iDAN

16 Ogos 2011

Terkenang Apak & Emak di Hari Raya


Selalunya bila hari raya menjelang tahun 60an & 70an aku masih bergantung dengan apak untuk membeli pakaian raya; tahun '75 ketika sekolah menengah barulah pandai beli sendiri. Dua pekan yang sering apak bawa berbelanja. Gopeng & Batu Gajah.

Gopeng biasanya tak banyak pilihan, setakat nak cari baju tu mungkin ada sebuah dua kedai pakaian. Di Batu Gajah agak banyak pilihan. Paling tidak apak akan belikan dua pasang pakaian biasa sepasang Baju Melayu. Baju Melayu pun bukan beli setiap tahun kalau boleh pakai yang tahun lepas, pakai saja baju yang lama. Kasut sepasang. Jika zaman dulu selalu kasut beli di Bata sahaja tak banyak pilihan bagai sekarang ini.

Seronoknya berhari raya di zaman kanak-kanak dulu. Dapat pakaian baru itu satu kemestian, selain itu paling suka adalah persekitarannya; dengan panjutnya; meriam buluh serta meriam tanah yang sahut bersahut pun juadahnya. Jika berkesempatan aku rajin juga buat panjut dari buluh. Panjut dari pelita memang telah sedia ada.

Selalunya emak akan buat kuih Putu Kacang, Bahulu yang acuan ikan emas itu; Kuih Bakar dan beberapa kuih dari mentega. Aku memang rajin menolong. Kak Nomie pula rajin buat Kuih Siput. Kalau Bahulu untuk uli tepung & telor memang suka sangat guna jenis uli spring itu. Kuih Bakar aku suka tekatkan acuannya. Zaman itu tak ada elektrik semua guna dapur minyak tanah atau bakar guna kayu api sahaja.

Rendang pula selain rendang biasa, emak rajin buat Rendang Tok. Ketupat kami buat sendiri lemang tenguklah kedaaan kadang-kadang apak tempah orang buat sahaja. Kawasan rumah pusaka kami memang banyak pokok buluh lemang jadi tak jadi masalah jika nak bakar lemang sendiri.

Bagaimana semua suasana ini boleh berulang jika kampung tidak lagi jadi impian kita menjaganya. Anak kampung merantau di kota dan ada yang berkata.

"Nak buat apa balik kampung iDAN, rakan kita semua telah tiada, semua budak muda dah tak kenal kita!" bagi ku pula nak buat apa tinggal di kota rakan semua telah tua & semakin meninggalkan kita. Anak-anak pun tak semua sukakan ibu ayahnya menganggu hidup mereka. Mereka semakin mabuk dengan kejutan kota.

Bila aku congak usia apakah sempat aku beraya lagi sekitar 10 kali lagi. Naa mungkin. Hatta itu anggaplah Hari Raya Tahun ini adalah hari yang amat gumbira buat kita.

2 ulasan:

anyss berkata...

Assalamualaikum,
waaaaaa 3 pasang lagi baju raya ek?

Masa kecil, saya dapat sepasang je. Kali terakhir ayah beli baju untuk saya masa tingkatan 5. Baju tu masih saya simpan hingga hari ni walaupun tak suka coraknya dan dah koyak; kenangan baju terakhir yang ayah beli.

Sekarang? Dah 10 tahun saya tak pakai baju raya (dok tunggu je ayah beli baju raya untuk saya, walaupun mungkin saya tak akan suka coraknya...) tiap kali raya pakai baju kerja je. Tak siapa tahu saya tak ada baju raya pun... (nasib baik baju kerja tu boleh pakai masa raya, kalau baju kerja tu uniform macam pekerja bank tu, jenuh!)

Kenangan memang manis untuk dianyam walaupun masa kita laluinya dahulu, kitapun tak berapa suka dengan apa yang berlaku. Bila dah ditinggalkan, rindu pula.

iDAN berkata...

Arwah Emak jenis menyimpan pakaian lama; selalunya dia bungkus dengan kertas surat khabar kemudian dia balut serta ikat dengan kemas dengan kain agar tak masuk lipas sebagainya.

Semasa remaja banyak pakaian apak dapat saya guna, kebetulan saya mmg suka pakai pakaian gedoboh.

Mila tak jenis begitu; pakaiannya banyak disedekah atau beri kepada saudara mana, terutama pakaian anak-anak; maka cucu terpaksa cari pakaian baru.

Mungkin di rumah pusaka banyak pakaian lama kenangan ayah & emak. Emak mmg tukang jahit & banyak buatkan saya baju basahan. Semuanya habis lenyap lantaran arwah abg Din & keluarga tinggal lama di rumah pusaka. Dari pakaian hinggalah pinggan mangkuk pusaka tak ada lagi!. Hanya ada satu dua piring sempat saya kutip sebagai kenangan.