iDAN

05 Julai 2009

Manohara hutang RM1 juta (Ceritera Diraja)

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakry Petra Sultan Ismail Petra, semalam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, menuntut isterinya, Manohara Odelia Pinot, menjelaskan hutang berjumlah hampir RM1 juta.

Tengku Muhammad Fakry, 31, selaku plaintif mengemukakan saman berkenaan melalui peguamnya, Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Berdasarkan saman yang difailkan di depan Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Abu Bakar Abdullah Kutty, plaintif meminta Manohara, bekas model terkenal Indonesia, selaku defendan menjelaskan hutang berkenaan.

Beberapa minit kemudian, plaintif turut memfailkan saman kedua yang meminta defendan kembali taat kepadanya selepas tempoh diberikan sebelum ini iaitu pada 2 Julai lalu, tamat dan defendan masih enggan kembali kepadanya.

Saman kedua itu dikemukakan selepas saman pertama difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, Fazlina Mohd @ Mohd Nor.

Serentak dengan kedua-dua saman itu, Tengku Muhammad Fakry turut mengemukakan permohonan interlokutori bagi membolehkan penyampaian saman itu dibuat di luar bidang kuasa mahkamah.

Tindakan itu bagi membolehkan saman disampaikan secara kendiri oleh Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, dengan mengiklankan saman dalam akhbar negara itu atau melalui pos berdaftar.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula untuk kedua-dua kes saman itu, masing-masing di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah, pada 2 Ogos ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan saman pertama di Mahkamah Tinggi Syariah, Tengku Muhammad Fakry mendakwa bernikah dengan defendan pada 2 Ogos 2008 di Istana Mahkota Kubang Kerian dengan berwali hakim.

Plaintif mendakwa sebelum perkahwinan itu, defendan ada meminjam sejumlah wang daripadanya untuk kegunaan peribadi dan ibunya yang berjumlah RM338,500.

Jumlah itu termasuk pembelian jam tangan berjenama bernilai RM174,000 pada 25 Oktober 2005 dan pengiriman wang melalui sebuah bank, membabitkan transaksi bernilai RM164,500 pada 17 Jun tahun lalu.

Sepanjang tempoh perkahwinan itu, plaintif juga memberikan defendan pinjaman wang untuk kegunaan peribadi berjumlah RM634,250 termasuk kiriman wang sebanyak empat kali bermula pada 4 September 2008 dan terakhir 22 Januari 2009.

Plaintif juga mendakwa ketika saman itu difailkan, defendan tidak pernah atau masih belum menjelaskan sebarang amaun daripada keseluruhan jumlah hutang kepada plaintif atau mana-mana wakilnya.

Bagi tuntutan di Mahkamah Rendah Syariah pula, Tengku Muhammad Fakry mendakwa sejak awal perkahwinan hingga Mei lalu, rumah tangga mereka bahagia dan harmoni tanpa sebarang masalah.

Hanya pada 31 Mei lalu, ketika plaintif dan defendan berada di Singapura kerana melawat ayahanda plaintif yang juga Sultan Kelantan yang sedang gering dan mendapat rawatan di sebuah hospital, defendan atas inisiatif sendiri pulang ke negara asal dan sejak tarikh itu, defendan tidak pulang ke pangkuan plaintif sebagai suami yang sah.

Malah, katanya, defendan dan ibunya melalui media di Indonesia mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Ketika ditemui di luar mahkamah selepas memfailkan saman berkenaan, Zainul Rijal berkata untuk kes syariah setakat saman saja dan pihaknya akan menyerahkan saman kepada Manohara melalui perintah yang dikeluarkan mahkamah.

“Kita akan lihat sama ada Manohara datang atau tidak. Jika benar dia mempunyai pembelaan, datanglah ke mahkamah syariah, buat pembelaan dan memberi peluang kepada mahkamah untuk buat perbicaraan dengan adil.

“Ia selaras dengan titah Pemangku Sultan supaya kes berkenaan diadili dengan seadil-adilnya oleh mahkamah.

“Ini permasalahan antara suami isteri. Ini tidak membabitkan pihak istana dan negara. Itu yang kita failkan antara individu suami dan isteri. Jika benar Manohara mempunyai pembelaan, datang ke mahkamah pada 2 Ogos ini untuk memberi persepsi dan keterangan,” katanya.

FAKTA

  • Sebelum berkahwin, Manohara meminjam wang Tengku Muhammad Fakry Petra untuk kegunaan peribadi dan ibunya berjumlah RM338,500 termasuk pembelian jam tangan berjenama bernilai RM174,000 pada 25 Oktober 2005 dan pinjaman berjumlah RM164,500 pada 17 Jun tahun lalu melalui kiriman wang dari sebuah bank.

  • Sepanjang tempoh perkahwinan, Manohara meminjam wang untuk kegunaan peribadi berjumlah RM634,250 termasuk kiriman wang sebanyak empat kali bermula pada 4 September 2008 dan terakhir 22 Januari 2009.
  • Tiada ulasan: