iDAN

08 Mei 2010

Petai semakin mahal (Singgahsana)




"Abg berapa seikat ini petai ini?"

"RM3!"

"Dua ikat bang?"

"RM6..." aku sekadar tersenyum, selalunya kalau beli dua ikat dapat murah sikit. Maknanya memang petai tengah mahal. Seikat cuma ada tiga papan; jika petai padi dapatlah RM3 empat papan.

Aku lihat petainya tidaklah nampak baru dipetik, nak makan dengan kulitnya rasa tak berseri. Belilah juga lantaran memang mengidam berulam petai. Mila tak rajin buat Sambal Petai. Selalunya terpaksa beli di kedai jika nak makan sambal udang petang.


Azim anak yang sulung suka sangat Sambal Udang Petai ini. Bulan puasa tahun lalu hampir tiap hari dia bertanya akan Sambal Udang Petai ini. RM5 dapatlah sepiring lepaslah mengidamnya si Azim itu.

Aku pula mengidam nak makan jeruk petai. Jeruk petai sedap dimakan dengan sambal belacan. Janganlah ceritera bab baunya. Yang penting petai memang amat baik untuk merawat mereka yang bermasalah diabetes.

Kenapa petai jadi mahal harganya; pertamanya adalah permintaan. Jika dulu orang kita Melayu sahaja makan petai sekarang tidak lagi; kaum cina pun telah pandai makan petai. Masalah kedua pokok petai pula tak ditanam secara komersial terpaksa dipetik dari hutan. Selalunya Orang Asli memang rajin memetik petai. Jika aku pulang ke Perak biasanya jika musim petai aku suka ikut jalan lama. Di Tapah banyak terdapat petai di kaki lima kedainya. Itu pun tak semurah mana tetapi biasanya ianya masih baru dipetik. Segar lagi buahnya.

Maka itu aku makin tak sabar mahu kembali ke kampung; selain aku teringin nak buat hutan simpan, tanam pokok-pokok herba; aku teringin amat nak tanam pokok petai. Selain petai, aku akan cari anak pokok jering & kerdas. Ulaman ini memang mahal di pasaran. Sukar ditemui Jering Tanam. Sedangkan jering tanam ini tahan lama. Arwah Apak rajin buat jering tanam dengan menanamnya di serbuk kayu. Jering tanam perlukan jering yang tua; lagi tua jeringnya lagi sedap.

Orang Minang pandai membuat pelbagai resepi dari jering ini. Di Kajang ini tak banyak kedai Minang; jika di Kampung Baru KL ada 24 jam kedai Minang. Teringin nak makan masakan Minang. Terutama ada jering rebus, ada rentang hati lembu & pecal.


4 ulasan:

V.I.C @ D.I.A.N.A berkata...

Teringat vic masak sambal ikan bilis petai untuk makan sendiri waktu rehat, sekali bos pun turun makan sekali dengan vic sbb terbau sambal petai...

iDAN berkata...

Vic,

Petua yang Vic kasi tempoh hari nampaknya berkesan; glukos saya dari 10++ turun sampai 4++. Memang mengejutkan.

Selama ini memang saya suka berulam, paling tidak ada jering di rumah. Bulan yang kritikal itu semua saya buang termasuk goji sampai lebam. Malas nak makan.

Bila Vic kasi tahu emaknya pun tak larat nak dengar bebelan doktor makan jering & petai; Seantero Kajang saya cari. Dalam seminggu dua saya makan jering & petai juga buah goji. Alhamdulillah saya kembali normal.

Emmm! kalau bosnya org kita okey!, kalau orang Jepun bagaimana. Suka tak dia makan sambai ikan bilis petai itu?.

anyss berkata...

Salam,
Jering tanam? Mmmm kalau kat Kelantan, masa dulu-dulu orang panggil "jering relung". Tak pastilah pulak budak2 zaman sekarang tau ke tidak rupanya jering ni macam mana.
Saya tak makan jering atau kerdas sebab baunya memang keras. Kalau petai tu boleh tahan juga. Lecek dalam budu dengan tempoyak... fuhhhh memang mabeles. Apa lagi petai jeruk. Sambal udang petai...mmmm tetiba je lapar semula walaupun baru sekejab tadi dah makan nasi minyak 2 kali (kenduri 2 tempat...)

iDAN berkata...

Sdr Anyss,

Jering amat baik jika ada masalah sembelit juga amat baik jika ada masalah kencing manis atau diabetes. Baunya memanglah amat keras tetapi khasiat amay baik bagi org setua saya ini. Mahal pula tu jering tanam ini. RM2 sekitar 3 ke 5 biji sahaja.

Kerdas amat patah ditemui; saya makan belaka.

Petai saya makan dengan kulitnya; biasanya kalau dalam sepapan itu ada ulat kena kopek semua buang ulatnya.

Kak Mila kalau ada ulat habis semua dibuangnya sepapan petai itu. Arwah emak biasanya akan buang bahagian dimakan ulat & masih boleh dimakan bahagian lain. Jimat org dahulu sedangkan petai masa itu baru sekitar 30sen sepapan berbanding sekarang sepapan petai RM1.

Tak semua org pandai buat sambal petai. Tak dapat dinafikan petai ini baik dimakan begitu sahaja atau jeruk atau dibuat sambal sedap belaka.

Maka itu saya terkadang punyai impian mahu kahwin dengan orang asli suka duduk di hutan cari buah petai.