iDAN

08 Julai 2009

Ketemu Manusia (Singgahsana)


Begini rupanya orang bersara, bila aku congak-congak tak sampai pun satu pertiga dunia aku dapat berbual atau ketemu manusia. Selebihnya aku terpaksa melayan diri. Maka itu aku ingin penuhkan dengan mengabadikan kenangan & minda ini dengan menulis.

Awal pagi bangun sekitar 6:30 pagi, dengar Mila telah bangun awal; paling lewat aku kena meninggalkan bantal busuk 6:45 pagi. Jika tidak suara nyaring Mila akan masuk jauh ke jantungku; suruh solat subuh.

Paling lewat sekitar jam 7:15 pagi hantar Azim. Dapatlah berbual dengan dia di kereta perangku. Itu pun jarang keletah Azim ini baik di awal pagi. Silap bual pasti kena marah. Pagi tadi aku memandu perlahan kereta perangku pun dia sudah marah-marah. Lepas itu jika Mila masih tak keluar rumah aku terpaksa tunggu dalam kereta perang dengar Klasik FM. Tak kan biarkan kereta perangku berjemur di luar rumah. Cukup semalam ianya berembun. Mila biasanya sekitar jam 7:15 ke 7:30 pagi kena bergerak ke ofisnya di Damansara. Aku pernah hantar dia dari Jenaris jika jalan tak sesak sekitar 45 minit sampailah dia ke ofisnya.

6:45 ke 7:30 pagi itu lah waktu untuk aku berpeluang ketemu manusia. Sekitar 45 minit sahaja.

Selalunya Afiz atau Anif bangun sekitar 11:00 pagi. Dua jejaka ini memang kaki berjaga malam, Anif tidur sekitar 12:00 tengah malam ke 1:00 pagi. Afiz aku tidak pasti tapi selalunya aku terjaga sekitar 3:00 pagi sering dia di depan komputer lagi. Jika nasib aku baik dapatlah berbual sekitar 15+15 minit dengan kedua jejaka ini. Afiz bangun-bangun sahaja dengan telefon bimbitnya, gadis dari Kelantan telah sangkut dengannya. Sibuk SMS terkejar-kejar ke KFC, ikutlah jadual shifnya jika jam 9:00 pagi aku kena kejutkan dia 45 minit sebelum itu, jika kejutkan sejam sebelum itu pasti payah amat bangunnya.

Anif pula bangun sahaja pasti dengan Tagged, permainan komputer atau komiknya. Jika masuk jam 12:00 tengah hari mana ada masa untuk berbul dengan aku. Jika masuk jam 1:00 tengah hari dapatlah berbual panjang. Itu pun jika aku mengadap dia, jika tidak pasti dia leka dengan komputer atau komiknya.

Kesimpulannya 15 minit berbual dengan Afiz 15 minit berbual dengan Anif. 45+30. Sejam 15 minit.

Sekitar jam 1:15 tengah hari Azim pula balik dari sekolah, selalunya keletahnya ketika balik agak baik. Dia biasanya meluru ke kamar panjang & kejar komputernya. Ajak makan pun jarang dia mahu, selalunya dia akan kata kenyang. Peluang aku berbual dengan dia sekitar 30 minit, dia masuk sekolah agama jam 2:30 petang. 2:00 petang selalunya dia ngadap TV tak boleh ganggu lagi. Dia leka dengan rancangan kartun. Tak ingat namanya apa... yang ada episod 10 perangai pelik itu. Nasib-nasiblah selagi tak habis ceritera itu takkan mahu bergerak. Aku selalunya punyai masa sekitar 5 minit sahaja untuk memecut laju kereta perangku ke sekoah agamanya. Tak sempat pun nak tekan berek ketika meredah bonggol jalan. Nasiblah Solihin sudah kasi kuasa F1 untuk kereta perangku.

Sejam 15 minit + 30 minit baru sejam 45 minit.

Malamlah baru aku dapat berbual dengan keluarga. Itu pun tak lama mana, selalunya jam 9:00 malam aku telah sendirian melayan si ZEE atau ke HBO & dua lagi kumpula salurannya; layan cerita orang putih. Bayangkan sekitar jam 7:00 malam baru berkumpul. Itupun kalau Mila tak sangkut di jalanan. Dua jam dapat berkumpul, masak makan-makan kemudian ikut haluan masing-masing. Mila ada Gua Hiraknya, anak-anak aktiviti malam mereka. Aku jarang ke surau atau masjid dua tiga kali sahaja dalam seminggu. Bukan saban harian, jika setiap hari aku pergi jawabnya makin tak kenallah aku akan keluargaku.

Minggu lalu aku ke stadium ikut ceramah Datuk Nizar pun sendirian; ajak anak-anak tak siapa yang mahu. Aku masih ingat rutin aku sebelum kenal ICT, kejar masjid ke sana ke sini. Dengar ceramah saban malam. Sekitar jam 9:00 ke 10:00 malam baru pulang.

Sejam 45 minit campur dua jam bersamaan tiga jam 45 minit. Nak sedap kiraan cuma sekitar empat jam aku dapat ketemu manusia dalam sehari. Itu pun cuma keluarga.

Bayangkan betapa sepinya dunia seorang Pesara. Maka itu aku memilih jalan ini menjadi seorang Penyair. Setidak-tidaknya ada sesuatu yang boleh aku sampaikan kepada insani. Mungkin catatan ini ada juga memberi pesanan atau panduan bagi kita menuju arah hidup. Maka itu aku amat memerlukan respon & kata bual bagi kita sama-sama dapat berpeluang membetulkan arah tujuan masing-masing.

Usia pun makin sikit, sakit kronik aku juga semakin bertambah, bulan ini ada dua temujanji. Tengah bulan ujian terapi, sakit darah tinggi, kolestrol, diabetes & buah pinggang. Hujung bulan nanti kena jumpa doktor pakar jantung, ujian terapi peringkat kedua. ubat sekarang ini telah pun masuk ke enam jenis, dua jenis pil untuk darah tinggi, satu jantung, satu lagi diabetes, kolestrol & buah pinggang herba dari China.

Sisa usia sedikit inilah seharusnya sesama kita dapat bertukar maklumat agar ada sesuatu yang bisa kita kenang jika penyair iDANRADZi tiada lagi. Aku tak banyak meninggalkan pesanan hanyalah catatan yang belum selesai ini & puisi-puisiku. Aku juga tentunya tidak sempat membukukan tulisanku.

Semoga ada yang sempat menyimpan tulisan ini di cekera padat buat pesanan kepada generasi sepeninggalan kita nanti.

Tiada ulasan: