iDAN

04 Januari 2012

Nazar sebagai helah

Assalamualaikum ustaz,

Sekiranya seseorang itu mengungkapkan nazar di depan orang lain, bukan dengan niat untuk melakukan nazar,tetapi sekadar untuk mengaburi niat asalnya, apakah hukumnya?

Sebagai contoh, seseorang itu telah menderma wang yang banyak kepada sesuatu organisasi dengan niat yang ikhlas, tetapi kawannya telah mengetahui hal itu dan bertanya kepadanya, “kenapa kau menderma banyak tu?”,lalu si penderma menjawab, “aku menderma kerana aku telah bernazar disebabkan sekian-sekian”, padahal niatnya bukan lah kerana nazar itu. Adakah dia juga perlu melangsaikan nazar itu?

Jawapan:

Merujuk kepada soalan yang ditanya, saya akan menjawab berdasar contoh yang diberikan kerana ia lebih jelas untuk mengambarkan persoalan yang ditanya. Yang pertamanya saya mengucapkan tahniah kerana sifat ikhlas menyumbang yang ada pada saudara dan ianya amat terpuji di sisi agama. Sebenarnya selepas kita melakukan amalan kebaikan, syarak telah memerintahkan kita supaya jangan merosakkan amalan kebaikan yang telah kita lakukan.

Allah swt telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan janganlah kamu merosakkan (pahala) amal-amalmu” (Muhammad: 33)

Ayat di atas memerintah orang beriman supaya tidak merosakkan pahala amalan yang telah dilakukan. Oleh itu saudara sepatutnya tidak melakukan perkara di atas (bercakap tidak benar) apabila ditanya oleh rakan saudara. Jika saudara tidak mahu kawan saudara mengetahuinya, saudara perlu menjawab dengan cara lain yang tidak memerangkap saudara sehingga bercakap tidak benar. Saudara perlu memohon keampunan daripada Allah swt kerana tindakan saudara yang tidak bercakap benar.

Merujuk kepada perkataan saudara; “Aku menderma kerana aku telah bernazar disebabkan sekian-sekian” dengan niat seperti yang dinyatakan di atas dan dengan latarbelakang seperti yang dinyatakan, maka ia tidak termasuk dalam nazar yang wajib dilaksanakan. Ini ialah kerana maksud nazar berjanji untuk melakukan sesuatu apabila tercapai sesuatu hajat pada masa hadapan. Sebagai contoh, aku akan berpuasa 3 hari jika lulus peperiksaan akhir semester nanti.

Sekian

والله أعلم

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

Tiada ulasan: