iDAN

29 Jun 2009

Lagi 20 kes dilaporkan (Ceritera)

KUALA LUMPUR: Dua puluh lagi kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan di Malaysia dengan empat daripadanya penularan tempatan, menjadikan jumlah kes yang membabitkan penyakit itu kini mencecah 144.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, kes baru yang dilaporkan itu membabitkan 13 rakyat Malaysia dan tujuh rakyat asing iaitu dua rakyat Indonesia dan masing-masing satu rakyat Vietnam, Jerman, Australia, Jepun dan Amerika.

"Daripada 16 kes import itu, mereka mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan wabak influenza A (H1N1) iaitu Australia (6), Indonesia (5),United Kingdom (2), Jepun (1), Singapura (1) dan Thailand (1).

"Empat kes jangkitan tempatan membabitkan rakyat tempatan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Berikutan peningkatan kes import dari Indonesia dan Thailand, Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan menetapkan mulai sekarang, semua pelawat yang datang dari kedua-dua negara itu akan diperiksa sebaik tiba di Malaysia seperti yang dilaksanakan terhadap pelawat dari Filipina, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Kes tempatan terbaru iaitu yang ke-19 membabitkan seorang lelaki berusia 39 tahun dan kontak kepada tiga kes wabak itu (isteri dan dua anaknya).

Dia mula menunjukkan gejala sakit tekak pada 25 Jun sewaktu menjalani kuarantin rumah sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Pulau Pinang dua hari lepas dan disahkan positif pada hari sama serta berada dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan antiviral.

Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dari Sekolah Tinggi Chung Hwa, Seremban menjadi kes tempatan ke-20 dan dia adik pelajar Malaysia yang baru pulang dari Melbourne yang juga dijangkiti wabak influenza A (H1N1).

Dia dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban Sabtu lalu sementara 46 rakan sekelas serta 12 guru sekolahnya dikenakan kuarantin di rumah sehingga 3 Julai.

Kes tempatan ke-21 membabitkan seorang guru wanita berusia 36 tahun yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat dan dia dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu Jumaat lepas dan disahkan positif semalam.

Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari Sekolah Tsun Jin Height, Jalan Loke Yew, Cheras di sini menjadi mangsa tempatan ke-22 dijangkiti wabak itu selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh Sabtu lepas dan disahkan positif semalam.

Menurut kenyataan itu, pengesanan kontak sedang dijalankan dan rakan sekelas pelajar terbabit diminta menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Mohd Ismail berkata jumlah pesakit influenza A (H1N1) yang masih dirawat di hospital berjumlah 42 orang dan semuanya menunjukkan respons yang baik kepada rawatan tanpa komplikasi manakala jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya serta dibenar keluar dari hospital setakat ini 102 orang.

Jumlah kontak yang sedang menjalani kuarantin di rumah berjumlah 618 orang, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana disyaki dijangkiti influenza A (H1N1) setakat ini 2,343 kes iaitu 144 kes disahkan positif manakala 28 kes masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga pukul 8 pagi semalam, jumlah terkumpul kes influenza A (H1N1) adalah 61,688 kes dengan 265 kematian daripada 112 negara, iaitu peningkatan 497 kes.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, tiada pertambahan jumlah kematian dan negara baru.

Australia muncul sebagai negara yang melaporkan pertambahan kes paling tinggi dengan 180 kes, Singapura (145), China (51), Hong Kong (66), Korea (21), New Zealand (16), Malaysia (12) dan Brunei (4). - Bernama

Guru, pelajar dikuarantin

SEREMBAN: Dua lagi kes jangkitan tempatan Influenza A (H1N1) membabitkan ibu dan seorang rakan sekelas kepada pelajar tingkatan tiga Sekolah Tinggi Chung Hwa di sini, dilaporkan berlaku di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib, berkata pelajar tingkatan tiga dan wanita berkenaan disahkan positif H1N1, awal pagi semalam.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) mengarahkan Sekolah Tinggi Chung Hwa ditutup mulai hari ini (semalam) hingga 4 Julai depan.

"Lebih 1,700 pelajar, guru dan kakitangan sekolah itu akan menjalani kuarantin di rumah masing-masing," katanya dalam sidang akhbar di pejabat JKNS, di sini.

Beliau berkata, dua atau tiga pelajar lain dari kelas yang sama didapati mempunyai simptom H1N1, tetapi belum disahkan positif penyakit berjangkit itu.

Kelmarin, seorang pelajar perempuan Sekolah Tinggi Chung Hwa disahkan positif H1N1. Dia dipercayai dijangkiti virus itu daripada abangnya, seorang pelajar sebuah universiti di Melbourne, Australia, yang pulang bercuti, di sini, pada 22 Jun lalu.

Pelajar terbabit dan abangnya kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), manakala ibu dan rakan sekelasnya dikuarantin di rumah masing-masing dengan dibekalkan ubat untuk merawat penyakit itu.

Ismail berkata, setakat ini seramai 13 orang di negeri ini dijangkiti H1N1 iaitu sembilan kes import dan empat jangkitan tempatan.

Sementara itu, beliau memperjelaskan bahawa sebelum ini hanya satu kelas di sekolah itu diarahkan ditutup, tetapi pihak sekolah memohon cuti khas selama seminggu bagi memudahkan menguruskan kawalan penyakit berjangkit berkenaan.

Berikutan kes terbaru membabitkan ibu dan rakan sekelas pelajar terbabit, sekolah itu ditutup seminggu mengikut Akta Penyakit Berjangkit 1988.

Harian Metro

Tiada ulasan: