iDAN

06 Julai 2010

Halalkah Sijil Simpanan Premium?

Pandangan Pertama.

Soalan:

mohdnoorsalleh@gmail.com.

Apakah hukum kita membeli Sijil Simpanan Premium (BSN) dan apakah hadiah itu halal dari hukum syarak

Jawapan :

Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Mesyuarat majlis fatwa kebangsaan pada 26-27 September 2007 memutuskan bahawa Sijil Simpanan Premium – BSN diharuskan.

Oleh itu, hadiah yang ditawarkan juga dihukumkan harus untuk mengambilnya. Wallahu ‘alam.

Panel Kemusykilan Agama, JAKIM

Nombor Rujukan :PANEL SJAI 060209

Tarikh Selesai :06/02/2009 08:14 AM


Pandangan Kedua

Guest ustaz,bolehkah muslim membeli sijil simpanan premium BSN? apa pandangan Islam mengenainya?

Boleh, dah ada fatwa

http://www.ustazamin.com/


Pandangan Ketiga

Hukum menyimpan wang didalam Sijil Simpanan Premium

Soalan 02

1. Apakah hukum menyimpan wang dalam Sijil Simpanan Premium yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional ?

Jawapan :

1. Kita boleh menyimpan wang di mana-mana sahaja dengan syarat Institusi Kewangan tersebut tidak terlibat dengan :

i - Perniagaan berunsurkan RIBA.

ii - Terlibat dengan pelaburan yang haram.

iii- Perjudian.

iv - Penipuan.


Pandangan Keempat

07 hb Januari 2010 pukul 1.32 pagi

Ulasan Hukum Sijil Simpanan Premium

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

Hukum sijil simpanan premium telah lama ditanya kepada saya. Sekitar tahun 2006 saya pernah memberikan respon ringkas namun tidak mempunyai kata putus disebabkan kekurangan informasi.

Dari masa ke semasa saya masih sesekali meninjau perkembangan Sijil Simpanan Premium ini. Sebagai yang pernah saya sebutkan di dalam ulasan sebelum ini, beberapa perkara perlu dilihat untuk menentukan status hukum bagi Sijil Simpanan Premium, iaitu :-

* Wang terkumpul hasil simpanan orang ramai, ke mana dilaburkan? Dan siapa yang memantau?

* Apakah kontrak yang digunakan antara penyimpan dan pihak BSN ? Adakah wadiah, mudarabah atau Qard?

* Hadiah yang ditawarkan melalui cabutan adakah ia judi ?

* Adakah produk Sijil Simpanan Premium ini diletakkan di bawah BSN Islamic Bank dan telah mendapat pengesahan Majlis Shariahnya?

Tanpa maklumat yang mencukupi, kesemua empat perkara tersbeut di atas tidak akan dapat disemak dengan adil lagi tepat. Hasilnya saya gagal memberikan sebarang pandangan berkenaan statusnya.

PERKEMBANGAN

Namun demikian, pada awal tahun 2008, saya bertemu dengan seorang bekas Pegawai BSN Islamic Banking di Pesta Buku Antarabangsa, ketika itulah saya mula mendapat lebih banyak maklumat dari bekas orang dalam BSN sendiri. Beberapa persoalan yang kabur sebelum ini telah terjawab. Tatkala itu status hukum untuk SSP yang mampu saya rumuskan adalah, ia adalah tidak patuh Shariah atau dalam kata lainnya, ia haram kerana wang yang terkumpul dilaburkan secara halal dan haram tanpa sebarang pemantauan. Saya juga dimaklumkan tiada sebarang kontrak jelas antara penyimpan dan BSN, serta produk ini tidak disahkan oleh Majlis Syariah BSN Islamic.

Namun demikian, saya masih sukar untuk menulis apa-apa secara terbuka kerana kebanyakan maklumat adalah secara verbal tanpa bertulis.

Sehinggalah Julai 2009 ini, satu Seminar Kewangan Islam akan dianjurkan oleh USIM. Saya turut menyumbang satu kertas kerja untuk pembentangannya pada 16 Julai 2009, namun kemungkinan besar saya tidak dapat hadir. Cuma sewaktu meneliti tajuk-tajuk pelbagai kertas kerja para pembentang saya terlihat satu tajuk yang berkaitan iaitu :-

"The Issue of Gambling in Premium Savings Certificate (Sijil Simpanan Premium) of Bank Simpanan Nasional in Malaysia: An analysis from the Shari'ah perspective"

Saya dengan segera menghantar email kepada penulis dan pembentang yang juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah BSN Islamic.

Dan berikut adalah petikan email beliau kepada saya memberitahu hasil kajiannya :-

Sebenar ada berberapa isu Syariah berkaitan SSP antaranya:

* 1- Persoalan sama ada SSP ada unsur perjudian, tetapi berdasarkan operasi SSP, tiada judi.

* 2- Qard, kerana dari segi perundangan, akaun SSP adalah satu qard daripada BSN, so BSN tak boleh janji sebarang hadiah kerana "Kullu qardin jara naffan fahua riba".

* 3- Investment, diurus secara konvensional, bercampur-aduk riba dan non-riba. Lagi pun BSN sendiri dari segi pentadbiran dan akaun memang menganggap SSP sebagai produk konvensional.

Solutionnya ialah mengikut apa yang dilaksanakan oleh Bank Islam, kerana kebetulan yang design "SSP-i" asalnya staff BSN, kemudian berpindah ke Bank Islam.

Bagi sesiapa yang inginkan perbincangan dan perdebatan lanjut berkenaan hal ini, hadirlah ke pembentangan kertas kerja tersebut di persidangan ini .

KESIMPULAN

Jika demikian, hasil kajian beliau adalah sama dengan hasil kajian awal saya cuma tidak mampu saya coretkan secara bertulis kerana ketiadaan autoriti dan bukti bertulis.

Saya bersetuju bahawa hadiah kereta dan sebagainya yang diberi melalui cabutan nombor sijil yang dipegang oleh penyimpan adalah bukan judi. Ia jelas kerana pihak penyimpan tidak mengalami sebarang kerugian walau tidak terpilih. Justeru ia bukan judi yang sifatnya mendedahkan peserta kepada rugi jika tidak terpilih, untung jika menang. Hal itu tiada dalam sistem cabutan SSP.

Saya juga bersetuju bahawa kontrak di antara BSN dan penyimpan adalah qard atau pinjaman, Justeru, sebarang hadiah atau dividen yang dijanjikan oleh BSN (jika ada) adalah riba berdasarkan hadis dan ijma ulama.

Saya juga bersetuju bahwa apabila wang terkumpul disalurkan kepada pelaburan bercampur halal dan haram, ia sama sekali TIDAK PATUH Shariah YANG TIDAK BOLEH disertai oleh mana-mana orang Islam.

Justeru itu, apakah hukum Sijil Simpanan Premium BSN ?

Saya difahamkan pihak BSN Islamic sedang bertungkus lumus memperbaiki system sedia ada SSP kepada cara dan kaedah Islam.

Sementara belum wujudnya produk SSP Islam, menyertai SSP yang sedia ada adalah sama seperti menyimpan di dalam sebuah akaun riba di mana-mana bank konvensional. Hukumnya juga adalah sama, iaitu haram, menyertainya juga haram.

Majlis Syariah BSN Islamic juga tidak memberikan sebarang pengesahan patuh Shariah kepada produk SSP ini. Saya juga difahamkan bahawa pihak JAKIM juga telah dimaklumkan berkenaan hal ini dan mereka sedang melakukan tindakan yang sewajarnya untuk menanganinya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman


Ulasan Peribadi:

Inilah masalah kita umat Islam segalanya bercampur-aduk; Halal; Haram;

Rata-rata gaji pekerja di UPM umpamanya ramai yang dimasukkan ke CIMB atau MayBank bank yang mengamalkan sistem riba, kita tidak pun membuka akuan cara Islam, kita endah tak endah sahaja masalah ini.

Mentelaah akan hukum-hakam SSP di atas jika majlis agama Islam telah mengharuskan SSP kita pula bertelingkah akan halal haramnya maka semakin rumitlah hidup kita.

Bila kita kaji betul-betul selagi kita bergaul dengan kaum kafir dapatkah kita melarikan diri riba ini. Sedangkan gula yang dimakan pun hasil & keuntungan manusia terkaya di Malaysia itu dilaburkan di mana! di simpan bank mana. KFC itu sendiri pelaburnya siapa duit keuntungan dibiakkan di mana. Samalah TESCO itu milik siapa, kita asyik bantu mereka. Kita asyik memajukan mereka yang membenci Islam kita.

Bila MyDin kita asyik perlekehkan tuduh barangan rejek & pelbagai cemuhan. Sedangkan harumannya atau minyak wanginya sama saja baunya yang dijual oleh mereka di kedai lain yang berganda mahalnya. Berasnya jauh lebih murah & tetap enak kalau pandai memasaknya. Kain pelekatnya tak pun reput malahan murah lagi.

Kedai Mamak pun sama mereka berurusan dengan siapa?. Aku jenis sering memerhati perniagaan mereka; rata-rata bekalan mereka dari kaum cina. Van kaum cina yang hantar pelbagai barangan. Ah! penat.

Kami memilih meletakkan Mas kahwin di SSP tahun 80an adalah lantaran keraguan perjalanan Bank Islam. Pengalaman nak beli rumah perlukan 20% dari harga rumah; kita ramai tak mampu!, bukan tak mampu tapi layak pun memohon Pinjaman Perumahan di Bank Islam. Isu ini yang memerangkap kita ke arah meminjam ke bank komersial; bank konvensional yang mengamalkan riba.

Yang nyata kalau pun kita dapat hadiah utama SSP, BMWlah katakan tak memastikan kita kaya raya pun!. Jual BMW sedekahkan ke rumah anak yatim atau yayasan kebajikan. SSP baru sekarang ada dividen dulu memang tak ada apa pun. Sebab itu aku kata ianya tak riba. Nak kaji akan ke mana dilaburkan duit kita simpan samalah kalau kita nak tahu majikan kita dapat duit dari mana? Nah! apa kurangnya duit Tabung Haji tau-tau lesap dihilangkan diselewengkan.

Dulu aku memang ada beribu duit sijil SSP ini, habis aku jual tak tahulah pula ada saki baki lagi; top-top dapat hadiah. Aku pun tak tahu sijil itu di mana!. Itu yang aku kata ianya turun dari langit tak berharap sangat pun nak dapat BMW.

Duit hadiah SSP ini bagiku boleh diagihkan ke Cukai Tanah, Cukai Pintu atau Denda Lewat Bayar mahal melampau, Kadar atau takrif elektrik di rumah kediaman pun rasanya tidak memihak kepada kita sebagai pengguna. Ianya memang tak menentu kenaikan dari pihak kerajaan yang sentiasa menghimpit kehidupan kita.

Sebut masalah duit; memang tidak pernah adilnya buat kita jika ingin berharta di bumi yang tidak berpijak dengan perundangan Islam yang luhur ini. Kajilah hak milik harta benda atau harta tanah yang kita miliki; cara apa kita amalkan pembeliannya; terutama kenderaan kita asyik beralasan darurat!.

Maka isu SSP jika kita ragu-ragu halal haramnya; Jangan Beli sijilnya. Itu lebih selamat.

Tiada ulasan: