iDAN

20 Disember 2011

Ceritera Persaraan Penyair iDANRADZi


Nah! setelah ianya 3 tahun tersimpan... Bagindo (Dato' Haji Omar Bin Osman) ikut juga cakap e-mel ini.

iDAN
016 9094343

(Ini antara Surat Rasmi@e-mel saya kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) dulunya lebih dikenali sebagai Warkah Untuk PM)

Forwarded Message: Re: Peringatan 1:[Fwd: FW: [202893] Pekerjaan - Haridan Bin Mohd Rodzi]
Re: Peringatan 1:[Fwd: FW: [202893] Pekerjaan - Haridan Bin Mohd Rodzi]
Thursday, July 24, 2008 6:23 PM
From: "iDANRADZi" <idanradzi@yahoo.com
Rujukan Tuan : WUPM/BPA/KPT/0052

Tuan/Puan

Keadaan kerjaya kami di sini Fakulti Kejuruteraan UPM khasnya UPM amnya; semakin payah & getir. Khidmat kami yang kini melebihi 20 tahun makin tidak diberikan perhatian. Saya sendiri bebaru ini dipanggil oleh Timbalan Pendaftar UPM & diarahkan tukar tempat kerja. Disuruh menjadi Pelayan Pejabat (Budak Pejabat); ibarat diturunkan pangkat.

2. Kami dulunya Pelayan Makmal, setelah pertukaran ke SSB ditukar jawatan kami ke jawatan Pembantu Am Rendah kemudian kini SSM menjadi Pembantu Am Pejabat (tanpa berbincang dengan kami pertukaran jawatan ini). Sedangkan kami membuatkan kerja-kerja teknikal & berkemahiran dalam bidang teknikal di makmal atau bengkel bukan di pejabat.

3. Contohnya saya sendiri telah 28 tahun berkerja dalam bidang teknikal pastinya akan lupus & jumud begitu sahaja kemahiran teknikal yang sedia ada, jika pihak pengurusan terus tidak mempertimbangan kemahiran serta pengalaman saya dengan meletakkan saya menjadi Budak Pejabat; mengambil & menghantar surat dalam usia 50an kini.

4. Kami mencadangkan agar pihak pengurusan mengujudkan jawatan seperti Tukang Kadar, Operator Mesin Pemprosesan Data atau sebagainya untuk kenaikan pangkat demi mengenang jasa bakti kami tetapi ditolak mentah-mentah. Sememangnya jika antara kami tidak berkerja sendirian di makmal, seharian kerjaya kami sentiasa membantu Juruteknik.

5. Saya sendiri pernah mendapat elaun tanggung kerja jawatan Juruteknik selama lebih kurang dua tahun & melaksanakan tugas juruteknik menguruskan sebuah makmal sendirian lebih dari sepuluh tahun sehinggalah kini. Kumpulan kami diketepikan bilamana pihak UPM memasukkan Juruteknik yang kini memerlukan sekurang-kurangnya sijil dari Politeknik.

6. Persoalan utama, bukanlah permasalahan imbuhan yang dipertikaikan tetapi tiada kenaikan pangkat secara KPSL bagi kami yang berkhidmat sekian lama. Juga skim gaji yang kami sandang rasanya perlulah dirombak; tidak musabah masih ada skim gaji pendidikan di Darjah Enam yang kami sandang sejak lebih 20 tahun lalu. Rata-rata kami memiliki LCE/SRP & ramai mempunyai MCE/SPM.

7. Saya berharap pihak Tuan/Puan dapat meneliti aduan ini; bukan dengan cara tindakan sekarang ini pihak pengurusan UPM senang-senang memindahkan kami ke bahagian yang bercanggah dengan bidang kemahiran yang kami timba selama ini.

8. Jika pun kami tidak dapat pembelaan dalam KPSL, harapan kami berilah peluang untuk kami memilih sendiri bidang kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran kami dalam meniti penghujung usia & penghujung kerjaya kami di perkhidmatan awam ini.
Sekian Terima Kasih.

Tuan Haji Omar, (masa ni Bagindo masih tiada gelaran Dato')

Hari ini saya mendapat surat Arahan Pertukaran Tempat kerja pada 15 Ogos 2008 nanti. Saya amat tidak bersetuju dengan pertukaran ini.

Ada beberapa lagi Surat@e-mel berkaitan dengan Aduan ini di simpanan saya.

Wassalam.


BPA telah pun menelefon saya untuk menjelaskan kedudukan kerjaya saya dan berharap kami boleh berbincang & menjernihkan keadaan. Saya menolak sebab saya secara sukarela telah mengambil opsyen bersara awal. Saya tahu majikan saya mengadap JPM dan pastinya mereka akan melabelkan saya ini "Pegawai Bermasalah", apa lagilah alasan mereka jika aib UPM terdedah.

(Tapi saya yakin BPA tidak semudah itu menerima; tanpa rekod terperinci apa hak UPM mahu melabel saya, perhubungan saya dengan BPA hingga kini masih rapat.)

Markah SSM saya masih okey taklah pernah sampai 70% ke bawah. Saya pernah menjadi Pegawai Cemerlang beberapa tahun. Malahan dalam penilaian pelajar makmal yang saya pantau di KKK pernah mendapat Makmal Terbaik.

Nak jadi malang ketika krisis kerjaya ini saya dicampak di makmal yang layak dipanggil Stor sahaja. Saya & anak saya si Afiz selama dua minggu berkerja siang & malam mengosongkan makmal ini bilamana arahan ianya mahu dilawati Penilai Luar. Hatta kekosongan makmal saya yang seharusnya menjadi bengkel komputer menjadi isu yang dimainkan oleh pihak UPM untuk meletakkan saya sebagai Pegawai Bermasalah (Mungkin).

Selama saya menunggu bersara, opsyen LAPAN bulan saya memohon bertugas di Unit IT; untuk senggara komputer & kerja ICT. Impian UPM mahu melihat saya yang dah tua ini menjadi Budak Pejabat nampaknya telah disekat Allah SWT yang maha mengasihi. Maka itu apalah indahnya berkhidmat dengan UPM.

Kumpulan JIM yang memusuhi saya sejak tahun 80an sebaiknya dipantau & disiasat kegiatan mereka di UPM terutama di Fakulti Kejut. Saya nampak kelibat mereka ini amat licik & sering menjadi masalah bagi staf di UPM. Visi mereka lebih kepada kepentingan diri & jumud dalam Kebajikan Pekerja.

Isunya salahkah seorang staf itu menyatakan satu yang benar, kasihan melihat sahabatnya sampai dijunjung ke liang lahat masih disekat rezekinya; malah jadi Budak Pejabat sepanjang hayat; tanpa pembelaan.

Kena fahami betul-betul apa itu pengertian Makan Gaji
. Kenapa mesti merasakan UPM itu universiti sendiri tanpa menghirau kehendak atau pekekiling JPA. Jika JPM telah kasi lampu hijau sejak e-mel ini saya tulis kenapa mesti nak ambil masa bertahun-tahun baru sedar jalan yang telah disuluh, biar pun telah mendapat sokongan mantan PM kita.

Tahniahlah buat semua staf awam yang bakal mendapat durian runtuh; saya tetap bersyukur dengan rahmat yang Ilahi beri; kini wang persaraan saya, saya terima terus dari JPA; agar ianya mendapat rahmat biar pun tak sebanyak mana.

(Di bawah ini surat terbuka saya kepada BPA setelah opsyen diluluskan & harapan saya buat rakan saya yang masih berkhidmat agar kebajikan mereka terbela)

From: iDANRADZi
Subject: RE: Penyair iDANRADZi Tinggal Kenangan.
To: "Mohd Asri bin Mohamed"
Cc: mdzin@bpa.jpm.my, sallehosman@mohe.gov.my, info@warkahuntukpm.com.my, wupm@bpa.jpm.my
Date: Sunday, October 26, 2008, 9:21 PM

Ruj. Tuan: WUPM/BPA/KPT/0052

Tuan,

Saya baru membaca e-mel yang amat bermakna bagi saya dalam penghujung perkhidmatan saya sebagai Pegawai Kerajaan. Pun saya amat berbesar hati kerana e-mel saya mendapat perhatian dari pihak tuan & mempelawa saya bersemuka dengan tuan.

2. Saya membuat keputusan untuk tidak memanjangkan masalah ini kerana baru sahaja saya mendedahkan kekecewaan ramai kalangan kami; Sementelah ianya terdedah di Warkah Untuk PM ini; Saya telah dipanggil & diserang dari perbagai pihak pengurusan. Malahan Wakil Kesatuan Kakitangan Am UPM, (KEPERTAMA) ada yang menempelak saya lantaran pendedahan saya ini dikatakan mengaibkan UPM. Presidennya pun tidak mahu bersemuka dengan saya. Sedangkan saya merasakan kami masih perlukan pembelaan, Antaranya Gred Gaji kami perlukan semakan semula; Tiada pertimbangan dalam Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) sejak lebih 20 tahun perkhidmatan dengan kerajaan. Kemahiran kami tiada pengiktirafan. Hakikatnya cubalah semak berapa ramai seusia saya masih memegang jawatan di gred N1. Biarpun lulus dengan cemerlang dalam ujian PTK.

3. Seperkara lagi saya memang sedih melihat ada kalangan kumpulan saya yang mahir dalam bidang teknikal; sewenang-wenangnya ditukarkan ke bidang yang langsung tiada kaitan dengan kemahiran yang dirintih sejak lebih 20 tahun lalu. Malahan ada yang seusia saya masih lagi membuat kerja Pelayan Pejabat. Menghantar surat ke hulu ke hilir. Jika pun mereka memang sihat & reda bagi saya masih boleh dipersoalkan. Kenapa tiada kalangan rakan saya ini disediakan jawatan Juruteknik Rendah, Pembantu Makmal Rendah, Kerani Rendah atau diserapkan ke jawatan yang sesuai dengan kemahiran yang ada. (Tak harus dijumudkan jawatan-jawatan ini, kerana itulah salah satu cara atau tangga kami boleh dinaikkan pangkat seawal kami berkhidmat dahulu). Apatah lagi jika telah berusia & sakit seperti saya ini masih sesuaikah menjadi Pelayan Pejabat atau memegang jawatan di N1.

4. Gred gaji kami yang saya paparkan dalam e-mel saya N1 bagi kami cuma sesuai bagi mereka yang masih awal berkhidmat atau masih remaja bukan bagi kami yang begitu setia berkhidmat & punyai keluarga apatah lagi jika tanggungan kami semakin ramai. Seharusnya KPSL terusan dilaksanakan, apatah lagi jika usia kami meningkat ke 40an yang memerlukan ekonomi yang kukuh untuk menyara keluarga. Sejajar dengan itu seharusnya majikan kami memikirkan kenaikan gred gaji kami dengan perbagai cara.

5. Saya berpendapat tidak mungkin mana-mana majikan dapat mendedahkan kelemahan mereka dalam menjaga kebajikan pekerjanya. Malahan akan melindunginya dari pandangan masyarakat. Jika Warkah Untuk PM terusan dilancarkan saya yakin banyak maklumat akan terbongkar. Saya secara peribadi sememangnya memandang amat serius & kecewa dengan nasib kumpulan kami N1. Semoga nasib seperti kami tidak akan berulang terhadap anak cucu kami. Bebaru ini saya dijemput menghadiri seminar dengan golongan saya yang tercicir ini. Antara keluhan mereka ada saya tulis dalam blog saya.

6. Anak-anak saya masih bersekolah & memang saya punyai bebanan hutang rumah & lain-lain. Perletakan jawatan saya juga telah diluluskan jadi saya telah menganggap saya sebagai menunggu hari sebagai Pesara. Sememangnya masa depan saya masih samar-samar. Tetapi langkah ini terpaksa saya ambil demi menjaga kesihatan saya yang tak boleh lagi terusan dilanda stres.

7. Limpahan terima kasih; sebenarnya e-mel saya yang lalu sekadar memberi khabar & tidaklah saya berharap ianya disilap tafsir atau salah tangkapan. Semoga ianya tidaklah dipanjang-panjangkan lagi.

iDAN

(blog easyjournal saya telah disekat atau servernya kena godam)

Tiada ulasan: