedua belah mempelai, pasangan pengantin baru kelihatan begitu berseri mengenakan busana berwarna putih rekaan Calvin Thoo.
Sempurna
Dynas yang ditemui selepas majlis akad nikah tersebut memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana majlis pernikahannya berjalan lancar dan sempurna.
“Mula-mula memang rasa berdebar sangat, tapi bila Hafizy selamat lafaz akad dengan sekali lafaz saja Dynas dah mula rasa lega,” katanya yang bakal ke Pulau Boracay, Filipina untuk berbulan madu.
Sementara itu, Hafizy ketika ditemui mengharapkan perkahwinannya bersama pelakon itu berkekalan selamanya.
Mengulas lanjut mengenai kerjaya seni isterinya itu, kata Hafizy dia akan terus menyokong aktiviti lakonan Dynas dan tidak akan menghalangnya daripada terus berlakon dan mengacara.
“Saya amat memahami kerjaya Dynas sebagai pelakon dan saya tidak akan menghalang minatnya itu cuma selepas ini, kalau berlakon pun janganlah terlalu banyak,” kata Hafizy yang kini sibuk menjalankan perniagaan permotoran.
Pada majlis yang sama, pasangan tersebut bertukar-tukar dulang hantaran iaitu sembilan dulang daripada Hafizy termasuk wang hantaran RM15,000 beserta set barang kemas dan dibalas 11 dulang oleh Dynas.
Pasangan tersebut bersanding bertemakan raja zaman silam dengan mengenakan sepersalinan songket berwarna emas tajaan Glam Collection.
Utusan
Posted on 15.3.2008 at 6:46 PM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan