iDAN

16 Mac 2011

15 Mac 2011

Diari iDAN


03hb Mac pukul 12.34 malam

Ujian Ilahi amat banyak nampaknya; setelah jari kanan ini membengkak bernanah; batuk pula amat kuat hingga tak dapat lenanya tidur; Atas nasihat rakan saya cuba ramuan dari limau kasturi taruh kicap, agak reda sikit... hinggalah ke ubat batuk gamat madu...

Baik sahaja jari kanan terbakar pula jari kiri & di pelipat kaki ketika membakar sampah; orang tua macam saya ni bila sakit amat lambat pulihnya.

Sehari dua ini barulah agak reda semua kesakitan; bayangkan sejak kembali dari PD tempoh hari... glukos terkini naik ke 7++ mmol/l pada 21hb nanti akan buat ujian terapi melalui darah.

Tak mahu rasanya ditambah bebanan makan ubat yang kini masih kekal 5 jenis dari doktor.

03hb Mac pukul 10.11 pagi

Syafakallah, semoga Allah SWT memberi kesembuhan dan kesihatan yang baik.. Ameen, insyaAllah.. moga sentiasa sabar atas segala ujian yg diberi oleh Allah SWT mungkin ada hikmah kebaikkan disebaliknya atau sbagai kifarrah (penghapus segala dosa), insyaAllah.. (maafkan saya jika ada kata-kata saya yg buat saudara terasa hati).

16hb Mac pukul 1.48 pagi

Hari ini nampaknya kekuatan badan ini menahan sakit makin kurang. Untuk kebah segala sakit memakan masa. Bila hari ini sakitnya semakin reda datang pula sakit lain...

Masalah sukar tidur kian melanda, menjadikan rutin harian yang amat payah... sering sukar tidur malam lalu selepas subuh asyik tertidur, orang kata mahal rezeki; jadual waktu tidur telah beralih... maka seminggu dua terkebil-kebil sampai lewat 3:00 pagi.

Selagi ada impian kita asyik memikirkan jalan keluar tapi nampaknya takdir Ilahi kudrat ini hanya di sini... saya teringin amat pulang ke kampung memulihkan harta pusaka di sana... memang ini satu ganggu fikiran yang buat kita terbawa-bawa ke alam mimpi.


STB


1. Apa benda STB ini; perkara ini aku pernah berbual dengan rakan karibku Prof Nid seorang yang popular di seantero Malaya. Sering keluar di kaca TV kita bilamana musim Pilihan Raya. Mungkin antara kita kenal dia. Antara katanya;

"Saya ni ada masalahlah iDAN kena sakit STB" apa pula bendanya STB ini dalam hatiku tertanya-tanya.

Bila aku teringat pernah membaca artikel di Blogspot Bro. Maz TV3 barulah aku perasan. Ianya banyak lekat pada ramai suami; "Sindrom Takut Bini" (STB). Padanlah jika lewat sahaja Prof Nid ini pulang pasti isterinya telefon. Tiap kali begitu bilamana berjalan denganku ada saja bualannya yang tak habis kami nak ceriterakan. Terpaksa bergegas pulang. Masa kami di Asrama Putra dia pendiam sahaja, berbeda bila telah berumur sebayaku. Dia banyak nak berceritera tetapi sibuk satu hal; STB ini payah juga nak kawal sindromnya... atau apakah sekadar alasan Prof Nid punya masalah STB tapi sebenarnya dia amat menyayangi isterinya; cinta di hati kedua pasangan ini masih amat membara.

http://www.mazidulakmal.com/2009/11/jom-jumpa-di-jb.html

2. Maka itu semasa aku bertugas dahulu ada seorang rakanku jika datang ke makmal waktu malam pasti pakai kain pelekat; selang beberapa ketika duduk di makmal akan berbunyilah telefon bimbitnya. Tak perlu tanya pasti dapat agak siapa yang kontaknya!.

"Iyer.. iyer... kejap saja lagi kat makmal Wak Suratman ni; sudah nak baliklah ni.." dia matikan telefon bimbit terus bergegas pulang, tak sempat habiskan perbualan. (Wak Suratman ini jiran setamannya, isterinya kenal akan kebaikan@watak Wak Suratman ini) Jika kita perasan dia tak sebut di makmal iDAN; kenapa?... isterinya tahu aku ni jenis ramai kenalan & telah ada beberapa sejarah berlaku, aku jodohkan rakanku dengan kenalanku; ada teruna bertemu dara ada juga suami bertemu janda.

Kasihan rakanku terpaksa keluar malam pakai kain pelekat (Takkan nak jumpa makwe pakai kain pelakat) puncanya dari aku juga; aku ajar dia cit cat dan bagaimana nak mengayat di ruangan kenalan lain; tau-tau dah hilang, kejap-kejap ke KLIA ketemu rakan siber.. kejap-kejap ke PJ; Alahai manalah aku tahu dia sehebat itu. Macam ceritera timbul bilamana isteri dapat bongkar aktiviti rakanku ini.

3. Rakan aku ini hanya ada seorang cahaya mata tetapi tuntutan kerjanya memaksa dia sering berja lewat malam; malahan jika terpaksa sampaikan bermalam di makmalnya. Dia pakar segala batu batan. Ujian bagi setiap batu batan ini terkadang memaksa dia memantau alatan atau mengutip data sampai 24 jam. Lalu bila dia di makmal isterinya akan sentiasa berhubung; akan sentiasa berhubungan dengan telefon.

"Bagaimana dengan konvoi kita mencari ikan keli salai; hari Ahad ini bagaimana!"

"Susah sikitlah abang iDAN kalau hari minggu; isteri saya ni payah sikit, jika nak pergi juga hari saya kerja, kita lari kejap..." ada lojiknya jika seminggu hari berkerja lima hari terkadang Sabtu pun kena datang kerja isteri mesti meragam.

Apakah ini juga dikatakan STB?, rasanya mungkin iyer mungkin tidak sebab aku lihat rakanku ini memang amat intim dengan isterinya, bagaikan pasangan bercinta. Terkini aku mendapat tahu cahaya mata tunggalnya telah pun berangkat ke luar negara; sambung belajar. Akan tambah sukarlah sahabatku ini dapat bebas keluar tanpa diiringi isterinya. Tinggal sendirian di rumah pastinya amat sunyi. Baik juga STB ini terasa dunia ini hanya milik bersama.

4. Ada kata STB ini bukan kerana takut bini tapi sayangkan bini, betulkah iyer! Maknanya STB ini tersimpan banyak jua kebaikannya. Terlampau tegas dan garang dengan bini pastinya bini pun tak akan ambil tahu masalah suami, bebas nak terbang ke mana-mana maka mudah amatlah melencung ke luar. Akhirnya dalam diam-diam akan buka cawangan baru. Berbini muda. Ish!.

17613 pelayar


Blogspot dah ada kaunter sendiri senanglah nak tahu berapa pengunjung ke blog ini;
jika dulu terpaksa ke server orang lain untuk nak intip pengunjung@pelayar ke blog ini..
terpaksa ambil masa

Dari pengetahuan aku cuma ada sekitar 100 pengunjung sehari itu yang paling ramai itupun jenis klik & keluar... dalam beberapa detik sahaja
(Azim sering marah ayahnya sebut detik... detik tu tak boleh bacalah ayah cepat dari saat....katanya; aku pun tak tahu berapa detik satu saat)
Tak ramai yang suka baca coretan nan panjang-panjang
ramai suka tenguk gambar & klik ke blog lain.

hari ini Blogspot lagi lancar berbanding FaceBook FB yang makin berat servernya
silap-silap FB akan kehilangan pengunjung jika asyik sukat diakses.
Kata Salleh IT sebab Tsunami di Jepun, betulkah?

♠

Anak Saudara Kahwin



Sesiapa kenalan sekitar Tapah, Kampar atau orang kampung di Perak moh...lah! temankan kami meraikan Siti anak Kak Nomie buat Majlis Sambut Menantu (ambik makan) di Kg Tronoh Mines seperti tertera di kad ini (klik gambar untuk besarkan). Jika nak konvoi dari jauh pun apa salahnya; bukan senang nak berkumpul di majlis sebegini. Nak rasa masakan orang Air Kuning tu. Silap-silap ada Rendang Tok.

Kami dari KL tak ramai sekitar dua atau tiga buah kereta sahaja; telefon saya 0169094343 pada hari Sabtu ini... insyaAllah saya bersama seorang putra si Aziq akan berada di sana sekitar jam 11:00 pagi hingga 3:00 petang.

╥

14 Mac 2011

PERJALANAN 3

i.
Aku telah cuba memetik harum kembangnya bunga kasihmu
tetapi duri ragumu telah menyucuk jantung hatiku
aku telah cuba menghias taman kasih sepimu
tetapi yang tumbuh cuma pepohon keliru sembilu
menyemak rinduku yang sesat di hutan ngerimu.

ii.
Keterasingan ini telah menghantarku jauh ke gua asing
aku hanya nampak sinar harapan ketika usia semakin pendek
suara sakti-Mu sekadar gema di bayangan kelawar liar
mencari arah ketentuan membina mahligai impian
tidak siapa pun menemani diri di kegelapan ini.

iii.
Aku semakin sesat di belantara penantian lara
tiada siapa sudi menyapa atau menggamit aku pulang
semakin jauh mencari cinta bunian di jeram seram
dengan gagasan kecundang yang terlalu lelah lagi walang
biar pun jernih simpati sering memaksi diri abadi.

iv.
Lebuh raya aulia-Mu terusan memintas suasana sengsara
menampakkan pelabuhan murni duniawi yang tidak bernama.

- iDANRADZi
Jenaris, Kajang.

(Puisi 146)

Dalam mengharungi sakit kronik ini aku cuba juga menulis puisi. Cita-citaku amat tinggi jika boleh aku mahu menulis 1001 buah puisi sebelum aku pergi; nampaknya bukan kerja yang mudah lantaran faktor usia & ilham. Buat masa ini mungkin terkumpul sekitar 200 buah puisi sahaja. Jika usiaku ini sekadar 60an berapa sangatlah sisa usiaku buat menulis sebanyak itu puisi. Jika pun mampu tentunya tidak sebaik mana nilai atau kualitinya. Dalam jangkaanku paling kuat aku berpuisi pun mungkin sekadar 500 buah puisi. Belum tentu sebabnya untuk mencipta sebuah puisi tenguklah keadaan. Paling handal pun sekitar dua buah puisi dalam seminggu. Sebulan baru sekitar 8 buah puisi. Setahun kalau hebat pun sekitar 96 buah puisi.

Iyer! jika usiaku 60an seyogia saban hari terusan menulis puisi orang akan kata mabuk puisi. Hidup dalam dunia puisi sentiasa. Naa mungkin. Bagaimana pun jika penuh giat & bertekad kuat bukan perkara mustahil aku dapat mencapai impian 1001 buah puisi tersebut. Kita tunggu & lihat sahaja.

Sesungguhnya bila berusia begini memang kita makin hilang teman, mungkin salah sebab warga emas nyanyuk adalah lantaran asyik berbual sendiri, anak-anak makin menjauh, pasangan pun jika bernasib baik bagai Dzuan & Amid mungkin terus bercinta tapi tidak semua, ramai kalangan orang tua kehilangan rakan berbual. Pasangan ada komitmen sendiri.

♠

13 Mac 2011

Jimmy Shanley Fail Nusyuz Kerana Anak

Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Salleh menyifatkan tindakan dia memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz adalah disebabkan anak yang dikandung isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.

Menurut Jimmy, usia kandungan isterinya kini telah memasuki lima bulan.

“Saya buat kerana anak. Doakanlah yang terbaik,” katanya semasa ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Jimmy, 31, menghadiri prosiding sebutan permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan terhadap Nursuhaila, 25, yang telah tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010.

“Dia sekarang tinggal di rumah keluarganya di Sungai Buloh (Selangor),” tambah Jimmy.

Berdasarkan rekod, permohonan untuk kembali taat difailkan sendiri oleh Jimmy pada 3 Januari lalu diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, semasa disoal mengenai alasan kedua-dua permohonan tersebut dibuat, peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus memberitahu, perkara tersebut hanya akan didedahkan pada perbicaraan kelak.

“Lazimnya, permohonan tersebut hanya akan dibuat apabila suami memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk isteri mentaati suami dalam perkara-perkara yang telah diarahkan,” katanya.

Prosiding mahkamah hari ini hanya dihadiri oleh Jimmy yang memakai kemeja merah dan berseluar ‘slack’ hitam serta bersongkok. Pada prosiding itu, Mohd Noor Aizan pada awalnya memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk kedua-dua kes walaupun saman tersebut tidak disampaikan secara terus kepada Nursuhaila.

Menurut Mohd Noor Aizan, saman tersebut diserahkan kepada anak saudara Nursuhaila pada 6 Februari lalu.

“Tiga hari selepas itu, iaitu pada 9 Februari lalu, Nursuhaila telah melantik seorang peguam syarie bernama Saadiah. Sehubungan itu, saya menyatakan penyampaian saman telah sempurna.

“Walaupun telah 30 hari saman diserahkan, kami masih belum menerima sebarang pembelaan daripada pihak Nursuhaila.

“Oleh itu, saya mohon supaya kedua-dua kes dibicarakan bersama dan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya.

Hakim Syarie Saharuddin Selamat bagaimanapun tidak membenarkan permohonan tersebut kerana menyifatkan penyampaian saman itu tidak boleh dibuktikan dengan tindakan Nursuhaila melantik peguam syarie.

“Mahkamah akan memberi peluang kepada Nursuhaila untuk dia hadir di mahkamah memfailkan pembelaan,’ katanya.

Justeru itu, beliau menetapkan kes itu disebut semula pada 4 April depan.

Peguam syarie yang mewakili Nursuhaila juga tidak menghadiri prosiding itu dan menurut Mohd Noor Aizan, pihaknya hanya menerima panggilan telefon daripada kakitangan peguam terbabit memaklumkan beliau mempunyai kes di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dekat sini dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.

Majlis repsepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dekat sini.

Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November lalu apabila Jimmy tidak menyangkal perkahwinannya bergelora seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tabloid.

09 Mac 2011

Rumah berbumbung Zink, Atap Nipah atau Genting ( Singgahsana)


Sejak zaman kanak-kanak lagi aku telah biasa dengan bahang panas rumah berbumbung zink; Siang amat panas tapi jika malam sedapnya tidur, sejuk sangat. Rumah asal tempat tumpah darahku tanpa siling bayangkan jika musim luruh pokok getah sekeliling tanpa daun amat teramatlah panas. Bagaimana pun di bawah rumah sedap melepak; main congkak buah getah atau tidur di pangkin.

Seyogia mana nak tanding sedapnya tidur di rumah Arwah Pak Sahak; Pak Sahak seorang duda di kampungku; rumahnya dia buat sendiri; dindingnya sekadar buluh yang dicincang & beratap rembia atau Atap Nipah. Pak Sahak adalah Tok Siak & Tukang Azan...; Bilal di kampungku; dia buat kerja sendiri tolong asahkan pisau motong getah (menoreh gerah), ambil upah menebas, jual bubu, pandai buat parang, pisau juga gasing dari kayu jambu batu atau pelbagai kerja kampung yang lain dia mahir belaka. Dia terima upah ala kadar.

Selalunya aku terlena di rumahnya bilamana dia bercerita kisah Bawang Putih Bawang Merah, Si Tenggang, Pak Pandir, Hang Jebat Derhaka dan banyak lagi cerita rakyat dia tahu belaka. Terkadang dia merengus juga bilamana aku & rakan asyik mahu dia ulang semula cerita yang kami suka; sampai telah hafal segala peristiwa di dalam ceritera.

Dia meninggal dunia sendirian anak Pak Sahak tak pernah kami kenal, katanya isterinya telah kahwin dengan orang Kedah; tentunya anaknya bersama keluarga tiri. Sejak aku kecil hingga aku tinggalkan kampung halaman tak pernah lihat keluarga Pak Sahak melawat dirinya.

Arwah Pak Sahak tinggal kenangan.

Kini tinggal di bandar boleh kata semuanya beratap genting; waima rumah kos rendah sekali pun atapnya tetap weh! oii. Rasanya tak seindah mana lainlah jika banglow agam siap kolam renang. Boleh tidur lena di rumah beratap genting tetapi bahananya pencuri suka mengintai sebab mereka sangkakan penghuni rumah sebegini kaya belaka orangnya.

♠

07 Mac 2011

Rasa Terpinggir ( Singgahsana)


Pernahkah kita rasa hidup ini semakin terpinggir. Ramai akan berkata berpunca pada diri, jika kita malas bermasyarakat; malas bergaul, malas ke surau, malas nak kontak kekawan, malas nak keluar bertandang, malas segala malas maka akan rasa terpinggirlah.

Cuba buat-buat sibuk dengar kawan sakit datang ziarahi; dengar orang buat kenduri sama pergi rewang. Dengar ada ceramah jenguklah surau. Sesekali ajaklah kawan melepak kat kedai mamak atau ikutlah mereka pergi memancing. Macam-macam cara boleh buat kita sibuk.

Keukhuwahan sebenarnya tidak datang dengan sendiri; apatah lagi jika kita ini serupa telah di alam bersara. Mana ada masa lagi mahu melepak. Mana ada masa lagi mahu berkumpul dengan rakan sekerja. Sebab itu ramai kita lihat pesara yang asyik melayan cucunya. Pesara sekadar buat hal sendiri sukar kita lihat pesara melepak lama di kedai kopi.

Faktor umur satu hal, bila telah bersara tentunya dalam usia ke gerbang Warga Emas jika ada tanah di kampung selalunya pesara akan buat kebun; menebas atau ternak ikan, tanam sayur atau pokok ubi, bukan nak dapat hasil tetapi nak mencari peluh.

Pergaulan pesara terpaksa terbatas apatah lagi jika telah ada masalah kesihatan; sebaiknya pesara ada tempat santai. Sesekali bersama rakan lama sebaiknya datang menjenguk dapat berbual panjang bercerita kisah lalu.

Lain ceritanya orang kaya; bila bersara pastinya akan asyik melancung, duit tak tahu nak guna apa lagi maka masa yang semakin sedikit berbaki elok digunakan melihat negara orang. Duit bukan boleh dibawa mati pun kenapa tidak dimanfaatkan untuk berehat di negara asing... tukar angin & santai seketika di samping jangan lupa tambahkan ibadat.

Jika kita masih rasa terpinggir ada baiknya kita banyakkan mendekati diri; lupakan duniawi & banyakkan mendekati dunia yang nanti. Carilah apakah yang akan mendamaikan hati, buatlah sesuatu yang mengembirakan. Jauhilah perasaan stes yang hanya merunsingkan & menganggu kesihatan anda.

Hidup tak sekekal mana.

06 Mac 2011

Dunia Puisi Masih bernadi (Singgahsana)


Sejak kebelakangan ini aku banyak menumpukan dunia mayaku ke FaceBook (FB) namun aku masih menulis puisi biar pun tak terlalu ghairah bagai menulis blog begini. Nah! dalam sedar tak sedar kekinian telah berlalu dua bulan tahun 2011 yang mana semangat aku menghantar ke media setiap tulisanku makin terbatas. Sifar lagi nampaknya.

Kunjungan pelayar internet ke blog ini jua nampaknya semakin berkurangan lantaran aku pun jarang punya kesempatan menyusup masuk ke blog rakan lain. Seperti Bro Maz TV3 yang mana tak aku nafikan dari sana blog ini menjadi semakin ramai pengikut. Nama blog aku jua telah dibuang dari blog Broz Maz, tentunya talian atau untaikan ke blog ini semakin berkurangan.

Yang menjadi tanda tanya blog aku di easyjournal pula nampaknya pengunjungnya terusan bertambah; bagaimana pula di sana masih ramai pelayar sedangkan aku telah begitu lama tidak menulis di sana. Aku selalu mempelawa rakanku yang kukenali di sana agar dapat mengunjungi atau beralih blog yang ini namun nampak mereka masih suka ke sana.

Masalah yang aku amat risaukan blog aku di server sana selalu amat asyik terputus & tak dapat diakses; takut satu hari nanti jadi bagaikan server Geocities... tinggal kenangan sahaja laman sesawang keluarga aku di sana.

Aku sedang berusaha mengembalikan kekuatan menulis lantaran faktor kesihatan yang asyik terganggu; namun lagi aku bernekad menulis nampak lagi cepat amat masa berlalu. (Tak menjadilah tu!) Buat masa ini projek untuk mengemas rumah masih terbengkalai lantaran faktor kewangan & sikap acuh tak acuh rakan yang kulantik menjadi kontraktor ubah suai rumahku. Projek yang terbengkalai memang membelenggu fikiranku.

Berhati-hatilah dalam memilih rakan yang ingin membantu anda dalam menyempurnakan urusan tempat tinggal. Ubah suai rumah umpamanya. Sejak aku ubah suai dapur dulu ianya mengambil masa setahun lebih baru keadaannya stabil; janji asal siap sekitar tiga bulan jadi enam bulan, setelah setahun semua sistem paip airnya bocor sana sini. Terpaksa buat pemasangan paip semula; buat luar dinding sahaja. Mana nal cantik lagi jubin yang kita tampal di rumah kita.

Yang ini pula masih tak pasti akan masalah kebocoran; janji dua minggu telah masuk bulan ketiga masih ada masalah bocornya, sebulan lebih masalah rumah jiran kiri dan kanan tidak selesai. Roboh atap jiran bocor dapur jiran. Nak keluar rumah pun kita jadi malu. Semua ini buat kita tak lena tidur & masalah kesihatan pastinya terganggu.

Bajet pun satu hal dari jangkaan awal sekadar guna RM7K lari bajet RM10K lebih. Adoi! aku bukan ada duit masuk lagi sudah bersara kawan oi!. Maka aku terpaksa hentikan dulu untuk talian elektriknya. Terpaksa menumpukan atau menyusun barangan yang masih tersimpan di dalam kotak.

Sukar amat nak berpuisi dalam kesibukan kecuali ada kekuatan minda yang utuh. Bila makan ubat kurangkan kolestrol sesungguhnya daya tumpuan menjadi amat beku memang betul itu kesan sampingan yang aku baca di laman sesawang tetapi doktor menafikan. Aku kagum dengan rakanku seperti Bro Maz, TW atau Kelompen jika klik jurnal mereka pasti ada sahaja nota baru yang amat menarik & kritis selalu. Bro Maz & Kelompen telah makin jauh dariku nampaknya begitu jua mana pergi Abuyon sahabatku. Tentunya ini lantaran setiap kali mereka klik blogku nampak pengap. Kecuali Zeq, Cikgu, Anyss, YB & beberapa orang sahaja lagi rakan Junalis Maya yang masih menyapa aku. Masih dapat mengesanku di FB. Makin kecik dunia persuratanku.

Akhirnya aku akur sendiri usia mungkin; gunakan masa mudamu sebelum tuamu nampak telah terkena atau berlalu buatku.

♥

25 Februari 2011

Kenapa mesti Saujana Impian


Dalam perancangan Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang; cadangan bagi jajaran Sungai Buloh - Kajang adalah projek yang akan menghubungkan komuter di sekitar Lembah Klang. Dalam pelan cadangan antara stesen yang bakal dibina adalah di Saujana Impian. Saujana Impian tidak jauh dari Jenaris teratakku yang kini makin ditelan bandar.

Tak siapa menolak pembangunan, tetapi aku sering tertanya-tanya apakah kedudukan stesen Saujana Impian Strategik atau sebaliknya. Bagi mereka yang tinggal di Kajang pasti terfikir agak jauh Stesen Komputer dari pusat bandar; begitu juga Terminal Bas di Kajang. Jika bergantung kepada bas mini memang amat buang masa; aku terasa amat gerun tiap kali berada hentian bas di sekitar pusat bandar contohnya di hadapan Pasaraya Billion Kajang; pergilah sesekali ke sana bagaimana sesak & ramainya pendatang luar menunggu bas di sana. Masih macam zaman 80an atau 70an lalu nampak tidak cantik & merimaskan.

Stesen Komuter Kajang jua tak semeriah mana lantaran tempat letak kereta yang amat kecil, tanpa ruang menunggu atau terminal yang boleh menghantar penumpang; malahan rasa tak kena amat keadaan sebegitu terpencil & jumud. Sebaiknya dibina di sebelah Arked Mara, parkir telah sedia ada & luas. Atau pun sebelah Medan selera Sate Kajang; pasti ramai orang senang nak makan sate Kajang.

Mereka yang menetap di sekitar Saujana Impian pasti mengakui yang sekitar Jenaris, Prima Saujana; Kantan Permai jauh lebih sesak & padat penduduknya. Bayangkan setiap kali hujan di waktu pagi kesesakan lalu lintas melimpah sampai ke rumahku Jalan 3, Desa Sri Jenaris. Jalan 3 bukan jalan utama di Jenaris; tetapi telah tiada pilihan banyak kenderaan terpaksa mencari jalan pintas. Jalan utama terlalu sesak.

Keujudan Kolej Komuniti Hulu Langat di Prima Saujana salah satu faktor pembangunan di sini cepat berkembang. Selain Giant, Kamdar, Al-Jabbar, McD, Pasar Malam dan banyak kedai lagi sentiasa menunggu kunjungan pelanggan. Berbanding Saujana Impian sekadar ada TESCO & Padang Bunian Pemancar Radio.

Aku lama menjadi salah seorang Pakar Kajiselidik dalam masalah trafik di KL sebelum ujudnya komuter pun Subway (Putra); secara lojiknya kemudahan komuter adalah untuk orang ramai, stesen dibina di kelompok ramai bukan nun di tanah perkuburan; jika stesen dibina di Saujana Impian yang tak seramai mana penduduknya apa sebenarnya pembangunan yang bakal dibina nanti. Aku lama tinggal di sekitar Shinjuku & Hirajuku Jepun; di pusat bandar yang padat pengguna komuter & subway kerajaan Jepun sanggup bina stesen yang sampai lebih dari 5 tingkat. Warga Jepun bagaikan semut keluar dari perut bumi setiap ketika di Tokyo yang sesak ini.

Kerajaan kena menumpukan pembangunan bagi kawasan yang padat penduduk; stesen keretapi sesuai dibina di kawasan ramai penduduk tak sama jika mahu membina stadium atau sekolah yang pastinya elok dibina di luar kawasan padat. Stesen adalah persinggahan untuk orang ramai bukan menghantar orang ramai nun jauh terpencil yang akan mengakibatkan kos pengangkutan itu bertambah rumit.

Bayangkan rakyat marhaen terpaksa bersesak di sekitar Jenaris atau Prima Saujana untuk menuju ke stesen komuter barulah dapat menaiki komuter di Stesen Saujana Impian; amat terdera, akan banyak membuang tenaga, masa & percemaran tentunya. Perlu diingat di Saujana Impian sana ramai kalangan orang berada berbanding Jenaris, Sungai Kantan Permai serta banyak lagi taman yang tumbuh bagaikan cendawan. Orang berada akan selesa dengan kereta mewah mereka seyogia siap dengan pemandu mereka. Kenapa mesti rakyat marhaen, pelajar pun penduduk yang tinggal di Flat serta apartment perlu berkejar ke Saujana Impian sana.

Buatlah bancian di mana kawasan yang ramai penduduk di situ yang sesuai untuk stesen komuter didirikan. Jangan jadi pembangunan yang tak seimbang seperti di Putrajaya sana mewah dengan jambatan ala Taj Mahal tetapi di bumi nyata, sekitar pribumi miskin contohnya perkampungan orang asli atau sekitar daerah perdalaman; nak melintas ke jambatan mereka pun seram takut hanyut dibawa arus banjir.

Tak payah jauh ketika hujan lebat cubalah melintas jambatan di Sungai Langat Kajang; tenguk arus sungai & bandingkan jambatan yang amat tua sedang menongkah arus sungai ini; rasa mengingau pun ada amat risau akan keselamatan jambatan lama ini; Mana pernah jambatan ini sunyi dengan kenderaan. Sebaiknya pihak berwajib memikirkan untuk menaik taraf jambatan yang uzur ini. (Kerap kutulis di blog lamaku masalah jambatan ini)

Inilah yang akan berlaku jika pemaju Mass Rapid Transit Lembah Kelang tidak menumpukan kawasan terpadat penduduk untuk dibangunkan stesen komuter; golongan marhaen ini akan terusan tersepit di arus pembangunan. Bak arus Sungai Langat yang padat amat sukar dikembalikan jernih atau nin airnya tanpa pencemaran.

♠

24 Februari 2011

Teja dapat anak Kembar (Singgahsana)


Teja baru melahirkan anak kembar 5, ibunya Topeng nampaknya mengandung juga; maknanya Topeng telah pun mendapat 5 cucu, sejauh mana Teja pandai jaga anak aku masih terkesima... waima ibunya Teja... si Topeng saban tahun kerap kali beranak terbaru lima anaknya mati mengejut... bagaikan kena wabak cacing. Aku mengesyaki masalah pemakanan ketika kami tiada di rumah; entah makanan apa yang Topeng kasi anak-anaknya.

Inilah masalah Topeng asyik suka gonggong makanan dari luar; maka amat sukar anaknya selamat & berumur panjang; agar Teja tidak begitu.

Ini pertama kali Teja beranak; tak pasti apakah anak-anaknya berekor kembang sepertinya; emm! beranak pun di tilam empuk, memang Teja kucing yang manja. Sebenarnya aku tak suka suami-suaminya... botak... aku panggil si suami botak, wajah-wajah suaminya garang belaka tak pandai senyum & manja seperti Teja.

18 Februari 2011

Shah Rukh Khan jalani penggambaran di Melaka


"Sebelum ini saya telah berjanji untuk kembali ke sini dan jalani penggambaran filem dan sekarang saya di sini," kata artis sensasi Bollywood Shah Rukh Khan.

Dianugerahi gelaran 'Datuk' oleh kerajaan negeri Melaka selepas kunjungan terakhir pada Disember 2008, Datuk Shah kini berada di Melaka untuk menjalani penggambaran filem barunya 'Don 2', susulan filem 'Don: The Chase Begins' yang dihasilkan pada 2006.

"Kami memulakan penggambaran beberapa hari yang lepas dan akan berada di sini antara dua dan tiga hari untuk penggambaran bahagian awal filem ini," katanya kepada pemberita di Sungai Udang di Melaka.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, isterinya Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan dua orang produser filem itu, Ritesh Sidhwani dan Farhan Akhtar.

Filem Don yang diarahkan oleh Farhan masih mengekalkan sentuhannya untuk Don 2, yang dijangka dipasarkan di 32 negara pada Disember ini.

Khan berkata filem baru itu lebih licik dan menarik dari segi teknikal berbanding filem pertama.

"Ia adalah filem aksi ala 'James Bond' atau genre 'Bourne Identity' yang mana lebih diminati oleh golongan lelaki berbanding wanita," kata Khan yang mengenakan kemeja-T putih dan berseluar jingga terang yang tampil dengan gaya ikat rambut ala ekor kuda untuk sesuaikan wataknya dalam filem itu.


Khan, 45, yang kelihatan lebih kurus sempat berseloroh, menyatakan beliau rindukan Priyanka Chopra, heroin filem itu yang tidak dapat hadir pada sidang media berkenaan kerana terpaksa pulang ke India untuk promosi filem barunya.

"Beliau (Priyanka) akan kembali ke sini di mana filem itu turut dibintangi Lara Dutta yang akan menyertai kami untuk babak berikutnya dalam beberapa hari lagi," kata Khan.

Katanya peranan beliau dalam filem itu sama seperti filem pertama, melakonkan watak jahat, mengenakan orang dan selesaikan tugasannya.

"Sama seperti karektor saya yang sebenar," katanya sambil berseloroh.

Melaka, Kuala Lumpur dan Langkawi dipilih sebagai lokasi untuk penggambaran filem ini yang turut disertai 140 kru filem dan ia akan berakhir di Berlin, Jerman.

--Bernama

iDAN:

Dari maklumat dalaman Datuk Sharukh Khan menginap di sini dari 15 hingga 18 Februari 2011 di sini.

Jika di Phelia Resort & Spa ini mereka berkumpul takkan tak ambil barang sedikit babak di sini, harapanku agar Phelia akan menjadi popular seantero dunia. Dua malam aku menginap di sini memang resort ini layak dinobatkan 5 bintang sebab dari segi layanan pun menu makanan amat kelas & berbaloi menginap di sini. Anda hanya perlu memanggil Buddy (kereta ala padang golf) untuk bergerak; 24 jam anda boleh mendapat khidmat serta layanan istimewa.

Namun jika seperti aku golongan marhaen yang tak berduit banyak... sila semak kos tidur semalam & carilah ketika diadakan tawaran penginapan. Selalunya kamar termurah sekitar RM600 tetapi jika berkumpulan sekarang Phelia membuat promosi majlis mesyuarat sekitar RM466 seorang bagi pasangan dua hari semalam... Sebut majlis mesyuarat makan mestilah kerap; dari sarapan, tengah hari minum petang, makan malam berhidang atau tunggulah jabatan anda sponsor secara percuma tidur di sini itu lebih istimewa...

Kadar orang awam buat masa ini promosi sekitar RM500 bagi kamar dua katil atau kamar kelamin berserta sarapan untuk dua orang.

Tidur di kamar kayu dari Rusia & semua pagar hiasan dari kayu rel kereta api... amat mengujakan.

Lobi utama