iDAN
12 Oktober 2011
2/3 Kota Bharu (Episod 7)
Emak Kak Eton; Wak Nah atau pangkat nenek tinggal di belakang kawasan rumah Kak Eton. Aku pernah berceritera masalah orang kaya yang beli tanah antara rumah Kak Eton & emaknya. Dipagarnya habis. Hatta kami terpaksa menyusur tepian parit dengan pagar semuat badan sekitar 100 meter untuk bertandang ke rumah emak Kak Eton.
Nampak di dalam pagarnya ada pelbagai jenis ayam kampung & itik angsa. Agak luas juga tanahnya. Sedih melihat rumah kecil Wak Nah ini, makin terhimpit. Sekitarnya makin becak sebab ada dua banglow yang baru dibina. Yang seorang telah lama pindah yang seorang lagi ini agak baru nampaknya bagai ada buat projek ternak ikan dalam kolam; kolam konkritnya tak terurus elok maka melimpahlah airnya tidak mengikut parit atau anak sungai yang sedia ada.
Aku lihat ada beberapa pokok durian nampak seakan mahu rebah sebab tanahnya telah menjadi lembab. Bayangkanlah tanah gambut bila kena air. Ada banyak pokok durian sekitar rumah Wak Nah ini. Sempatlah kami merasa durian Meru yang sungguh manis & sedap rasanya. Pak Alang Muda suka meredah semak sekitar kebun Wak Nah ini.
Umur Wak Nah telah lebih 70an tahun tentunya, sedangkan Kak Eton pun telah berumur 50an. Ingatan Wak Nah semakin kurang. Dia makin lupa wajah kami terpaksalah kami mengenalkan diri masing-masing. Aku suka tenguk anak sungai & dusun durian di sini, rimbun & menyamankan. Nenas nampak banyak tumbuh liar. Tanah gambut yang basah nampaknya sesuai amat untuk pokok cekur tumbuh.
Wak Nah ini tinggal sendirian, seingat aku sejak kami kahwin selalunya aku tak pernah tak bertandang ke rumah Wak Nah ini. Iyer sejak tahun 1980an lagi.
WAK ROMLAH.
Setelah ke rumah Wak Nah kami bertandang ke rumah Wak Romlah. Tak ada seorang pun anak-anak Wak Romlah berada di rumah. Dia tinggal bersama beberapa warisnya. Waris Wak Romlah ada yang tinggal di Kajang termasuk di Sungai Kantan. Anaknya ada berjual Sate sekitar Klang. Suaminya baru sahaja meninggal. Sekitar tiga tahun kut. Wak Romlah pun dah warga emas, silap-silap mahu telah 80an umurnya. Dia masih sehat cuma ada masalah sendi, itu biasalah bila orang telah berusia.
Pertama kali Husna menantu dari Machang aku ini beraya di Meru, nampaknya dia makin dapat menyesuaikan diri. Cumanya kali ini kami tak seramai mana berkonvoi. Selalunya sampai hampir semua adik beradik Mila akan beraya bersama. Bayangkan dari Mak Ngah satu kereta cahaya matanya ada bertiga tak termasuk anak tirinya Pak Ngah. Kemudian Mak Alang, dia tak ada anak tapi selalunya suaminya pasti ikut sekali. Maman Udin isterinya Hanna sebuah kereta dengan tiga cahaya matanya. Acik dengan Bai ramai anaknya, agaknya dah seramai tujuh orang, Maman Akir isterinya Oni dengan keluarga cahaya mata tak silap ada empat orang, Mak Yong atau Yuli baru dua cahaya mata dan Maman Ifi baru seorang. Emm! lapan keluarga bertandang; bayangkan ramainya.
Biasalah raya pertama, kedua dan ketiga raya memang jadual kami padat. Apatah lagi jika arwah Nyaie masih ada. Selagi ada saudara mara memang kami akan ziarahi; dari Meru,Klang, Banting sampailah ke Kajang. Balik rumah larut malam memang biasa. Rutin raya makin berubah. Sekarang memang jarang Mak Ngah atau suaminya Isman turut serta. Keluarga Acik pun makin membawa diri, Bai suaminya sering ada jadula sendiri. Lepas berkunjung rumah Wak Romlah kami maghrib di rumah sahaja. Malamnya aku malas berjalan, memikirkan Qasrina masih bayi & memang tak sesuai bawa berjalan malam.
Sementelah Nina cahaya mata Acik kini tingkatan empat , khabarnya sering nampak benda-benda ghaib lagi menyeramkan di rumah pusaka ini. Rumah pusaka Mila memang besar; Maman Ifi selalu guna satu bilik sahaja. Jika Amirul anak Acik balik bercuti dari kursus di Melaka barulah dua bilik ada penghuni. Amirul sering tidur di rumah Nyai ini sejak lama, sebelum Maman Ifi berkahwinlagi. Bilik yang selalu arwah Nyaie duduk memang sentiasa kosong; bilik airnya pun tak digunakan. Terbiar usang & bersawang.
Aku bercadang tidur di anjung sahaja, jauh dari orang sebab aku ni berdengkor sampaikan bergegar dinding konkrit. Cicak pun tak boleh tidur bila aku berdengkur. Masalah panas buat aku tukar markas. Aku memberanikan diri untuk memeriahkan bilik arwah Mak Nyaie. Aku cuba buka penghawa dingin. Baterinya kawalan jauhnya telah tiada kuasa. Aku pinjam bateri kawalan jauh Astro. Wah! sejuk amat penghawa dingin bilik arwah Mak Nyaie ini. Aku bersihkan sedikit bilik air yang suram lagi bersawang. Memang terasa meremang bulu roma bilamana sendiri di bilik air ini.
Ada masalah lampu di bilik airnya. Padam gelap. Aku berpesan pada Amirul kebetulan mahu ke kedai untuk mencari lampu bilik air. Lama juga aku menunggu kepulangan Amirul; bila aku tanya Afiz rupanya diam-diam Amirul telah letakkan lampu di dalam bilik Mak Nyaie & dia keluar rumah. Huh! salah beli lampu; dia beli lampu kalimantang panjang; bukan mentol bulat. Terpaksalah aku berkejar mencari kedai yang masih dibuka sekitar Meru; bukannya apa takut nanti kalau tengah malam aku terjaga nak ke bilik air pasti seram sangat tanpa lampu.
Aku jumpa kedai orang dari Acheh yang masih dibuka; ketika itu telah sekitar 11:00 malam. Memang orang Acheh di Malaysia ni gila berniaga.
"Tak boleh nak uji ke kut mentol ini hidup atau mati!"
"Biasanya bang... okey!"
Sampai di rumah Nyaie aku tak sabar mahu memasang lampu bilik air ini; aku ambil bangku kayu jati di anjung rumah. Huh badan ni dah berat jika berdiri atas bangku plastik mahu patah kakinya. Ianya mentol jenis skrew. Setelah kemas aku cuba pasang lampunya.
Aneh!, ianya bercahaya bagai filem seram; terang gelap terang gelap & padam. Aku tutup suis & cuba pastikan ianya kemas dipasang; pulas ikut pusingan jam. Memang kemas. Buka semula suis, ceriteranya sama. Menakutkan tapi aku yakinkan diri mesti ada masalah pendawaian. Aku cuba biarkan sebentar; agak lama. Tetiba terbahu wayar hangit terbakar. Cepat-cepat aku padam suis.
Aku bergegas cabut semula mentol bulat yang baru kubeli. Hantar semula bangku kayu jati di anjung rumah. Padam suis penghawa dingin; Ambil bantal padam lampu & tak lagi berani sendirian di bilik arwah Mak Nyaie.
Aku pernah terbaca, syaitan sering masuk dalam pembuluh darah kita. Jika tak kuat semangat memang akan terjadilah kerasukan atau sebagainya. Aku terfikir mungkin filem seram tu benar; selalunya jika ada kuasa yang kuat ianya akan menganggu litar elektrik. Macam tadi.
Lagi pun dalam firasatku terasa ada penunggu kamar arwah Mak Nyaie ini; tapi ianya tidak menetap kekal di dalam bilik ini. Keluar masuk sebagai rumah singgahannya. Selalunya dia suka tinggal di bilik air; apatah lagi ianya terbiar bersawang ada banyak pula tahi cicak.
Di ruang tengah hampir dengan dapur, Mila & anak-anak telah pun lena depan TV. Hari pun sekitar 1:00 pagi. Nak tidur di anjung sendirian pun aku tak berani, rasa seram. Aku mencari ruang sekitar anak-anakku untuk lelapkan mata. Emmm satu masalah betul bila fikiran mula takut, agar dengkuranku tidak sampai menganggu Mila & anak-anak tidur.
- bersambung.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan