Oleh Hayati Ibrahim
PUTRAJAYA: Bukan murah perbelanjaan untuk membawa pulang seseorang yang dilarikan ke Pulau Lombok, Indonesia, malah bagi satu-satu kes, kos yang diperlukan boleh mencecah sehingga RM30,000.Mendedahkan perkara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, jumlah keseluruhan kos bergantung kepada lokasi atau kampung wanita dilarikan, serta jumlah denda yang dikenakan akibat memasuki negara berkenaan tanpa dokumen sah.
“Paling rendah kami kendalikan RM6,000 dan paling tinggi RM30,000, ini kerana ia bergantung kepada di mana mereka berada serta kesukaran yang perlu dihadapi ketika proses membawa gadis ini pulang ke Malaysia.
“Bukan murah membawa mereka pulang kerana semuanya memerlukan duit. Kita kena bayar harga tiket kapal terbang, penginapan dan denda kerana mereka masuk ke negara berkenaan tanpa sebarang dokumen sah.
“Mengikut undang-undang mereka sepatutnya kena penjara sekurang-kurangnya lima bulan, tetapi kebanyakan mereka bernasib baik tali persahabatan antara Indonesia dan Malaysia rapat, memudahkan perjalanan dan proses membawa pulang anak gadis ini,” katanya.
Abdul Azeez berkata, sehingga kini Kelab Putera 1Malaysia membawa pulang 40 anak gadis yang dilarikan pemuda Lombok ke pulau itu dan secara purata perbelanjaan dikeluarkan untuk membiayai kepulangan mereka melebihi RM300,000.
“Jika tiada duit, mereka tidak boleh dibawa balik kerana kebanyakan keluarga gadis meminta bantuan daripada kami untuk membawa pulang anak mereka.
“Contoh kes terbaru yang dibantu kelab iaitu Shafika Marlina Abdul Safie, 16 dari Teluk Intan, Perak yang dipercayai dilarikan seorang pemuda Lombok dikenali Misbah ke pulau berkenaan 4 September lalu, kami membelanjakan RM8,000 untuk membawanya pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa terutama mereka yang mempunyai gerai di hadapan rumah supaya sentiasa memantau anak gadis mereka yang berusia belasan tahun supaya berhati-hati dengan pemuda dari pulau terbabit, kerana kejadian itu mungkin akan berlaku sekiranya tidak berwaspada.
Ini kerana katanya, beliau percaya pemuda dari Lombok ini menjadikan anak gadis yang membantu ibu bapa di gerai di hadapan rumah sebagai mangsa untuk dilarikan ke kampung halaman mereka.
MyMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan