iDAN

01 Julai 2009

Paksa panjat tandas (Ceritera)

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KAJANG: “Saya dipaksa mengikutinya (lelaki tidak dikenali). Jika tidak saya dan ahli keluarga akan dicederakan,” dakwa pelajar perempuan berusia 15 tahun, menceritakan detik cemas dia dipaksa meloloskan diri daripada pengawasan pihak berkuasa dan kakitangan Hospital Kajang (HK), di sini, ketika menerima rawatan, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, remaja itu didatangi seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang mengarahkan dia mengikutinya keluar dari hospital itu.

Menurutnya, lelaki itu turut membawa sepasang pakaian dan mengarahkannya keluar dari hospital berkenaan melalui tingkap tandas.

“Ketika itu tiada seorang jururawat di kawasan itu. Disebabkan takut, saya terpaksa patuh kepada permintaannya itu,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Menurutnya, sebaik berjaya meloloskan diri dari wad berkenaan, lelaki itu membawanya menaiki sebuah Proton Wira sebelum keluar dari kawasan hospital.

“Dia kemudian membawa saya ke sebuah kawasan dusun di Sungai Lui, di sini. Dalam dusun itu ada sebuah pondok dan enam individu tidak dikenali di dalamnya,” katanya.

Pelajar itu berkata, tiga lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang menanti di pondok terbabit memaksanya berulang kali supaya menarik semula laporan polis yang dibuatnya sebelum ini.

“Mereka mengugut akan membunuh saya dan ahli keluarga jika enggan berbuat demikian. Saya kemudian dikurung dalam pondok itu sehingga keesokan harinya (semalam),” katanya.

Katanya, kira-kira jam 8 pagi, semua suspek mendesaknya sekali lagi menyebabkannya bersetuju kerana bimbang dicederakan.

“Sejam kemudian, saya dihantar seorang daripada suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kajang, untuk berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa ditahan pihak berkuasa selepas cuba bertindak demikian sebelum mereka menghubungi ahli keluarganya memaklumkan mengenai penemuannya itu.

Dalam kejadian kelmarin, seorang ibu mendakwa anak gadisnya berusia 15 tahun yang berjaya diselamatkan daripada sekumpulan penjenayah, mendakwa remaja itu diculik semula oleh konco kumpulan terbabit ketika mangsa sedang menjalani rawatan di HK.

Kejadian itu berlaku kurang 24 jam selepas wanita berkenaan menyelamatkan anak gadisnya itu daripada cengkaman lelaki yang didakwa mengurung dan merogol pelajar berkenaan.

Insiden itu menyebabkan derita berganda yang terpaksa ditanggung wanita berusia 40 itu, apabila anak keenam daripada sembilan beradik itu diperlakukan sebagai hamba seks oleh lelaki yang hanya dikenali sebagai Hairi, 30-an.

Malah, akibat terlalu terkejut dengan kejadian itu, ibu berkenaan dikatakan pengsan lebih 30 minit kerana tidak dapat menerima kenyataan.

Peristiwa hitam itu bermula apabila anak gadis wanita itu keluar dari rumah di Bandar Mahkota Cheras, kira-kira jam 5 petang Ahad lalu, sebelum gagal dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Toha Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kita sudah menahan suspek yang merogol remaja terbabit. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ditanya berhubung dakwaan gadis terbabit dilarikan rakan-rakan suspek utama dari hospital, Toha menafikannya sambil menyatakan pihaknya percaya mangsa melarikan diri kerana takut.

“Mangsa bagaimanapun sudah tampil di IPPD Kajang pagi tadi (semalam) dan dihantar semula ke hospital. Dia akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemulihan dan perlindungan,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: