iDAN

25 April 2010

Puisi Darah iDAN di Mingguan Malaysia hari ini.




DARAH ITU TIDAK LAGI MERAH


Darah itu tidak lagi merah
dari perut bumi segalanya menerjah
mahu menghentikan semua kemungkaran
lalu baik anak kecil warga tua
atau golongan istimewa
semuanya menjadi mangsa bencana
syahidlah hendaknya jika dikau beriman.

Gegar takdir itu bukan kejam
tetapi igauan kita yang leka & alpa
membiarkan segala dosa melarat
hinggakan jasad bumi tidak lagi larat
mengampu beban nista kian porak-peranda
sengketa di jiwa raga tanpa pembela
angkuh & ego menindas rakyat jelata
agihan harta negara tidak sama rata.

Darah itu tidak lagi merah
desah semalam tidak kenal pasrah
asyik menuding arah tuju yang gundah
seyogia siasah itu membawa padah.

iDANRADZi
Kajang, Selangor.

Puisi ini telah agak lama saya ilhamkan sekitar Oktober tahun lalu ketika Gempa Bumi menggegarkan Padang, Indonesia. Ianya saya kirim semula lantaran saya memikirkan ada kesedaran sejagat yang perlu kita fikir bersama.

Terima kasih, Editor Ruangan Sastera Utusan Mayasia lantaran sudi menyiarkan puisi ini. Sejak saya bersara saban minggu biasanya saya akan menulis sebuah puisi untuk Utusan Malaysia & sebuah lagi untuk Berita Harian. Rutin ini pasti akan saya teruskan selagi masih punyai ilham.

12 ulasan:

azieazah berkata...

Tahniah Bang IDAN. Saya tumpang gumbira. Best kan, karya kita tersiar di akhbar utama. Saya sendiri sangat besar hasrat kalu sajak tersiar di Mingguan Msia. Rasa hebat tau...

Cetusan berkata...

alahai terlepas pandang MM hari ini, biasa jenguk juga sesekali nak cari WAdi Leta S.A dan A.Ghani ABdullah dari KB..

V.I.C @ D.I.A.N.A berkata...

Hmmm... menarik sangat puisinya. Puisi Vic belum penah keluar Utusan/ Mingguan lagi - takat majalah Mingguan Wanita sahaja. Tak berani nak menghantar ke Utusan sebab belum cukup "kesusasteraaan"nya.

iDAN berkata...

Dik Azah,

Rasanya karya pertama di Mingguan Malaysia terbit tahun 80an tajuknya Embun; kemudian terbit lagi puisi bertajuk Burung Layang-Layang di Kajang. Entah ke mana pergi puisi ini.

Sekitar tahun 80an banyak juga puisi terbit di Majalah tempatan seperti Ummi, Wanita, Al Islam, Mastika.

Sekitar tahun 90an juga pernah terbit beberapa buah puisi di Mingguan & Berita Minggu.

Sebenarnya saya tak pernah berhenti menulis puisi cumanya tak tersiar atau tak punyai ruang untuk kukuh untuk berkarya.

Memang amat susah mahu tembus ke Akhbar Arus Perdana kerana kita punyai ramai penulis mapan yang rajin berkarya.

Saya mempunyai impian untuk cuba berjaya diterima di Dewan Sastera. Telah mula menghantar karya di sana tetapi baru peringkat awal.

iDAN berkata...

Sdr Zeq,

Itu nama besar, saya amat mengagumi tulisan mereka. Karya mereka diterima di semua media massa tidak saya.

Saya sekadar Penyair Kecil.

Saya cuma dapat bergabung dengan mereka ketika Ratib 1,000 Syair. Antologinya sampai sekarang saya tak dapat lihat.

Katanya di DBP ianya masih tersimpan.

iDAN berkata...

Sdr Vic,

Sebaiknya cubalah menghantar ke sana, sebab kita memerlukan penulis pelapis.

Bilamana Penulis Mapan telah tidak berkarya siapalah harapan untuk membangunkan sastera kita.

Saya sebenarnya sekadar mencelah sahaja. Faktor usia pastinya menjadikan saya sekadar Penulis Kecil yang bakal dilupakan.

asilahmuhajer berkata...

alamak..terlepas la plak MM tu. selalunya ahad baca paper BH.

apapun, tahniah dan teruskan usaha berkarya.

saya tak tau bila boleh hasilkan karya camtu. takde bakat la rasanya.

YB berkata...

Salam Idan

Alamak. Aku dah tak beli surat khabar. Dalam MM online ada tak?

iDAN berkata...

Cikgu,

Semua orang ada kemampuan berkarya, sebenarnya puisi ini lebih kepada pengamatan kita dengan persekitaran. Bila sesuatu itu menyentuh hati pasti hati akan berkata sesuatu; sesuatu itu yang sering saya olah menjadi rangkap puisi.

Jika telah sebati dengan kata-kata puisi maka akan petah menulis sekerapnya puisi yg indah. Itu yang berlaku kepada Kelompen seorang pemblog yg amat saya kagumi.

My Life My World berkata...

Tahniah Abang Idan ... moga dapat diteruskan :)

iDAN berkata...

Sdrku YB,

Yang rajin dionlinekan sastera ini hanya Berita Harian, jika dulu siap ada puisi lagi dapat diakses melalui dunia maya sekarang hanya cerpen!.

MM online memang tak ada sasteranya dimuatkan puisi & cerpen!.

Maka itu saya memang tak akan tertinggal beli setiap Sabtu Berita Harian & MM setiap hari Ahad. Sastera di hari tersebut memang ada puisi & cerpen.

Hari-hari lain selalunya anak-anak atau Kak Mila yang rajin beli akhbar.

iDAN berkata...

Ibunya Aran;

Sebenarnya ada berpuluh puisi saya yang dikirimkan di dua akhbar Berita Harian Sabtu & Mingguan Malaysia.

Memang payah nak diterima sebabnya pastinya isinya yang utama; isinya tak sesuai bagaimana boleh diterima; juga terlalu banyak puisi dari Penulis Mapan yang sampai di meja Editor maka kita kena bersaing.

Kerja menulis buat media massa ini rasanya bukannya kerja mudah tapi kena rajin jika sayangkan sastera Tanah Air agar berkembang.

Dulu saya ingat Mastika dalam bentuk saiz besar; puisinya sering menang Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank; sekarang lebih kpd ceritera misteri. Saya dulu amat giat menghantar karya ke sana; hanya sempat sangkut sekali kut!. Puisi itu paling saya suka. Meniti Gerigi tajuknya.

Kempunan amat nak sangkut biar pun sekadar hadiah Sagu Hati hadiah sastera tersebut; barulah boleh dinobatkan sebagai Penulis!. Entah bila?.