iDAN

16 Julai 2009

Hamun pengetua (Ceritera)

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

AMPANG: Cukup biadab apabila seorang pelajar lelaki sanggup menghamburkan kata-kata kesat kepada pengetua sekolahnya sambil disaksikan puluhan rakan serta seorang guru yang sedang mengajar dalam kelas berkenaan di sebuah sekolah di sini.

Tindakan kurang ajar itu dilakukan pelajar tingkatan tiga berkenaan sejurus pengetua berkenaan memberitahu mengenai tindakan buang sekolah yang dikenakan terhadapnya.

Perbuatan spontan pelajar berusia 15 tahun itu dianggap keterlaluan kerana dia tanpa segan silu memaki-hamun pengetua wanita berusia 50-an itu.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.45 pagi Selasa lalu, pengetua berkenaan pergi berjumpa pelajar terbabit bagi memaklumkan dia akan dibuang sekolah kerana masalah disiplin serius.

Sumber memberitahu Harian Metro, sebelum itu, pengetua berkenaan terserempak pelajar terbabit di pintu pagar sekolah lalu meminta dia datang ke pejabatnya bagi membincangkan hal berkenaan, tetapi tidak diendahkan sebaliknya remaja itu terus masuk ke kelas.

Menyedari keengganan pelajar itu berjumpanya, pengetua berkenaan mencari remaja lelaki itu di kelasnya.

Menurutnya, sebaik bertemu, pelajar terbabit tanpa menghiraukan pelajar lain dan guru yang sedang mengajar di dalam kelasnya terus menghamburkan kata-kata kesat serta memaki-hamun pengetua berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata ketegangan yang berlaku berikutan tindakan pelajar terbabit meninggikan suara memaki pengetua sekolahnya sedikit kendur apabila seorang anggota polis kebetulan lalu berhampiran kelas berkenaan.

Anggota polis berkenaan berada di sekolah itu untuk menguruskan hal persekolahan anaknya.

“Sebenarnya hal itu berpunca akibat salah faham kerana pelajar terbabit tidak dapat menerima kenyataan dia dibuang sekolah kerana masalah disiplin.

“Pelajar terbabit mula bersikap kurang ajar apabila memaki-hamun pengetuanya sejurus dimaklumkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian berkenaan dirujuk kepada pegawai polis yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ketika sesi perbincangan dengan pihak sekolah yang turut dihadiri ibu bapa pelajar terbabit.

Abdul Jalil berkata, hasil perbincangan, hal itu diselesaikan secara baik dan pelajar terbabit dibuang sekolah dengan persetujuan ibu bapanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: