iDAN

04 Ogos 2009

Berikan aku Laluan 4 (Singgahsana)

"Bagaimana nak saman ayah, kita yang mahu melawat; mereka tak undang kita pun."

"Habis tu bukankah ibu perasan si Mas telah pun diambil sampel darahnya hari Sabtu lagi, takkan lambat sangat untuk tahu keputusannya... ini masalah kecuaian" Mila diam sahaja.

"Kita tunggu sampai hari Ahad, jika kita sekeluarga tak dijangkiti kira okey!, tapi Yot kena kita kasi tahu, kot antibodynya tak kuat dia yang tak pasal-pasal dijangkiti" Aku teringat bagaimana dia bersungut-sungut lama sangat Mila melawat Mas. Mungkin juga bisulnya berdenyut-denyut. Seharusnya tiap hari kena dicuci bisulnya lantaran mengidam makan sate dia sanggup tak pergi buat cucian.

Selepas aku jemput Anif kelas Taekwondonya terus berkejar ke rumah Yot di Taman Emas, Jalan Telok Gadong Klang. Jangkaan aku meleset, ingatkan sekitar sejam aku akan sampai ke rumah Yot, rupanya tidak. Dari Jenaris ke sana memerlukan sekitar sejam setengah. 1:30 tengah hari dari Jenaris jam 3:00 petang lebih baru sampai di sana. Kesesakan jalanraya pun ada kemalangan merubah segala perencanaan. Itu pun aku ikut Lebuhraya Puchong kemudian Lebuhraya Kesas. Memandu dengan kelajuan sekitar 90 ke 100km, memang kadar kelajuan itu yang dibenarkan.

Jangkaan aku untuk menghantar Aziq ke asramanya di Gombak sekitar jam 3:30 petang tidak kesampaian. Pulangku ke Jenaris menepati jangkaan sekitar sejam 15 minit aku telah berada di Restoran Yus. Makan sate empat jenis bersama Yot. Ayam, daging, ikan & perut. Yot mengatakan sate di Retoran Yus lebih sedap berbanding sate Haji Samuri, aku pula rasakan lebih suka kuah sate Haji Samuri. Cumanya hanya sate Haji Samuri ayam sahaja yang sedap, dagingnya tidak manis & diperap lama. Kelemahannya pula payah mahu dapat sate perut, ikan atau rusa di Restoran Haji Samuri. Kuah sate di Restoran Yus kacangnya agak hancur kemudian dia tidak memberikan sambal cili untuk lebih pedas. Payah mahu terdapat ketupat hanya ada nasi himpit di kedua-dua restoran.

Aku yang lebih banyak makan satenya berbanding orang yang mengidam. Mila pula bertalu telefon risau amat aku tidak sempat menghantar Aziq sebelum jam 6:00 petang. Aku begitu yakin dapat menghantar Aziq sekitar 45 minit ikut MMR2. Tak kurang tiga kali aku menyambut panggilan Mila. Aku masih ingat 5.06 ptg aku telah berada di depan pintu pagar rumahku. Jam 5:42 aku telah berada di pintu utama Sekolah Teknik Gombak. Itu pun Mila angin tak tentu pasal sebab dia mahukan aku menghantarnya dulu menziarah Mas di Ampang Puteri Specialist Hospital; memang pada awalnya perancangannya begitu.

"Jika kita berbelok ke lain pasti tak sempat menghantar Aziq, tenguk di kad Aziq ini ada rona merah, telah dua tiga kali kita lewat menghantar, lagi pun selalunya waktu melawat sekitar jam 7:00 malam mungkin lebih... kita masih banyak masa untuk patah balik ke
Ampang Puteri Specialist Hospital tu..."

"Iyer! lah minyak bukan ayah yang isi.."

"Tolong sikit tadi ayah telah isi RM30 di Esso tol semua ayah bayar okey! " Aku berangan nak menang pertandingan di Esso yang hanya beberapa hari lagi akan tamat rasanya 14 Ogos ini akan tamatnya peraduan di Esso. Lagipun Esso jauh lebih jimat berbanding Petronas. Biasalah bila aku tak mahu mengalah, Mila senyap saja memandang ke luar tingkap. Harap-harap Yot tak dengar bualan kami, Yot tu kurang dengar; ada masalah perdengaran. Memang dia sibuk hendak bayar duit minyak. Sesekali dia mahu ketemu aku rasanya tak kisah sangat. Lagipun aku tahu Yot tu banyak hutang, elaun pencennya jauh lebih sikit berbanding aku. Jika diperhitung untuk menunaikan rasa mengidam sate Yot itu memanglah tak banyak mana cuma kos makan campur kos berulang alik memang lebih dari RM100 pasti diperlukan.

MMR2 dari tol gombak sepanjang petang Ahad selalunya memanglah sesak amat lantaran ramai dari Pahang & negeri pantai timur pulang ke Lembah Klang bercuti. Biasanya jika aku menghantar Aziq pergi sahaja aku ikut MMR2 baliknya pasti aku akan ikut Damansara, ke Sungai Besi ikut Lebuhraya KL ke Seremban. Sekitar 6:20 petang aku telah berada di pintu masuk
Ampang Puteri Specialist Hospital. Mila turun setelah melawat si Mas sekitar jam 8:00 malam. Manalah Yot tak mengeluh duduk di dalam Avanza. Congaklah berapa lama tu! 6:20 petang ke 8:00 malam. Waktu melawat sampai 9:00 malam lebih. Yot nak jalan pun nampak nazak amat.

Sekarang telah ada Lebuhraya Duke, aku memintas dari Ampang ke arah tol Jalan Duta, menghala ke Klang, Ipoh & menuju ke Bukit Raja. Perjalanannya mengambil masa sekitar sejam juga. Sekitar jam 9:00 malam aku telah berada di rumah Yot; Jalan Telok Gadong Klang. Jenaris sekitar 11:00 malam. Jadinya bila aku congak-congak dari jam 1:30 tengah hari hingga sekitar jam 11:00 malam; perjalananku jika ikut terus di Plus lebuhraya ke utara memang amat jauh aku mengembara. Tentunya telah sampai ke Siam, sedang enak makan Tom Yam campurnya!.

Semasa aku berbual di rumah Yot & Mas aku terbuka mulut mengatakan aku juga sekarang ini sedang pemerhatian doktor. Tak kurang enam jenis ubat terpaksa aku telan saban hari.

"Tapi iDAN nampak sihat sahaja..!" Kata Yong Zaaba, isteri muda Yot.

"Sihat makan ubat & kuat-kuatkan badan ini.."

Bila dalam perjalanan ke rumah, Mila membebel lagi. Dia marah amat aku ceritera makan ubat sampai enam jenis, membebel lagi tentang kegemukanku makin menjadi-jadi pun boroinya perutku ini. Aku diam sahaja, dalam hati aku berkata; rupanya aku kena rahsiakan terus sakitku ini. Jangan ceritera dengan siapa pun. Ini amat mengaibkan Mila. Tanggunglah sendiri sakit ini senyap-senyap wahai iDAN. Pun jika boleh awak kena mati dengan keadaan senyap-senyap juga. Jangan sampai menyusahkan apatah lagi mengaibkan keluarga sendiri dengan sakit kronik awak itu. Memalukan Sang Isteri terutamanya. Titik.
- bersambung

Lebuh raya Duke mula dibuka


MOHD. Zin Mohamed memotong reben semasa merasmikan pembukaan Lebuh Raya Duta-Ulu Klang di Plaza Tol Ayer Panas, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Jan. - Orang ramai dibenarkan menyemak butiran perjanjian konsesi pembinaan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) bernilai RM892 juta antara kerajaan dengan Konsortium Lebuh Raya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Kesturi) mulai hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mereka yang berminat mengetahui butiran konsesi perjanjian tersebut boleh melakukannya di Kementerian Kerja Raya di sini.

''Dengan pembukaan lebuh raya baru ini, dijangka 120,000 buah kenderaan akan dapat menggunakannya setiap hari tanpa perlu memasuki pusat bandar Kuala Lumpur,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Lebuh Raya Duke di Plaza Tol Ayer Panas di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 1,400 keluarga melibatkan 5,000 penduduk setinggan telah dipindahkan ke beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya itu.

Menurutnya, projek pembinaan Lebuh Raya Duke ditangguhkan sejak 1997 dan telah dimulakan semula pada 2003.

Katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu mengambil masa selama tiga tahun dengan sebanyak RM255 juta dibelanjakan bagi tujuan pengambilan tanah.

Terdahulu, Mohd. Zin dalam ucapannya berkata, kerajaan bersetuju kadar tol RM2 yang dikenakan ke atas pengguna Lebuh Raya Duke sepanjang 18 kilometer itu kekal selama enam tahun sehingga 2014.

Bermula hari ini, katanya, pengguna Lebuh Raya Duke akan dikecualikan daripada membayar tol selama sebulan sehingga 8 Februari depan.

Dalam pada itu, katanya, lebuh raya itu dibuka kepada orang ramai setelah kerja-kerja pengauditan keselamatan dilakukan dua kali oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya.

''Aspek keselamatan amat penting kerana kita tidak mahu lebuh raya ini menjadi kawasan maut. Oleh demikian kerajaan memastikan kawasan yang mempunyai cerun dipantau dan diawasi mengikut garis panduan yang ditetapkan,'' katanya.

Mohd. Zin juga memberitahu, sebanyak 46 peratus daripada Lebuh Raya Duke adalah laluan bebas tol.

Sementara itu, Pengarah Projek Kesturi, Chua Soo Kok berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan setiap tahun bagi kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya berkenaan.

Pada tahun pertama, katanya, Kesturi menjangkakan sebanyak 50,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu dengan kutipan tol RM100,000 sehari atau RM36.5 juta setahun.

Utusan

3 ulasan:

- just me - berkata...

Oh baru je lalu Restoran Yus tadi. Tak jauh mana pun dgn rumah kakak. Rupa2nya selama ni mmg slalu lalu depan Restoran Yus tu sbb nak ke rumah kakak melalui Kg Sg Ramal Dalam. Ada jugak tanya kakak ttg Jenaris. Katanya biasa dgr cuma kurang pasti dimana. Mungkin sbb kakak pun baru lagi duduk di sini jadi kurang mahir dgn area2 sekitarnya..

- just me - berkata...

Perihal abg iDan dgn kak Mila, segan juga nak nyatakan pendapat. Sementelah saya masih belum berumah tangga. Tp rasanya lepas puluhan tahun mharung hidup bsama2 kak Mila, abg lebih arif ttg sikap & kerenahnya. Cuma janganlah terlalu berjauh hati.

Sedih bila baca bila abg nyatakan yg rupa2nya sakit abg perlu dirahsiakan. Apapun, moga kekeruhan hubungan abg & kak Mila kan kembali jernih. Kalau takpun pulih sekaligus, beransur2 insyaAllah.

Mungkin ini juga ujian buat abg. Dia mahu mduga sejauh mana abg bertindak sbg seorg suami juga nakhoda dlm melayarkan bahtera rumahtangga. Jgn putus2 berdoa kepadaNya. Semoga Allah mbuka pintu hati kak Mila utk berlembut hati serta melihat/memahami apa yg abg ingin juga dambakan.

Di sebalik setiap kejadian yg berlaku, terselit juraian hikmah yg beribu.

abg iDAN berkata...

Dulu Jenaris itu Dik Ija kira hulu sangat, bayangkan sekitar jam 8:00 malam kereta dah berembun. Sekarang tidak lagi memanjang sesak & abg makin rindu nak balik ke kampung mahu kembali merasai tenang suasana kampung dari kota yang sesak ini.

Tentang Kak Mila itu, abg tak ambil hati pun, dah ralit dengan ragamnya. Biarlah masa menentukannya, lagi pun ramai pasangan lain mungkin lebih terbiar & bergolak berbanding kita.

Selagi ada kudrat rasanya elok juga sendirian merempuh dugaan ini. Memang rasanya tak siapa mahu menyusahkan sesiapa. Apatah lagi kekasih yang bergelar isteri itu adalah segalanya buat kita... takkan kita mahu menyusahkan dia.

Mungkin Kak Mila itu bosan kot lihat abg ini makin hari makin tak macho, makin tua, makin boroi lagi. Pun dia tak pernah tahu bagaimana bahaya & kroniknya pesakit seperti abg.

Ada ketika kita merasakan kita telah tua amat & hidup ini memang telah di penghujungnya. Pasangan kita belum tentu malahan lantaran asyik terima pujian nampak muda, nampak awet muda maka mana nak rasa betapa kita akan sendirian & terpinggir nanti.

Abg teringat bagaimana Arwah Apak menangis macam budak-budak bila abg lewat tiba di tanah air ketika pemergian arwah ibu. Hancur luluh hati seorang suami dapat abg rasakan lantaran semasa hidupnya arwah emak memang menderita dimadu & meninggal pun sendirian. Abg anak bungsu tahulah bagaimana sepinya hati seorang ibu yang dimadukan.