iDAN

15 April 2009

Asam Pedas Ikan Keli Berlada Hitam (Harum Aroma)

Asam Pedas Ikan Keli Berlada Hitam
Kiriman: zulaiha binti sabtu
Hits: 96 Rating: 0.00 Review: 0


Bahan-Bahan:
5 ekor ikan keli( direndam dengan air limau agar hilang hanyir)
Bahan A
15 biji lada kering
6 biji bawang kecil
3 biji bawang putih
½cm halia
1 inci kunyit
20 biji lada hitam
15 helai daun kesum
kesemua bahan A dikisar

bahan B

100 ml minyak
sedikit gula
400 ml air
sedikit air asam jawa
garam secukup rasa
perisa penyedap rasa
20 helai daun kesum


Cara:
panaskan minyak, tumis bahan A sehingga naik bau,masukkan air, tunggu hingga mendidih,seterusnya masukkan ikan keli tunggu hingga kuah pekat kemudian masukkan air asam jawa,gula,garam secukup rasa dan perisa penyedap rasa dan akhir sekali barulah diletakkan daun kesum.
Cadangan Hidangan:
bergantung kepada saiz ikan keli jika kecil boleh lah dimasak begitu sahaja tanpa di potong adalah lebih enak dihidangkan dengan nasi panas sungguh menyelerakan terangkat!!sampaikan mertua lalu tak nampak..
Tambahan:
mudah,ringkas,sedaaaaaap

10 April 2009

Warisan 2 (Singgahsana)

Anonymous
Tanah ku melayu
Posted on 10.4.2009 10:59 AM

Jangan bicara lagi rezab Melayu. Tidak ada bezanya dgn tanah saudagar. Semuanya boleh terlepas ke lain bangsa. Jgn di ratib lagi Tanah Melayu, nama Melayu shj di geran tetapi di atas kertas kontrak nama lain bangsa. Miliknya Melayu hasil dipungut lain bangsa. Gara-gara mau kaya segera. Jng lagi bicara soal ketuanan Melayu, kalau Tanah Melayu digadai dan dijual ke lain bangsa. Semua Tanah Melayu dah dikubangi mereka. Akhirnya nanti pemimpin Melayu akan memimpin di sebuah negara yg majoritinya Melayu tapi tanahnya semua dimiliki lain bangsa. Mahu kah kita. Jika tidak jgn jual tanah ke lain bangsa. Mari kita beli semula tanah yg terlepas ke lain bangsa.

YB
Seri Iskandar

YB (Dalam hati aku menyebut nama YB.. sebenar) Aku tengah keliru amat kini, tanah yang telah terlepas itu sekitar lima ekar lebih, sah telah milik orang luar. Bukan orang tempatan atau Bumiputra. Sedangkan sekitar 15 tahun cukai & denda aku kena belanja sekitar RM5,000. Aku pula bukan berduit sangat.

Aku ingin tebus sekitar lima geran lagi & dua geran yang berjumlah belasan ekar pun kira korek habis duit simpanan keluarga. Habis duit ganjaran pencen takkan nak perabis & tebus semua tanah itu. Tak ada siapa nak bantu apatah laginya ianya tanah pusaka. Nama bertindih-tindih di dalam geran. Bagaimana pun aku akan usahakan juga. Ada beberapa geran lagi yang aku rasa masih boleh diselamatkan oleh akta & lanun yang menindas bangsa sendiri. Semakin hari cukainya semakin tinggi. Seolah-olah bukan milik tanah sendiri.

Memang YB, Mila kerja di Sime Darby tahu semua pemilik estet kelapa sawit kita. Payah nak jumpa nama Melayu, cuma pegang sahamnya orang kita kroni yang memang sudah kaya raya. Perkara ini perlu dirombak segera. Kita rakyat marhaen sekadar dapat bersuara, mereka pula ada kuasa akta tanah & duit. Memang penyudahnya kita bangsa Melayu jadi bangsa Kiamat. Kiamat tak dapat apa. Maka itu jika ada kesedaran, anak muda yang merantau; ingat-ingatlah kampung halaman. Banyak sangat aku lihat di kampung-kampung tanah terbiar & lanun bagaikan juling mata mahu merampasnya. Kita kena jaga hak kita biarlah kita berbalah sesama keluarga; tak apa air ditetak takkan putus; jangan sampai orang luar ambik tanah harta kita.

Agar ada saudara maraku yang terbaca jurnal ini dapat membantu & berfikir bersama.

Di kampung aku baru baru ini ada projek mega; usahakan tanah terbiar; tapi pra syaratnya amatlah pelik; Tak baik sebut kerajaan mana. Maka itu aku tak mahu berkompromi. Mereka main duit YB, hinggakan organisasi kerajaan pun berkompromi. Dalam syarat borang di RISDA aku baca lain tetapi dalam kontrak projek mega itu lain. Kata kakak aku yang baru melawat kampung kami, tanah yang diterang & tebas itu telah kembali semak. Inilah nasib orang kampung kita yang tak berduit. Dimainkan oleh kroni bangsawan & hartawan ini. Apa yang kita boleh buat YB.

http://wikimapia.org/#lat=4.4324502&lon=101.0939598&z=18&l=0&m=a&v=2&show=/12177594/Tasik-iDANRADZi
Sila Klik sini kampung halamanku. Tapi banyak tempat menarik si MakSaleh Jambang, penghulu & geng di wikimapia telah padamkan. Tanah yang aku ingin majukan sendiri.


Tasik Azim di mana kami rajin memancing, sayang tanah ini khabarnya milik Datuk or Dato' orang luar kampung kami. Menurut Tok Ketua Kampung mereka dapat puluhan ekar seorang & mahu buat kilang simen di sini.

Kasihan orang kampugku.

03 April 2009

Isteri menderita (Delima Merkah)



SOALAN

BUKAN niat membuka pekung di dada dan tiada niat juga untuk mengaibkan sesiapa, cuma saya terlalu tertekan dengan masalah yang tidak pernah selesai.

Dang Setia, suami adalah penjawat awam. Yang ingin saya paparkan di sini ialah mengenai kelakuan suami yang tidak pernah berubah sejak kami kahwin. Dia kaki perempuan, kaki botol dan gagal bertanggungjawab sebagai suami.

Terlalu banyak penipuan yang dilakukan suami. Kehidupan saya lebih parah apabila suami ditugaskan menjadi jurulatih sebuah kem latihan di Sarawak. Ini kerana suami menjalin hubungan dengan seorang pelatih di kem itu.

Segala aduan saya mengenai tindakan suami langsung tidak dilayan pihak atasan. Pada hujung 2007, suami menghantar saya dan anak dengan alasan dia diarah bertugas di luar negara bermula Ogos 2008.

Sebelum suami bertolak semula ke Sarawak, keluarga saya sempat mengadakan majlis doa selamat. Bagaimanapun, tidak lama kemudian beberapa rakan suami menghubungi saya dan bertanya mengapa suami saya masih di Sarawak.

Mereka hairan kerana ketika itu kem latihan tempat suami saya bertugas dalam tempoh bercuti. Bila saya memberitahu suami saya diarah bertugas di luar negara, rakannya memberitahu mereka langsung tidak tahu mengenai hal itu.

Malah, rakan suami yang menghubungi saya memberitahu, suami saya kini tinggal dengan seorang wanita. Mereka bertanya siapa wanita itu dan benarkah saya dan suami sudah bercerai kerana suami saya memberitahu dia dalam proses menceraikan saya.

Cuba Dang Setia bayangkan bagaimana perasaan saya? Selama ini suami tidak pernah menceraikan saya dan saya benar-benar percaya dia berkhidmat di luar negara. Rupa-rupanya dia ada di Sarawak dan tinggal bersama wanita lain.

Dengan penuh kesukaran, saya meninggalkan anak dalam jagaan keluarga saya dan pergi ke Sarawak untuk mencari kebenaran.

Saya menumpang di rumah keluarga angkat dan pada satu malam saya melihat suami berpelukan dengan seorang wanita untuk pergi ke pub.

Lebih mengejutkan, saya kemudian mendapat tahu wanita itu adalah isteri kepada rakan suami. Saya menghantar SMS kepada wanita itu untuk mendapat penjelasan, tapi dia memarahi saya dengan mengatakan saya tidak berhak mencampuri urusannya kerana saya sudah diceraikan.

Saya kemudian menghubungi suami, namun apa yang berlaku lebih mengecewakan. Suami mengugut untuk membunuh saya jika mengadu kesnya kepada pihak atasan.

Malah, dia dengan sombong berkata, tidak guna saya mengadu kerana pihak atasannya tidak akan mengambil tindakan.

Untuk keselamatan, saya terpaksa membuat laporan polis. Selain itu, biarpun diugut, saya sekali lagi mengadu mengenai salah laku suami kepada pihak atasannya, namun benar sebagaimana katanya, tiada tindakan diambil ke atasnya.

Selepas itu saya pulang semula ke Semenanjung dan sejak pertemuan terakhir kami di Sarawak, suami langsung tidak pulang untuk menjenguk saya serta anak.

Sudah dua kali saya hantar surat pada suami untuk menyelesaikan masalah kami, namun tiada maklum balas daripadanya.

Yang sangat saya kesalkan, semua dokumen penting mengenai anak, termasuk sijil kelahiran, ada bersama suami. Akibatnya, sehingga kini anak saya tidak boleh bersekolah.

Saya tidak tahu sampai bila masalah ini akan berterusan. Saya kini cuma berharap suami menceraikan saya secara elok. Jangan gantung saya tidak bertali. Saya juga mahu dia serah dokumen kelahiran anak saya supaya mereka boleh bersekolah.

Sehingga kini saya tidak tahu sama ada suami sudah berkahwin atau masih bersekedudukan dengan teman wanitanya.

Apatah lagi apabila suami dengan berani mengatakan dia tidak lagi mempercayai agama Islam. Katanya, Islam bukan lagi agamanya (murtad).

Saya benar-benar buntu dan tidak tahu apa lagi patut saya buat. Sikap suami yang menyeksa saya dan terus berdiam diri membuatkan saya kadangkala terfikir untuk bunuh diri. Namun apabila memikirkan anak yang masih kecil, saya tabahkan hati untuk meneruskan hidup.

ISTERI BUNTU
Kuala Lumpur


JAWAPAN

Dang Setia sangat bersimpati dengan nasib puan. Nampaknya cukup segala ‘sifat’ salah laku suami puan untuk menyebabkan gugurnya kelayakan untuk dia bergelar suami dan ayah.

Sudahlah kaki perempuan, kaki botol dan tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai suami, keadaan bertambah parah apabila dia bersekedudukan dengan wanita lain, malah mengaku murtad.

Apabila begitu keadaannya, bagi Dang Setia tiada tindakan lebih baik yang patut puan lakukan melainkan membuat aduan mengenai salah laku suami dan memfail tuntutan cerai di pejabat agama.

Sehubungan itu, puan perlu fokus dalam melaksanakan tindakan. Pastikan betul-betul apa yang penting dan perlu didahulukan dan yang mana pula dikemudiankan.

Bagi Dang Setia, dua perkara paling penting yang perlu puan utamakan ialah membuat aduan dan memfail tuntutan cerai di pejabat agama serta mencari kaedah untuk menyekolahkan anak puan biarpun dia tiada dokumen kelahiran.

Pada masa ini, Dang Setia melihat puan lebih memberi keutamaan kepada membuat aduan kepada pihak atasan tempat suami puan bekerja.

Itu mungkin kerana puan mahu melihat dia dihukum dan sekali gus ia memberi kemenangan atau kepuasan peribadi kepada puan.

Namun bagi Dang Setia, puan perlu mengetepikan hal itu buat sementara waktu, sebaliknya tumpukan usaha kepada membuat aduan di pejabat agama dan menyekolahkan anak puan kerana dua perkara ini lebih penting serta perlu disegerakan.

Bagi Dang Setia, hanya dengan membuat aduan di pejabat agama, hak puan sebagai isteri yang terabai akan terbela. Sama ada suka atau tidak, pejabat agama adalah satu-satunya saluran yang puan ada untuk membela nasib puan.

Ada kemungkinan puan termakan cakap sesetengah pihak yang mempertikai keberkesanan pejabat agama dan mahkamah syariah dalam membela nasib isteri teraniaya, namun puan perlu akur dengan peraturan negara yang mewajibkan kita menggunakan saluran betul apabila ingin memperjuangkan sesuatu.

Jadi jangan berasa takut, serba salah atau berfikir dua kali untuk ke pejabat agama di tempat tinggal puan. Segera ke sana dan ceritakan masalah kepada pegawai bertugas, Dang Setia percaya puan akan diberi panduan apa tindakan terbaik yang wajar puan lakukan.

Sebagai contoh, jika tidak mahu terus digantung tidak bertali, sebaliknya mahu suami menceraikan puan, puan akan dinasihatkan supaya memfail tuntutan cerai.

Di dalam tuntutan itu juga, puan berhak meminta suami membayar nafkah kepada puan dan anak yang diabainya selama ini dan pada masa akan datang.

Apabila ini puan lakukan, jabatan agama akan mengeluarkan notis kepada suami untuk hadir dan memberi penjelasan.

Jika dia ingkar, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap ke atasnya. Ini bermakna, suami puan tidak boleh melarikan diri.

Seterusnya mengenai persekolahan anak puan. Dang Setia percaya jika pihak berkaitan diberi maklumat secukupnya, anak puan akan diberi peluang untuk bersekolah.

Ini kerana, sebelum ini Dang Setia pernah terbaca kenyataan seorang menteri di akhbar bahawa kerajaan kini memberi kelonggaran untuk membenarkan kanak-kanak yang tidak memiliki sijil kelahiran untuk bersekolah jika dapat dibuktikan dia dilahirkan di negara ini.

Kenyataan itu lebih merujuk kepada kejadian di Sabah dan Sarawak. Dalam kes puan, sudah terbukti puan dan suami adalah warga Malaysia, seharusnya tiada sebab mengapa anak puan tidak boleh dibenarkan bersekolah.

Namun, andai kata pihak jabatan pelajaran masih enggan menerima penjelasan puan dan anak puan tetap gagal disekolahkan, Dang Setia mencadangkan puan melaporkan masalah puan kepada Jabatan Pendaftaran Negara supaya sijil kelahiran baru anak puan dapat dikeluarkan.

Akhir sekali, wajib untuk Dang Setia menasihatkan puan supaya terus tabah dan melihat segala permasalahan yang menimpa puan pada masa ini daripada sudut positif. Maksudnya, banyak hikmah di sebalik apa yang menimpa puan sekarang.

Sebagai contoh, mungkin ini semua petunjuk atau petanda daripada Allah SWT yang mengkehendaki supaya hubungan puan dan suami ditamatkan secara rasmi. Sebab itu dibongkar atau dipertontonkan dengan jelas dan nyata segala kemungkaran suami.

Selepas puan dan suami berpisah, secara tidak langsung ia juga satu pengakhiran kepada segala penderitaan yang puan tanggung sepanjang menjadi isterinya selama ini dan insya-Allah akan hadir sinar kebahagiaan dalam kehidupan baru puan nanti.

Harian Metro

TKI Dituduh Cabuli Anak Perempuan di Malaysia! (Ceritera)

Kuala Lumpur, Detik - Seorang pembantu asal Indonesia dituduh melakukan perbuatan tercela di Malaysia. Wanita Indonesia itu dituduh mencabuli seorang anak perempuan.
Kasus ini terungkap setelah ibu korban mencurigai perilaku putrinya. Anaknya yang berumur 5 tahun itu mendadak tidak mau masuk sekolah.
Wanita berusia 39 tahun itu mulai memperhatikan perilaku putrinya sejak 26 Maret lalu. Saat itu dia akan mengantarkan anaknya ke sekolah TK. Namun sang anak mengatakan tidak mau sekolah.
Setelah ditanya apa alasannya, bocah itu membeberkan hal yag mengejutkan sang ibu. Dia mengaku telah dicabuli oleh seorang pembantu yang diperkerjakan di sekolah tersebut.
“Putri saya bilang ke saya kalau pembantu itu telah memasukkan jari-jari tangannya ke dalam bagian intim dia dua kali. Sekali sebelum liburan sekolah dan lainnya ketika sesi baru sekolah dimulai,” ujar wanita yang cuma ingin dipanggil dengan Too seperti dilansir harian Malaysia, The Star, Jumat (3/4/2009).
Too kemudian membawa putrinya itu ke rumah sakit Tengku Ampuan Rahimah Hospital di Klang untuk pemeriksaan. Dokter pun mengkonfirmasi bahwa telah terjadi penetrasi yang diakibatkan oleh jari tangan.
Too kemudian melaporkan kasus ini ke kantor polisi pada 27 Maret lalu. Pembantu asal Indonesia yang dirahasiakan identitasnya itu kemudian dijemput polisi keesokan harinya. itu saat ini masih ditahan polisi menunggu proses penyelidikan.
-->

02 April 2009

HUKUM & KEPENTINGAN FARAID




PENGERTIAN FARAID

Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan.

Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak (seperti anak, isteri, suami, ibu, bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris samada berbentuk agama (seperti zakat, nazar, dll) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

HUKUM BERKENAAN FARAID

Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh ALLAH secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya adalah WAJIB untuk ditunaikan, dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya, sama hukumnya seperti menyembahyangkan jenazah. Pembahagian harta pusaka menurut kaedah dan pelaksanaan Islam adalah suatu pembahagian yang sangat adil dan sistematik kerana ALLAH sebagai pencipta manusia mengetahui dimana letaknya kekurangan dan kelebihan dalam diri manusia itu.

Di dalam surah An-Nisa' ayat 11-13 telah menerangkan tentang kaedah pembahagian Faraid dengan jelas, manakala dalam surah yang sama ayat yang ke-14 Allah telah mengecam manusia yang beriman sekiranya ingkar dengan perintah ALLAH ini.

Maksud surah An-Nisa' (ayat 14):"Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentutan-ketentuan-Nya, nescaya ALLAH akan memasukkannya kedalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya seksa yang menghinakan".

Ini jelas menunjukkan bahawa sekiranya umat Islam itu ingkar dengan ketentuan ALLAH, maka ALLAH akan melemparkannya ke dalam api neraka selama-lamanya. Ini menunjukkan bahawa suatu ancaman yang amat berat bagi mereka yang mengabaikan pelaksanaan hukum Faraid dalam pembahagian harta pusaka.

Peringatan:

Sekiranya pembahagian Faraid diabaikan, dikhuatiri akan berlaku:
· Memakan harta anak yatim
· Memakan harta saudara-mara
· Memakan harta Baitulmal

TUNTUTAN BELAJAR ILMU FARAID

Sabda Rasulullah saw:
Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada manusia, kerana ianya adalah separuh daripada ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu yang pertama akan dicabut dari umatku.
- Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah

Sabda Rasulullah saw:
Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau. Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak akan dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.
- Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Mas’ud

PERLAKSANAANNYA MASAKINI

Walaupun hukumnya adalah jelas WAJIB, namun realitinya, sebanyak sejuta kes tanah pusaka di Malaysia (laporan Pejabat Tanah) dianggar bernilai RM38 bilion masih tidak dapat diselesaikan kerana masalah pewarisan dan 90% daripadanya adalah milik orang Melayu (yang rata-ratanya beragama Islam). Begitu juga mengikut laporan KWSP, lebih daripada RM70 juta wang KWSP tidak dituntut oleh waris. Ini bermakna begitu banyak sekali harta-harta umat Islam yang terbeku dan mereka yang berhak dan layak tidak mendapat bahagian mereka. Ini juga bermakna sistem faraid tidak berjalan dengan baik pada ketika ini. Timbul persoalan dari segi hukumnya, siapakah yang akan menanggung dosa-dosa ini?

Di samping itu begitu banyak kes berlakunya pertelingkahan dan perselisihan di kalangan umat Islam kerana merebut harta pusaka sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah di atas. Lebih malang dan amat menyedihkan ada yang menyebut bahawa ALLAH tidak adil dalam menentukan bahagian faraid.

01 April 2009

PENGERTIAN WASIAT (Agama)

Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris.

DALIL WASIAT

Wasiat adalah dibenarkan di dalam Islam. Wasiat disyariatkan melalui dalil Al-Quran, Sunnah Nabi s.a.w., amalan sahabat dan ijma' ulama'.

Dalam Al-Quran, ALLAH berfirman:
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat oleh simati dan sesudah dibayarkan hutangnya.
- Surah An-Nisa': 11


Dalam Sunnah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat disisinya.
- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Hadis ini menyebut kalimah 'tidak sepatutnya' menunjukkan bahawa langkah persediaan perlu diambil oleh setiap seorang Muslim dengan menulis wasiatnya kerana dia tidak mengetahui bila ajalnya akan tiba. Kemungkinan kelalaiannya akan mengakibatkan segala hajatnya tergendala dan tidak terlaksana.

Rasulullah s.a.w. turut besabda:
Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat.
- Hadis riwayat Ibnu Majah

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
Sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan Islam dan mengikut sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan.
- Hadis riwayat Ibnu Majah

CIRI-CIRI WASIAT ISLAM

Terdapat beberapa ciri dan prinsip wasiat Islam yang perlu dipatuhi:

1. Harta yang hendak diwasiatkan mestilah tidak lebih daripada sepertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris.

2. Penerimanya hendaklah bukan waris iaitu mereka yang tiada hak faraid ke atas pusaka simati kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.

3. Jika penerima wasiat meninggal dunia semasa hayat pewasiat, maka wasiat tersebut adalah terbatal.

4. Jika penerima wasiat meninggal dunia selepas menerima wasiat dan selepas kematian pewasiat, maka haknya boleh diwarisi oleh waris penerima.

5. Selepas kematian pewasiat, perlu ditolak dahulu kos perbelanjaan pengkebumian dan pembayaran hutang simati.

6. Wasiat boleh ditarikbalik pada bila-bila masa kerana ia hanya berkuatkuasa selepas kematian pewasiat dan wasiat tersebut perlulah dibuat secara sukarela.

30 Mac 2009

Hari ke Empat (Singgahsana)

Dapat panggilan dari Fairus, dia bertanya khabar & kenapa jurnal aku di easyjournal tidak dikemaskini. Telah tiga hari aku tidak menulis. Sejak Jumaat, Sabtu & Ahad.

Jumaat aku sempat mengambil barangan aku di ofis Unit IT. Salleh kerja malam Jumaat malam Sabtu. Jadi aku tidak perlu lagi ke sana. Barangan aku cuma tinggal di beberapa lokasi lain. Stor KAW, bilik Tok Perak, kerusi biru di Makmal Pak Ya Junior & ada beberapa barangan di tingkat 3 Blok A. Aku berharap Syed KEE baca jurnal ini & dia dapat tolong aku ambilkan dua komputer Jepon di stor sebelah Zul KKK.

Sabtu aku banyak menghabiskan masa bersama keluarga, mata memang cepat mengantuk mungkin sebab aku tak makan ubat mengikut jadual. Aku risaukan sakit di anggota hatiku yang kini makin merebak. Ianya telah mengganggu bahagian kiri & kanan, sebelah kira sekitar 60% kanan pula sekitar 80%. Aku mengesyaki lantaran sindrom ubat kolestrol. Jika ianya merebak ke 100% mengikut kata Dr di Klinik Husni aku terpaksa menghentikan makan ubat yang PKupm berikan.

Sabtu malam Aahad aku menonton ceritera Knowing. Menarik ceriteranya. Tentang kepanasan bumi. Masalah global yang kita endah tak endahkan sahaja. Hari Satu 28 hb. Semua tahu yang kita seharusnya bersama bergelap selama sejam. Apa yang terjadi di JUSCO Cheras Selatan terang benderang. Hanya sebahagian kedai yang menutup lampu siling. Semasa aku parkir di bumbung JUSCO semua lampu besar dipadam. Cuma di bumbung bangunan tetapi di parkir dalam bangunan terang benderang.

"Manusia ini lebih sayangkan wang ringgit dari bumi..." Keluhku.

"Tak ramai pun orang tutup lampu ayah...!" Sungut Azim. Dia & Anif berdiri di kerangka besi meninjau dari binaan bumbung JUSCO.

"Apa kita bayangkan yang berlaku di TV tu hayalan belaka!" Aku terasa akan kegagalan kempen bergelap di bumi kita. Jam Bumi. Di luar negara kita nampak satu bandar warganya bergelap.



Filem Knowing jika kita ke The Interner Movie Database (IMDB) ada yang sampai membuat undian 10/10, maka aku yakin mengatakan filem ini menarik. Ada juga mengundi sebaliknya. Mungkin adengan kapal angkasa itu ramai menolaknya. Bagaikan tidak lojik; Tetapi satu yang kita harus ingat ketika hari kiamat nanti semua masjid akan diangkat ke langit. Tiada satu yang mustahil jika Dia Nan Esa menginginkan. Kiamat berlaku pada hari Jumaat. Ada yang berpendapat ketika kita syolat jemaah Jumaat.

Dalam ceritera Knowing ini, kapal angkasa bukan satu dua tetapi banyak sekali mengambil mereka yang disenaraikan. Kanak-kanak terutamanya. Aku membayangkan begitulah masjid kita dinaikkan ke langit. Bila berlaku gelombang kepanasan yang teramat sangat, bumi ini bagaikan dilipat seperti tikar, lanar dari perut bumi muntah meranapkan semua manusia. Mereka yang dibawa dengan kapal angkasa gembira dengan dunia lain. Yang lebih indah & subur.


Putrajaya sertai ‘Earth Hour’

PUTRAJAYA: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, turut menyertai program `Earth Hour’ anjuran World Wide Fund for Nature (WWF) yang diadakan serentak selama satu jam di seluruh dunia malam ini, membuktikan komitmen penduduk dan rakyat negara ini terhadap bumi dan pengekalan alam sekitar.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata program itu akan tertumpu di Dataran Putra, Presint 1 hingga ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 5.

“Justeru, semua lampu berbentuk ‘non essential’ serta lampu ‘facade’ bangunan di sepanjang Persiaran Perdana akan dipadamkan untuk menunjukkan kerjasama dan kesepakatan dalam menangani isu perubahan iklim global.

“Selain bangunan, beberapa dataran dan jambatan termasuk Dataran Putra, Dataran Putrajaya, Dataran Gemilang dan Dataran Wawasan, serta Jambatan Putra, Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Gemilang akan digelapkan dalam tempoh itu.

“Biasanya, Persiaran Perdana menjadi pilihan pengunjung dan jurugambar yang ingin melihat wajah bandar raya bercahaya tetapi kali ini satu detik bersejarah bakal dirakamkan kerana pertama kali Persiaran Perdana digelapkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Program ‘Earth Hour’ anjuran WWF dilaksanakan serentak di seluruh dunia bermula jam 8.30 malam (waktu tempatan) dengan memadamkan lampu sebagai simbolik di peringkat global mengurangkan kesan perubahan iklim.

28 Mac 2009

Mayat dua doktor ditemui (Ceritera)

Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my

KELUARGA Dr Haliza dan Dr Amin di Bukit Tabur, Jalan Klang Gate.

Punca kematian masih disiasat

HULU KLANG: Mayat dua doktor pakar sebuah hospital swasta di Ampang yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, ditemui di kawasan hutan simpan Bukit Tabuh, dekat sini semalam, kira-kira 24 jam selepas laporan kehilangan mereka dibuat.

Dr Haliza Mohd Shafie, 53, dan Dr Amin Tai Abdullah @ Tai Yun Ming, 57, dilaporkan hilang Rabu lalu selepas keluar bersama dari tempat bekerja.

Usaha menjejaki mereka bermula kira-kira jam 7 pagi semalam sebaik polis menerima laporan suami Dr Haliza mengenai penemuan kenderaan jenis Nissan Latio milik isterinya itu berhampiran loji rawatan air milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dekat Taman Rekreasi Ampang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata pasukan mencari dan menyelamat ditubuhkan membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta ahli keluarga mangsa.

"Kita turut mendapat bantuan dua helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat. Mayat kedua-dua doktor itu dikesan kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam.

"Mayat Dr Haliza dikeluarkan dari lokasi itu jam 3.30 petang manakala mayat kedua, Dr Amin Tai berjaya dibawa keluar lima belas minit kemudian," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan mayat mereka sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (KHL) untuk bedah siasat.

Difahamkan, mayat kedua-dua mangsa ditemui dengan kesan kecederaan dipercayai akibat terjatuh dari tempat yang tinggi.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hospital itu menunjukkan mereka meninggalkan hospital itu kira-kira jam 11.30 pagi dengan masih berpakaian pejabat.

Ahli keluarga mangsa yang risau selepas kedua mereka tidak pulang membuat laporan polis malam kelmarin.

Berita Harian

Server Easyjournal Meragam Lagi (Singgahsana)

Hari ini bila aku klik jurnal aku di Easyjournal ianya meragam lagi. Maka jika mereka yang perasan, jika aku tidak menulis di Easyjournal kliklah di blog ini. Yag pentingnya ada respon dari pembaca. Maka kuatlah untuk aku menulis.

Keutamaan aku akan menulis di Easyjournal lantaran telah terlalu lama aku menulis di sana. Jika aku kelapangan aku pasti akan memuatkan semua tulisanku aku di blog ini, takutnya nanti tetaiba server Easyjournal itu meragam & tidak dapat diakses lagi.

Melalui kaunter; ianya meragam sejak Sabtu lagi.

27 Mac 2009

Perokok lebih hina daripada lembu - Nik Aziz

27/03/2009 2:26pm

KOTA BAHARU 27 Mac - Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan.

“Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah).

“Maka, mereka yang melakukan perbuatan (menghisap rokok) itu dianggap lebih hina dari lembu,” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini,hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata ada antara umat Islam yang mencuri-curi menghisap rokok di serambi masjid sambil bersembang sementara menunaikan solat.

Beliau mengingatkan umat Islam supaya menghentikan amalan yang dianggap jijik dan tidak berdisiplin itu. — Bernama

Hukuman gantung pembunuh Canny Ong kekal (Ceritera)

PUTRAJAYA 27 Mac — Bekas penyelia pencuci kabin pesawat, Ahmad Najib Aris, 33, yang disabit kesalahan merogol dan membunuh penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian enam tahun lepas, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan hukuman itu hari ini.

Dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah dan mengenakan hukuman mati terhadapnya, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa tidak ada orang lain yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada Ong pada hari kejadian.

Ahmad Najib, yang kelihatan tenang apabila Hakim Mahakamah Persekutuan Datuk Ahmad Zulkefli Makinuddin membacakan penghakiman, kemudiannya berkata dia redha kerana sudah menjangkakan keputusan itu.

Ahmad Najib memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya untuk membatalkan pensabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Feb 2005 yang mendapatinya bersalah membunuh dan merogol Ong, 28, antara 1 pagi dan 5 pagi 14 Jun 2003.

Mayat wanita itu yang rentung ditemui dalam parit di tepi lebuh raya pada 2003.

Rayuannya didengar oleh panel lima hakim terdiri Ketua Hakim Malaya Datuk Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman, Datuk S.Augustine Paul, Datuk Hashim Yusoff dan Zulkefli. - Bernama

15 Mac 2009

Asam Pedas Cara Brunei (Harum Aroma)

Asam Pedas Cara Brunei 7.73
Kiriman: Lina
Sumber: Ibu mertua
Hits: 4137 Rating: 7.73 Review: 0
Bahan-Bahan:
1 ekor ikan merah yang sederhana besar
(disaing dan dipotong ikut suka)
500 ml air
½ bawang besar (dihiris)
3 keping asam gelugur
1 batang serai (dititik)
Sedikit garam
Sedikit minyak untuk menumis

4 biji lada hidup
10 biji cili padi
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia

*Bahan-bahan ini dikisar halus dan dicampur dengan 2 sudu teh serbuk kunyit

Cara:
Panaskan minyak tumis bawang besar dahulu barulah masukan bahan kanan dan tumis sehingga mengeluarkan bau, barulah masukkan air. setelah air mendidih masukkan serai,asam, garam dan ikan sehingga masak dan agak pekat.
Cadangan Hidangan:
Hidangan bersama nasi putih sewaktu masih panas. selamat mencuba

06 Mac 2009

Bila hitam sangat menawan (Santai)

Pemilihan tiga warna kontra – merah, hitam dan putih, menimbulkan mood tersendiri di kediaman kontraktor pembinaan, Izwan Affendy.




PENATAAN ringkas namun penuh bergaya melatari ruang-ruang di kediaman ini. Mengetengahkan konsep moden kontemporari, pemilik rumah teres dua tingkat ini bijak memanfaatkan ruang.

Sebuah set sofa hitam diletakkan kemas di setiap penjuru, betul-betul bersebelahan pintu masuk utama. Di tengah-tengah ialah sebuah meja kaca yang turut dihiasi sejambak bunga lili tiruan berwarna kuning.

Di sudut menonton, sebuah sofa merah membangkitkan suasana tersendiri apatah lagi warna dinding sedondon yang menjadi pilihan si pemilik.

Penghuni pastinya boleh bersantai di atas sebuah sofa empuk sambil menonton televisyen yang dilengkapi set teater rumah. Senario ‘terlekat’ di hadapan TV adalah sesuatu yang lumrah pada hujung minggu.


DARI KIRI: SOFA berona hitam menjadi pilihan.
IZWAN sekeluarga. Dari kiri, Nuriza, Nur Raihan, Muhammad Zarif dan Izwan Effendi.
SOFA berona hitam menjadi pilihan.




Bagi menerbitkan ilusi yang lebih berganda pada ruang yang agak terhad ini, aplikasi cermin merupakan langkah yang amat bijak. Ia juga menjadi objek dekorasi ruang dinding yang praktikal.

Memilih gabungan tiga rona warna yang berbeza – merah, hitam dan putih, keseluruhan isi rumah tampak ringkas dan elegan.

“Pemilihan tiga warna kontra ini boleh menimbulkan mood tersendiri di dalam rumah. Kami menggemari warna kontemporari Inggeris moden.

“Asalnya, inspirasi ini muncul ketika kami melawat rumah teman-teman dan juga daripada majalah-majalah hiasan dalaman.

“Saya sendiri juga mempunyai kepakaran dalam menghias. Oleh itu, kesemua idea itu saya gabungkan dan inilah hasilnya,” ujar pemilik, Izwan Affendy Abdul Malik.

Dalam memilih perabot, bapa kepada dua orang anak ini tidak meletakkan aspek jenama sebagai perkara utama.

“Biasanya saya akan beli dari kedai-kedai perabot biasa dan juga Ikea. Terpulang pada minat ketika itu. Tapi dari segi pemilihan barang-barang hiasan lain, di mana-mana kami rasa sesuai dan suka, kami beli,” akui Izwan, seorang kontraktor pengubahsuaian rumah.

Selain mengemas rumah, pasangan Izwan dan Nuriza Zakaria juga suka menukar kedudukan perabot. “Sekurang-kurangnya kita tak akan rasa bosan dengan penampilan yang sama,” ujarnya yang pernah memberi sentuhan dekorasi pada kediaman pengacara terkenal, AC Mizal.

Menurut Izwan, rumah yang didiaminya selama hampir lima tahun itu tidak menuntut kos yang tinggi. Setelah diubahsuai, kos keseluruhannya adalah kira-kira RM30,000.

“Kami tidak banyak ubahsuai rumah. Lagipun keluasan rumah terhad. Jadi, sedikit demi sedikit kami ubah ikut keperluan,” ujar Izwan.


DARI KIRI: RUANG dapur yang ringkas namun selesa.
KOLEKSI miniatur motosikal.
BINGKAI gambar disusun rapi pada sudut tepi dinding tangga.


Tidak mahu ruang tampak kosong, sebuah kerusi bulat berwarna merah putih turut menjadi hiasan di tepi dinding. Sebuah akuarium menjadi penghias sisi tingkap bagi menimbulkan suasana tenang ketika berada di rumah.

“Saya suka tengok hidupan air. Lebih-lebih lagi bila saya balik kerja pada malam hari. Ikan yang berenang-renang di dalam akuarium sememangnya memberi ketenangan,” katanya.


RUANG menonton yang santai dengan susun atur perabot secara minimum.


Menjengah ke bahagian dapur pula, ternyata aspek keselesaan dan keselamatan menjadi keutamaan.

Ruang ini dilengkapkan dengan binaan kabinet coklat yang kemas dan menarik selain membiarkan tingkap terbuka luas agar banyak pengaliran keluar masuk cahaya dan udara.

Menurut pasangan ini, kediaman adalah tempat terbaik untuk merehatkan diri. Justeru, kebersihan, kekemasan dan keindahan setiap ruang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.

Kosmo!