iDAN

22 Mei 2010

Tahniah Shahir AF8 (Singgahsana)


Tahniah Shahir atau Ahmad Shahir Zawawi 21, telah pun dinobatkan sebagai Juara AF bagi Musim ke 8. Pada peringkat awal lagi aku telah nampak Shahir punya watak yang cukup lengkap digelar sebagai artis. Perwatakannya yang memang sederhana tidak pernah nampak sombong & sentiasa mudah didekati. Sikap pemalunya amat menambat hati. Tentunya lantaran kehidupannya sebagai orang biasa buat dia seorang yang merendah diri.

Sebelum ini Shahir adalah salah seorang penyanyi kumpulan nasyid Saujana. Ianya menjadikan satu kelebihan lantaran secara pastinya dia tak punya masalah dalam membawa lagu berbentuk dakwah atau nasyid di masa mendatang.

Buat masa ini segalanya terletak di tangan Shahir ke arus mana dia ingin renangi. Yang pasti agar Shahir pandai membawa diri dalam arus dunia artis yang banyak dugaan ini. Jangan sampai lupa diri & terlalu terbawa-bawa hidup glamour yang belum tentu pasang & surutnya.

Agar Shahir akan terus menjadi artis yang disanjung lantaran sikap merendah diri & tidak menjadi artis yang hanya ada nama sekadar sementara. Dunia hiburan akan tambah meriah jika Shahir terus belajar mendalami muzik & satu ketika nanti petah membuat lagu gubahan sendiri. Sering berlaku artis yang hanya bergantung kepada penerbit atau kompuser akan mudah tertinggal bilamana tiada lagu baik yang dapat melonjakkan nama & kepopularan diri.


Ingin menjadi artis besar atau biduan kenalah banyak belajar serta sentiasa mencari sesuatu yang baru demi menaikkan martabat lagu & muzik tanah air.

Selamat maju jaya buat Shahir; aku sudah pasti menjadi peminat setia Shahir lantaran kita bawah sutu bendera!. Kampar & Kota Bharu Perak tidak sejauh mana.

Juara AF8: Shahir Tepati Ramalan!

KUALA LUMPUR, 22 MEI 2010: Seperti yang diramalkan ramai pihak sebelum ini, Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 21, telah dumumkan sebagai juara pada konsert akhir Akademi Fantasia Musim 8 (AF8) yang berlangsung dengan meriah di Stadium Putra, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Dengan persembahan meyakinkan, Shahir memecah rekod sebagai pelajar pertama menjadi juara setelah di AFMASUK pada minggu kelapan lalu selain turut menjadi pelajar pertama dari Perak menjuarai Akademi Fantasia.

Shahir yang menyampaikan lagu baru, Kebahagiaan Dalam Perpisahan ciptaan sepenuhnya Edry KRU dan Biru Mata Hitamku nyanyian asal kumpulan Wings telah mendapat tepukan yang sungguh bergemuruh dari ribuan penonton yang memenuhi Stadium Putra.

Sebagai juara, Shahir telah membawa pulang hadiah lumayan yang bernilai lebih RM 250, 000 iaitu sebuah kereta Peugeot 207 tajaan Nasim Sdn Bhd, Percutian Hebat ke Hong Kong Disneyland dan bekalan BRAND'S InnerShine untuk dinikmati 1 tahun tajaan Cerebos, 2 tiket perlancongan ke New York tajaan Maybelline New York, Set Karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, jam tangan lelaki dan wanita Hugo Boss, Coway Aiar Purifier, percutian 3h/2m di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG dan trofi Juara Akademi Fantasia.

Sementara pesaing utama Shahir, Adira atau Siti Adira Suhaimi, 19, memenangi tempat kedua dan menerima hadiah sebuah kereta Satria Neo 1.6 CPS HL tajaan Proton, voucer percutian tajaan Maybelline New York, set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, jam tangan lelaki dan wanita Hugo Boss, Coway Aiar Purifier, percutian 3h/2m di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG, trofi Naib Juara Akademi Fantasia.

Daus atau Muhd Shahril Firdaus Eli, 22, mencipta kejutan apabila memenangi tempat ketiga dan membawa pulang set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, voucer percutian tajaan Maybelline New York, jam tangan lelaki dan wanita Hugo Boss, Coway Air Purifier, Percutian 3h/2m di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG, trofi Akademi Fantasia. Daus menyampaikan lagu baru Kenapa? dan Doktor Pakar Cinta dari Yusri KRU.

Maulana atau Muhd Firdaus Maulana Mohamed, 22, yang turut disebut-sebut pesaing utama Shahir dan Adira sekadar menduduki tempat keempat. Maulana menyampaikan lagu baru RSVP dan Susun Silang Kata dari Aizat. Tempat kelima pula menjadi Iwan atau Emirza Azwan Zulazrin Chew, 20, yang menyampaikan lagu baru, VIP dan Relaku Pujuk dari Spider.

Konsert yang dibawakan oleh penaja utama, Cerebos dan penaja bersama Maybelline dan Modenas itu berlangsung selama 3 jam dan dipancarkan secara langsung di Astro Ria serta turut disiarkan buat pertama kalinya dalam siaran HD di saluran 124. Ia turut menampilkan kemunculan istimewa dari Sham Kamikaze, Tam Spider, Lisdawati, Jeff Tilu dan Sharifah Ariana untuk membantu mereka membuat persembahan.

Bekas pelajar AF8 yang tersingkir iaitu Shah, Ema, Anum, Alif, Nad, Farina dan Ain turut muncul dengan lagu Standing in The Eyes of The World, Generasiku dalam bentuk medley.

Pyan: Shahir Bekas Ahli Nasyid Saujana


Teks oleh Razif Rosdi


KUALA LUMPUR, 12 MAC 2010: Penyertaan Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 21 sebagai pelajar Akademi Fantasia 8 (AF8) menimbulkan kejutan bagi peminat muzik nasyid tempatan kerana pelajar kelahiran Perak itu didakwa pernah menganggotai kumpulan nasyid Saujana yang popular dengan lagu Keluarga Bahagia.

Bagi mendapatkan kepastian tersebut, murai.com.my terus menghubungi ketua kumpulan Saujana iaitu Suffian Amrin atau Pyan, 29 untuk mendapatkan kesahihan tentang persoalan tersebut.

"Ya, Shahir pernah menjadi ahli kumpulan Saujana. Tapi sekarang ni tidak lagi. Senang cakap, dia adalah bekas ahli Saujana saja. Sebenarnya, kami dah setahun tak menghubungi Shahir dan agak terkejut juga bila mendapat tahu penyertaan Shahir sebagai pelajar AF8," ujar Pyan.

Meneruskan perbualan, Pyan menyatakan bahawa Shahir hanya sempat menjadi ahli Saujana selama 2 tahun saja iaitu pada 2007 dan 2008. Namun, pada awal 2009, Shahir meminta izin untuk dilepaskan kerana mahu menyelesaikan masalah pengajian.

"Sewaktu Shahir ada, dia memang banyak membantu. Lagipun, Shahir seorang yang pandai bertarranum. Malah, Shahir ni juga sangat gila bola.

"Seperti yang saya katakan tadi, Shahir keluar Saujana sebab ada masalah dengan pengajian. Tentang masalah pengajian Shahir pun pada awalnya tidak diketahui keluarganya sendiri. Jadi, tidak timbulah isu kami bergaduh atau tidak sebulu. Sebenarnya, saya sendiri yang mengajak Shahir join kumpulan kami.

"Waktu itu, kami memang memerlukan ahli baru setelah beberapa ahli lama bekerja secara profesional sebagai doktor dan jurueta. Oleh itu, saya pun cuba dapatkan maklumat siapakah pelajar UIA yang pakar dan pandai menyanyikan lagu nasyid. Jadi, adik saya yang kebetulan belajar di sana telah mencadangkan nama Shahir," jelasnya.

Dalam pada itu, Pyan akui pernah memujuk Shahir untuk kembali bersama Saujana. Namun, pujukan itu tiada jawapan sehinggalah mereka dapat tahu dia sudah menyertai AF8.

"Kalau boleh kami memang mahu Shahir terlibat dalam album terbaru Saujana bertajuk Nota Cinta. Tapi, apa boleh buat. Memang sudah tidak ada rezeki kami bersama dia lagi agaknya, Walaupun kami terkejut dengan penyertaan Shahir namun kami menganggap ia sebagai satu penyertaan yang cukup positif.

"Apa yang dipilih Shahir adalah kehendak peribadi. Kami tak halang dan kami doakan yang terbaik buat Shahir. Kami harap Shahir jangan lupakan Saujana. Ini kerana, dengan Saujana...Shahir kenal industri muzik tempatan. Paling utama, janganlah Shahir lupa daratan," kata Pyan mengakhiri perbualan.

7 ulasan:

abuyon berkata...

salam sahabatku,

Belum sampaikah waktunya
untuk kita dan mereka
ingat kepada yang
maha Esa!

Allah, orang kita sungguh
suka dan banyak
berhibur

iDAN berkata...

Sahabatku Abuyon;

Hiburan begini sememangnya
lekat di jiwa remaja pun sebahagian dewasa
terkadang kita risau amat
melihat gelagat masyarakat kita
sering amat suka berhibur
sampaikan amat leka.

Agar Shahir dapat nampak satu arah
sebab dari asalnya dia seorang
penyanyi nasyid
kita masih mencari-cari seorang
penghibur yang dapat menyedarkan kita; betapa berhibur biarlah
ada batasnya
berleka janganlah sampai melanggar
pantang larang agama;

AF sejak berzaman memang asyik
dipertikaikan namun masyarakat kita masih ramai asyik & bersantai
dengan hiburan darinya.

echah_syed berkata...

hiburan adalah jiwa kerana tanpa hiburan kita ibarat mayat hidup.

hanya mendengar muzik tak semestinya menjadikan kita berdosa besar kpd ALLAH swt.

org yg suka pada hiburan tak semestinya mereka tidak taat perintah ALLAH dan mereka yg 'merasa' sgt alim itu baik disisi ALLAH swt.

wallahualam.

.............

abg idan..combi pun satu bendera jugak dgn shahir.semoga dia berjaya didunia dan akhirat.

bertuah ibubapa dia kerana mempunyai seorg anak yg masih mempunyai sifat malu yg kini jarang dimiliki anak muda skrg :)

sifat malu ni mcm diwarisi sebenarnya sebab jika ibubapa masih ada sifat sedemikian..insyaALLAH anak-anak akan mengikut.

iDAN berkata...

Sdr Combi:

Saya seorang yang minat dengan seni; terutama sastera. Banyak juga lagu puisi amat menarik & dalam majlis Mendeklamasi Puisi sedap sangat laguannya didendangkan dengan gendang. Antara yang mejadi undangan pastilah Papa Rock kita.

Saya juga meminati lagu sariosa Jepun tak fahampun apa yang dilafazkan; tapi ianya memang menarik halua telinga.

Begitu juga lagu keroncong yang memuja keindahan alam sungguh asyik dan damai ketika mata mengantuk.

Saya juga meminati lagu orang asli tanpa seruling atau talian digesik... tentulah di KlasikFM sedangkan saya tak faham pun tutur kata mereka.

Jiwa kita berbeda maka rasanya terpulanglah kpd kita sejauh mana mahu menikmati hiburan.

Maka itu jika amati laguan popular sedunia muzik hindustan ianya dicipta oleh orang kita Islam amat dikagumi; pasti ada rahsia kenapa Tuhan turunkan ilham buat kita org Islam.

Jangan leka & sampai meraban itu sudah pasti. Ada batas muzik di dalam Islam.

V.I.C @ D.I.A.N.A berkata...

Vic pertama kali tgk AF masa konsert FINAL aritu. Dan sebagai org pertama kali tgk, sejuk mata pandang shahir. Kebetulan lagu baru dia tu sedap betul telinga mendengar. Pasang harapan juga supaya dia menang. Tak sangka pula dia peserta favourite rupanya.

Lepas baca entry abg iDAN ni baru vic tau dia ni bekas ahli kumpulan nasyid SAUJANA. Woww.... bertambah suka plak dengan dia ni.

Pagi ni ingat nak cari mp3 lagu dia aritu...

iDAN berkata...

Sdr Vic,

Dia dari keluarga sederhana macam kita; nampaknya aura dia boleh tahan; agar Shahir akan pandai membawa diri & menjadi artis yg disegani.

Dia peserta pertama dari Perak yg menjadi Johan AF, saya pun tak ikut sangat AF8 ini tapi sesekali tenguk memang nampak Shahir amat berbakat & keletahnya memang layak digelar artis. Dia bawa lagi sentimental 80an memang sedap!.

AF7 saya sokong Awoh tetapi kecundang.

- just me - berkata...

Abg iDAN,

baca entry abg baru2 ni baru saya tahu Shahir ni yg jadi juara AF musim ni. sejak pulang ke KT, mmg tak layan langsung cerita2 tv sbbnya takde tv apatah lg astro kat umah sewa.

rasanya shahir & kebanyakan peserta AF lain tak jauh bezanya. rata2nya org yg dtg drp keluarga yg sederhana atau susah. bezanya cuma si shahir ni pemalu berbanding peserta2 lain (sama ada musim ni atau musim2 sebelumnya). mungkin kerana itu dia nampak lebih 'suci'.

ttg hiburan yg melalaikan ataupun tidak, rasanya itu lebih pada penerimaan individu itu sendiri. kalau dgr lagu nasyid tp peringatan langsung tak diambil, tak guna juga. pun tak mustahil dia dgr lagu2 cinta, dia tersedar yg tiada cinta yg lebih agung drp cinta Ilahi.

kesimpulannya, hiburan itu bergantung pd persepsi masing2. baik yg diambil, maka moleklah. buruk yg diambil, maka rosaklah.