iDAN

14 Julai 2009

Mimpi petanda Kurang Baik 2 (Singgahsana)

"Hujung bulan nanti ayah akan ke pakar jantung Klinik Kardio di Hospital Serdang lagi..!" Afiz diam saja, di tangannya tak lekang dengan telefon bimbit berSMS dengan kekasihnya. Tak putus.

"Jika Afiz temani ayah pasti Afiz akan perasan, tak ramai orang macam ayah; sendirian ke hospital pakar.." Aku cuba menarik perhatiannya. Namun SMS dari gadis pantai timur tersebut lebih menarik minatnya dari berbual dengan aku.

"Jika suami sakit selalunya isterinya ada bersamanya kalau pun tidak anaknya menghantar, jika isteri sakit suami selalunya ada sebelahnya, terkadang tu bukan seorang dua mengiringi..!" Mata aku mengatuk sangat sebenarnya, kenduri Maman Ifi sudah selesai, meriah sekali, tiga hari tiga malam orang tak putus datang.

"Sudah lebih tiga tahun ayah sakit, ibu Afiz macam tak kisah pun!"

"Afiz pun perasan, ibu tu memang tak ambil tahu sangat sakit ayah!.." Baru Afiz bersuara bila dia mendengar ayahnya menyebut ibunya.

"Emmm! rasanya boleh dibilang dengan jari berapa kali ibu hantar ayah, ketika ayah di wad kecemasan pun dia tidak pernah datang melawat!" Aku teringat akan pemergian ayah mertuaku. Mengejut. Masa tiga malam dia di hospital Mak Mertuaku langsung tak risau & mahu melawatnya. Masa arwah Pak Mertuaku telah meracau pun dia tidak rasa risau jauh sekali tergerak hati melawatinya. Apakah sikap emaknya telah menurun ke dirinya. Isteri yang kusayang seorang ini.

"Nanti jika Afiz telah berumahtangga perkara sakit semua ini janganlah diambil mudah, masa sakitlah kita kena ambil perhatian terhadap isteri kita!" Hinggakan Pak Mertuaku meninggal, aku & Mamam Ifi sahaja yang bersama di dalam kereta Jenazah. Perjalanan pulang jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang ke Meru tiada pun diringi Mak Mertuaku. Sampai di rumah sekitar 2:00 pagi. Aku tak nampak Mak Mertua aku menangis atau bersedih. Bagaikan masih ada dalam dirinya satu perasaan marah; salah satu sebab yang aku dapat ramalkan; tiada restunya Pak Mertuaku berkawin dengan orang Indon. Mak Mertuaku tidak mahu bermadu dengan wanita Indon tersebut. Rasanya semua isteri tak mahu bermadu dengan orang Indon tentunya.

"Glukos ayah telah bertambah, dalam tempoh sebulan naik sekali ganda, padanlah ayah rasa badan ini berat semacam!" Sebab itu terkadang ayah sukar bernafas, sering tersedar sekitar 3:00 pagi terasa lemas & sesak bernafas. Badan pula gatal-gatal. Aku pernah mengadu masalah ini dengan Dr Shima maka itu dia membuat surat arahan agar aku dirawat doktor pakar jantung di Hospital Serdang. Tentunya Dr Shima takut musibah akan menimpa seperti apa yang tertulis di artikel ini.

Apabila glukosa darah bertambah, lebih banyak hormon insulin akan dirembeskan oleh pankreas untuk membawa glukosa berlebihan memasuki sel badan.

Apabila kepekatan glukosa dan juga insulin yang beredar dalam saluran darah semakin tinggi, ditambahi dengan tekanan darah yang meningkat, kemungkinan besar lapisan dalam permukaan saluran darah akan terluka bagaikan dicalar. Seterusnya, plak akan terbentuk apabila badan mengambil tindakan untuk membekukan darah.

Dengan permukaan yang berplak, akan mula terkumpul kolesterol, lemak, sel-sel mati dan sebagainya di bahagian itu dan terbentuk gumpalan yang semakin membesar. Pada waktu itu, individu itu selalunya tidak lagi terasa apa-apa yang tidak kena pada badannya.

Malapetaka akan menimpa dalam keadaan badan tertentu, contohnya ketika tekanan darah meninggi secara mendadak. Dalam tekanan darah yang tinggi, gumpalan itu mungkin akan tertanggal dari permukaan dalam saluran darah dan terbawa-bawa dalam pengaliran darah.

Bayangkanlah sebiji bola ping pong yang terjatuh ke dalam kolam simpanan air besar, terbawa ke dalam paip air yang besar dan akhirnya sampai di paip air kecil rumah kita, pastinya akan menyumbatkan paip air rumah dan menyebabkan bekalan air ke rumah terputus.

Keadaan yang sama terjadi apabila gumpalan tersebut menyumbatkan pembuluh darah yang membawa oksigen ke jantung, mengakibatkan serangan jantung yang membawa maut.

Sindrom metabolik bagaikan pembunuh senyap yang mengamuk dan membunuh tanpa disedari atau tidak diawasi gejalanya. Oleh itu, sindrom ini harus diberi perhatian yang serius dalam penjagaan kesihatan.

Maka itu Doktor Pakar Jantung di Hospital Serdang memberikan aku Uniaspirin, Acetylsalicylic Acid ubat mencairkan darah, agar tidak terjadi sindrom metabolik ini. Ianya amat bahaya boleh mengakibatkan strok atau angin ahmar yang membuatkan mangsa diabetes mati mengejut.

Sakit diabetes ini memang mendatangkan selera makan yang bertambah. Bila kekenyangan amat payah untuk mengawal rasa mengantuk. Tambahan pula serangan darah tinggi, kolestrol, buah pinggang , jantung & hati. Aku sungguh tidak secergas dulu. Maka itu aku tidak lagi mahu memaksa diri berkerja keras di majlis kenduri Maman Ifi, buat kerja sedikit pun lelahnya bukan main.

Kebetulan Mila tak bawa pun pakaian Baju Melayu ketika aku pulang ke Meru. Aku sekadar pendatang di majlis tersebut. Mila sebagai anak sulung memilih sebagai penyambut tetamu dengan pakaian anggunnya, aku pula sekadar orang luar tidak sama sekali mengiringi isteri. Hanya memerhati gelagat keluarga mertua ghairah bergumbira menyambut saudara mara & tetamu mereka.

Bayangkan majlisnya selama tiga hari tiga malam; di hari kedua aku memang tak berdaya lagi. Aku mencuri waktu tertidur di masjid entah berapa jam lamanya. Pastinya dengkuranku yang kuat menggamatkan ketenangan masjid. Semakin tua & tenatnya aku. Mana mungkin aku secergas dulu, mimpi tragis & kerisauan tentang kematian tentunya bukan lagi mainan buat insan seusiaku.

Tiada ulasan: