iDAN

02 Januari 2012

Impian

Impian kita terkadang bila telah dicapai tak sewangi mana namun ada ketika pemberian dari-Nya secara tak terduga jauh lebih indah. Di zaman remaja aku pernah berlari ke kaki langit dengan harapan nan tak tercapai; bermain alir jernih Sungai Perak bersama anak-anak kecil, di tengah pulau penuh keindahan. Aku tak pernah pun merancang semua itu tetapi hingga kini ianya jadi kenangan amat manis.

Mana pergi atuk nan telah amat uzur itu. Mana perginya cucunya yang memang cantik jelita itu. Aku bermalam di sebuah kampung sebagai tetamu nan tak diundang. Kenangan indah itu tak mungkin kembali.

Samalah aku pernah tercampak nun jauh di perkampungan Jepun sendirian. Tinggal di tengah-tengah sawah padi Jepun nan sedang menguning. Masyarakat di sana amat menyayangiku sebab aku membantu mereka membangunkan empangan buat saliran air yang cukup untuk perkampungan mereka. Ketika mahu balik ke tanah air; siap isteri mereka jahitkan pakaian Dewa Jepun mereka, bagai Pahlawan Samurai pun ada, sebagai cenderahati; memberi patung dewi jepun mereka tanda hormat terhadapku.

Aku punyai ibu angkat yang amat menyayangiku. Sering membuatkan sayur ala rojak bendi yang hingga kini aku mengidam mahu memakannya. Ibu angkat ku ini bekas penyanyi lagu sariosa Jepun. Bila aku gusar dia sering nyanyikan lagu sariosa Jepun buatku. Semua itu amat indah!... biarpun aku tahu cintaku cair di sana...!

Tiada ulasan: