iDAN

09 Disember 2012

Teerasil tak anggap Gajah Putih pasukan pilihan





TIDAK diketahui sama ada sekadar bermain psikologi ataupun tidak, penyerang prolifik Thailand, Teerasil Dangda tetap menghormati kredibiliti Malaysia menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Teerasil (gambar), 24, yang telah merekodkan tiga gol pada kempen kali ini memberitahu, Thailand tidak dianggap memiliki kelebihan biarpun Malaysia selaku juara bertahan dilihat agak tempang dengan musibah kecederaan beberapa pemain utama.

"Saya tidak rasa kecederaan pemain Malaysia memberikan kelebihan kepada kami.

"Ini kerana Malaysia memiliki barisan pemain simpanan yang sama hebat dengan pemain utama.

"Lihat sahaja senarai penjaring pasukan Malaysia, ia jelas membuktikan mereka tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja bagi memburu gol," katanya kepada pemberita sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang malam kelmarin.

Untuk rekod, gol-gol Harimau Malaya pada kempen kali ini masing-masing dicetak oleh kapten, Safiq Rahim; Mohd. Safee Sali; Wan Zack Haikal Wan Nor; Khyril Mhymeen Zambri; Mahalli Jasuli dan Azamuddin Akil.

Teerasil pula melakar hatrik semasa membantu Thailand membelasah Myanmar 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Ketika ditanya sama ada berazam melakar hatrik malam ini, jelas Teerasil: "Jika saya meledak hatrik pun tidak membawa sebarang makna jika Thailand tersingkir.

"Pada masa sama, kami juga tidak tertekan menamatkan kemarau trofi selama sedekad, sebaliknya menganggap ia sebagai satu cabaran.

"Kami sudah menghampiri pentas final, jadi saya harap kami mampu mengatasi Malaysia terlebih dahulu," kata penyerang kelab Muang Thong United itu.

Tiada ulasan: