iDAN

06 Ogos 2009

Gelombang kedua H1N1 belum tiba (Ceritera)

KUALA LUMPUR - Kebimbangan orang ramai kononnya negara kini dilanda gelombang kedua selesema babi atau H1N1 sehingga menyebabkan kematian meningkat setiap hari adalah tidak benar.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, orang ramai perlu faham tentang penularan wabak H1N1 di dalam negara sekarang.

Katanya, apa yang berlaku sekarang ialah penyebaran di dalam komuniti yang masih berada pada fasa pertama penyebaran.

"Kita belum sampai tahap tersebut (gelombang kedua)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, pemberitahuan berlakunya gelombang kedua bukan dibuat oleh kementerian tetapi sebaliknya akan diumumkan sendiri oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila gelombang itu melanda kelak.

"H1N1 merupakan wabak mengancam seluruh dunia dan bukan negara kita sahaja mengalaminya. Sehubungan itu, apa jua pemberitahuan akan dimaklumkan melalui WHO mengenai peringkat penyebaran semasa," ujarnya.

Kosmo

05 Ogos 2009

Berikan aku Laluan 5 (Singgahsana)


Aku dikejutkan Afiz mendapat sakit demam, batuk & selesema. Aku bergegas membawa dia ke klinik sekitar rumahku. Cuma ada satu klinik 24 jam yang aku pasti temui sekadar rumahku. Doktornya berbangsa India, setelah diperiksa rasa panikku beransur hilang. Bukan Selesema B@by. Sakit biasa. Tapi dengar bunyi batuknya amat merisaukan. Jadi aku beli limau & minuman isotonik untuk menampung kekuatan diri. Hingga kini batuk Afiz masih kuat.

Dalam tempoh kuarantin ini sungguh aku amat risau. Takutnya dijangkiti kuman itu tentunya menganggu ketenteramanku. Mila pula macam tak kisah amat, selamba sahaja bersalam dengan anak-anak siap berciuman pipi lagi.

Pagi tadi Azim pula mengadu demam & loya tekak. Siap cirik birik lagi. Cumanya tidak batuk & selesema. Bergegas lagi aku ke klinik. Bilamana diperiksa; disahkan Azim selamat dari jangkitan Selesema B@bi. Azim sekadar keracunan makanan. Maka dia dapat cuti selama dua hari.

Aku pula masih tidak baik sakit gatal-gagal. Terpaksa kerap mandi & bersabun. Huh! macam-macam musibah yang datang. Kesan gatal-gatal di badan nampak hitam-hitam, lambat amat mahu hilang parutnya. Malam ini aku terpaksa puasa lagi. Esok kena mengadap Dr Imah di PKupm lagi. Tentunya sebab dia tak puas hati tentang glukos aku yang naik melonjak bulan lalu. Awal pagi terpaksa ke PKupm. Harap-harap kandungan gula dalam badanku akan berkurangan. Sekitar jam 9:30 pagi hingga tengah hari aku akan berada di PKupm.

Dengan khabarnya di UPM wabak Selesema B@bi masih lagi kritikal. Baru sahaja pelajarnya diarahkan pulang ke kampung selama seminggu. Kelasnya ditutup, cuma staf masih bertarung dengan wabak. Jika berlaku lagi jangkitan pasti UPM akan ditutup. Isunya sekarang dengar khabar pelajar di UPM akan berkonvo. Kelakarnya berkonvo jika memakai mask. Bertopeng bagaikan hari Halloween. Harap-harap wabaknya janganlah ganggu aku, sakit yang aku telah ada pun teramatlah kroniknya.

Aku terpaksa juga ke sana untuk merawat sakitku.

Karaoke tak OK (Ceritera)


Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan enam tingkat di Jalan Sungai Besi di sini, dikesan bukan saja menyediakan karaoke dan spa, malah dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan sejak lebih setahun lalu.

Difahamkan, pengusaha premis itu menempatkan beberapa bilik karaoke berlainan saiz di tingkat tiga, empat dan lima, manakala di tingkat paling atas tidak berbumbung mempunyai kolam renang kecil dipercayai tempat sauna.

Selepas puas berkaraoke, lelaki miang yang mahu melampias nafsu bersama pelayan pelanggan (GRO) warga asing dikatakan dibawa ke bilik khas mempunyai tilam dan pili air di tingkat dua bangunan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, beberapa bilik khas disediakan di belakang sofa di bilik karaoke bagi memudahkan GRO menyembunyikan diri jika diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan haram itu terbongkar apabila sepasukan 50 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Putrajaya menyerbu premis berkenaan, kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Dalam serbuan itu, seramai 17 wanita warga China dan Vietnam lingkungan 20-an serta seorang lelaki berusia 40-an dipercayai penyelia premis berkenaan ditahan.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (Kanan) Putrajaya, Mohd Radzi Ain, berkata pihaknya terpaksa menggunakan alat pemotong besi untuk memasuki premis itu melalui tangga berikutan pintunya dikunci dari dalam untuk menyembunyikan semua wanita terbabit.

“Pada awalnya, kami menyangka premis itu kosong, namun hasil pemeriksaan melalui kesan tapak kaki menemui semua wanita terbabit bersembunyi di tingkat paling atas di sekitar kawasan kolam renang dan bilik khas di belakang sofa bilik karaoke.

“Siasatan awal mendapati beberapa bilik berhawa dingin di tingkat dua premis berkenaan dipercayai dijadikan tempat pelanggan meniduri GRO.

“Ia terbukti apabila kami menemui beberapa pelanggan di dalam lima atau enam bilik berkenaan ketika pemeriksaan lanjut dilakukan,” katanya.

Menurutnya, hasil risikan selama seminggu dan maklumat awam yang memaklumkan pelanggan yang datang berkaraoke ditawarkan khidmat seks bersama wanita asing berkenaan.

Katanya, semua wanita asing terbabit didapati memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial, namun menyalahgunakannya untuk kegiatan tidak bermoral.

“Mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya dan disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Akta Imigresen kerana menyalahguna pas lawatan sosial,” katanya.

Metro Ahad sebelum ini pernah melaporkan kewujudan premis hampir sama yang menyediakan wanita yang sedia memberi khidmat seks dan lebih membimbangkan, ia dibuka seawal jam 12 tengah hari dan ditutup pada jam 8 malam.

Premis itu menjadi tumpuan lelaki hidung belang, termasuk sudah berkahwin melampiaskan nafsu serakah kerana tidak perlu menunggu waktu malam.

Harian Metro

iDAN: Perniagaan yang paling tua dalam tamadun manusia, amat payah dibenteras lantaran pelanggannya masih ada. Kesedaran seharusnya dipupuk sejak remaja. Seperkara lagi bagi suaminya yang memang payah mengekang nafsunya seharusnya dipermudahkan untuk berpoligami agar tidak sampai melakukan zina yang terlarang.

Yang pastinya keimanan itu mestilah sentiasa diperkukuhkan apatah lagi punyai kudrat yang tinggi zahir & batin.

Berkahwin Umpama Ikat Kontrak - Akhil Hayy (Hiburan)


Ditulis oleh Nonie Rabu, 05 Ogos 2009 11:05
share

Semua insan dambakan kebahagiaan dalam hidup. Terkenang janji sehidup semati tatkala diijab kabul, namun tiada siapa menyangka dugaan yang tiba. Begitu juga dengan Ustaz Akhil Hayy, alam perkahwinan bersama Maizawati Zainal yang dibina selama 14 tahun runtuh setelah lalui pelbagai gosip.


"Berkahwin ni umpama kontrak, kita tak tahu bila ia akan tamat. Tapi anak-anak adalah kontrak seumur hidup yang harus dipegang dan dijaga.

"Perjalanan hidup ana semua sudah disuratkan Allah, ana terima semua hakikat yang berlaku," luah Ustaz Akhil Hayy yang lebih mesra menggelarkan dirinya ana.

"Ana banyak bermuhasabah diri selepas bercerai dan mana tahu mungkin Allah nak bagi ana yang lebih baik," seloroh Akhil.

Kena masak sendiri

Ramadhan yang bakal menjelang membuatkan tidak membuatkan Akhil kekok walaupun kini tiada lagi isteri di sisi.


"Semua manusia akan berubah bila tiba Ramadhan, bukan hanya menyambut bulan itu tetapi kita harus menghayatinya, barulah akan terasa manisnya berpuasa. Ramadhan ini ana akan masak sendiri hidangan untuk anak-anak berbuka puasa dan pastinya Nasi Arab dan makanan kampung akan menjadi menu utama," ujar Akhil yang begitu gemarkan gulai lemak daging asam pedas masakan ibunya setiap kali tiba Ramadhan.

Walaupun kini tidak lagi bersama, namun beliau sentiasa berdoa dan berharap bekas isterinya akan mendapat yang lebih baik sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi.

Bagi peminat Ustaz Akhil Hayy, jangan lupa mendapatkan album terbarunya yang akan berada di pasaran selepas raya. Antara lagu yang dimuatkan berjudul Menangis dan Ibu yang terkisah daripada pengalamannya sendiri.

iDAN : Tenguk anak-anak ini masih kecil yang kita payah menerima musibah perceraian.

04 Ogos 2009

Berikan aku Laluan 4 (Singgahsana)

"Bagaimana nak saman ayah, kita yang mahu melawat; mereka tak undang kita pun."

"Habis tu bukankah ibu perasan si Mas telah pun diambil sampel darahnya hari Sabtu lagi, takkan lambat sangat untuk tahu keputusannya... ini masalah kecuaian" Mila diam sahaja.

"Kita tunggu sampai hari Ahad, jika kita sekeluarga tak dijangkiti kira okey!, tapi Yot kena kita kasi tahu, kot antibodynya tak kuat dia yang tak pasal-pasal dijangkiti" Aku teringat bagaimana dia bersungut-sungut lama sangat Mila melawat Mas. Mungkin juga bisulnya berdenyut-denyut. Seharusnya tiap hari kena dicuci bisulnya lantaran mengidam makan sate dia sanggup tak pergi buat cucian.

Selepas aku jemput Anif kelas Taekwondonya terus berkejar ke rumah Yot di Taman Emas, Jalan Telok Gadong Klang. Jangkaan aku meleset, ingatkan sekitar sejam aku akan sampai ke rumah Yot, rupanya tidak. Dari Jenaris ke sana memerlukan sekitar sejam setengah. 1:30 tengah hari dari Jenaris jam 3:00 petang lebih baru sampai di sana. Kesesakan jalanraya pun ada kemalangan merubah segala perencanaan. Itu pun aku ikut Lebuhraya Puchong kemudian Lebuhraya Kesas. Memandu dengan kelajuan sekitar 90 ke 100km, memang kadar kelajuan itu yang dibenarkan.

Jangkaan aku untuk menghantar Aziq ke asramanya di Gombak sekitar jam 3:30 petang tidak kesampaian. Pulangku ke Jenaris menepati jangkaan sekitar sejam 15 minit aku telah berada di Restoran Yus. Makan sate empat jenis bersama Yot. Ayam, daging, ikan & perut. Yot mengatakan sate di Retoran Yus lebih sedap berbanding sate Haji Samuri, aku pula rasakan lebih suka kuah sate Haji Samuri. Cumanya hanya sate Haji Samuri ayam sahaja yang sedap, dagingnya tidak manis & diperap lama. Kelemahannya pula payah mahu dapat sate perut, ikan atau rusa di Restoran Haji Samuri. Kuah sate di Restoran Yus kacangnya agak hancur kemudian dia tidak memberikan sambal cili untuk lebih pedas. Payah mahu terdapat ketupat hanya ada nasi himpit di kedua-dua restoran.

Aku yang lebih banyak makan satenya berbanding orang yang mengidam. Mila pula bertalu telefon risau amat aku tidak sempat menghantar Aziq sebelum jam 6:00 petang. Aku begitu yakin dapat menghantar Aziq sekitar 45 minit ikut MMR2. Tak kurang tiga kali aku menyambut panggilan Mila. Aku masih ingat 5.06 ptg aku telah berada di depan pintu pagar rumahku. Jam 5:42 aku telah berada di pintu utama Sekolah Teknik Gombak. Itu pun Mila angin tak tentu pasal sebab dia mahukan aku menghantarnya dulu menziarah Mas di Ampang Puteri Specialist Hospital; memang pada awalnya perancangannya begitu.

"Jika kita berbelok ke lain pasti tak sempat menghantar Aziq, tenguk di kad Aziq ini ada rona merah, telah dua tiga kali kita lewat menghantar, lagi pun selalunya waktu melawat sekitar jam 7:00 malam mungkin lebih... kita masih banyak masa untuk patah balik ke
Ampang Puteri Specialist Hospital tu..."

"Iyer! lah minyak bukan ayah yang isi.."

"Tolong sikit tadi ayah telah isi RM30 di Esso tol semua ayah bayar okey! " Aku berangan nak menang pertandingan di Esso yang hanya beberapa hari lagi akan tamat rasanya 14 Ogos ini akan tamatnya peraduan di Esso. Lagipun Esso jauh lebih jimat berbanding Petronas. Biasalah bila aku tak mahu mengalah, Mila senyap saja memandang ke luar tingkap. Harap-harap Yot tak dengar bualan kami, Yot tu kurang dengar; ada masalah perdengaran. Memang dia sibuk hendak bayar duit minyak. Sesekali dia mahu ketemu aku rasanya tak kisah sangat. Lagipun aku tahu Yot tu banyak hutang, elaun pencennya jauh lebih sikit berbanding aku. Jika diperhitung untuk menunaikan rasa mengidam sate Yot itu memanglah tak banyak mana cuma kos makan campur kos berulang alik memang lebih dari RM100 pasti diperlukan.

MMR2 dari tol gombak sepanjang petang Ahad selalunya memanglah sesak amat lantaran ramai dari Pahang & negeri pantai timur pulang ke Lembah Klang bercuti. Biasanya jika aku menghantar Aziq pergi sahaja aku ikut MMR2 baliknya pasti aku akan ikut Damansara, ke Sungai Besi ikut Lebuhraya KL ke Seremban. Sekitar 6:20 petang aku telah berada di pintu masuk
Ampang Puteri Specialist Hospital. Mila turun setelah melawat si Mas sekitar jam 8:00 malam. Manalah Yot tak mengeluh duduk di dalam Avanza. Congaklah berapa lama tu! 6:20 petang ke 8:00 malam. Waktu melawat sampai 9:00 malam lebih. Yot nak jalan pun nampak nazak amat.

Sekarang telah ada Lebuhraya Duke, aku memintas dari Ampang ke arah tol Jalan Duta, menghala ke Klang, Ipoh & menuju ke Bukit Raja. Perjalanannya mengambil masa sekitar sejam juga. Sekitar jam 9:00 malam aku telah berada di rumah Yot; Jalan Telok Gadong Klang. Jenaris sekitar 11:00 malam. Jadinya bila aku congak-congak dari jam 1:30 tengah hari hingga sekitar jam 11:00 malam; perjalananku jika ikut terus di Plus lebuhraya ke utara memang amat jauh aku mengembara. Tentunya telah sampai ke Siam, sedang enak makan Tom Yam campurnya!.

Semasa aku berbual di rumah Yot & Mas aku terbuka mulut mengatakan aku juga sekarang ini sedang pemerhatian doktor. Tak kurang enam jenis ubat terpaksa aku telan saban hari.

"Tapi iDAN nampak sihat sahaja..!" Kata Yong Zaaba, isteri muda Yot.

"Sihat makan ubat & kuat-kuatkan badan ini.."

Bila dalam perjalanan ke rumah, Mila membebel lagi. Dia marah amat aku ceritera makan ubat sampai enam jenis, membebel lagi tentang kegemukanku makin menjadi-jadi pun boroinya perutku ini. Aku diam sahaja, dalam hati aku berkata; rupanya aku kena rahsiakan terus sakitku ini. Jangan ceritera dengan siapa pun. Ini amat mengaibkan Mila. Tanggunglah sendiri sakit ini senyap-senyap wahai iDAN. Pun jika boleh awak kena mati dengan keadaan senyap-senyap juga. Jangan sampai menyusahkan apatah lagi mengaibkan keluarga sendiri dengan sakit kronik awak itu. Memalukan Sang Isteri terutamanya. Titik.
- bersambung

Lebuh raya Duke mula dibuka


MOHD. Zin Mohamed memotong reben semasa merasmikan pembukaan Lebuh Raya Duta-Ulu Klang di Plaza Tol Ayer Panas, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Jan. - Orang ramai dibenarkan menyemak butiran perjanjian konsesi pembinaan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) bernilai RM892 juta antara kerajaan dengan Konsortium Lebuh Raya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Kesturi) mulai hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mereka yang berminat mengetahui butiran konsesi perjanjian tersebut boleh melakukannya di Kementerian Kerja Raya di sini.

''Dengan pembukaan lebuh raya baru ini, dijangka 120,000 buah kenderaan akan dapat menggunakannya setiap hari tanpa perlu memasuki pusat bandar Kuala Lumpur,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Lebuh Raya Duke di Plaza Tol Ayer Panas di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 1,400 keluarga melibatkan 5,000 penduduk setinggan telah dipindahkan ke beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya itu.

Menurutnya, projek pembinaan Lebuh Raya Duke ditangguhkan sejak 1997 dan telah dimulakan semula pada 2003.

Katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu mengambil masa selama tiga tahun dengan sebanyak RM255 juta dibelanjakan bagi tujuan pengambilan tanah.

Terdahulu, Mohd. Zin dalam ucapannya berkata, kerajaan bersetuju kadar tol RM2 yang dikenakan ke atas pengguna Lebuh Raya Duke sepanjang 18 kilometer itu kekal selama enam tahun sehingga 2014.

Bermula hari ini, katanya, pengguna Lebuh Raya Duke akan dikecualikan daripada membayar tol selama sebulan sehingga 8 Februari depan.

Dalam pada itu, katanya, lebuh raya itu dibuka kepada orang ramai setelah kerja-kerja pengauditan keselamatan dilakukan dua kali oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya.

''Aspek keselamatan amat penting kerana kita tidak mahu lebuh raya ini menjadi kawasan maut. Oleh demikian kerajaan memastikan kawasan yang mempunyai cerun dipantau dan diawasi mengikut garis panduan yang ditetapkan,'' katanya.

Mohd. Zin juga memberitahu, sebanyak 46 peratus daripada Lebuh Raya Duke adalah laluan bebas tol.

Sementara itu, Pengarah Projek Kesturi, Chua Soo Kok berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan setiap tahun bagi kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya berkenaan.

Pada tahun pertama, katanya, Kesturi menjangkakan sebanyak 50,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu dengan kutipan tol RM100,000 sehari atau RM36.5 juta setahun.

Utusan

Kegilaan konkatsu di Jepun (Ceritera)



KONKATSU dilihat sebagai inisiatif terbaik buat warga Jepun mencari jodoh sekali gus meningkatkan kadar kelahiran yang semakin menurun.

BERGAYA penuh elegan, sekumpulan anak muda memenuhi sudut resepsi di salah sebuah dewan di Tokyo, Jepun. Dihias bagai istana penuh romantik, atmosfera dewan itu dihangatkan dengan suasana ala Greek.

Mungkin latar belakangnya nampak keterlaluan. Tetapi 100 orang tetamu lelaki dan wanita itu berada di sana sambil memegang gelas wain dengan satu tujuan. Apa lagi kalau bukan untuk mencari pasangan hidup masing-masing.

Berumur antara 20-an hingga 40-an, mereka menjadi sebahagian daripada kelompok anak muda yang mengamalkan 'konkatsu' atau 'memburu jodoh'. Mereka percaya bahawa mencari suami atau isteri memerlukan pengamatan yang betul dan perancangan teratur.

Pakar permasalahan ini mempunyai sedikit nasihat dan jalan penyelesaian buat mereka yang kesunyian.

"Cuba jangan membuat keputusan terburu-buru. Berbicaralah dan cuba mengenali diri mereka.

"Majlis ini bertujuan mencari cinta dan jatuh cinta," kata ahli antropologi Amerika Syarikat (AS), Helen Fisher yang menjadi tetamu istimewa parti Match.com di daerah Nakameguro, Jepun.

Fenomena baru

Tahun ini, konkatsu telah menjadi satu fenomena baru. Malah, trend tersebut telah terbawa-bawa ke dalam majalah, drama televisyen dan menjadi topik perbualan.

Selain itu, sebuah kuil di Tokyo juga ada menawarkan khidmat sembahyang khusus bagi mereka yang mencari jodoh. Sementara pasukan besbol Hokkaido telah menyediakan tempat khas bagi konkatsu. Salah satu organisasi di Jepun juga mengaturkan satu perhimpunan temu janji mencari jodoh di restoran.

Malah, pembuat pakaian dalam telah memperkenalkan bra konkatsu yang dilengkapi jam berdetik. Ia hanya akan berhenti apabila cincin pertunangan disarungkan di jari.

Senario Jepun yang terkenal dengan sistem kerja yang ketat, kekurangan waktu sosial serta kadar kelahiran yang semakin berkurangan, seolah-olah sudah menampakkan perubahan.

Laman temu janji Match.com memberitahu pada Mac lalu, mereka telah menerima sehingga satu juta keahlian dari Jepun. Menjadikan negara tersebut sebagai kedua terbesar selepas AS. Parti seperti di rumah agam Greek juga semakin popular.

"Saya sukakan sistem seperti ini untuk bertemu dengan teman baru. Saya mempunyai masalah untuk mendekati wanita apabila berada bersama rakan-rakan," kata seorang kerani berumur 27 tahun. Dia merupakan salah seorang daripada 100 tetamu yang dipilih daripada 300 pemohon.

Pemerhati sosial melihat pelbagai sebab yang menjadikan konkatsu semakin popular. Antaranya, kemelesetan ekonomi yang membelenggu Jepun. Keadaan itu membuatkan wanita lebih cenderung memilih perkahwinan, berbanding mencari pekerjaan demi mendapat kestabilan kewangan.

"Saya lihat ramai wanita lingkungan usia 20-an cenderung mencari lelaki yang mempunyai kewangan dan pekerjaan stabil," kata pengasas agensi pencari jodoh terkenal, Pay It Forward Love Prepschool (PFLP).

Sankatsu

Selepas itu, wanita juga akan bersedia untuk ke tahap seterusnya iaitu 'sankatsu' atau merancang kelahiran.

"Agensi saya memberi perkhidmatan seperti pemeriksaan kesuburan supaya mereka berada dalam kesihatan yang baik untuk menghadapi kelahiran kelak, selain kelas memasak.

"Saya tidak menafikan ramai yang gemarkan gaya hidup bebas dan seronok. Tetapi, bagi wanita yang menghadapi masalah kesuntukan masa, mereka tidak boleh melarikan diri daripada mengira berapa lama waktu yang ada untuk melahirkan anak," katanya.

Kerajaan Jepun memberi sokongan kepada konkatsu dengan harapan dapat membantu meningkatkan kadar kelahiran kepada 1.37 kanak-kanak bagi setiap seorang wanita. Inisiatif ini bagi mengurangkan penurunan kadar kaum lanjut umur yang dijangka menurun kepada 30 peratus menjelang 2055.

Promosi perkahwinan

Panel penasihat kabinet telah mencadangkan 10 pelan untuk menaikkan jumlah kelahiran. Misalnya promosi 'Cinta dan Perkahwinan' dengan menganjurkan majlis mencari jodoh.

Secara tradisionalnya, perkahwinan di Jepun merupakan satu hubungan sosial yang pragmatik. Wanita akan menyertai keluarga suaminya. Tugas si suami pula ialah menanggung kehidupan isteri dan anak bagi menyambung salasilah keluarga lelaki.

Perkahwinan merupakan sesuatu yang dirancang. Amalan yang dipanggil omiai' ini biasanya diatur oleh ibu bapa atau ahli keluarga terdekat.

Perkahwinan konvensional

Perubahan sosial telah mengubah cara hidup, peranan gender dan harapan sosial. Individu yang berada dalam lingkungan umur sesuai untuk mendirikan rumah tangga lazimnya akan mencari sendiri jodoh mereka. Namun menurut pakar, cara itu tidak berkesan kepada semua orang.

"Jika mereka tidak begitu popular atau tidak ada keyakinan diri, perkahwinan konvensional atau pilihan keluarga mungkin jalan penyelesaiannya," kata Bando.

Kadar perkahwinan telah menurun mendadak antara tahun 1975 hingga 2005 dari 85 peratus kepada 51 peratus untuk lelaki berumur 30 hingga 34 tahun dan dari 90 peratus kepada 63 peratus bagi wanita.

Kaunselor perkahwinan, Yoko Itamoto memberitahu, individu yang mendapatkan bantuan profesional nyata membantu mereka dalam usaha mendapatkan jodoh, seterusnya berkahwin.

"Kini, dianggarkan terdapat 4,000 agensi mencari jodoh beroperasi di Jepun dengan keahlian melebihi 620,000 orang.

"Hampir separuh daripada kerajaan tempatan juga menyediakan perkhidmatan berkaitan mencari jodoh, terutamanya di kawasan pedalaman," katanya.

Namun, kejayaan dalam mendapatkan jodoh bagi setiap agensi tersebut masih rendah iaitu hanya lapan peratus.

"Kebanyakan orang tidak pandai berkomunikasi. Ini menyukarkan mereka untuk mencari pasangan. Tidak kira berapa ramai pun penyertaan, jika mereka tidak mempunyai kemahiran komunikasi, peratus kejayaan adalah rendah.

"Konkatsu bukanlah sesuatu yang tidak baik atau melanggar norma kehidupan. Tetapi kita perlu mengkaji punca yang membawa kepada krisis perkahwinan di negara ini," katanya. - AFP

Cinta Internet, gadis diperdaya RM19,879



LAM menunjukkan laporan polis berhubung penipuan
melalui Internet di pejabat MCA, Jalan Ampang semalam.


KUALA LUMPUR - Helah seorang lelaki memikat seorang gadis melalui Internet membuahkan hasil apabila dia berjaya mendapatkan wang sebanyak RM19,879.29 daripada gadis terbabit setelah berpura-pura ingin mengahwininya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lam, 39, memberitahu, dia mengenali lelaki yang bernama Raymond itu menerusi sebuah laman web yang dilayarinya dua bulan lalu.

"Bermula dengan satu pesanan darinya yang mengaku tinggal di United Kingdom, hampir setiap hari kami berhubung sehinggalah kami menjadi mesra," ceritanya pada sidang akhbar di pejabat Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Michael Chong di Ampang di sini semalam.

Menurutnya, kerana kasih, Raymond berjanji akan mengirimkan sebuah komputer riba, pemain digital MP3, sebentuk cincin dan banyak lagi menerusi kargo selepas berbual pada 26 Jun lepas.

Selang tiga hari kemudian, Lam telah dihubungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Keiran mendakwa mewakili sebuah syarikat kargo Skynet memintanya memasukkan RM16,379.29 sebagai cukai kastam ke atas barangan yang dikirim oleh Raymond.

Kosmo!

Nyawa dua wanita diragut H1N1 (Ceritera)


KAKITANGAN Jabatan Kesihatan Johor Bahru melakukan pemeriksaan di Sekolah Kebangsaan Seri Kenanga, Tampoi, Johor Bahru semalam.





KUALA LUMPUR - Penularan pandemik selesema babi (H1N1) di negara ini semakin membimbangkan apabila ia meragut dua lagi nyawa iaitu masing-masing satu di Hospital Miri dan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban semalam.

Dalam kes di Miri, ia membabitkan seorang ibu muda berusia 23 tahun yang baru melahirkan anak di Hospital Miri.

Mangsa menjadi kes kematian ketujuh telah disahkan mendapat jangkitan H1N1 pada 23 Julai dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4 pagi semalam disebabkan komplikasi pada paru-paru.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pada mulanya mangsa telah bersalin di hospital berkenaan pada 21 Julai dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sehari selepas itu.

"Selepas bersalin, mangsa didapati mengidap pneumonia yang teruk dan menunjukkan simptom demam serta batuk empat hari sebelum bersalin.

"Kematian mangsa direkodkan sebagai pneumonia akibat jangkitan H1N1," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, bayi mangsa selamat dan disahkan bebas daripada jangkitan H1N1.

Mangsa kelapan pula membabitkan seorang wanita berusia 51 tahun yang berasal dari Kuala Selangor yang disahkan meninggal dunia di HTJ malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zainal Ariffin Omar ketika dihubungi berkata, wanita itu dimasukkan ke HTJ pada hari kejadian dan meninggal dunia kira-kira pukul 11.50 malam.

Kosmo!

Berikan aku Laluan 3 (Singgahsana)

Tetiba tengah hari tadi aku dikejutkan yang mana Mila antara mereka yang dikuarantin sebab Selesema Babi. Ada pertindahan di sini, bagaimana tindakan klinik swasta tentang mereka yang dikuarantin. Jika klinik atau hospital kerajaan akan pasti akan datang segera ke rumah yang dikuarantin. Klinik swasta sekadar memeri cuti & jangan keluar rumah.

Begitu juga kenapa Ampang Puteri Specialist Hospital tidak memastikan semua pengunjungnya memakai topeng penutup hidung & mulut (mask). Menyediakan mask seperti PKupm. Pelawat seperti kami tentunya menjadi mangsa. Sudah sampai masanya Kementerian Kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga atau memberikan arahan agar semua pengunjung di semua Hospital tanah air agar memakai mask.

Jika ini tidak dilakukan segera atau tidak diberikan arahan, rasanya akan cepat kuman Selesema Babi ini akan merebak. Dia jadi Selesema B@bi. Bagai e-mel layang yang cepat berterbangan di negara kita. Jika ada mask melindung setidak-tidak adalah langkah atau harapannya untuk kita terselamat.

Mana kita tahu yang di hospital yang mahu kita lawati ada pesakitnya pengidap Selesema B@bi. Seperti kes Mas rakan Mila. Ketika kami melawat, kami hanya tahu dia ditahan di hospital sebab asma & darah tingginya melonjak naik. Selang sehari kemudian barulah doktor mengesahkan yang si Mas itu kena Selesema B@bi.

Perbagai andaian yang kami boleh buat. Mungkinkah Mas baru kena, semasa kami melawat dia masih okey lagi. Pun dari mana dia dapat kuman itu juga menjadi persoalan. Bukan mustahil dia dapat dari jururawat di Ampang Puteri Specialist Hospital sebab telah empat malam dia di sana. Aku melihat tak semua jururawat memakai mask. Apa sebenarnya tanggungjawab kita & kesedaran kita tentang ini. Terutama mereka yang rapat dengan pesakit ini.

Takkan rakyat marhaen kerdil yang perlu mengingatkan akan langkah berjaga-jaga ini. Atau memang kerajaan kita tidak memandang serius wabak Selesema B@bi ini.

"Apa kata kita saman sahaja Ampang Puteri Specialist Hospital... ini ibu?"

"Mengapa pula..?"

"Iyerlah cara dia membiarkan pelawat bebas masuk ke hospitalnya memang membahayakan diri orang ramai!, bukan mustahil ramai lagi orang akan dijangkiti penyakit Selesema B@bi ini lantaran kecuaian pihak hospital sendiri." Mereka perlulah diasingkan. Pun pastikan hospital ini benar-benar selamat.

"Satu lagi isu kenapa
Ampang Puteri Specialist Hospital lambat sangat memberi tahu keputusan ujian darah si Mas itu!"

03 Ogos 2009

Hikmah sujud (Agama)

1- Melegakan sistem pernafasan (rilieved congestion for breathing).
2- Mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.

Bernafas ketika sujud akan :

1- Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
2- Membetulkan pundi peranakan yang jatuh (prolapsed uterus/fallen band womb)
3- Melegakan sakit hernia.
4- Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
5- Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan ( high parts of the lungs)
6- Mengurangkan kesakitan pada pesakit APPENDIKS @ SPLEEN(limpa)
7- Kedudukkan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh.
8- Meringankan bahagian PELVIS.
9- Memberi dorongan untuk mudah tidur .
10- Mengerakkan otot bahu, dada, leher, perut, punggung ketika akan sujud dan bangun darinya.
11- Gerakan otot-otot itu menjadikannya (otot) lebih kuat dan elastik, secara otomatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik
(smooth blood circulation).
12- Bagi wanita, gerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar dari sakit buah dada.
13- Mengurangkan kegemukkan (obesity).
14- Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar dari sakit bergelombang perut(convulsions).
15- Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
16- Mengelakkan pendarahan otak jika kita tiba-tiba menerima pompa darah ke otak secara kuat dan mengejut, terhindarlah penyakit seperti APOPLEXIA RUPTURE OF BLOOD VESSELS DAN ARTE IOSECLEROSIS OF CEREBRUM.
17- Kesan psikologi adalah dengan merasa rendah diri di hadapan Pencipta, sifat sombong, riak, takabur dapat dikikiskan.. insyaAllah..

"Ya Rabbi kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah engkau beri petunjuk kepada kami." (Ali Imran : 250)
Jadi Apa yang anda tunggu silakan bersujud dengan Benar dan Khusu semoga bermamfaat
"

Berikan aku Laluan 2 (Singgahsana)

kelopak :: :
semalam murni abg ke Hospital Serdang...peliklah hopital tu mereka ambik darah untuk ujian banyaklah amat
balik sahaja dari hospital
abg tumbang... terlelap tak boleh bangun lagi
selalunya kalau di PKupm ambik ujian darah
takat satu atau dua tiub sahaja...
biasanya macam tu.. ini murni tahu berapa tiub?
Murni :: :
berapa iyer?
kelopak :: :
lima murni...lima tiub...taklah penuh setiap tiub... tapi memang memberi kesan...tumbang abg...doktor tak ada dekat klinik pakar jantung tu...itu yang balik cepat...kalau tak sehari suntuk kat sana...sedihnya org rumah tak teman pun...
sedih amat tenguk org semua berteman
sebab klinik tu kira org sakit kronik saja yang datang!.
murni :: :
kesian....
kenapa x minta dia teman...
kalau tumbang tengah jalan kan susah
kalau tiba-tiba ditahan
kelopak :: :
dia tak anggap abg ni sakit sungguh-sungguh
Mila tu murni tak perasan pun abg ni dah kronik...
doktor yang lebih risau dari isteri sendiri... nak buat macam mana...
murni :: :
abg kenalah...nasihat secara berhemah dengan dia…
cakap baik-baik yang abg perlukan sokongan dia ketika abg sakit
kelopak :: :
x payahlah murni
bergaduh saja nanti
banyak benda dikaitkan jika minta perhatian dia
kita ni dah tua murni... buat cara tualah
pandai-pandai bawa diri sendiri
sabar sajalah
abg tenguk Mak Mila tu pun macam itu dengan arwah pak mertua...
pembawa emaknya kot!.
murni :: :
iyer ke ..x baik tu...
kelopak :: :
Maka abg kena terima hakikat yang kita memang
ada kelemahan masing-masing. Mungkin itu kelemahan dia
masa Pak Mertua nazak mana Mak Mertua tu lawat ke hospital
meninggal pun tak nampak dia menangis pun...
betul murni...
abg perasan bila hari raya...
tak pernah abg & dia pergi ziarah kubur Pak Mertua tu...
macam mana tu murni
ini cerita betul murni... cerita hari Jumaat
Nordin mungkin pernah cerita kes arwah isteri pertama dia pun ada
kelemahan sebegini, kita masing-masing ada kelemahan. Terutama
bagaimana mahu menunjukkan kasih saying terhadap pasangan kita.

jadi nasihat abg kepada Murni... kena ingat betul...
jangan buat suami macam tu,
ketika gaduh… gaduh lah...
tapi bab sakit semua ini Murni kena ambil berat tau!
dengar sahaja suami tu sakit kena ambil perhatian...!!


murni :: :
abg kenalah tolong isteri abg buat perubahan..
kelopak :: :
Sudah jadi buloh Murni mana mungkin
sempadan manusia ni murni umur 40 tahun...
lepas itu memang payah... hanya kuasa tuhan saja memberi pertunjuk..
cuba murni bayangkan... bila kita mati,
jika jodoh tu panjang mesti
kena jumpa juga suami di akhirat nanti.. kan?
malahan isteri tu adalah Ketua Bidadari...
jadinya kalau di dunia pun Ketua Bidadari kita tak hirau kan kita...
apa maksudnya
Apa makna Ketua Bidadari...
Murni sampai tak apa yang abg fikir...
murni :: :
mungkin ini ujian utk abg...
buat sembahyang hajat banyak-banyak
InsyaAllah...ada petunjuk-Nya nanti
Murni tak pasti apa maksud abg tentang Ketua Bidadari itu
kelopak :: :
masa pergi haji tu Murni... tak putus abg berdoa untuk Mila tu..
banyak kemungkinan Murni... satu; mungkin doa tu lambat makbul
mungkin juga kita ni macam golongan doa Nabi Nuh as..
sampai karam habis bumi ini pun anak isteri tak dapat pertunjuk
satu lagi takutnya kita ini memang telah tertolak.
tu yang abg mahu Murni fikirkan
tentang Ketua Bidadari tadi...
Murni dapat fikir tak semua ini.
maksudnya kalau kita memang banyak dosa,
macam mana nak ada Bidadari, Bila tak ada Bidadari...
mana ada ketuanya... betul tak?...
atau sebaliknya... Isteri kita tak mungkin jadi
Ketua Bidadari kita itu
yang paling abg takut.

payahlah Murni nak cerita benda ghaib ni..
cumanya kalau kita nak kuat iman kena yakin
dengan segala doa yakin ianya akan dimakbulkan!
nanti kita bual lagi…
lapar lah Murni.
Bagiku, ubatan yang diberikan doktor hanyalah sekadar harapan. Harapan agar sakit yang kronik tidak akan tambah kronik. Ubatan juga sekadar memberikan kita semangat untuk terus bertahan. Orang kata satu ikhtiar.

Sokongan moral, simpati & keprihatinan dari keluarga terutama orang terdekat akan lebih menjadikan penyembuh untuk sesuatu penyakit.

Lagipun cuba kita fikirkan berapa ramai yang menemui ajalnya di hospital paling mewah. Doktor yangb paling pakar. Kita telah berusaha sebaiknya, ubatan yang diberikan pun ada kelas terbaik. Jika ajal itu memanggil mana mungkin kita tangguhkan biar pun sesaat nyawa kita.

Maka itu dalam ajaran Agama kita amat menggalakkan kita menziarahi orang sakit. Rahmat akan mengiringi kita setiap kali kita ziarahi orang sakit. Apatah lagi isteri atau suami sendiri. Kenapa mesti kita biarkan orang yang kita sayangi sendiri di hospital.

Semalam pun aku ziarah Mas rakan Mila sendirian di hospital, baru malam ini kami dikejutkan yang dia sah kena Selesema Babi. Maknanya Mila kenalah buat pemeriksaan doktor dalam tempoh terdekat. Dia yang tak mahu turun-turun dari kamar Mas di Ampang Puteri itu. Aku & Yot naik lumat digigit nyamuk menunggu sejam lebih di parkir. Sian Yot bisul lantaran diabetesnya masih tak baik, resah amat terkurung dalam Avanza berjam-jam.

Aku & Yot sememangnya dalam perhatian doktor, jika melambung naiknya tekanan darahku memang aku juga menjadi mangsa Selesema Babi dari rebakan kuman Mas itu pastinya. Harap-harap jangan. Malam tadi memang aku mimpi sesat di bangunan tetapi selamat pulang sebelum terjaga.

Diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Hujung bulan nanti aku akan ke pakar jantung lagi. Tak pasti lagi apakah penghujungnya sakit kronik aku ini. Mana mungkin kita merubah ketentuan Ilahi. Kenalah sabar-sabarkan diri.

UPM tutup jika ada jangkitan H1N1 kedua (Ceritera)


KUALA LUMPUR: Tindakan drastik menutup sementara kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang mungkin hanya dilakukan sekiranya penularan wabak influenza A(H1N1) berlaku lagi di kampus itu, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah hari ini.

"Apapun, kita akan patuhi nasihat yang diberikan Kementerian Kesihatan dan jika kementerian mahu kita beri cuti atau tutup kampus kepada pelajar dan kakitangan dalam usaha mengekang virus itu daripada menular, kita akan laksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Antarabangsa Anatomi Kayu di sini, hari ini.

Harian Metro

Gambar Jacko mati atas lantai disiar (Hiburan)

LOS ANGELES - Beberapa maklumat terbaru berhubung kematian penyanyi Michael Jackson (gambar) didedahkan semalam selepas sebuah akhbar Britain memperoleh sejumlah gambar tempat kematian Raja Pop tersebut.

Imej berkenaan dirakam di bilik tidur tingkat dua rumah sewa penyanyi bergelar Jacko itu oleh seorang ahli keluarganya sehari selepas dia meninggal dunia di lokasi tersebut, di sini.

Gambar-gambar itu menunjukkan tempat di mana doktor peribadi Jacko, Dr. Conrad Murray menghabiskan masa 25 minit bagi menyedarkan penyanyi itu setelah degupan jantung tiba-tiba terhenti pada 25 Jun lepas.

Kali pertama, Murray cuba memulihkan Jacko di atas katilnya manakala cubaan kedua dilakukan selepas dia memindahkan penyanyi itu ke lantai bilik tersebut.

"Itulah tempat di mana Jacko meninggal dunia," kata Koroner Los Angeles, Leftenan Fred Corral ketika mengesahkan kesahihan gambar-gambar itu.

Ia menggambarkan senario seperti yang ditemui pasukan detektif selepas petugas-petugas paramedik membawa Jacko ke Pusat Perubatan UCLA sebelum dia diumumkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang.

Di atas lantai di sebelah katil tersebut terdapat sebuah beg berisi pam yang digunakan oleh anggota-anggota paramedik bagi menyalurkan oksigen untuk mengekalkan hayat pesakit yang tidak sedarkan diri.

Turut kelihatan di lokasi tersebut ialah pad alkohol yang digunakan bagi membersihkan kulit sebelum suntikan, segulung pita pembedahan dan sekotak sarung tangan getah. - Agensi