iDAN

07 November 2009

Boleh Percayakah Nuffnang ini? (Delima Merkah)


Telah lebih dari dua bulan aku letakkan iklan Nuffnang Malaysia di sisi blog ini. Yang kelakarnya jumlah duit yang terkumpul hanya 75 sen tak berubah-ubah pun. Jika kita klik ke situs ini http://www.nuffnang.com.my bukan main lagi gahnya mereka mengatakan 3 juta pengunjung dalam 100,000 blog setiap hari.

Mungkin pemblog lain ada cerita manis tentang Nuffnang ini, setahu saya Bro Mazidul pernah mendapat cek RM200++ melalui blog beliau tetapi beliau tidak menceriterakan dari mana dia dapat cek tersebut.

Seharian mengikut kaunter yang saya guna. Bukan kauntern Nuffnang ada pengunjung yang klik blog ini sekitar 150 orang sehari. Yang sering berkunjung setakad ini sekitar 40 orang sahaja. Kiranya 40 orang ini adalah rakan setia di alam maya. Yang rajin respon kebanyakannya saya temui melalui pengunjung blog Bro Mazidul. Mereka adalah penulis blog yang memang aktif. Maknanya blog ini masih hingusan. Mentah amat.

Selebihnya sekitar 100 pelayar mungkin sekadar rajin mengamati tulisan saya, ramai juga terklik & tak berminat langsung tulisan saya. Memang saya tertanya-tanya juga apakah mereka menyukainya atau semakin beralih ke situs lain.

Berbalik ke Nuffnang tadi, Saya berharap dengan Nuffnang dapat mengukur kepopularan blog ini. Sebulan jika saya dapat menarik kira-kira 4,000 orang untuk klik blog ini; macam tak setimpal cuma diberikan sekadar 75 sen nilainya; Aduh!.

Bila saya lihat situs yang berjaya ramai kalangan dari blog kaum cina yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Apalah blog ber-Bahasa Melayu terpinggir?. Seperti blog ini http://hamletshero.blogspot.com yang berjaya ditempat sebagai Blog Terbaik bulan Julai 09. Tidak ramai pun respon dari pembacanya. Malahan pengikutnya juga tidak tertera berapa ramai. Tak baik kita pertikai urusan Nuffnang tetapi tentunya jika kita meletakkan iklan Nuffnang ini terkadang akan melambatkan tempo akses blog kita. Sejauh mana benarnya agihan duit terpijak ini aku pun tidak pasti.

Sila klik blog Nara yang memang menarik, antara pemenang dari blog Bahasa Melayu.

Tak letak iklan jangan harap dapat duit terpijak, jika diletakkan memang agak lambat & membuang masa pengunjung; Pun yang mahu kita persoalkan apakah ada satu diskriminasi dari mereka di Nuffnang?. Atau pun memang kita yang tak rajin berblog. Bagi mereka yang telah mendaftar sebagai ahli Nuffnang, jangan pula melatah. Kita seharusnya bersama mencari jalan agar blog kita menjadi popular & masing-masing mendapat imbuhan yang dijanjikan.

Sementelah syarikat yang diiklan di Nuffnang nampaknya belum lagi meragukan. Jika nampak pelik-pelik sebaiknya kita berpakat-pakat lupakan sahaja Nuffnang ini. Sebabnya melalui perisian untuk kita melayari blog ahli Nuffnang yang baru aku muat turun; banyak blog yang meletakkan iklan ini aku lihat amat aktif & bagus maklumat di dalamnya. Lantaran meletakkan Nuffnang sering tempo aksesnya terganggu hinggakan kita malas mahu menunggu & klik ke blog itu lagi.

Aku baru dalam mengenali Nuffnang mungkin ramai kalangan kita yang boleh memberikan respon & panduan tentang Nuffnang ini. Jika dirasakan Nuffnang ini okey!, biarkan saja.

05 November 2009

Moh! Masuk Hutan (Singgahsana)

Semasa aku di zaman kanak-kanak dulu, selain hobi berikan, memancing, tahan bubu, menaut ikan Haruan, tangkap ikan Pilai Lawan, menuba ikan malahan pernah buat bom untuk timbulkan ikan dengan menggunakan belerang mercun. Memang kreatif kanak-kanak zaman dulu.

Hobi lain ialah masuk hutan, bukan sekali dua demam kena Sampuk@ ketegor tapi memang tak serik-serik. Mana tak kena ketegor; semuanya diredah, perkampungan Orang Bunian pun habis di redah untuk melastik burung Punai Daun, Atau Burung Raja Pelanduk.

Aku juga pandai buat jebak dari batang Bertam. Sangkar semua tu memanglah asasnya kenal burung. Ikut musim kalau banyak burung pipit. Pikat burung pipit pun mendebarkan juga. Dedulu manalah ada getah perangkap tikus semua tu. Pikat burung pipit guna getah dari pokok Terap. Ada banyak jenis burung Pipit; yang popular adalah Pipit Uban & Pipit Tuli. Nak sebut jenis pipit mahu boleh buat jurnal 100 muka surat. Pipit Padi Burung Pipit Pinang Burung Pipit Rawa Burung Pipit Rimba Burung Pipit Tanah. Macam-macam pipit ada.

Burung Merbah pun syok juga melastiknya, dagingnya memang sedap. Merbah pun banyak jenis juga. Kalau tak jumpa burung Merbah, Punai atau Perling yang dagingnya agak besar. Burung Daun, Sepah Puteri pun jadi; Burung Daun ini biasanya buat sarang dengan menjahitnya di daun lebar. Sepah Puteri pula amat cantik ronanya, suka makan madu selalu ada di Pokok Dedalu. Jika musim buat Jerat Bingkas untuk burung Ruak-Ruak pun memarik juga. Ada yang panggil burung Ruak-Ruak ini burung ayam-ayam. Orang Dewasa rajin mendekut.

Menjaring burung juga menarik, selalunya ketika senja bila burung berkumpul mahu tidur. Langsung tak takut sendirian meredah hutan. Terserempak dengan ular sawa & tedung itu memang biasa; tapi memang tak pun takut & serik. Tenggiling pun sering ditemui jika masuk ke hutan. Itu namanya jiwa kanak-kanak.

Emm! kalau tanya kanak-kanak zaman sekarang, burung Pipit Uban pun mereka tak kenal. Ini kan pula Sepah Puteri & Burung Punai itu.

Kalau zaman itu boleh dikembalikan menarik juga. Asyik tenguk National Geographic rasa bosan juga. Kita mahu yang realiti.

Sila Klik URL ini jika mahu mengembara ke alam misteri paranormal iDAN di Tasik Bunian.

Diintai Puteri Bunian


04 November 2009

Moh! Mandi Hujan (Santai)

Hujan

Masa kekecik dulu asyik kena marah emak sahaja kalau suka kuyup
mandi hujan. Mandi di cucur atap alamak nyamannya. Sejuk!.
Asyik kena jerit kalau bermain hujan takutnya bukan apa... petir!
bebudak manalah ingat itu semua.
Kecuali ada ketikanya hujan batu, memang arwah emak tak marah, bawa besen
tadah hujan kutip ais batu yang gugur.

Sudah besar panjang ni! siapa pun tak marah nak mandi hujan.
Moh! mandi hujan macam cerita hindustan tu!.

Lirik Sudirman - Hujan

Hujan yang turun bagaikan mutiara
Berkilau bersinar berkerdipan
Subur menghijau bumi terbentang
Dan bayu berpuput lembut

Cinta yang bersemi
Di waktu hujan turun
Menyirami ketandusan hati
Dan hujan turut mengiringi
Engkau pergi...

Selembut hujan bercurahan
Begitulah cinta ini
Semesra bumi yang disirami
Begitulah hati ini

Hujan yang turun bersama air mata
Bersama pedih, bersama rindu
Kau datang dan kau pergi jua
Rindu lagi...



Ceritera dari akhbar yang menarik sila klik situs bawah ini
Gelenggang

03 November 2009

Kahwin Campur 7 Sayornara Harajuku (Singgahsana)

Telah berdekad-dekad Harajuku tetap tak berubah.
Sedar tak sedar aku telah berada di penghujung perjalanan, aku berada di landasan bawah tanah. Harajuku. Merayau tanpa tujuan. Ada sejam dua lagi boleh melihat neon di Harajuku. Malam-malam di Harajuku tidak semeriah siangnya. Manusia jepun masih padat. Siang ramai orang pelik-pelik melepaskan stres di jalanan. Malam sekadar melihat neon pusat-pusat karaoke & restoran makan untuk orang Jepun mabuk-mabuk. Cuaca musim luruh di Harajuku membuatkan gigirku terketar-ketar sejuk. Padanlah orang Jepun suka minum malam-malam. Antaranya mungkin lantaran sejuk ini, lepas mabuk aku sering mendengar rakan-rakan Jepun aku meraban. Selalu Perdana Menteri mereka menjadi mangsa. Stres berkerja mereka asyik salahkan pemimpin mereka. Berkerja & berkerja seharian semata-mata mahu hidup. "iDANsan tahu tak kami sekarang terpaksa meminjam membeli rumah menggunakan pinjaman generasi, rumah terlalu mahal, hanya boleh dilunaskan setidak-tidaknya dua generasi, ayah & anak!" Aku tak faham apa yang dimaksudkan. "Hidup kami sampai mati terpaksa berkerja, kerja untuk hidup, hidup untuk kerja...!... yadana!" Aku tersenyum sahaja mendengar cakapan orang mabuk.
Pandangan biasa di Harajuku
Mungkin itu juga yang Kimura lalui. Membuatkan Ayu terbiar sendirian. Ah! Ayu lagi. Aku sebenarnya telah lemas dihantui bayangan Mila. Rinduku telah paras tidak normal lagi. Terkadang aku mimpikan berjumpa Mila. Terkadang aku bayangkan Mila menunggu di muka pinta kamar asramaku. Amoi Jepun yang iras Mila aku pandang bagaikan tak puas. Mabuk kepayangkah aku?. Amat payah berjauhan dengan isteri... rupanya.
Pondok telefon awam di Tokyo terkini masih cantik ceritera Kahwin Campur ini diolah kira-kira 20 tahun lalu yang tiada telefon bimbit sebagai penghubung, memang telefon awam banyak memberikan impak & kenangan pelatih@palajar dari Malaysia di Jepun
Dalam kesepian ini terkadang aku ingin juga Ayu itu hadir, pelawaan pelik@stresnya di Shinjuku itu aku tolak lantaran ada kemelut yang amat rumit di hatiku. Harajuku Tokyo menjanjikan pelbagai keriangan. Aku tahu arah tujuan aktiviti ronda Joe jika mahu bersamanya. Ronda & berhibur, pun bermalam-malam panas sampai habis terkikis duit. Apa yang tak ada di Shinjuku. Maka itu ramai yang bilang Shinjuku adalah antara kotaraya teramainya samseng Jepun. Samseng yang amat setia pada kongsi gelapnya sanggup potong jari itu!. Yakuza. Biasanya kelab yang mengadakan aktiviti porno pasti dilindungi Yakuza ini. Jika ke pondok-pondok telefon di Tokyo malam-malam, penuh sarat dengan pelbagai iklan seks. Dari perempuan, VCD, kelab malam & pelbagai tarikan yang tak pernah kita duga. Iklan kecil ini menggunakan gam yang mudah alih. Siang hari nampak bersih semua tak ada pun comot macam pondok telefon kita. Takkan jumpa iklan seksi-meksi itu semua. Aku tak pasti mungkin syarat pengiklanan begitu, jika tinggalkan iklan sepanjang hari dendanya bukan main-main. Keadaan telefon awam malamnya aduh! penuh dengan iklan perempuan seksi. Aku suka sangatlah mengutipnya. Pandang-pandang sahaja. Jika kena kejutan budaya bagai Joe, habis!.
Malam di Harajuku
Minggu depan aku tiada lagi di Tokyo. Tak dapat kubayangkan lagi perkampungan Jepun yang bakal kudiami. Hari ini biarlah aku sepuasnya menikmati neon ini. Senin hingga Khamis aku masih berkerja di PCI, Jumaat aku diberikan rehat, sebab esoknya awal pagi aku rakan sepejabat si Kuroda akan ke Juo Machi daerah Ibaraki arah ke utara Jepun. Tiket keretapi laju telah di beli. Bagaimana agaknya naik keretapi laju Jepun. Katanya sekitar dua jam pasti sampailah ke Hitachi itu. "iDANsan, mengapa nampak senyap tak ceria sahaja!" Biasalah si Kaito cepat sangat dapat mengesan perubahanku. "Saya telah jumpa Kimurasan dua hari sudah!" "Siapa Kimura tu? suami yang iDANsan kata jumpa koibito baru awak tu ke?" "Pandai pun awak mengagaknya!" "Bagus!, itu petanda awak jujur, orang Jepun amat setia dengan persahabatan" Dia suka dengar aku pergi mengenali keluarga Ayu. "Ayu kata dia bermasalah tapi bila saya jumpa Kimurasan itu saya lihat suaminya itu nampak baik sangat!" "Jadi apa masalahnya?" Kaito nampak berminat sangat ingin tahu. "Payah saya mahu terangkan Kaitosan, harap-harap si Ayu isterinya akan telefon saya dalam minggu ini!, saya ingin menasihatkan dia!" "Kenapa tidak telefon sahaja dia!" "Itulah masalahnya saya tak minta pun nombor telefon rumah dia!" "Habis tu selama ini berjumpa tu bagaimana?" "Ayusan yang telefon saya, saya sebenarnya tak mahu panjang-panjangkan pertemuan ini, sebab saya ingat diri saya Kaitosan; saya sudah berkahwin rasa bersalah pula nak minta nombor telefon perempuan lain, isteri orang pula tu!" "Habis tu bagaimana Ayu tahu telefon iDANsan...?" "Saya kasi kad saya!.." "Emmm! maknanya samalah tu, memberikan kad bermakna membuat langkah memanjangkan hubungan!" Betul juga apa yang Kaitosan cakap. Aku terdiam. "Jika ada niat lain, lupakan dia iDANsan!" "Entahlah Kaitosan, saya beri kad itu lantaran memikirkan dia orang Malaysia, kahwin pula dengan orang sini, niat tu sekadar mahu kenal, tak sangka pula dia mengadu hal macam-macam...!" "Habis tu mahu pergi ke rumahnya, nanti suami tak ada di rumah bagaimana?. Apa pandangan masyarakat, kami juga amat menjadi kehormatan keluarga!, lagi pun mana mungkin suami tak cemburu, iDANsan ini pun bukan calang-calang orang... rippa.. subarashii desu ne!.." Kaito telah memikirkan sejauh itu. "Okey!lah tak payahlah kita cerita itu lagi, katanya Kurodasan akan hantar saya ke Juo Machi itu!" Aku bawa cerita lain. Malas nak fikir soal Ayu. Kami makan apa yang ada. Aku beli roti di Harajuku tadi. Pelbagai jenis minuman ada di ruang kecil buat air minuman. Setiap meja orang Jepun ada sahaja gelasnya. Tengah hari selalunya ada orang hantar makanan. Aku suka tenguk bekas makanannya. Cantik. Kalau kita pakai mangkuk tingkat. Mereka guna bekas yang berlainan. Ikut Menu. "Iiya!, tak lama kan?, katanya tiga bulan sahaja iDANsan kat sana!' "Deshou!.. saya akan rindukan Tokyo nanti!" "Rindu sini balik sahaja nanti!" Kami kembali membuat kerja, berbual ketika rehat sahaja. Kerja surihan aku untuk negara Oman masih ada. Aku kena siapkan juga sebelum aku pergi. Dari jauh aku nampak si Matsushima senyum denganku. Hoshino; biasalah dengan rangginya. Kalau asyik perhatikan dia buat aku payah tidur malam sahaja. - bersambung

Jangan Suka Berjanji (Singgahsana)

"Ayah akan belikan Azim basikal baru, janji Azim dapat antara nombor satu ke nombor tiga di kelas" Azim taklah di kelas yang sepandai mana.

Maka rajinlah dia belajar, sebab basikal yang dipakai sekarang amat laih, kecik lagi... memang tak sesuai lagi untuk dia mengayuhnya. Bila keputusan semester satunya keluar dia berjaya dapat nombor tiga di kelasnya. Maka taklah payah sangat kita tunaikan janji. Sekadar seratus dua RM dapatlah basikal baru untuk Azim.

Janji begini memang bagus untuk motivasi anak-anak belajar, tenguk minatnya apa dia suka. Rasanya kalau PS2 yang mahal-mahal, telefon bimbit yang anggun tidaklah digalakkan. Kecualilah dia dewasa pandai membahagi masa. Pandai membahagikan masa pun benda-benda mewah begini memerlukan belanja yang banyak. Untuk tambah nilai bulanannya, kalau PS2 tu pula nak beli CDnya. Cepat rosaknya. Payah jaganya. Penat.

Tapi memang inilah hakikat anak-anak zaman kini. Memang itulah impian mereka. Kita sebagai ibu ayah kena sentiasa bersedia berbelanja lebih jika mahu membeli hati anak-anak. Aku tak punyai banyak masalah dalam masalah ini lantaran anak-anak semua lelaki, mereka berpakat dalam impian mereka, kumpul duit bersama tak cukup ibunya jadi tukang penampung.

Bukan itu topiknya yang aku suka bangkitkan.

Tetapi topik orang bercinta. Iyer! ingat betul-betul janji anda semasa bercinta. Tak percaya kalau tiada satu pun janji bersama. Salah satu ialah. Janji sehidup semati; itu mesti. Mana mungkin kita bernikah sahaja, esok lusa nekad nak nikah yang lain, nak cerai berai. Belanja kahwin satu hal bukannya murah. Lainlah kahwin koboi. Tangkap basah. Memang ada kes nikah dua isteri bersanding satu pelamin. Ini kes terpinggir.

Janji sehidup semati ini rasanya rata-rata kita makin lupa. Lupa bilamana kita asyik buat dosa terhadap pasangan kita. Lupa bilamana kita aktif sangat mahu menggoda kekasih lain, apatah lagi bilamana ada orang menggoda kita. Bukan lelaki@suami sahaja sekarang asyik bercinta atau punyai kekasih atau perempuan simpan. Paling tidak adik angkat terkadang terangkat terus. Ada juga kakak angkat orang berada, Mak Datin atau janda kaya lagi. Semua itu melukakan hati isteri.

Iyer! semua sahaja sekarang asyik bercinta, lagi malang isteri kini pun makin berani. Bukan satu dua kes kita dengar isteri menduakan suami. Isteri sekarang ramai yang lagi kukuh ekonominya berbanding suami maka jangan hairan mereka akan lagi panjang langkahnya. Suami selalunya bayar ansuran rumah, bayar bil api elektrik, air Indah Water, beli keperluan dapur, belanja anak belum ansuran kereta, kapcai belaka. Itu memang tuntutan.

Bila telah berumur 40an nampaklah siapa yang lebih berharta. Tau-tau isteri duit simpannya telah melambak, rumah sewanya bukan sepintu dua, keluarga isteri mendapat laba bukan sedikit. Memang ini berlaku jika isteri punyai status tinggi berbanding lelaki. Tau-tau terbaca SMS di telefon isteri, suami patah hati. Kerap berlaku masalah ini. Paling tragis bila isteri sanggup guna sihir untuk jadikan suami ini Pak Turut.

Cuba kita menungkan. Apakah isteri kita sering minta izin atau kasi tahu. Minta izin dia merancang tapi tak akan pergi jika kita ada hal. Kasi tahu dia telah pun merancang, kita tak boleh ikut serta progremnya dia pergi juga. Apa masalahnya masing-masing ada kenderaan sendiri. Ikutlah langkah masing-masing.

Di tempat kerja lamaku, isterinya rakan baikku asyik melancung tanpa suami. Kejap ikut kakaknya ke cina, kejap ikut rakan tempat kerja ke Miammar. Dalam negara itu memang biasalah. Suami mana mampu ikut nak ke cina itu bukannya murah, abis tu anak siapa nak jaga?. Kakak Iparnya pula anak ramai luar negara. Bukan mustahil esok lusa nak ke Australia pula, nak ke London pula. Kalau sudah duit tak tahu nak guna! Kemudian dari Tembok Besar cina hantar SMS

"Abang kat sini sejuk sangat! dah pakai dua lapis baju ni.. sejuk lagi" Sang suami peluk bantal peluk. Apa pula hal hantar SMS kontras begitu. Anaknya lapar malam-malam, ayahnya masak Maggi sahaja masa nak tidur tadi.

Baru semalam Mila berbual ketika makan malam. Jarang Mila mahu berceritera. Selalu makan, pasang TV, ngap-ngap kenyang di langsung ke Gua Hirak dia.

"Si Ruby (bukan nama sebenar) kat ofis ibu kerja, sanggup bayar RM20,000 sebab nak kurus badan, syarikat itu kasi diet begitu.. begini.." Dia berbual dengan anak-anak sebenarnya aku dengar sahaja.

"Ibu tenguk si Ruby tu taklah gemuk sangat tetapi orang nak cantik, kalau ibu gemuk macam dia agaknya ibu pun habis duit begitu!... kalau kasi duit itu kat ibu mesti boleh buat benda lain!" Emmm! bayangkan!. Antara sedar tak sedar, antara terpengaruh & nampak kos itu tinggi.

Itulah tadi. Isu janji. Jangan suka berjanji. Sebenarnya dalam agama pun telah termaktub, jika masing-masing keluar berkerja mencari rezeki bersama. Agihan jua seharusnya bersama. Jika isteri mampu bayar Rm20,000 untuk diet kecantikan. Suami juga seharusnya mampu sebanyak itu diet untuk kurangkan boroinya. Kecantikan isteri untuk siapa?. Kesegakan suami selalunya isteri risau kawin lagi.

- bersambung

02 November 2009

J.M. Aziz (Delima Merkah)

Ramai menyukai lagu ini;

Penyu Menangis nyanyian Sudirman. Anda boleh muat turun lagu ini di www.4shared.com ini URLnya Sila Klik format MP3. Banyak lagi puisi Allahyarham dilagukan. Biodata Allahyarham terdapat di DBP


J.M. AZIZ
(Abdul Aziz bin Abdul Rahman, Jiwa Merana, Aziz Rahman, Indera Mesra, Abdul Rahman, Azizah Rahman)

LAHIR : 3 November 1937, di Kampung Tanjung Luang, Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu.

MENINGGAL DUNIA : 15 Mac 2002 (Jumaat) bersamaan 1 Muharram 1423 kerana sakit tua , ketika berusia 68 tahun.

AYAHNYA bernama Abdul Rahman Hassan, seorang peniaga, qari, juga seorang ahli qasidah yang terkenal di Terengganu. Ibunya, Mek Ngah Ismail, seorang guru al-Quran, juga terkenal sebagai penggerak lagu-lagu daerah negeri Terengganu, terutamanya yang berunsur Islam.

Sejak berusia lapan tahun lagi, J.M. Aziz telah memperlihatkan bakat seni yang diwarisi daripada orang tuanya. Beliau kerap diundang untuk memperdengarkan pantun, syair dan lagu-lagu daerah negeri Terengganu dalam majlis-majlis keraian.

J.M. Aziz menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Takir hingga tamat darjah lima. Kemudian melanjutkan pelajaran, juga belajar bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kuala Terengganu. Pelajaran agama diterima daripada kedua-dua orang tuanya.

Beliau dapat dianggap sebagai penyair yang produktif sejak tahun 1950-an. Sejak empat dekad lalu itu, beliau menceburkan diri di lapangan kebudayaan dan kesenian, pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Belia Seroja yang bergiat cergas dalam bidang kebudayaan dan sukan. Beliau pernah bertugas sebagai anggota Pasukan Polis Hutan ke-XIV dari tahun 1951 hingga 1953. Pada awal tahun 1960-an pula, beliau menjadi Pegawai Penerangan Sukarela untuk Pejabat Penerangan Kuala Terengganu.

Sejak dahulu hingga ke akhir hayatnya, beliau kerap menabur khidmat secara sukarela kepada pihak Muzium Negeri Terengganu, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, badan-badan kebudayaan dan kesenian dengan memberi buah fikiran dan sumbangan karya kreatifnya untuk projek-projek tertentu. Beliau adalah antara Pengasas Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA).

Kediaman beliau yang diberi jolokan “Rumah Puisi” di Seberang Takir sering dikunjungi pelajar-pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan para penulis dari seluruh negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang sastera dan sejarah tanah air. Meskipun kekurangan dari segi fizikal, beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa di dalam mahupun luar negara menerusi media elektronik dengan mendengar sahaja dan media cetak yang dibacakan oleh tiga orang anaknya, Najib, Zulkifflee dan Rohaidah yang menjadi jurutulisnya yang setia.

Menurut J.M. Aziz, dua orang Sasterawan Negara, iaitu Dr. Usman Awang dan A. Samad Said adalah pendorong kepada beliau terus berkarya. Beliau pernah menggunakan berbagai-bagai nama pena; antaranya ialah Aziz Rahman, Indra Mesra, Abdul Rahman, Azizah Rahman dan Jiwa Merana. Sasterawan Negara A. Samad Said memberikannya nama J.M. Aziz dan nama inilah yang kekal digunakan hingga akhir hayatnya.

Puisi-puisi J.M. Aziz turut dijadikan lagu oleh Ibrahim Bachik. Manakala puisi “Kesian Dia” dan “Penyu Menangis” (Siapalah Tahu) dijadikan lagu dan dinyanyikan oleh Sudirman Haji Arshad (Allahyarham).

Selain menyanyikan lagu-lagu puisi karyanya sendiri, J.M. Aziz juga berkemampuan menyanyikan lagu-lagu daerah negeri Terengganu. Dalam tahun 1950 hingga 1960, beliau pernah berusaha secara sendirian, mengkaji dan menyelidik lagu-lagu daerah tersebut. Daya ingatan dan hafalannya menjadi kunci kekaguman sesiapa sahaja yang mengenalinya.

Tahun 1965 merupakan detik “hitam” bagi penyair Pantai Timur ini. Beliau kehilangan kekuatan daya fizikal dan terpaksa dirawat di Pusat Pemulihan Penyakit Kusta di Sungai Buloh, Selangor. Sejak itulah ayah kepada tujuh orang anak ini tidak dapat melihat keindahan alam. Isterinya, Puan Lijah binti Daud, yang lebih mesra dengan panggilan “Cik De Jah”, banyak membantu beliau dalam menguruskan keluarga dan tugas seharian.

Dalam suratnya kepada PENA (Persatuan Penulis Nasional) pada suatu ketika dahulu, J.M. Aziz berkata; “Puisi adalah penawar jiwa luka saya… ia memupuk semangat dan menenangkan jiwa lara saya…” Bagi J.M. Aziz lagi, puisi adalah sebahagian daripada hidupnya yang dianggap telah sebati dalam jiwanya sebagai penyair. Manakala laut pula mengandungi berbagai-bagai cerita dan khazanahnya. Ada cerita gembira dan ada cerita duka kerana menurutnya laut itu adalah kehidupan manusia itu sendiri.

Puisi-puisi J.M. Aziz mewakili keresahan dan kegulatan hidup masyarakat nelayan dan golongan bawahan lainnya. Beliau tidak betah menulis tentang penderitaannya sendiri. Katanya; “Tidak, tidak akan saya tuliskan itu semua. Menulis puisi-puisi yang demikian akan membuat diri saya semakin terseksa. Saya lebih senang berperanan sebagai suara sepi dan hiba golongan bawahan. Saya tidak mewakili diri saya sendiri. Diri saya ini adalah mereka sebenarnya…”

Puisi-puisinya berenang dan menyelam di sekitar “laut” dan berkolek berdayung kisah “nelayan”. Baginya “laut” dan “nelayan” adalah nafas dan nyawanya, seluruh hidupnya. Bukan semata-mata kerana beliau adalah anak Pantai Timur, anak nelayan, tetapi beliau adalah laut dan nelayan itu sendiri. Baginya, puisi adalah wadah untuk beliau menyelongkar rahsia alam dengan segala keindahan meskipun dengan pancaindera yang terbatas. Seperti katanya; “Cukuplah kalau saya terus dapat menulis atau menghasilkan puisi. Cukuplah kalau laut lepas itu menjadi temannya bersama bisikan angin Pantai Timur yang berteduh di Seberang Takir.”

Sebagai penghargaan terhadap komitmen yang tidak pernah mengenal lelah dalam dunia sastera tanah air, khasnya dalam genre puisi, J.M. Aziz telah banyak menerima anugerah daripada pelbagai pertubuhan. Pada tahun 1990, beliau dinobatkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan Anugerah Budaya bagi kategori Penggiat Kesenian Sezaman (Tokoh Penulis Budaya/Sastera dan Sejarah). Manakala di peringkat nasional, beliau telah dipilih sebagai penerima ulung Anugerah PENA.

Pada tahun 1980, beliau telah menerima gelaran Tokoh Penyair Terengganu oleh Ruang Teater Tamu Terengganu. Kemudian puisi beliau yang berjudul “Berlabuh dan Berkayuh” telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/85, dan Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu pula menganugerahi beliau Tokoh Teater Terengganu 1989. Puisi yang berjudul “Nasi Ayam laut Sepinggan” telah memenangi hadiah utama bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001.

Ternyata kisah hidupnya yang penuh ranjau itu menyentuh jiwa rakan, saudara mara, sahabat seperjuangan dan khalayak seni. Sebagai menghargai perjuangan penyair yang tabah dan yakin mengharungi lautan seni ini, secebis kisah hidupnya telah diangkat menjadi drama pentas oleh Sasterawan Negara Noordin Hassan. Malam Ini Penyu Menangis merupakan manifestasi kegigihan insan seni yang tidak pernah mahu mengaku kalah. Drama ini dipentaskan pada 1 hingga 10 Jun 1994 di Panggung Eksperimen Komplek Budaya Negara, Kuala Lumpur.

KARYA
Puisi
- Kuntum Pertama (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.
- Pengantin Laut. Kuala Lumpur: Amir Enterprise Sdn. Bhd., 1976.
- Kuntum Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.
- Kembang Selaut. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.

Lagu Anak pelaut

Kunyanyikan pantaiku
Berwajah ungu
Anak-anaknya dalam sedu.

Kunyanyikan pantaiku
Berbelas lara
Rindu dendam anak-anaknya
Mengharapkan kasih entahkan tiba.

Kunyanyikan pantaiku
Retak seribu
Paling derita anak-anak di sini
Tiada siapa yang bisa tahu
Selain dari yang mengalami.

Kudengarkan lautku
Berlenggang-lenggok
Kudendangkan lautku
Tempat berpaut.

Kudendangkan lautku
Pintu hidup
Kudendangkan lautku
Pintu maut.

J.M. Aziz
18 Jun 1967.


Bunga Sirih untuk Guru

Guru adalah Ibu pengasuh budiman
guru adalah ratu lebah
lalu memujuk membelai kelopak
cinta kasih sayang
lilinnya berbunga sinar cahaya
madunya berbunga penawar jiwa.

Guru adalah penyu pengasih
lalu menabur bunga telur
baktinya segar mewangi
sepanjang pantal zaman.

Guru adalah lampu penyuluh
pedoman kehidupan
guru adalah pendakwah
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad
memimpin insan
ke jalan lurus ke padang luas.

Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima sayang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.

J.M. Aziz
Rumah Puisi
Seberang Takir
Kuala Terengganu

(Puisi iDAN banyak terkumpul dalam ĕ-antologi Penyair iDANRADZi sila klik)

01 November 2009

Penulis Mapan (Singgahsana)

Payah untuk menandingi penulis mapan yang telah terkenal. Hasil karya mereka telah tersohor seluruh jagat sastera. Saban minggu penulis mapan ini yang begitu gigih menulis & karya mereka sentiasa mendapat tempat di majalah & dada akhbar. Penulis Picisan seperti aku sekadar tumpang menghayati sastera tanah air dengan harapan ianya tetap akan unggul & popular di seantero dunia. Sastera Melayu memang penuh rona seni.

Ruang blog ini sekadar lakaran waktu bagi mengisi sedikit perhatian buat mereka yang ingin kelainan dari lafaz ilham mereka yang mapan di media massa arus perdana atau lambakan novel yang sarat di kedai buku.

Siapa tak kenal Sri Diah pun Nasharuddin Dasuki, dulu tahun 80an mereka berdua ini rajin menghantar karya Kenangan di Radio, aku pun mencelah di corong radio rancangan yang sama, lantaran rancangan tersebut memang mendapat perhatian pendengar seMalaya. Sekarang aku yang jarang mendengar radio, tak pasti apakah ada rancangan yang menarik begitu. Selera pendengar semakin leka dengan TV, Astro atau pun wadah di dunia maya yang semakin terbuka luas.

Jika disebut akan Penyair iDANRADZi mungkin hanya beberapa orang sahaja yang mengenaliku. Lantaran tulisanku tidak pernah pun dibukukan jauh sekali memenangi sebarang anugerah. Sri Diah & Nasharuddin Dasuki semakin banyak menerbitkan buku & karya mereka. Malahan mereka sering dihujani anugerah sastera. Tentunya mereka berusaha gigih & ramai pengikutnya. Lagi pun mereka hidup dalam kelompok Penulis Mapan yang sentiasa terdedah dengan penerbitan. Sri Diah sekarang mungkin menjadi pengarang di Krangkraf. Dulunya saya perasan dia adalah pengarang di Mingguan Wanita.

Tak banyak kita dapat mengetahui tentang penulis Nasharuddin Dasuki melalui dunia maya. Tetapi siapa pengikut perkembangan penulis ini pasti tahu beliau adalah seorang pendidik yang gigih berkarya.

Tadi aku membaca e-melku di Yahoo, rakanku yang bertukar kerjaya ke DBP pun semakin hari semakin rajin menerbitkan bukukunya. Mohd Amran Daud baru sahaja menerbitkan bukunya 1Malaysia (Puisi Remaja). Mohd Amran Daud rajin juga menulis pelbagai genre sastera. Selain puisi & kritikan beliau rajin menulis pantun.

Sayangnya kesibukan dengan kerjaya yang antah berantah lebih dari 28 tahun lalu, aku tidak langsung menumpukan sepenuh perhatian di bidang penulisan. Untuk berjinak dengan dunia penulisan bukannya mudah. Jika sendirian berkabung dalam seni sastera ini rasanya tidak akan ke mana. Dorongan & bantuan rakan atau orang terdekat amat perlu.

Jika sudah hidupnya berkepung dengan dunia sastera atau penyairan rasanya pasti minat, bakat pun ilham akan bertambah biak. Aku mencari-cari seorang penyair bagaikan Allahyarham Pak Engku T Alias Taib. Hidupnya sentiasa diulit dengan puisi indah. Segala tulisannya amat indah untuk kubaca & fahami. Pemergiannya meninggalkan manik-manik indah untuk kita hias di persada sastera.
Begitu juga aku teringat betapa J.M. Aziz Penyair yang cacat penglihatannya begitu sedap mengadun puisi. Antara puisinya terkadang menerbitkan Ilham untuk aku menulis. Sajak Penyu Menangis sering mendapat perhatian dalam bualan umum.

Ada juga puisi J.M. Aziz dilagukan seperti puisi ini

Penyu Menangis
(Sudirman)


Anak muda berlagu sayang
Di Batu Remis melepas rindu
Adik ketawa di Rantau Abang
Penyu menangis siapalah tahu

Sesak nafasnya sesak
(Tak tahu adik tak tahu)
Sebak dadanya sebak
(Tak tahu adik tak tahu)
Bengkak jantungnya bengkak
(Tak tahu adik tak tahu)
Retak hatinya retak
(Tak tahu adik tak tahu)

Lenyap ditelan derauan ombak
Telur penawar hatinya lebur
Tumpah air matanya melimpah ruah
Agar terhibur adik terhibur

Anak muda berlagu sayang
Di Batu Remis melepas rindu
Adik ketawa di Rantau Abang
Penyu menangis siapalah tahu

Kelabu matanya kelabu
(Tak tahu adik tak tahu)
Sendu tangisnya sendu
(Tak tahu adik tak tahu)
Sayu jiwanya sayu
(Tak tahu adik tak tahu)
Layu langkahnya layu
(Tak tahu abang tak tahu)


Permata Untuk Isteri
(Kopratasa)

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan

Untuk kau hargai dengan kasih sayang
Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami
Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

J.M. Aziz


Sekitar Tahun '99 aku pernah menulis tentang Penyu Menangis

Penyu Menangis

penyu terus menangis
menolak kelodak sesak
fitnah nan bertaburan di pantainegara
memisahkan akar penaga laut
menindih rakyat jelata berpaut

penyu terus menangis
menolak ombak resah
desah angin jadi penyata belanjawan
tikar kasih bertaburan di anjungzaman
sepinya vilasetia di ujung pantaileka

penyu terus menangis
kekitaan semakin berseloka sumbang
mencari arah ke puncak gemilang
namun gelombang masih belum tenang

penyu terus menangis
tumpah air matanya ke akuku ini
bagaimana mahu kulapi air matamu!!!
sebak rebah tak sudah.

iDANRADZi
Jenaris/UPM

Rabu, 05 Mei 1999 17:27:56


OLEH: YASER M.A
 
Salam bahagia, saya sekadar ingin cuba untuk menghuraikan sajak yang dinukilkan oleh saudara yang bergelar iDANRADZi yang bertajuk 'Penyu Menangis', mengharapkan ia menjadi kegunaan dan renungan kita bersama...

"penyu terus menangis
menolak kelodak sesak
fitnah nan bertaburan di pantainegara
memisahkan akar penaga laut
menindih rakyat jelata berpaut" 
Dalam rangkap di atas, apa yang ingin diperkatakan oleh penyajak ialah berkenaan peristiwa atau fenomena yang sedang melanda negarakita, fitnah berlaku di sana sini bagaikan cendawan tumbuh, yang berlaku di kalangan para pemerintah atau golongan atasan, yang menjadi mangsanya ialah rakyat jelata, porak puranda pemerintahan hasil tohmahan, sengsaralah rakyat yang mendaulat sistem pemerintahan tersebut.

"penyu terus menangis
menolak ombak resah
desah angin jadi penyata belanjawan
tikar kasih bertaburan di anjungzaman
sepinya villasetia di ujung pantaileka" 
Apa yang hendak diutarakan oleh penyajak ialah berkenaan ekonomi negara yang semakin hari membuatkan seluruh rakyat menjadi takut, risau dengan keadaan ekonomi yang semakin runcing. 
"penyu terus menangis
kekitaan semakin berseloka sumbang
mencari arah ke puncak gemilang
namun gelombang masih belum tenang" 
Rangkap ini berbicara berkenaan sikap golongan pemerintah, politikus yang semakin hari semakin beranak pinakkan kronisme, mementingkan diri sendiri untuk mencapai matlamat, waima keadaan atau fenomena yang kelam kabut menimpa negara masih belum reda, mereka tidak kisahkan, apa yang penting hanyalah kemajuan diri.

"penyu terus menangis
tumpah airmatanya ke akuku ini
bagaimana mahu kulapi airmatamu!!!
sebak rebah tak sudah." 
Secara keseluruhannya, apa yang saya perhatikan, 'penyu' di sini boleh kita katakan...mewakili rakyat jelata yang mampu menangis, sedih, pilu, hiba dan hanya mampu melihat sahaja seloka para pemerintah dan politikus yang semakin hari semakin menindas. Tiada apa yang boleh diperkatakan oleh rakyat (penyu), tiada apa yang boleh dibuat oleh rakyat (penyu) dan tiada siapa yang boleh menenangkan dan memujuk rakyat (penyu)....rakyat hanya mampu terus bersedih dan terus perhatikan saja pentas politikus yang semakin hari semakin menindih, menindas mereka. 
Sajak ini mengutarakan satu sinisme yang tajam terhadap pemerintahan negara yang semakin meruncing hasil daripada tingkah laku politikus, yang menjadi mangsa ialah rakyat jelata.
Sekian, Terima kasih.

31 Oktober 2009

HUTAN WARISAN

(Itulah sebaiknya kita kembali kepada Dia)
Jika akar iman kita semakin kaku
sering diasak gangguan bisa dunia
sering kering jampi serapah harapan
daun kasih kita bagaikan garing
gugur pada daki riba tanah alpa
bunga rindu tidak lagi seharum dulu
malahan diri ini bagaikan dicabut
dipindahkan ke belantaran sepi
tekad & khudrat kenalah dikuatkan.

Ada ketika sengketa itu mengajak kita
agar segera memikirkan soal berhijrah
bukan kita memutuskan ukhuwah
bukan kita mencari musuh dalam berdakwah
seyogia ada antara kita sememangnya
menjadi gunting dalam lipatan
menjadi musuh dalam selimut
di depan kita terikat segala perjanjian
sebaliknya sewenang-wenangnya
al-Quran dihumban al-Sunnah diabai
tindak-tanduk semakin menghimpit & menjerat
apakah masih mahu sembah beradat.

Hutan warisan ini semakin gondol
hutan batu ini pula semakin panas & gugur
top-top kita juga akan digegar gempa & murka Ilahi
sementelah jika kita tidak saling memahami.

iDANRADZi
Jenaris Kajang
October 31, 2009 7:56 mlm

29 Oktober 2009

Mana Satu Ni!? (Singgahsana)

Sepanjang hari ini aku makin keliru, mana satu perisian di laman web (Laman Sesawang) yang sesuai untuk berhubung dengan kawan-kawan yang jauh. Internet (dunia maya) semakin hari semakin banyak amat perisian baru yang memeningkan kepala ini. Sebahagiannya aku faham nak guna sebahagiannya aku rasa mamailah pula.

Jika dulu pilihan utama adalah MIRC, sebabnya ianya tidak menganggu Windows macam YM juga, muat turun perisiannya & install. Lancarlah nak bercit cat sepanjang hari. Masalahnya MIRC & YM terpaksa kita mengadap komputer tak boleh bergerak ke lain. Maksudnya kena benar-benar tertumpu kepada perbualan@cit cat. Aku paling menyampah bercit cat ini bila kita bertanya sesuatu bukan main lama baru dijawab, silap-silap kita tunggu-tunggu talian pun terputus. Terlopong sendiri. Buang masa betul. Pun terkadang rakan yang bercit cat dengan kita itu pula bukan hanya melayan kita, mungkin ada dua rakan bercit cat sekali gus, mungkin juga lebih dari itu. Akhirnya dia tutup komputer tanpa memberi salam. Bagus betul budi bahasa ICT ini. Kita di depan komputer tertunggu-tunggulah, tapi tak tahu apa matlamat & hujungnya perbualan kita.

Bagaimana pula jika kita menggunakan Webcam?. Pakai pembesar suara pelbagai. Tak semua berminat, kalau mahir pun payah nak berbual, ramai kalangan Makwe malulah pula wajahnya tak cantik di skrin; Itu yang jam 2:00 atau 3:00 pagi terpaksa tenyeh bergincu lagi sebab nak cit cat dengan Pakwenya guna Webcam. Nak menggodalah tu!.

Maka itu jalan terbaiknya adalah ruang forum, ruang forum ini lebih terbuka. Tetapi ramai pula yang tidak bersopan & terkadang menyakitkan hati berforum. Bahasa yang digunakan hantam sahaja. Al-maklumlah orang tak nyata, wajah pun tak kenal menyamar selalu.

Tadi aku cuba guna FaceBook katanya ramai yang guna ini & lagi mudah berbanding Tagged, MySpace, Friendster & banyak lagi yang aku sering guna. Banyak pula menu dalam FaceBook itu aku tak mahir gunakan lagi. Jadi tak semeriah mana rasanya. Mudah guna Tagged, siap boleh kasi tag yang pelbagai jenis. Berperang dalam Mafia War memang leka.

Bila aku menung-menungkan aku lebih memilih Blog ini atau pun Jurnal yang lebih mudah & tak banyak gangguan. Sayangnya tak ramai rajin menulis blog. Ramai sekadar suka membaca. Tak ramai suka memberi komen (Respon) ramai yang lebih suka pelayar senyap.

Bila kita menulis & kita bercerita tentang kehidupan kita, kawan yang rapat pun payah memberi respon. Memang rasa orang gila berceritera seorang-seorang, sampai bila. Lebih ramai orang luar atau rakan yang tidak dikenali yang rajin menyapa kita; rakan yang rajin menyapa ini selalunya mereka yang memang peramah di dunia maya. Mereka yang memang rajin bersapa di laman sesawang. Rasanya mereka ini memang takkan akan kekal jadi teman kita. Teman sejati. .

Rakan yang yang sebegini, kita tak kenal rapat ini biasanya akan mudah senyap sendiri. Ikutlah kelapangan dia. Jika dia memang banyak masa senggang maka dia akan menghubungi kita melalui respon jika tiada lagi minat dengan dunia maya senyaplah dia. Sendiri lagilah kita.

Lagi bagus jika tiap rumah ada telefon talian tetap, boleh bual panjang tak menghabiskan duit! sampai beratus RM

Aku boleh ingat rakan di dunia maya ini yang tetiba hilang. Antaranya Deqma, Joyahhh, Salwanie, Diny, SheRa, aNNa_KaReNiNa, abushi, Linn, Maya@Junn & ramai lagi yang memang amat rapat denganku di dunia maya. Ada yang pernah berjumpa, ada yang pernah bertelefon & ada juga mesra di alam dunia sahaja. Kehilangan mereka ini amat terasa & misteri. Di SMS pun tak berjawab di dunia maya memang tiada akan jumpa lagi. Telah tinggal bagaikan bayang-bayang.

Rasanya rakan di dunia maya ini yang masih kekal cuma seorang dua; Salah seorangnya memang agak lama kenal si NurulJB; itu pun kalau di SMS, nak katakan Nurul ini rajin kasi respon di blog, tak juga. Tadi nampaknya dia rajin pula klik FaceBook. Angin betul kadang-kadang bila kita rajin berblog rakan karib tak baca pun, bila nak berbual di YM sudah tak ada lagi mereka yang rapat di sana. MIRC rasanya tak tahu pun nak gunanya lagi; nak guna server mana pun tak reti.

Teringat YB, YB ini rakan sekerja tinggal sekampung dengan Sdr Mazidul. Tapi dia telah berpindah & jadi orang kaya di Perak sana. Hilangnya dia ni bukan main lama, sampai e-mel pun tak berjawab. Aku pula memang tak suka guna Telefon Bimbit. Aku bukanlah nak jadi kaya tapi pengalaman dia meneroka tanah di kampung ingin juga aku kongsi, kononnya nak korek pengalaman dia. Terpaksa hantar e-mel ke bosnya di Unipetronas itu, baru dapat talian tetap. Talian telefon bimbit bagiku adalah mengorek duit rakyat. Tadi dekat radio bilang kita guna SMS setahun pun berjumlah berbilion-bilion, tak siuman ke apa orang Malaysia ini. Kemaruk nak masuk Tadika semula. Taip satu-satu senyum-senyum sendiri. Kalau aku menaip lagilah teruk, mata sudah rabun nak tenguk skrin kecil itu. Tak sanggup. Yang kaya syarikat telekomunikasi. His!.

Aku telah hampir setengah tahun sewa suara di TMnet, berbual 24 jam hanya RM10. Boleh berbual Seantero Malaya. Masalahnya talian tetap ke talian tetap. Bagiku kemudahan ini adalah terbaik untuk kita menjalinkan ukhuwah. Tapi TMnet tu nak kaya juga kena pengguna Streamyx sahaja yang boleh melanggan sewa suara itu. Semalam aku tenguk tawaran semula ada diiklankan di TV3. Masalahnya sekarang kebanyak orang Malaysia semua sudah beralih ke telefon bimbit.

Orang kita sudah kaya belaka; Tak mainlah berbual di telefon bertali. Lebih sanggup guna telefon bimbit sewaannya rata-rata RM30 sebulan... untuk prepaid umpamanya, sudah sebagai satu kemestian@keperluan hidup. RM30 satu telefon, takkan satu talian sahaja paling tidak dua talian sudah menjadi RM60. Padahal bagiku duit sebanyak itu beli Beras Siam Wangi lagi bagus. Jika keluargaku dekat-dekatlah sebulan baru habis 10 kg beras Siam Wangi berharga sekitar RM30.

Mana nak guna kabel di rumah lagi. Mana nak cari orang guna talian tetap lagi. Ah! penat aku pujuk rakan di Tagged, nak berbual di talian tetap, dengan siapa pun tak sudi. Takkan asyik nak kacau rakan pejabat lamaku berkerja. YB antara rakan jauh yang ada talian tetap di pejabat. Payah juga nak kontak dia di pejabat. Di rumah mungkin dia guna Broadband Celcom ke apa!. Adoi! payahnya.

Sebulan aku guna prepaid sekadar RM10 ke RM20 sahaja masalahnya aku memang jarang buka telefonku. Aku pernah ceriterakan kenapa malas buka telefon bimbit ini. Buat fobia sahaja. RM20 itu berapa jamlah boleh bercakap berbanding dengan talian tetap tadi!.

27 Oktober 2009

Drama Jepun (Singgahsana@Hiburan)

Drama Jepun; Terkadang aku suka juga melayan drama Jepun. Agak banyak juga aku membeli VCD Siri Drama Jepun yang agak murah di pasaran. Ada banyak Drama Jepun yang menarik. Kalau telah leka menonton drama Jepun memang semua kerja tak jadi. Rata-rata drama mereka ada sekitar 10 VCD , takkan habis sehari dua menontonnya.
Di jurnal lama aku banyak tersimpan tajuk cadangan antara Siri Drama Jepun yang menarik.
Sila Klik sini

26 Oktober 2009

Kahwin Campur 6 Aihara (Singgahsana)


Angin basah Sagamihara memedihkan mataku, ketika aku melintas rumah bernombor 66 ini aku sering memerhati dalan celahan pintu pagarnya. Kut! ternampak lagi wanita Jepun agak cantik berusia sekitar 30an. Kebanyak rumah di Jepun di bandar punyai pagar kayu atau konkrit yang tinggi. Sukar dapat melihat laman rumah mereka. Maka itu selalu di setiap simpang akan ada cermin bulat lantaran tak nampak selekoh lantaran pagar kontrik yang tinggi ini. Di kampung lain, lebih terbuka.

Pernah satu hari ketika aku balik kerja komuter paling akhir aku tertembung dengan wanita Jepun tengah mabuk. Dari stesen komuter lagi aku telah perasan dia berjalan terhoyong-hayang. Di Jepun masalah mabuk ini memang perkara biasa, terkadang lumrah kita lihat mereka merepek & muntah di komuter. Biasanya adengan ini berlaku di ketika komuter terakhir.

Tak siapa pun hirau wanita mabuk ini. Aku rasa simpati juga melihatnya, aku mula jalan di hadapannya; Aku perasan dia terkecoh-kecoh mengejar aku berjalan. Lorong yamg kami ikut itu hanya untuk pejalan kaki sahaja. Telah jam 12:00 malam lebih, memang lorong itu sunyi tak ramai orang lalu, sekadar mereka yang tinggal di kawasan perumahan kami sahaja yang menggunakan lorong yang sama. Aku membiarkan dia memotong aku. Kasihan dia macam takut juga berjalan berkeadaan mabuk sendirian. Kita dia memintas aku siap dia tersenyum lagi..!. Memang cantik wanita ini. Entah apa dia cakap ketika memintas aku berjalan, aku tak pasti. Aku risau juga takut dia tersembam jatuh. Dalam mabuk-mabuk itu ingat pula dia jalan balik, cara jalannya memang teruk!. Bagai ingin terseliuh sahaja kakinya. Hinggalah ketika aku sampai di pagar rumahnya. 66. Adoi! dia siap melambai lagi macam ajak aku masuk ke rumahnya. Kita ini pendatang, takkanlah berani nak masuk rumah orang. Dadaku berdebar-debar amat.

Sejak itu bilamana aku melintas rumah 66 pasti aku mengintai pandang ke dalam kawasan rumahnya. Memang tak pernah nampak kanak-kanak bermain. Sesekali sahaja aku perasan ada lelaki sebaya dia di laman rumahnya. Tapi dia memang kerap aku nampak sendirian. Tanpa anak, apakah dia perempuan simpanan, sendiri malam-malam mabuk di lorong yang sepi begini. Alahai! kenapa hidup ini ramai sangat manusia sepi. Aku pasti dia juga perasan aku seharian lalu di depan rumahnya, pergi & balik kerja. Sebab aku nampak dia sering senyum denganku. Entah-entah dia tahu apa yang aku sering bayangkan & angan-angan tentang dia. Biarlah!.

Ayu pula mengundang aku kerumahnya. Dia tak sebut pun apakah suaminya Kimura juga akan berada di rumahnya. Dia kata dia tungguku di stesen Aihara sekitar jam 11:00 pagi. Aku kini telah sampai di Hashimoto, tak pernah sampai sejauh Hashimoto, besar juga bandarnya. Aku tak perlu bertukar komputer. Sekitar 15 minit sahaja aku telah berada di Aihara. Aku mengemaskan butang jaketku. Agak sejuk cuaca ketika itu. Musim luruh anginnya memang sejuk. Mentari pun tak mucul sejak pagi.

Aku nampak Ayu bersama seseorang, lelaki tampan nampak muda sangat. Tak macam wajah Jepun, iras wajah Melayu pun ada.

"Ini suami Ayu"

"Assalammualaikum Kimurasan!" Aku berjabat tangan.

Dia mencapai tanganku, tak jelas apa dia jawab, mungkin tergamam aku memberi salam. Senyumnya nampak tawar!... "iDANsan?. emmm! abang iDAN.."

"Jangan panggil abang, saya yang patutnya panggil abg Kimura...!" Barulah nampak ada kemesraan di wajahnya. Bila aku mengusik dia agar lebih lebar senyumnya.

Ayu membawa kami ke sebuah Restoran Tradisional Jepun.

"Nak jalan terus jauh juga abg iDAN... kita singgahlah kejap minum sahaja di sini!"

"Ayu cakap Melayu Kimura faham ke?"

"Sikit-sikit.." Kimura menyampuk. Aku tersenyum lagi.

"Kimura ni faham cakap Melayu cumanya tak pandai bertutur sahaja!"

"Abang iDAN nak minum apa?"

"Apa-apalah abg minum belaka jangan yang mabuk sudahlah!.." Ayu membuat pesanan untuk kami bertiga.

"Sudah masak ke belum ni Ayu, abg tak sempat sarapan tadi!" Aku mencapai air yang Ayu pesan. Lor! pahit amat, rasa spirit pun ada... air apa pula ni?. Nampak jernih. Tak kuasa bertanya lagi pun sekadar segelas takkan mabuk pula.

"Kata nak Ayu masakkan masakan Melayu... jangan risau nanti Ayu masakkan, takkan masak pagi-pagi tadi sejuklah pulak!" Aku sekadar bertanya tentang kerja Kimura. Mungkin dia lama lagi di Jepun lagipun dia rasa telah jemu berada jauh di negara orang.

Pening lalat juga aku minum segelas air yang Ayu pesan. Dia senyum sahaja tenguk wajahku agak merah; wajahku yang memang agak putih jarang kena cahaya mentari, kena pula air spirit pelik tu! memang bertambah merah. Ayu yang membayar bill semua. Memang begitu kut! adat orang Jepun perempuan yang kontrol duit. Kami menuju ke rumah Ayu. Bukan rumah tanah lot seperti yang aku duduk tapi rumah agak pelik, nak kata apartment pun bukan, nak kata rumah kedai pun bukan. Rumah dua tingkat, ada empat keluarga sahaja dalam satu bangunan. Ayu duduk tingkat atas.

"Rumah sendiri ke sewa ini?"

"Sewalah abg iDAN, habis tu kerjanya pun tak menentu!"

"Sila masuk iDANsan!" Kimura mempelawaku.

Satu yang amat mengejutkan aku, di muka pintu terdapat pemaidani mirip sejadah. Siapa corak seakan pintu masjid lagi. "Ini bukankah sejadah?... hatiku berbisik" Tapi tak sampai hati mahu bertanya Ayu. Kut tersalah tafsir pula. Nampak mewah dalam rumahnya. Siap dengan TV besar, alat audio ala Teater Rumah. Biasalah rumah Jepun jarang ada sofa, hanya meja Jepun & kusyen-kusyen kecil. Lapang.

"Abang iDAN bual-buallah dengan Kimura... Ayu masak kejap!"

Aku pun tak tahu mahu berbual apa dengan Kimura, cuma banyak bertanya tentang masakan Melayu. Dia tahu semua, nasi lemak, rendang semua itu. Cuma biasalah katanya pedas dia tak berapa kuat makan pedas. Durian juga dia pernah makan tetapi tak tahan baunya.

Dia memilih tinggal di sini lantaran rumah keluarganya tak jauh dari Aihara. Senang keluarganya mahu bertandang ke rumahnya.

Cepat Ayu masak kejap sahaja telah tersaji mee goreng & roti sandwich. Ada beberapa kek tak pasti dia beli atau buat sendiri.

"Ini sahaja Ayu sempat masak abg iDAN, nanti abg iDAN datang lagi Ayu masakan gulai kari pelbagai, tak sempat nak cari bahannya..!"

"Okey dah ni..., janji masakan orang kita!"

"Iyer pula... kata abang iDAN nak tukar kerja .. kat mana tu iyer!.. jadi tak?"

"Hitachi, kampungnya Juo Machi daerah Ibaraki, sudah kemas barang pun, Sabtu depan abang bertolak ke sana!"

"Tak ada canlah kita nak berjumpa lagi!" Perlahan suara Ayu.

"Tenguklah nanti kut ada cuti!" Tiga bulan lebih tak rasa masakan orang Melayu memang selera aku makan, sedap juga mee goreng yang Ayu masak.

Ayu nampak ceria sangat melayan aku tetapi jauh di air muka Kimura dia nampak tak selesa dengan kehadiranku. Aku faham mungkin dia nampak aku & Ayu hampir sebaya. Petah pula berbual dalam Bahasa Melayu. Aku tahu hati seorang suami. Lantaran aku ini pun suami orang; cuma aku tidak berterus terang sahaja. Ayu & Kimura pun tidak pernah mengungkit bab kahwin denganku mungkin mereka lihat aku nampak muda lagi kut!.

Banyak barangan perhiasan yang Ayu kumpul di almari cerminnya. Rumah tiga bilik yang berkonsep terbuka ini nampak luas amat. Biliknya semua menggunakan konsep pintu geluncur nampak kemas. Ruang tamu & dapur sekadar diasingkan dengan dinding mudah alih dari kayu yang diukir.

"Mana dapat unta putih ini Ayu?..." Cantik ukiran unta dari batu marmar putih.

"Masa Ayu kat Dubai, sebahagian tu kekawan Ayu yang kasi!"

Aku tak boleh lama nampaknya Zuhur pun hampir penghujung, nak bertanya solat takutlah pula Ayu & Kimura telah lupakan solat. Kalau sejadah pun telah di letak di depan pintu jadi alas kaki. Sudah mula bersangka buruk. Serba salah. Titik.

"Ayu! abg kena baliklah, ingat nak cari barang sikit untuk ke Hitachi tu!.. sebab bila dah kerja nanti tak sempat nak ke mana!" Alasan.

"Nak Ayu hantar tak, atau Kimura pun boleh temankan"

"Tak payahlah susah-susah, nanti sesat abg tanyalah orang; rasanya abg ingat jalan ke stesen tu!"

"Terima kasihlah abg iDAN sudi jenguk Ayu!"

"Apa-apa hal... Ayu telefon abg! nanti abg kasi nombor tempat kerja baru tu!.."

Aku meminta diri dari Ayu & Kimura. Ayu menghantar aku sampai ke muka pintu. Selang beberapa langkah aku menoleh ke rumah Ayu, Aku nampak dia masih berdiri di muka pintu tanpa Kimura. Dia melambaiku, aku melangkah pulang sambil mengingatkan lorong yang aku lalui pagi tadi. Hujan rintik halus. Hatiku berbisik. Alangkah jauhnya Ayu menurut jodohnya. Aku terbayang wajah Kimura nampak lembut & memang sopan orangnya. Rasanya dia pasti dapat membahagiakan Ayu dengan kelembutannya itu. Aku tak sempat pun mahu menceritakan bisik hatiku ini tentang Kimura kepada Ayu tadi.

Tak sesat; aku tiba di Stesen Komuter Aihara. Sunyi tak ramai orang. Sebaik sahaja aku tiba. Hujan turun dengan lebatnya. Barulah aku teringat tentang telefon. Nombor telefon Ayu!.

"Jika dia tak telefon aku bagaimana aku mahu kasi nombor telefon tempat kerja baruku, takkan nak kasi pada Akasan..!" Tenguk muka Akasan pun aku takut, payah amat nak senyum. Samalah suaminya. Otoosan. Nama sahaja bapa angkat. Pasangan ini memang jenis payah bergurau. Serius memanjang.

Aku memulangkan kepada takdir. Lama juga aku termenung di Aihara. Aku ambil air sembahyang & solat di satu sudut berlapik kertas akhbar. Biasalah kalau di Jepun. Aku sembahyang di mana-mana. Pernah aku sembahyang Jumaat bersama orang-orang Pakistan di tepi jalan siap dengan kawalan Polis, ketika itu kawasan Solat Jumaat yang disedekah oleh keluarga Jepun yang memeluk Islam telah ditutup lantaran aduan penduduk setempat. Orang Jepun risau ramai orang asing berkumpul setiap hari Jumaat di situ. Cadangnya mahu didirikan Surau tak jauh dari Harajuku. Tak tahu jadinya tempat itu. Lama aku tak ke sana.

Biasanya kalau aku berjalan memang akan membawa sejadah. Solat di hentian atau taman memang perkara biasa duduk merantau. Sungguh orang Jepun pelik tenguk kita sembahyang. Apatah lagi tenguk kita sujud. Ada yang tergamam. Media mereka memang amat tertutup. Islam amat tertutup buat Jepun, Kristian nampaknya lebih cepat berkembang. (Ceritera kira-kira 20 tahun lalu).

Untuk aku patah balik semata-mata bertanyakan nombor telefon Ayu pastinya satu yang liar & menyentuh hati Kimura. Tetapi dalam seminggu dua ini memang aku terganggu amat dengan kehadiran Ayu, apatah lagi dia mengadu hal tentang dilema hidupnya. Aku yakin sangat Ayu tidak solat lagi, bayangkanlah jika kita orang Islam bermasalah & tidak solat. Pulak tu!, air yang aku minum tadi, pastinya Sake. Aku tak tahu sangat bab arak ini tapi aku kenal apa ronanya Sake itu.

"Nak tunggu apa di Aihara ini?, nanti orang Jepun kata aku tak siuman pula..! menu,ng berjam-jam di sini" Ruang fikiranku penuh wajah Ayu & diselang-seli wajah Kimura. Sesekali aku nampak wajah Mila bagaikan melambai-lambai aku jauh makin jauh!. Tak tahu berapa buah komuter yang terlepas. Dalam hujan lebat fikiranku lagilah lebat melayan perasaan ini.

Aku duduk di gerabak yang kosong sendirian. Hatiku teringat mahu ke Machida. Siang minggu entah ada entah tidak Mila di rumah sewaku di Kampung Malaysia. Kejauhan ini memang menyiksaku. Suratku pada Mila bagaikan lambakan sampah terbiar, duitku entah berapa banyak terbuang; semata-mata mahu mendengar suara Sang Isteri. Payahnya mahu berbual dengan Mila. Payahnya mahu mendapat bait kata dari Mila. Payah. Rindu aku pada Mila tidak dapat aku tahan lagi. Mahu menangis malulah amat!.

Tiba di Machida, aku lagi bingung. Kotaraya Machida telah penuh tapak kakiku. Nak balik ke asrama lagilah aku bosan tenguk dua hamba Allah dari utara Malaya itu pun sudah rasa lemas. Akhirnya aku buat keputusan naik komuter tanpa tujuan; nak tidur mata tak mengantuk lagi. Tak siapa marah aku keluar masuk stesen komuter; sebabnya aku ada kad tiket yang membebaskan aku dari Sagamihara ke Harajuku. Aku boleh melepak di mana-mana bandar sepanjang Sagamihara ke Harajuku Tokyo. Lagipun inilah hari minggu terakhir aku di Tokyo.

Biarlah aku turut kata hati. Dalam diri bercampur baur, Mila tentunya lekat di hati; mana mungkin seorang suami dapat melupakan isteri. Tapi aku pelik dengan Mila. Jauh di sudut hatiku dapat kurasakan ketentuan hati Mila. Keruntuhan itu bagaikan semakin memerangkap aku. Bagaikan dinding setia semakin rebah saban hari menghimpit batinku. Tapi tak sanggup aku tuliskan di sini. Biarlah ianya menjadi rahsiaku.

Terbayang wajah Ayu & Kimura; lambat laun aku yakin mereka adalah menjadi pasangan bahagia itulah harapanku. Nampak wajah Hoshino & Matsushima. Isk! mereka adalah hayalan kosong & bagaikan patung yang aku puja. Memuja patung dalam diam-diam nanti boleh membuatkan aku sesat larat sahaja. Sesat jiwaku sekarang pun payah untuk aku arahkan.

Lihat neon-neon di kota Jepun ini nampak indah lagi gemerlapan tapi amat menyilaukan hati & sanubariku. Silau yang membuatkan aku rasa kosong sekosong-kosongnya. Lambaian Juo Machi semakin merisaukan aku!. Daun kering sakura bagaikan semakin membenamkan ingatan aku pada diri. Bagaikan aku tak larat lagi melangkah sendiri di bumi Jepun ini. Tuhan damaikanlah aku!.

- bersambung.

Kahwin Campur 7

Kahwin Campur Awal

25 Oktober 2009

Stres (Singgahsana)

12 November kan ditayangkan

"Tigakah.. empat kursus ada kat Sekolah Angah itu, Angah dapat pelajar paling cemerlang dalam kos Angah makenikal semester lalu." Di tangannya masih terpegang telefon bimbit. SMS lagi.

"Angah kena kekalkan, jaga waktu belajar Angah!" Aku pun tak pasti bagaimana Aziq belajar. Tak nampak entah bila dia belajar. Dia memang pelajar yang cemerlang jika kena kawan & tempatnya. Rasanya Afiz juga begitu, dia sering dapat Sijil Dekan dalam beberapa mata pelajaran di Poli. Masalahnya rakannya siapa, kenalannya siapa & bagaimana pengaruh kelilingnya.

Aku lihat nun mendung pekat hitam di kaki langit, mungkin itu daerah Gombak. Pergerakan trafik di MMR2 nampak bergerak lancar, cuma sesak di hadapan TESCO & sekitar Ampang.

"Adoi! nak hujan lebat ni!, Angah nampak mendung depan tu!" Kalau hujan di KL akan pasti berlaku kesesakan. Selepas Ampang sahaja hujan mulai turun, kejap renyai kejap-kejap lebat amat. Viper Avanza Mila mulai tenat, agak kabur bila mengelap cermin. Viper mata tuaku lagilah kabur. Adoi! payahnya memandu ketika hujan. Jam baru 5:10 petang. Telah hampir sejam aku memandu.

"Tiga minggu Angah tak balik rumah ayah, dua minggu lagi nak periksa, lepas periksa terus cuti!" Cuti panjanglah itu. Cepat sangat masa berlalu. "Bila agaknya cerita 2012 itu akan ditayangkan" Aku dengar tak dengar bualan Aziq sebab bunyi hujan di luar pun MP3 modulatorku berbaur; memekakkan telingaku. Aku memperlahankan audio MP3. Kurbaan Shukran Allah sedikit lembut, menarik lagu ini. Afiz sibuk nak tenguk cerita Kurbaan ini; tak tahu lepas ke tidak filem akan di tayangkan di Malaysia. Ulasan si Gina DJ Bollywood Hindi Power THR filem ini agak sensitif.

Anak-anakku nampaknya semakin meminati menonton wayang. Tak cukup Astro, DVD, internet; Huh! memang pelbagai hiburan.

"Cerita apa Angah?"

"2012 kisah kiamat tu!"

"Rasanya bulan depan mungkin pertengahan bulan...!" (12 November jika tak silap)

"Emmm! sempatlah Angah nak tenguk!"

"Okey kut! selalunya filem macam itu paling kurang 2 minggu di panggung" Jarang Aziq mahu berbual dengan ayahnya. Sebab aku selalu tegur sikapnya. Gila komputer, tidur pula tak pernah awal. Aku terjaga jam 3:00 pagi masih mengadap komputernya, di tangan dengan telefon bimbitnya; SMSlah tu!. Siapalah kawannya jam 3:00 pagi tak tidur lagi. Kawan di internet kawan di SMS. Mungkin juga sebab adik-adiknya tak ikut; takut aku mengantuk tak layan berbual.

Aku ada melanggan sewa suara TMNet, berbual satu Malaysia 24 jam cuma antara talian tetap. Bayarannya RM10 sahaja. Sebab itu kalau aku terjaga jam 1:00 pagi tenguk Aziq berbual dengan kawannya (mungkin) sejam dua di gagang telefon. Biasa. Aku tak boleh nak tegur, awal-awal dia sudah kasi tahu. "Angah guna talian tetaplah ayah!" Seronok budak-budak sekarang.

Sekitar jam 5:30 petang aku telah tiba di asrama Sekolah Teknik Gombak. Hujan mula berhenti tapi mendung masih tebal. Aku tak berani ikut MMR2 ketika pulang ke Jenaris, lebih selesa ikut Jalan Kuching ke Damansara. Ikut Lebuh Raya KL Seremban rasanya lebih selamat, menyongsang keluar dari ibukota agak kurang jumlah kenderaannya berbanding kenderaan menuju ke arah KL; hari cuti begini ramai yang baru balik kampung pun ingin berlipur di KL . Entah bila KL mahu sunyi, seharian kenderaan bertali arus. 1001 arah tujuannya. Sarat.

Ceriteranya sama, entah berapa kali aku meredah hujan bukan main lebat tetapi tiba di Jenaris tenguk tanahnya kering sahaja. Siap meriah dengan orang yang berpasar malam. Anak jiranku nampak berbual sambil duduk di parkir kereta perangku. Dduk di bonet kereta ayahnya. Tiga anak dara.

Aku mendapat risalah tentang lelongan rumah jiranku ini, kali kedua. Sila telefon 03 7729 9420. Resource Auctioneer, Lee Kau. Rumah ini tak lebar tetapi saiz panjangnya okey cuma RM144,000. Pegangan Bebas. Keluasan Tanah 1,216 kaki persegi. 67. Jalan Jenaris 3. Siapa mahu berjiran dengan Penyair iDANRADZi silakanlah merisik. Tarikh Lelong pada 19 November. Cumanya biasalah jika mahu turut sebut harga kena mendepositkan 10% dari harga rumah. Aku pun tak pernah tenguk bagaimana orang berlelong rumah ini.

Anak-anakku masih bermain permainan komputer. Tak seorang mahu menemani ayahnya menghantar Angahnya; Aziq semua sebab komputer. Penat tu tidak sangat tetapi memang stres memandu sendirian. Selepas makan aku asyik pula tenguk ZEE, aku makin rindu nak tenguk Swarit. Aku tak mahu ambil tahu sangat siapa yang akan juara Sa Re Ga Ma Pa L'll Champ 2009. Yang penting aku adalah peminat tegar Swarit, punyalah penat nak menunggu dia keluar menyanyi sampai jam 8:30 malam barulah muncul wajah Swarit. Memang menghiburkan lagu yang dia pilih pun kelakar amat. Salman Khan pun teruja tenguk persembahan Swarit. Lebih mantap dari juara.

Sila klik sini bagaimana menariknya bakat Swarit.

Tetiba aku rasakan dadaku amat sakit, payah amat mahu bernafas. Jantung aku bermasalah lagi. Sekitar dua hari aku tak makan ubat cairkan darah. Sengaja aku cuba agar aku tidak bergantung sangat dengan ubat. Degil!. Tak boleh rupanya. Waktu yang sama Mila pula mengamuk marahkan anak-anak asyik bermain permainan komputer. Aduh! semuanya diungkit, ayahnya yang tengah asyik tenguk ZEE pun kena sebiji demi sebiji. Ceritera Jab We Met pula telah konflik. Jab We Met punyai skrip yang menarik & ada nilai moral yang bagus. Cumanya cacat lantaran ada babak ciuman yang tak seharusnya ujud di hujung klimaks ceriteranya.

Konflik campur konflik...Adoi!. Aku bagaikan bungkam sendiri. Semalam aku tak boleh tidur lena, ketakutan itu amat gurur. Entah berapa kali aku beralih tempat tidur; Bagai berada di liang lahat rasanya. Takutlah amat, bernafas pun sebiji sebiji. Begini rupanya ketakutan orang menghadapi Siratul Maut. lagi dipadamkan lampu lagi gurur. Akhirnya terlelap di tikar kayu petak anjung rumah. Itu kesejukan ketika subuh.

24 Oktober 2009