IPOH: Datuk Mohd
Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat berharap media massa sama ada
cetak atau elektronik memberi ruang kepada lebih ramai lagi karya
pelukis kartun di negara ini.
"Ramai pelukis kartun di negara ini berbakat yang boleh diketengahkan
seperti pelukis kartun di luar negara yang hasil karya mereka dimuatkan
di akhbar-akhbar sejak awal 50an lagi seperti di Amerika, Eropah, Jepun
dan Korea.
"Karya pelukis kartun tempatan yang mempunyai bakat seperti Jaafar Taib,
Zainal Buang Hussin dan Ibrahim Anom (Ujang) boleh dimuatkan ke dalam
akhbar atau dijadikan filem animasi," kata pelukis kartun terkenal itu
kepada pemberita pada majlis menandantangani replika sampul surat Hari
Pertama Setem Kartun Malaysia, yang memuatkan hasil karya beliau.
Lat yang berasal dari Kota Bharu Perak, percaya jika peluang yang diberikan kepada
pelukis kartun tempatan disiarkan di dalam media cetak atau dalam
bentuk filem, sudah tentu ia menjadi kebangaan kerana negara turut
mempunyai pelukis kartun yang baik seperti di luar negara.
Beliau yang turut ditemani oleh beberapa oleh bekas guru dan rakannya
semasa bersekolah di sini, gembira kerana karikarturnya dijadikan
koleksi pertama setem di negara ini. Ketua Unit Filateli Pos Besar
Malaysia, Yasmin Ramli berkata pihaknya mensasarkan untuk menjual
sebanyak 1.1 juta koleksi pertama setem yang memuatkan karikatur yang
dihasilkan Lat, tahun ini.
Koleksi pertama setem tersebut dilancarkan di Kuala Lumpur Isnin lepas
yang turut memuatkan karikatur dari bukunya The Kampong Boy.
Seorang pengumpul setem, Zakaria Mohd, 77, yang berasal dari Tambun di
sini begitu teruja untuk memiliki koleksi stem yang memuatkan watak yang
dilukis oleh Lat itu. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan