iDAN

17 Disember 2010

Perkahwinan Retak, Jimmy & Isteri Tidak Tinggal Sebumbung

Mudah-mudahan kemelut rumah tangga Jimmy dan Nursuhaila Eliani dapat diselamatkan.

Jumaat Disember 17, 2010

PETALING JAYA: Rumah tangga pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh,30, yang dibina dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy,24, semakin rapuh apabila kedua-dua mereka dikatakan sudah tidak tinggal serumah sejak beberapa minggu lalu.

Menurut maklumat yang diterima mStar Online, pasangan tersebut mengambil pendekatan berkenaan apabila berlaku masalah dalam rumah tangga mereka.

“Buat masa ini Jimmy tinggal di rumahnya di Subang Jaya manakala Nurshuhaila Eliani tinggal dengan keluarganya di Sungai Buloh, Selangor. Mereka dalam usaha untuk menyelamatkan rumah tangga itu,” kata sumber berkenaan, Rabu.

Malah ujar sumber tersebut lagi, pasangan berkenaan sudah mendapatkan khidmat kaunseling bagi memulihkan keadaan tetapi setakat ini usaha tersebut tidak mencapai apa-apa perkembangan positif.

Difahamkan, kemelut rumah tangga mereka terjadi apabila ada pihak yang cuba mempengaruhi Nursuhaila Eliani kononnya Jimmy hanya ingin mengambil kesempatan terhadap kekayaan keluarga wanita berkenaan yang merupakan sorang jutawan dan pengeluar produk kecantikan Natasya.

Katanya, disebabkan terpengaruh dengan tuduhan berkenaan, wanita itu mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada Jimmy termasuklah meminta untuk tidak tinggal bersama sehingga menyebabkan perkahwinan mereka itu menjadi bertambah parah.

Kata sumber itu lagi, setakat ini hubungan Jimmy dengan keluarga mentuanya berada dalam keadaan baik malah mereka sama sekali tidak mahu melihat perkahwinan yang dibina dengan kos mencecah ratusan ribu ringgit itu hancur begitu sahaja.

“Jimmy dan keluarga isterinya sangat baik. Malah mereka tiada masalah dengan Jimmy tetapi mereka sendiri kecewa apabila anak perempuan sendiri termakan kata-kata dan hasutan orang lain.

“Adalah lebih baik Nursuhaila Eliani membuat pertimbangan yang wajar serta berfikiran lebih positif agar rumah tangga mereka itu kembali pulih dan dapat diselamatkan,” katanya.

Tambah sumber itu lagi, Jimmy menyerahkan kepada takdir bagi menentukan kedudukan rumah tangganya kerana dia telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan keadaan.

Jimmy yang dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut tidak menjawab panggilan telefon selain gagal mebalas mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pasangan tersebut berkahwin pada 1 Oktober lalu di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dengan hantaran sebanyak RM31,186, bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.

Majlis resepsi pula diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tiada ulasan: