iDAN

18 Mac 2011

Alamak Duit Tak Cukup

Selalunya aku ke Giant sebelah rumahku tak pun bawa beg duit; capai sahaja duit dari dalam tabung hijau terus membeli belah. Pulak tu tak bawa duit lebih main congak saja; akhirnya dua kali aku terkena. Tak cukup duit ketika nak bayar di kaunter bayaran.

Mujurlah Giant tak seperti TESCO tak pernah sunyi orangnya maka sempatlah aku capai duit di tabung kereta; biasanya aku memang akan letak sekitar RM10 kut apa-apa kesuntukan duit.

"Adik tak bolehkah tolak satu barang ni sebab abg tak cukup duit ni" juruwang biasanya diam sahaja mungkin sukar kut nak tolak harga jika telah dicetak jumlahnya.

"Tak apalah dik abg ke kereta kejap ambil wang.!" kebetulan di belakangku tak ada siapa pun. Dia tutup kaunter sementara aku terkecuh-kecuh ke kereta. Bukan banyak mana pun terlebih sekitar seringgit dua. Baranganku telah siap terbungkus aku tinggalkan saja.

Setelah selesai membayar aku, aku minta maaf lantaran memang silap aku; kenapa memandai capai barangan tanpa periksa sungguh-sungguh. Bila aku congak-congak kenapa jadi pengap amat aku dalam isu congak mencongak. Rupa-rupanya aku keliru atau tak kenal apa itu Sawi apa itu Choy Sum. Aku tenguk macam sama sahaja. Aku baca papan tawaran harga Sawi sekadar 79 sen, aku capai sahaja dua peket; pada peket tak tulis harga hanya ada bar kod harga sahaja. Memang tak tulis Sawi tulis Choy Sum, aku mati-matian menganggap Choy Sum tu bahasa cina, Sawi cakap kita. Tertulis Choy Sum dari Cameron Highland. Sepeket RM2 lebih bayangkan aku dah lari berganda congakkannya. Patutnya sekitar RM2 dah jadi RM4 lebih. Huh!

Ini Sawi

Ini pula Choy Sum memang ada bunga rona kuning.

Ini pula Pak Choy
alahai! barulah aku tahu..

Jika Kailan tu memang senang nak kenal; sebab Mila selalu masaknya taruh ikan masin. Atau mana-mana restoran kita pergi selalu Sayur Kailan Ikan masin ini memang amat popular.

Rasanya bukan aku sahaja yang terkena pasti ramai lagi yang terkena; hingga hari ini masih ada tawaran Sawi 79 sen sepeket ini tapi yang dicapai memang Choy Sum sebab iklan tawaran Sawi adalah betul-betul selari atau di atas Choy Sum. Apatah lagi ketika aku terkena Sawi yang diiklankan telah habis hanya Choy Sum sahaja yang masih melambak.

Kali kedua aku nak beli Sawi di Giant aku jumpa akak yang di kaunter timbang.

"Akak ini Sawi atau Choy Sum..!"

"Choy Sum ... Sawi ada sebelahnya" aku cuba cari, tak mandang pun. Ish! penat betul.

Isunya bukanlah kita nak sangat tawaran murah itu; mana bendanya. Serik betul aku nak membeli sayur di Giant. Jangan berani capai peket yang tanpa tulis harga; hanya sekadar bar kod harga yang bergaris hitam putih itu sahaja. Bila aku ke pasar malam baik sawi atau Choy Sum murah amat, sampaikan ada seikat 50 sen sahaja. Yang selonggok RM2 pun mahu dua tiga kali banyaknya berbanding di Giant.

Tak dinafikan bab harga ikan atau sayur di TESCO atau Econsave jauh lebih murah harganya berbanding Giant. Moralnya dari nota ini; jika membeli belah elok bawa beg duit yang terselit duit kesesakan di dalamnya. Barang sekarang amat mengejutkan kita harganya.

Tadi aku terkena lagi lebih kurang cerita yang sama; rupanya zaman kini makanan ringan atau jajan telah naik sekali ganda; pergi tenguk harga kerepek atau kacang putih di pusat membeli belah di mana jua. Terkejut beruk tenguk harganya mahal amat. Semua barangan naik harga bila nak turun harga Naa Mungkin.


♥

17 Mac 2011

Kejujuran Kita

Jika dulu untuk kita melobi atau menyebar maklumat amat terhad ruangnya, malahan nak kenal seseorang pun amat payah hanya kalangan orang terdekat itu pun amat terbatas. Jika nak berhubungan pun perlukan masa atau kos yang mahal. Jika ke Majalah Filem atau URTV hanya ada ruangan Kembang Setaman untuk berkenalan; terpaksa tulis surat. Tak semua kampung perdalaman ada talian telefon; di kampungku pun sekitar tahun 90an baru ramai orang kampung punyai talian sendiri. Sekarang lantaran musibah dadah TMnet merajuk tak larat nak sambung kabel lagi; asyik kena curi; maka perhubungan di kampung hanyalah talian telefon bimbit atau pun berjalur lebarlah (Broadband) orang kampung jika nak ke alam@dunia maya. Masih senang berhubungan biarpun tiada talian tetap atau streamyx di kampungku. Sebut dunia maya; ada yang panggil alam siber, ada yang sebut internet, semua tahu segalanya di hujung jari. Jika kita cekap menaip bayangkan sepuluh hujung jari berkata belaka. Aku guna dua jari telunjuk sahaja maka jangan hairanlah asyik silap eja sahaja i jadi o atau u ... n jadi m atau b. Silap klik teraba dalam gelap, malam-malam Mila memang fobia jika aku mengadap komputer. Sedetik kita menaip selang beberapa detik rakan kita telah dapat berhubungan; malahan jika mahir dengan webcam dapat tenguk wajah kenalan kita tak mengira jarak & ketika. Berhubungan di dunia maya memang memerlukan kejujuran, kedua pihak kenalah berhati-hati tak kira apa niat pasangannya. Ramai sangat tertipu jika bertemu dengan kaki menyamar. Terlalu ramai ambil kesempatan dengan kejutan budaya siber. Berhati-hatilah bercinta di dunia maya. Cinta Siber ini sering terpedaya. Baik lelaki atau perempuan yang licik akan sentiasa mencari mangsa. Selalunya ada yang mencari mangsa untuk wang ringgit; ada juga yang sengaja menggoda untuk bahan nafsu gerladangan mereka. Kebiasaannya setelah kenal di internet hubungan akan berterusan dengan telefon bimbit; sms yang dihantar mengalahkan ayat bangsawan untuk menawan. Selalunya perempuan atau lelaki gerladangan ini akan guna banyak nombor telefon bimbit. Semata-mata nak mengelirukan mangsa. Jangan berani berjumpa dengan orang yang kita tak kenal dari hulu mana. Pacat di dunia maya ini jika setelah menghisap darah kita memang akan sukar kita jejak. Terutama janji manis berniaga di dunia maya, aku sendiri bukan sedikit wang ringgit lebur sebab mudah percaya. Ramai yang pakar ICT menyalahgunakan kepakaran mereka untuk menipu agar segera menjadi kaya, kita yang dungu ICT buta IT akan sering menjadi mangsa. Padamkan saja semua e-mel atau mesej yang berkait dengan pelaburan, menang loteri, e-book dan macam-macam lagi pelawaan di dunia maya; jika kita terbaca minda kita mudah terpedaya. Cara mereka membodek kita memang amat handal lagi berpengalaman. Perundangan negara kita pun tak akan dapat cekup mereka jika telah melibatkan dua negara, Jenayah Siber di negara sendiri pun masih tak selesai manakan lagi nak ke negara mengadu hal. Makin hari makin kita berhadapan dengan gejala ketidakjujuran manusia. Sementelah itu gunakan kemudahan ICT ini dengan kebijakan kita. Belajarlah menjadi jujur jangan pekena atau menyakitkan hati orang lain. Nampak sahaja dunia maya ini bagaikan khayalan tapi disebalik khayalan itu semuanya amat nyata & kita akan disita di dunia sana nanti jika menjadi manusia tak sedarkan diri. Waspada.
♥

16 Mac 2011

AC Mizal & Gelangnya

Ish! isu gelang AC Mizal yang di’dakwa mark-up harga melampau semua orang sudah tahu rasanya sehingga hari ini.

Seperti kebanyakan syarikat MLM lain, Harian Metro adalah publikasi arus perdana paling mesra buat mereka untuk beriklan atau membela diri.

Hari Ahad yang menenangkan ini, Harian Metro mengeluarkan laporan jawapan AC Mizal terhadap beberapa dakwaan superhero Malaysia Aidid Mu’addib.

Kami copy-paste beberapa point yang penting untuk pengetahuan & penilaian akal bijak anda semua. Kami tidak cukup yakin akan jawapan di’berikan AC Mizal. Dan, apa Khai AF1 buat di’sisi AC Mizal?

1) Gelang AC Mizal dibeli dengan harga AS$25 (RM78) tetapi dijual RM1,000

Apa yang dipaparkan di blog hanya gambar yang diubahsuai. Harga RM1,000 yang ditawarkan bukan sebab saya tamak, tetapi ia membabitkan pelbagai kos, antaranya kos kotak, operasi dan pemberian bonus. Malah, daripada RM1,000 itu, sebanyak RM500 diberi kepada ahli sebagai komisen.

2) Tiada Lesen Jualan Langsung

Dakwaan saya tiada lesen jualan langsung juga tidak benar. Lesen jualan langsung syarikat saya memang bukan di atas nama AC Konsortium tetapi anak syarikat AC Konsortium, Ilham Prestij Sdn Bhd. Lesen itu tergantung di pejabat saya. Untuk lebih jelas, saya tidak menjalankan perniagaan jualan langsung pemasaran berbilang tingkat (MLM) tetapi pemasaran satu tingkat (SLM). Lesen diberikan bermula dari 16 Mac 2010 hingga 15 Mac 2011.

3) Penjualan gelang AC Mizal di gedung Marks & Spencer, London

Saya tidak beri apa-apa kenyataan bahawa gelang saya dijual di gedung Marks & Spencer, London. Saya hanya kata akan dijual di gedung berkenaan. Ia masih dalam proses perbincangan sebelum menjadi kenyataan. Memang saya ada kata gelang saya dijual di London tetapi dijual kepada orang perseorangan.

4) Testimoni yang ditiru daripada laman web

Testimoni itu dihantar dari London untuk usaha memasuki pasaran di gedung Marks & Spencer. Bukan saya yang menghasilkannya. Manalah saya tahu jika ia ditiru daripada laman web lain.

iDAN:

AC ini pangkat anak saudara tiri, masa arwah Apak nazak memang di rumah ayah AC di KL ketika itu dia bujang lagi. Dia mengiringi jenazah arwah Apak sampai ke Kubur Pedas di Perak. Sekarang dia memang tak kenal kami lagi. Kes gelang ini saya juga menjadi ahlinya tapi tidak aktif. Saya daftar menjadi ahli dapat gelang kemudian akaun saya pengap macam itu sahaja.

Sebut sahaja jualan langsung atau MLM pasti semua faham bayangkan jika harga RM1000 separuh terpaksa diagih untuk ahli, jatuhnya dua kali ganda kita berbelanja bagi satu barangan. Pemasaran satu tingkat (SLM) yang dikatakan AC aku pun tak faham sangat. Yang pasti ahli terakhir pasti dapat amat sedikit atau sifar keuntungannya; akhirnya jualan dah tepu syarikat bankrap maka duit keahlian fikirkanlah siapa yang empunya.

Takutnya nanti kita berhutang kepada ahli yang mengharapkan laba dari pelaburannya. Bayangkan jika kita jual dengan berganda tapi ahli yang tak aktif ini tak dapat sikit pun komisen tidakkah ini satu penipuan. Jangan perangkap orang dengan alasan yang tak munasabah. Ambillah keuntungan sekadarnya bukan sampai kita menganiaya orang.

Zaman sekarang telah banyak pilihan fikirkanlah sendiri di mana kita nak berbelanja; sebagai contoh Penapis Air, jika jualan MLM sampai mencecah ke RM2000 di pasaran terbuka sekadar RM1000 sama kualiti sama jaminannya anda nak pilih yang mana tepuk dada tanyalah selera.

♥

Dulu mewah Kini Berjimat


Perhatikan staf kerajaan (bukan semua) jika mereka kerja di ofis mungkin tidak terlibat, tetapi mereka yang kerja sokongan di luar stesen, atau mereka dalam bidang teknikal atau mereka yang waktu kerjanya tak menentu; amat sukar kita kaji skala atau jadual kerja mereka.

28 tahun aku berkhidmat dengan kerajaan dalam bidang teknikal (sokongan), kejujuran pada diri itu amat penting. Ramai amat kalangan kita yang lebih utamakan kepentingan diri sendiri dari tuntutan kerja. Kerja tidak selalunya sibuk, terutama jika ditugaskan membaca data, membaca meter, menanti tugasan di stesen atau kerja yang bermusim. Fikirkanlah sendiri berapa banyak kita mencuri waktu tugasan kita. Silap-silap ada yang tidur bergaji.

Amat sensitif jika dipersoalkan, masing-masing merasakan diri kita adalah yang terbaik, terajin atau mahukan anugerah cemerlang itu tiap tahun milik kita. Tanpa kita kaji sempurnakah tugasan kita, betulkah kita yang buat, atau kita mengarahkan saja, rakan sekerja jadi macai. Bila bebanan kerja banyak sangat maka kita lari minta ditukarkan kelain bahagian.

Sekarang telah ada komputer, aku sering perhatikan setiap staf mesti ada hobinya dengan komputer, jika tak berFB mesti gila YM atau pun blog, berforum atau masuk laman sesawang politik atau main Chess atau gila main permainan komputer. Aku yang jaga ICT semasa kerja tahu belaka pelbagai ruang yang akan sedar tak sedar mencuri masa kerja kita. Jika waktu lapang atau senggang itu tak apalah bergadang di laman sesawang; dari merayap sampai sukar dicari tapi jika ada kerja asyik terpaksa ditangguhkan syok berleka kerja peribadi ini yang jadi masalah.

Belum bab memonteng keluar pejabat; bab lewat datang selepas makan tengah hari, bab balik awal ambil anak sekolah, bab asyik keluar baiki kereta rosak, bab lewat datang rakan tolong ketuk kad... ish! mesti ramai terasa baca nota ini. Titik.

Mengapa aku tetiba membebel bab ini, apa kena mengena dengan aku lagi, aku dah bersara nak buat apa fikirkan bab memonteng kerja, curi tulang segala ni. Macamlah aku tak buat semua itu sampai membeli belah pun bergaji. Hah!.

Aku nak cerita bukan apa, bila duduk di rumah dengan duit pencen yang yang tinggal 1/3 dari gaji dulu; tenguk bil elektrik sampai RM200 lebih, tenguk barangan mendadak naik sampaikan memang cupoi duit barulah teringat waktu berkerja mewah amat; tak tahu nak padam lampu waktu rehat, tak tahu nak padan penghawa dingin jika sendirian tak tahu nak tutup komputer bila tidak digunakan... bermewah amat. Gaji berganda dari kerja sebenar. Semua buat perkara ini. Mana ada kita pakai lilin jika nak bercit-cat mana ada kita nak pakai kipas tangan jika nak buat kerja sendiri. Kita ini sama saja bila dah terantuk barulah tengadah. Sedarlah!.

♥

Wajah 7


apakah cantiknya pada wajah

matanya kah?

bibirnya kah?

♠

15 Mac 2011

Diari iDAN


03hb Mac pukul 12.34 malam

Ujian Ilahi amat banyak nampaknya; setelah jari kanan ini membengkak bernanah; batuk pula amat kuat hingga tak dapat lenanya tidur; Atas nasihat rakan saya cuba ramuan dari limau kasturi taruh kicap, agak reda sikit... hinggalah ke ubat batuk gamat madu...

Baik sahaja jari kanan terbakar pula jari kiri & di pelipat kaki ketika membakar sampah; orang tua macam saya ni bila sakit amat lambat pulihnya.

Sehari dua ini barulah agak reda semua kesakitan; bayangkan sejak kembali dari PD tempoh hari... glukos terkini naik ke 7++ mmol/l pada 21hb nanti akan buat ujian terapi melalui darah.

Tak mahu rasanya ditambah bebanan makan ubat yang kini masih kekal 5 jenis dari doktor.

03hb Mac pukul 10.11 pagi

Syafakallah, semoga Allah SWT memberi kesembuhan dan kesihatan yang baik.. Ameen, insyaAllah.. moga sentiasa sabar atas segala ujian yg diberi oleh Allah SWT mungkin ada hikmah kebaikkan disebaliknya atau sbagai kifarrah (penghapus segala dosa), insyaAllah.. (maafkan saya jika ada kata-kata saya yg buat saudara terasa hati).

16hb Mac pukul 1.48 pagi

Hari ini nampaknya kekuatan badan ini menahan sakit makin kurang. Untuk kebah segala sakit memakan masa. Bila hari ini sakitnya semakin reda datang pula sakit lain...

Masalah sukar tidur kian melanda, menjadikan rutin harian yang amat payah... sering sukar tidur malam lalu selepas subuh asyik tertidur, orang kata mahal rezeki; jadual waktu tidur telah beralih... maka seminggu dua terkebil-kebil sampai lewat 3:00 pagi.

Selagi ada impian kita asyik memikirkan jalan keluar tapi nampaknya takdir Ilahi kudrat ini hanya di sini... saya teringin amat pulang ke kampung memulihkan harta pusaka di sana... memang ini satu ganggu fikiran yang buat kita terbawa-bawa ke alam mimpi.


STB


1. Apa benda STB ini; perkara ini aku pernah berbual dengan rakan karibku Prof Nid seorang yang popular di seantero Malaya. Sering keluar di kaca TV kita bilamana musim Pilihan Raya. Mungkin antara kita kenal dia. Antara katanya;

"Saya ni ada masalahlah iDAN kena sakit STB" apa pula bendanya STB ini dalam hatiku tertanya-tanya.

Bila aku teringat pernah membaca artikel di Blogspot Bro. Maz TV3 barulah aku perasan. Ianya banyak lekat pada ramai suami; "Sindrom Takut Bini" (STB). Padanlah jika lewat sahaja Prof Nid ini pulang pasti isterinya telefon. Tiap kali begitu bilamana berjalan denganku ada saja bualannya yang tak habis kami nak ceriterakan. Terpaksa bergegas pulang. Masa kami di Asrama Putra dia pendiam sahaja, berbeda bila telah berumur sebayaku. Dia banyak nak berceritera tetapi sibuk satu hal; STB ini payah juga nak kawal sindromnya... atau apakah sekadar alasan Prof Nid punya masalah STB tapi sebenarnya dia amat menyayangi isterinya; cinta di hati kedua pasangan ini masih amat membara.

http://www.mazidulakmal.com/2009/11/jom-jumpa-di-jb.html

2. Maka itu semasa aku bertugas dahulu ada seorang rakanku jika datang ke makmal waktu malam pasti pakai kain pelekat; selang beberapa ketika duduk di makmal akan berbunyilah telefon bimbitnya. Tak perlu tanya pasti dapat agak siapa yang kontaknya!.

"Iyer.. iyer... kejap saja lagi kat makmal Wak Suratman ni; sudah nak baliklah ni.." dia matikan telefon bimbit terus bergegas pulang, tak sempat habiskan perbualan. (Wak Suratman ini jiran setamannya, isterinya kenal akan kebaikan@watak Wak Suratman ini) Jika kita perasan dia tak sebut di makmal iDAN; kenapa?... isterinya tahu aku ni jenis ramai kenalan & telah ada beberapa sejarah berlaku, aku jodohkan rakanku dengan kenalanku; ada teruna bertemu dara ada juga suami bertemu janda.

Kasihan rakanku terpaksa keluar malam pakai kain pelekat (Takkan nak jumpa makwe pakai kain pelakat) puncanya dari aku juga; aku ajar dia cit cat dan bagaimana nak mengayat di ruangan kenalan lain; tau-tau dah hilang, kejap-kejap ke KLIA ketemu rakan siber.. kejap-kejap ke PJ; Alahai manalah aku tahu dia sehebat itu. Macam ceritera timbul bilamana isteri dapat bongkar aktiviti rakanku ini.

3. Rakan aku ini hanya ada seorang cahaya mata tetapi tuntutan kerjanya memaksa dia sering berja lewat malam; malahan jika terpaksa sampaikan bermalam di makmalnya. Dia pakar segala batu batan. Ujian bagi setiap batu batan ini terkadang memaksa dia memantau alatan atau mengutip data sampai 24 jam. Lalu bila dia di makmal isterinya akan sentiasa berhubung; akan sentiasa berhubungan dengan telefon.

"Bagaimana dengan konvoi kita mencari ikan keli salai; hari Ahad ini bagaimana!"

"Susah sikitlah abang iDAN kalau hari minggu; isteri saya ni payah sikit, jika nak pergi juga hari saya kerja, kita lari kejap..." ada lojiknya jika seminggu hari berkerja lima hari terkadang Sabtu pun kena datang kerja isteri mesti meragam.

Apakah ini juga dikatakan STB?, rasanya mungkin iyer mungkin tidak sebab aku lihat rakanku ini memang amat intim dengan isterinya, bagaikan pasangan bercinta. Terkini aku mendapat tahu cahaya mata tunggalnya telah pun berangkat ke luar negara; sambung belajar. Akan tambah sukarlah sahabatku ini dapat bebas keluar tanpa diiringi isterinya. Tinggal sendirian di rumah pastinya amat sunyi. Baik juga STB ini terasa dunia ini hanya milik bersama.

4. Ada kata STB ini bukan kerana takut bini tapi sayangkan bini, betulkah iyer! Maknanya STB ini tersimpan banyak jua kebaikannya. Terlampau tegas dan garang dengan bini pastinya bini pun tak akan ambil tahu masalah suami, bebas nak terbang ke mana-mana maka mudah amatlah melencung ke luar. Akhirnya dalam diam-diam akan buka cawangan baru. Berbini muda. Ish!.

17613 pelayar


Blogspot dah ada kaunter sendiri senanglah nak tahu berapa pengunjung ke blog ini;
jika dulu terpaksa ke server orang lain untuk nak intip pengunjung@pelayar ke blog ini..
terpaksa ambil masa

Dari pengetahuan aku cuma ada sekitar 100 pengunjung sehari itu yang paling ramai itupun jenis klik & keluar... dalam beberapa detik sahaja
(Azim sering marah ayahnya sebut detik... detik tu tak boleh bacalah ayah cepat dari saat....katanya; aku pun tak tahu berapa detik satu saat)
Tak ramai yang suka baca coretan nan panjang-panjang
ramai suka tenguk gambar & klik ke blog lain.

hari ini Blogspot lagi lancar berbanding FaceBook FB yang makin berat servernya
silap-silap FB akan kehilangan pengunjung jika asyik sukat diakses.
Kata Salleh IT sebab Tsunami di Jepun, betulkah?

♠

Anak Saudara Kahwin



Sesiapa kenalan sekitar Tapah, Kampar atau orang kampung di Perak moh...lah! temankan kami meraikan Siti anak Kak Nomie buat Majlis Sambut Menantu (ambik makan) di Kg Tronoh Mines seperti tertera di kad ini (klik gambar untuk besarkan). Jika nak konvoi dari jauh pun apa salahnya; bukan senang nak berkumpul di majlis sebegini. Nak rasa masakan orang Air Kuning tu. Silap-silap ada Rendang Tok.

Kami dari KL tak ramai sekitar dua atau tiga buah kereta sahaja; telefon saya 0169094343 pada hari Sabtu ini... insyaAllah saya bersama seorang putra si Aziq akan berada di sana sekitar jam 11:00 pagi hingga 3:00 petang.

╥

14 Mac 2011

PERJALANAN 3

i.
Aku telah cuba memetik harum kembangnya bunga kasihmu
tetapi duri ragumu telah menyucuk jantung hatiku
aku telah cuba menghias taman kasih sepimu
tetapi yang tumbuh cuma pepohon keliru sembilu
menyemak rinduku yang sesat di hutan ngerimu.

ii.
Keterasingan ini telah menghantarku jauh ke gua asing
aku hanya nampak sinar harapan ketika usia semakin pendek
suara sakti-Mu sekadar gema di bayangan kelawar liar
mencari arah ketentuan membina mahligai impian
tidak siapa pun menemani diri di kegelapan ini.

iii.
Aku semakin sesat di belantara penantian lara
tiada siapa sudi menyapa atau menggamit aku pulang
semakin jauh mencari cinta bunian di jeram seram
dengan gagasan kecundang yang terlalu lelah lagi walang
biar pun jernih simpati sering memaksi diri abadi.

iv.
Lebuh raya aulia-Mu terusan memintas suasana sengsara
menampakkan pelabuhan murni duniawi yang tidak bernama.

- iDANRADZi
Jenaris, Kajang.

(Puisi 146)

Dalam mengharungi sakit kronik ini aku cuba juga menulis puisi. Cita-citaku amat tinggi jika boleh aku mahu menulis 1001 buah puisi sebelum aku pergi; nampaknya bukan kerja yang mudah lantaran faktor usia & ilham. Buat masa ini mungkin terkumpul sekitar 200 buah puisi sahaja. Jika usiaku ini sekadar 60an berapa sangatlah sisa usiaku buat menulis sebanyak itu puisi. Jika pun mampu tentunya tidak sebaik mana nilai atau kualitinya. Dalam jangkaanku paling kuat aku berpuisi pun mungkin sekadar 500 buah puisi. Belum tentu sebabnya untuk mencipta sebuah puisi tenguklah keadaan. Paling handal pun sekitar dua buah puisi dalam seminggu. Sebulan baru sekitar 8 buah puisi. Setahun kalau hebat pun sekitar 96 buah puisi.

Iyer! jika usiaku 60an seyogia saban hari terusan menulis puisi orang akan kata mabuk puisi. Hidup dalam dunia puisi sentiasa. Naa mungkin. Bagaimana pun jika penuh giat & bertekad kuat bukan perkara mustahil aku dapat mencapai impian 1001 buah puisi tersebut. Kita tunggu & lihat sahaja.

Sesungguhnya bila berusia begini memang kita makin hilang teman, mungkin salah sebab warga emas nyanyuk adalah lantaran asyik berbual sendiri, anak-anak makin menjauh, pasangan pun jika bernasib baik bagai Dzuan & Amid mungkin terus bercinta tapi tidak semua, ramai kalangan orang tua kehilangan rakan berbual. Pasangan ada komitmen sendiri.

♠

13 Mac 2011

Jimmy Shanley Fail Nusyuz Kerana Anak

Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Salleh menyifatkan tindakan dia memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz adalah disebabkan anak yang dikandung isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.

Menurut Jimmy, usia kandungan isterinya kini telah memasuki lima bulan.

“Saya buat kerana anak. Doakanlah yang terbaik,” katanya semasa ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Jimmy, 31, menghadiri prosiding sebutan permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan terhadap Nursuhaila, 25, yang telah tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010.

“Dia sekarang tinggal di rumah keluarganya di Sungai Buloh (Selangor),” tambah Jimmy.

Berdasarkan rekod, permohonan untuk kembali taat difailkan sendiri oleh Jimmy pada 3 Januari lalu diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, semasa disoal mengenai alasan kedua-dua permohonan tersebut dibuat, peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus memberitahu, perkara tersebut hanya akan didedahkan pada perbicaraan kelak.

“Lazimnya, permohonan tersebut hanya akan dibuat apabila suami memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk isteri mentaati suami dalam perkara-perkara yang telah diarahkan,” katanya.

Prosiding mahkamah hari ini hanya dihadiri oleh Jimmy yang memakai kemeja merah dan berseluar ‘slack’ hitam serta bersongkok. Pada prosiding itu, Mohd Noor Aizan pada awalnya memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk kedua-dua kes walaupun saman tersebut tidak disampaikan secara terus kepada Nursuhaila.

Menurut Mohd Noor Aizan, saman tersebut diserahkan kepada anak saudara Nursuhaila pada 6 Februari lalu.

“Tiga hari selepas itu, iaitu pada 9 Februari lalu, Nursuhaila telah melantik seorang peguam syarie bernama Saadiah. Sehubungan itu, saya menyatakan penyampaian saman telah sempurna.

“Walaupun telah 30 hari saman diserahkan, kami masih belum menerima sebarang pembelaan daripada pihak Nursuhaila.

“Oleh itu, saya mohon supaya kedua-dua kes dibicarakan bersama dan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya.

Hakim Syarie Saharuddin Selamat bagaimanapun tidak membenarkan permohonan tersebut kerana menyifatkan penyampaian saman itu tidak boleh dibuktikan dengan tindakan Nursuhaila melantik peguam syarie.

“Mahkamah akan memberi peluang kepada Nursuhaila untuk dia hadir di mahkamah memfailkan pembelaan,’ katanya.

Justeru itu, beliau menetapkan kes itu disebut semula pada 4 April depan.

Peguam syarie yang mewakili Nursuhaila juga tidak menghadiri prosiding itu dan menurut Mohd Noor Aizan, pihaknya hanya menerima panggilan telefon daripada kakitangan peguam terbabit memaklumkan beliau mempunyai kes di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dekat sini dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.

Majlis repsepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dekat sini.

Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November lalu apabila Jimmy tidak menyangkal perkahwinannya bergelora seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tabloid.

09 Mac 2011

Rumah berbumbung Zink, Atap Nipah atau Genting ( Singgahsana)


Sejak zaman kanak-kanak lagi aku telah biasa dengan bahang panas rumah berbumbung zink; Siang amat panas tapi jika malam sedapnya tidur, sejuk sangat. Rumah asal tempat tumpah darahku tanpa siling bayangkan jika musim luruh pokok getah sekeliling tanpa daun amat teramatlah panas. Bagaimana pun di bawah rumah sedap melepak; main congkak buah getah atau tidur di pangkin.

Seyogia mana nak tanding sedapnya tidur di rumah Arwah Pak Sahak; Pak Sahak seorang duda di kampungku; rumahnya dia buat sendiri; dindingnya sekadar buluh yang dicincang & beratap rembia atau Atap Nipah. Pak Sahak adalah Tok Siak & Tukang Azan...; Bilal di kampungku; dia buat kerja sendiri tolong asahkan pisau motong getah (menoreh gerah), ambil upah menebas, jual bubu, pandai buat parang, pisau juga gasing dari kayu jambu batu atau pelbagai kerja kampung yang lain dia mahir belaka. Dia terima upah ala kadar.

Selalunya aku terlena di rumahnya bilamana dia bercerita kisah Bawang Putih Bawang Merah, Si Tenggang, Pak Pandir, Hang Jebat Derhaka dan banyak lagi cerita rakyat dia tahu belaka. Terkadang dia merengus juga bilamana aku & rakan asyik mahu dia ulang semula cerita yang kami suka; sampai telah hafal segala peristiwa di dalam ceritera.

Dia meninggal dunia sendirian anak Pak Sahak tak pernah kami kenal, katanya isterinya telah kahwin dengan orang Kedah; tentunya anaknya bersama keluarga tiri. Sejak aku kecil hingga aku tinggalkan kampung halaman tak pernah lihat keluarga Pak Sahak melawat dirinya.

Arwah Pak Sahak tinggal kenangan.

Kini tinggal di bandar boleh kata semuanya beratap genting; waima rumah kos rendah sekali pun atapnya tetap weh! oii. Rasanya tak seindah mana lainlah jika banglow agam siap kolam renang. Boleh tidur lena di rumah beratap genting tetapi bahananya pencuri suka mengintai sebab mereka sangkakan penghuni rumah sebegini kaya belaka orangnya.

♠

07 Mac 2011

Rasa Terpinggir ( Singgahsana)


Pernahkah kita rasa hidup ini semakin terpinggir. Ramai akan berkata berpunca pada diri, jika kita malas bermasyarakat; malas bergaul, malas ke surau, malas nak kontak kekawan, malas nak keluar bertandang, malas segala malas maka akan rasa terpinggirlah.

Cuba buat-buat sibuk dengar kawan sakit datang ziarahi; dengar orang buat kenduri sama pergi rewang. Dengar ada ceramah jenguklah surau. Sesekali ajaklah kawan melepak kat kedai mamak atau ikutlah mereka pergi memancing. Macam-macam cara boleh buat kita sibuk.

Keukhuwahan sebenarnya tidak datang dengan sendiri; apatah lagi jika kita ini serupa telah di alam bersara. Mana ada masa lagi mahu melepak. Mana ada masa lagi mahu berkumpul dengan rakan sekerja. Sebab itu ramai kita lihat pesara yang asyik melayan cucunya. Pesara sekadar buat hal sendiri sukar kita lihat pesara melepak lama di kedai kopi.

Faktor umur satu hal, bila telah bersara tentunya dalam usia ke gerbang Warga Emas jika ada tanah di kampung selalunya pesara akan buat kebun; menebas atau ternak ikan, tanam sayur atau pokok ubi, bukan nak dapat hasil tetapi nak mencari peluh.

Pergaulan pesara terpaksa terbatas apatah lagi jika telah ada masalah kesihatan; sebaiknya pesara ada tempat santai. Sesekali bersama rakan lama sebaiknya datang menjenguk dapat berbual panjang bercerita kisah lalu.

Lain ceritanya orang kaya; bila bersara pastinya akan asyik melancung, duit tak tahu nak guna apa lagi maka masa yang semakin sedikit berbaki elok digunakan melihat negara orang. Duit bukan boleh dibawa mati pun kenapa tidak dimanfaatkan untuk berehat di negara asing... tukar angin & santai seketika di samping jangan lupa tambahkan ibadat.

Jika kita masih rasa terpinggir ada baiknya kita banyakkan mendekati diri; lupakan duniawi & banyakkan mendekati dunia yang nanti. Carilah apakah yang akan mendamaikan hati, buatlah sesuatu yang mengembirakan. Jauhilah perasaan stes yang hanya merunsingkan & menganggu kesihatan anda.

Hidup tak sekekal mana.