iDAN

16 Julai 2012

GAMBARAN KEADAAN DI SYURGA


ALLAH SWT menjelaskan bahawa orang yang akan memasuki syurga-Nya kelak adalah dalam keadaan berkumpulan. Ia dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang bertakwa kepada Rabb-nya dibawa ke syurga berombongan, apabila mereka sampai ke syurga itu, pintunya terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaganya: Kesejahteraan dilimpahkan atasmu, berbahagialah kamu, masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” (QS Az-Zumar: 73)

Ibn Kathir menjelaskan, setiap orang yang bertakwa akan menuju ke syurga bersama-sama dengan kelompok mereka seperti nabi bersama nabi, golongan syuhada bersama kumpulan syuhada, golongan ulama bersama kumpulan ulama, orang yang jujur bersama orang yang jujur dan begitulah seterusnya. Dalam erti kata lain, setiap orang dikumpulkan sesuai dengan kumpulan mereka.

Begitu pun, di kalangan kelompok manusia di atas, Rasulullah SAW adalah orang yang pertama sekali memasuki syurga. Hal ini dijelaskan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku mendatangi pintu syurga pada hari kiamat, lalu aku meminta dibuka. Penjaga berkata: Siapa engkau: Aku Muhammad. Penjaga berkata: Aku diperintahkan untuk tidak membukakannya untuk seorang pun sebelummu.” (HR Muslim)

Selepas Rasulullah SAW memasukinya, barulah kumpulan lain akan memasukinya mengikut pintu syurga yang ditentukan berdasarkan amalan mereka. Keadaan ini dijelaskan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang sesiapa yang berinfak dengan emas dan perak daripada hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari mana-mana pintu syurga. Syurga itu ada beberapa pintu. Sesiapa yang rajin menunaikan solat, maka dia akan dipanggil dari pintu solat. Sesiapa yang rajin bersedekah, maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah. Sesiapa yang berjihad, akan dipanggil dari pintu jihad dan sesiapa yang berpuasa, dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan."

Hadis itu menjelaskan syurga mempunyai beberapa pintu. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa syurga itu memiliki lapan pintu. Ia dijelaskan oleh Umar al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, kemudian menyempurnakan wuduknya, lalu membaca: Aku bersaksi bahawa tidak ada yang hak kecuali Allah Maha Esa, yang tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, melainkan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang berjumlah lapan pintu dan ia masuk dari pintu mana saja yang ia kehendaki.” (HR Muslim)

Pintu syurga ada lapan, tetapi jarak di antara satu pintu dengan yang lain amat jauh, sejauh di antara Makkah dan Hajar (sebuah kota di Bahrain). Jarak ini dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah, di mana beliau berkata: “Allah berfirman: Wahai Muhammad, masukkan umatmu yang tidak dihisab melalui pintu sebelah kanan. Mereka bebas masuk pintu lainnya bersama orang lain." Rasulullah SAW bersabda: Demi Tuhan yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, jarak di antara dua daun pintu syurga adalah seperti Makkah dan Hajar atau di antara Hajar dan Makkah.” (HR Bukhari & Muslim).

Di dalam syurga, nikmatnya tidak terhingga, sehingga digambarkan kenikmatannya adalah sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah juga terlintas dalam fikiran manusia.

Di dalam al-Quran, Allah menyifatkan syurga itu dengan beberapa keadaan seperti firman-Nya: “Di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring dan mereka di dalamnya memperoleh segala macam buah-buahan.” (QS Muhammad: 15)

Mengenai sifat syurga di atas, Rasulullah SAW juga bersabda: “Di dalam syurga itu ada lautan susu, lautan air, lautan madu dan lautan khamar. Sungai-sungai itu mengalir daripadanya.” (HR At-Tirmidzi).

Di dalam syurga kelak, tidak akan ada penghuninya yang tidak menikah. Hal ini dijelaskan oleh Abu Hurairah, di mana Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya rombongan pertama yang masuk syurga seperti bulan pada malam purnama dan rombongan seterusnya seperti cahaya bintang yang bersinar di langit, masing-masing daripada mereka mempunyai dua isteri yang mana mereka dapat melihat sum-sum betisnya daripada luar kulit dan di dalam syurga tidak ada orang yang tidak menikah.” (HR Bukhari & Muslim).

Malah, mereka diberikan oleh Allah rumah yang diperbuat daripada mutiara dan ruangnya amat luas tidak terhingga. Keadaan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Sesungguhnya di syurga ada rumah yang diperbuat daripada mutiara yang mempunyai ruang yang luas.” (HR Bukhari)

Ketika Rasulullah SAW di isra'kan, Baginda diperlihatkan bagaimana rumah dan keadaan tanah di dalam syurga seperti disabdakan oleh Baginda yang bermaksud: “Di dalamnya ada kubah-kubah permata dan tanahnya adalah minyak wangi.” (HR Bukhari & Muslim)

Disebutkan di dalam kitab “ KASYFUL GHAIBIAH” yang ditulis oleh Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al-Fathani menerangkan tentang keadaan syurga dan penduduknya kelak, berkata Ibnu Abbas: “Bahawa syurga itu mempunyai 8 buah pintu gerbang iaitu:

1. Pintu masuk untuk para nabi, syuhada, orang-orang dermawan, orang yang mendermakan hartanya di jalan Allah. Di atas pintu tersebut tertulis dua kalimah syahadah yang indah.

2. Pintu masuk bagi orang yang sangat rapih, memenuhi syarat dan rukun serta meneliti fardhu dan sunnahnya dalam solat.

3. Pintu masuk bagi mereka yang suka mengeluarkan zakat dengan hati yang tulus ikhlas semata-mata kerana Allah.

4. Pintu masuk orang-orang yang suka menyeru dan mengajak kepada kebaikan.

5. Pintu masuk bagi orang-orang yang dapat mengekang nafsunya dari melakukan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.

6. Pintu masuk bagi orang yang melakukan rukun Islam yang kelima iaitu melakukan haji dan umrah yang mabrur.

7. Pintu masuk bagi orang-orang yang membela dan berjuang di jalan Allah.

8. Pintu masuk bagi orang yang berbakti kepada kedua orang tuanya, keluarganya serta sanak saudaranya.

Demikian keterangan yang dinyatakan dalam hadis di mana syurga-syurga itu telah disediakan oleh Allah dengan beberapa tingkatan yang akan diberikan kepada hambaNYA sesuai dengan amal perbuatan masing-masing.

Diceritakan, ketika semua para hamba Allah telah dihisab dan telah menerima buku catatan amalnya yang diterima dengan tangan kanan mereka, pada waktu itu semua manusia merasa gembira yang tidak terkira, sehingga mereka yakin bahawa Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan. Manakala mereka akan memasuki gedung yang indah itu, mereka akan disambut oleh 'wildan' (pelayan muda) yang memang sudah sekian lama menanti kehadiran orang yang akan mengisi gedung tersebut (syurga).

Demikianlah keadaan gedung-gedung itu yang sangat indah bentuknya sedangkan lantainya dihampar dengan permaidani yang indah pula dan di dalamnya mengalir air sungai yang ditumbuhi oleh pohon-pohon yang sangat rendang dan buahnya yang manis dan lazat.

Firman Allah SWT: "Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: " Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu ". Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya." (QS Al-Baqarah: 25)

Dengan mata air terpancar, taman syurga yang terhidang dengan segala kelazatan adalah destinasi yang aman dan sentosa. Mereka yang menghuninya kekal di dalamnya, tidak akan merasai kematian lagi.

Terdapat pohon-pohon dan buahan. Sungai mengalir di bawah syurga. Ada air yang tidak berubah (rasa dan baunya). Terdapat beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang yang meminumnya dan beberapa sungai dari madu yang suci bersih.

Penghuninya dilayan anak muda yang beredar di sekitar mereka, yang cantik seolah-olah seperti mutiara yang tersimpan sebaik-baiknya.

“Dan diedarkan kepada mereka bejana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) - (keadaannya laksana) kaca, (sedang ia) dari perak, pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya dan mereka di dalam syurga itu diberi minum sejenis minuman yang campurannya daripada zanjabil - iaitu sebuah mata air di dalam syurga yang disebutkan sifatnya sebagai salsabil dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, apabila engkau melihat anak-anak muda itu nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.” (QS Al-Insaan: 15-19)

Di syurga juga terdapat teman-teman yang baik akhlaknya lagi cantik rupanya, iaitu bidadari yang hanya tinggal di tempat tinggal masing-masing. Bidadari ini cantik berseri seperti permata delima dan marjan. Kulit mereka putih melepak, cantik matanya, malah pandangannya tertumpu kepada mereka semata-mata.

Bidadari ini juga tidak pernah disentuh oleh manusia mahupun jin. Mereka bersenang lenang, bergurau senda di atas cadar hijau warnanya dan permaidani yang sangat indah. Golongan yang sangat bertuah ini disebut sebagai 'Ashaabul Yamiin' (golongan kanan).

Wallahua'lam.

Tiada ulasan: