iDAN

12 Oktober 2009

Kahwin Campur... Sagamihara (Singgahsana)

Aku suka duduk di gerabak komuter belakang sekali. leka melihat gelagat staf komuter Jepun yang sering berlatih kelancaran tutur kata pengumuman di setiap stesen komuter yang berhenti seketika.

"Tsugi no ekiwa Machida desu..."

Agak panjang pengumuman yang dibuat. Tidak seperti komuter kita menggunakan rakaman suara setiap kali tiba di stesen. Lebih kurang beginilah kut bunyi pengumuman yang diberi

"Stesen di hadapan anda adalah Machida, pintu akan dibuka di sebelah kiri anda, stesen seterusnya adalah Sagamihara..." Biasanya pengumuman akan diulang dua kali. Kelakarnya sebelum buat pengumanan aku perhatikan staf ini tak ada kerja lain, akan menghafal terus ucapannya. Bersungguh-sungguh sangat. Semangat kesungguhan ini dapat kita rasakan.

Penumpang di negara matahari terbit ini kalau tak membaca buku, mereka akan tidur-tidur ayam. Jarang aku lihat mereka berbual atau bermain mata dengan penumpang lain. Tak kiralah di depan matanya berdiri Amoi Jepun paling cantik & putih melepak di dunia. Ada sebahagian kulit Amoi Jepun putih seperti kapas. Sikap mereka amat menghormati orang lain, sampaikan aku tak pernah melihat mereka mengorat atau berlaku sumbang di dalam komuter. Cuma, suasana malam itu berlainan sedikit. Sebabnya orang Jepun ini asyik minum & mabuk-mabuk. tak kira lelaki atau perempuan.

(Japan orang putih panggil, kita pula Jepun, orang Jepun pula panggil negara mereka Nihon)

Payah mengesan buku yang mereka baca, biasanya mereka akan membalut kulit buku tersebut dengan balutan kertas kosong. Kecuali jika mereka membaca akhbar & majalah. Komik adalah bacaan umum bukan kanak-kanak sahaja yang menggilainya.

Bilamana komuter berhenti sahaja, macam robot yang tidur-tidur ayam ini akan bangun & meluru keluar. Tiga bulan aku terhimpit dengan warga Jepun dari Sahamihara ke Tokyo. Aku tak sehaluan dengan dua rakanku orang utara. Halim & Johari. Sikap berdolak-dalik dua rakan ini amat memerangkap aku.

"Awak semua tak dibenarkan memasak di asrama pekerja, kami telah sediakan tukang masak untuk awak semua..!" Majikanku Pacific Consultants International (PCI) memberikan keterangan dalam Bahasa Jepun.

"Tak menjadi masalah, cumanya kami tak makan daging, terutama daging babi orang Islam tak boleh makan" Johari (Joe) yang kami anggap sebagai ketua kami bertiga. Sebelum pertemuan tersebut sememangnya kami berpakat tak mahu makan daging, mana orang Jepun tahu nak sembelih binatang.

"Nanti saya kasi tahu Tukang Masak untuk asingkan makanan awak bertiga!"

Sampai di asrama, dua tiga hari sahaja Halim & Joe makan masakan ibu angkat kami (Okaasan). Mereka senyap-senyap mencuri masak di kamar. Aku yang menjadi mangsa makan sendirian masakan Okaasan; bagiku merantau di tempat orang ikutlah resmi atau peraturan di negara orang. (ayah= otou/chi chi & ibu = okaa/ ha ha)

"Aku tak boleh nak telanlah iDAN masakan mereka ini, kuali semua tu mana ada mereka samak, bukankah semuanya bercampur dengan babi!" Joe mula berdolak-dalik.

"Habis tu, yang kita beli kat luar, ikan bakar semua tu, apakah pasti mereka masak berasingan" Aku mula mempersoalkan. Ramai juga pelajar kita aku lihat selamba sahaja makan di KFC, bukan setakat makan burger ikan, ayam goreng pun selamba sahaja mereka bedal.

"Kau larat makan, kau sahajalah makan, nanti kalau kita semua tak makan, apa pula kata Kanshousan kita!" Aku mulai membenci sikap mereka ini.

Lagi pun keadaan kamar di asrama itu sekadar muat katil bujang, tak ada ruang masak, punca plug pun tak cukup. Jika tertangkap memasak di kamar bagaimana?. Aku tak sanggup mengambil risiko ketika di rantau orang; biasalah jika sekali kita membuat salah di rantau orang dapatkah dimaafkan. Bila kita telah dibenci apakah kita akan damai di sana.

Aku berdiri di depan pintu komuter, melihat permandangan luar, perkampungan Jepun yang amat padat. Kerinduan aku terhadap Mila amat payah kukawal. Telah dua minggu dia tidak membalas suratku. Berbual di telefon pun asyik bermasalah. Khabarnya dia baru kena pukau, semua barangan kemasnya lesap, duit juga dikebas oleh si pemukau itu. Ramai jiran di Kampung Malaysia mengesyaki jiran kami bekas bantuan yang punya kerja.

Muda lagi si Mamat ini, bujang. Ibunya seorang janda, mereka tinggal di rumah kayu kecil sahaja. Selepas dia keluar dari penjara banyak rumah telah dimasuki pencuri. Di mana rumah yang kena pukau, pasti ketemu najisnya di depan rumah. Tak pasti apakah memang itu syaratnya tiap kali dia mengamalkan ilmu pukau ini.
Aku turun di Machida, lantaran di bandar Machida banyak terdapat telefon awam yang boleh dail di peringkat antarabangsa. Seminit sekitar RM10.

Dalam ramai-ramai penumpang di Stesen Machida aku terserempak seorang gadis mirip Anak Mami. Pastilah aku teruja, sudah hampir tiga bulan di Jepun amat payah ketemu orang kita. Kecuali di Harajuku di hujung minggu; di sana memang ramai warga asing berkumpul. Harajuku terdapat tanam di mana pelbagai rakam manusia melepaskan stres. Ralit melihat ragam manusia di sini.

Seharian aku berulang dari Sagamihara ke Harajuku. Keluar seawal jam 8:00 pagi, biar pun masuk kerja jam 10:00 pagi. Dari khidmat JR kena naik keretapi bawah tanah. Pulangnya seawal 10:00 malam, biar pun waktu pejabatnya hingga 6:00 petang. Aku terpaksa ikut cara Jepun berkerja. Rakanku yang dua ini memang degil & asyik ikut cara mereka. Di ofis memang ceritera dua orang asing ini menjadi bualan & aku pula amat mereka sayangi.

"Awak orang Malaysia ke!?" Aku berani bertanya sebab aku lihat dia tersenyum denganku.

"Iyer! saya orang Malaysia!"

"Buat apa kat sini?, belajar ke?.."

"Tak...! saya ikut suami saya!" Tenguk perwatakan tak macam isteri orang, nampak muda sangat bagaikan belasan tahun sahaja.

"Kat mana rumahnya?... "

"Aihara..!" Di hadapan stesen Sagamihara.

Aku tak dapat berbual panjang, sebab takut ketinggalan keretapi. Komuter paling akhir sekitar jam 12:00 tengah malam. Aku sekadar menghulurkan kad, memang kami dilatih begitu. Sentiasa bertukar kad pengenalan diri jika berkenalan dengan siapa jua.

- bersambung

Takrif: Tsugi no ekiwa Machida desu... Stesen di hadapan adalah Machida. Tsugi depan no penambahan empunya sepert Watashino saya punya. Watashiwa saya... untuk benda atau diri eki stesen desu penambahan.

Keistimewaan kahwin campur - Lahirkan zuriat yang baik

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

APA uniknya perkahwinan campur?. Itulah persoalan utama yang saya ajukan kepada bekas Imam Besar Masjid Putrajaya, Tan Sri Abdul Kadir Talib pada pertemuan ringkas di rumahnya di Taman Seri Reko baru-baru ini.

``Keistimewaan paling utama terletak pada zuriat yang bakal dilahirkan. Mereka adalah pembawa baka genetik yang diwarisi daripada keturunan nenek moyang kedua-dua ibu bapanya,'' ujar beliau yang pernah menjadi Mufti Wilayah Persekutuan.

Malah beliau sendiri mempunyai pengalaman berkahwin dengan bukan wanita tempatan.

Sebaliknya, Allah s.w.t. menetapkan jodohnya dengan seorang wanita warganegara mesir keturunan Turki, Allahyarham Sohair Abdel Moneim Ibrahim Serry sewaktu melanjutkan pelajaran ke Mesir.

``Sebenarnya, apabila kita membicarakan soal perkahwinan campur, banyak perkara yang harus diambil kira.

``Paling utama ialah bagaimana kita mendidik pasangan agar menyesuaikan diri dengan cara hidup orang Melayu.

``Di samping itu, bagi pasangan yang berkahwin dengan saudara baru, berbeza pula pendekatannya kerana ia melibatkan aspek amalan agama Islam,'' jelasnya mengenai perkahwinan campur.

Menurut beliau, perkahwinan adalah perkara mulia yang dituntut agama. Rasulullah s.a.w. sendiri menggariskan empat perkara untuk dijadikan panduan kepada umatnya dalam hal memilih pasangan, iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan mulia dan pegangan agama.

Bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. menasihati umatnya agar berkahwin dengan pasangan yang mempunyai latar belakang didikan agama yang teguh berbanding tiga perkara tersebut.

Ini bagi mengelakkan pelbagai masalah timbul dalam kehidupan alam yang sentiasa bergolak.

Pemilihan

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda:

``Berhati-hatilah kamu dalam menentukan pemilihan bagi menurunkan baka kepada mana-mana pihak dalam cara yang baik dan selamat dengan pilihan yang tepat.''

Sesungguhnya, Islam amat memandang berat terhadap baka keturunan bagi memelihara kesucian umat Rasulullah s.a.w.

Perkahwinan campur di Malaysia juga tidak terhad antara Melayu dan Cina ataupun Melayu dan India.

Dalam dunia global hari ini, pergaulan sesama manusia juga semakin melebar dan hampir tiada batasan.

Tambahan pula, dengan kecanggihan teknologi komunikasi menggalakkan interaksi yang luas antara masyarakat antarabangsa.

Dalam konteks ini, Islam mengharuskan dalam soal pemilihan pasangan termasuklah berkahwin di kalangan warga luar.

Hakikatnya, berkahwin dengan saudara baru merupakan dakwah praktikal yang paling mujarab kerana ia akan menyebarkan keturunan di kalangan bukan Islam.

``Walaupun Islam membenarkan tetapi masalah dari segi keagamaan, akhlak dan adat resam hendaklah diambil kira, supaya tidak terbawa-bawa budaya dari negara asal yang tidak berapa sesuai dengan suasana masyarakat di sini,'' ujar beliau merujuk betapa Islam memandang berat soal keturunan yang bakal dilahirkan.

Perkahwinan merupakan perkara paling mulia di sisi agama. Atas sebab itu, perkahwinan perlu diputuskan antara lelaki dan perempuan berlainan asal usul dan keturunan, yang dilakukan atas nama Allah s.w.t. dengan adanya wali dan akad.

Dalam alam nyata yang perlu dihayati, perkahwinan campur jika dilakukan atas landasan yang betul, akan melahirkan zuriat yang ketara dari segi kecerdikan, kepintaran dan kecantikan hasil percantuman darah yang berbeza.

``Rasulullah s.a.w. sendiri menggalakkan umatnya memilih pasangan yang tidak terlalu rapat hubungan saudaranya.

``Sebaik-baiknya pilihlah pasangan yang di luar kelompok saudara mara,'' tambahnya.

Beliau tidak menafikan, ada segelintir masyarakat yang `pekat' didikan Melayunya, sukar menyesuaikan diri dengan cara hidup pasangannya yang berbeza.

Keharmonian

Bagi Abdul Kadir, untuk memelihara keharmonian rumah tangganya, beliau mengambil pendekatan mudah dengan tidak meletakkan sebarang syarat dalam pergaulan isterinya.

Mengimbas kembali detik awal perkahwinannya kira-kira 39 tahun yang lalu, beliau berkata segala yang berlaku di luar perancangannya.

Mereka bertunang selama tujuh tahun sejak isterinya berumur 14 tahun dan belajar di sekolah menengah, sebelum mengambil keputusan berkahwin pada 11 Oktober 1964.

``Selepas berkahwin, saya bawa isteri saya pulang ke kampung di Johor. Bukan hendak menduga akalnya, tetapi dia tidak pernah membantah, malah mengikut sahaja ke mana saya pergi termasuk meredah paya, sungai dan sawah padi,'' kenang beliau mengenai keistimewaan isteri yang amat dikasihi, yang meninggal dunia dua tahun lalu.

Membentuk

Walaupun berkahwin dengan orang luar, Abdul Kadir berjaya membentuk isterinya untuk menjalani hidup seperti orang Melayu termasuk memakai baju kurung, memasak makanan Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu.

``Manusia sentiasa dibekalkan dengan akal dan ilmu. Jika seorang suami dan isteri yang bijak, maka tidak timbul masalah penyesuaian budaya jika berkahwin dengan orang asing,'' jelasnya lagi.

Menurut beliau yang berasal dari keturunan Bugis, keenam-enam anaknya mempunyai perbezaan yang ketara dari segi rupa paras, kecerdikan dan warna kulit kerana mewarisi gen nenek moyangnya.

Anak sulungnya, Wafa, 39, mewarisi darah keturunan Arab daripada ibunya. Begitu juga anak keduanya, Jamal, 37. Manakala Ilham, 35, Amar (meninggal sewaktu berumur 10 tahun), Hibatullah, 29 dan yang bongsu, Badriah, 27 masing-masing turut mempunyai keistimewaan tersendiri.

Kesungguhan isterinya mendalami bahasa Melayu terbukti apabila beliau sanggup mengikuti kursus di Universiti Malaya (UM), walaupun fasih berbahasa Inggeris dan Arab.

Selain menjadi anggota Persatuan Penterjemah Malaysia peringkat antarabangsa, isterinya juga merupakan tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia selama 25 tahun, dan dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam Pengajian Bahasa Arab.

``Saya sangat bangga dengannya apabila suatu hari isteri saya berkata, ``Saya berbangga menjadi warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia tetapi saya berasal dari Mesir dan berdarah keturunan Turki'' katanya tersenyum.

Pada pandangan beliau, selain tidak meletakkan sebarang syarat dalam pergaulan, beri masa kepada pasangan untuk memilih yang terbaik dan pada masa yang sama, bimbinglah mereka berdasarkan acuan budaya Melayu dan tuntutan agama Islam.

Utusan Malaysia

- bersambung

Kahwin Campur (KC) 2

6 ulasan:

yangmanis berkata...

Tentang budaya membaca, agaknya kita kat Malaysia ni malu agaknya nak membaca depan orang dalam bas, train atau lrt. Takut dikata riak? Takut rakan rasa terpinggir jika tak bergosip atau berbual? Atau sebab komuter, lrt dan bas kita terlalu padat dan sesak, dan berbau masam peluh org?

Saya pun, tak membaca juga..hihi.
Sbb membaca dalam kenderaan bergerak ni buat saya rasa pening..

..kawin campur..emm best apa kalau kena gaya:)

Cetusan berkata...

yerr membaca dalam kenderaan buat pening,,bau macam2..bila agaknya saya nak ke Jepun..ohh

iDAN berkata...

YangManis

Membaca itu adalah pelita ilmu, Ilmu pula adalah pelita hati; bagi mereka yang sayangkan buku, melipat muka suratnya pun amat sayang.

Jika kita membalut kulit buka yang kita baca pasti tidak segan, orang pun tak tahu apa buku yang kita baca.

Mungkin satu hari budaya membaca ini akan ujud di kelompok kita; lantaran bayangkan jika seharian dua tiga jam terbuang di kenderaan; takkan nak dengar muzik semata.

Ada ketikanya kahwin campur sememangnya bahagia; tapi tidak semuanya begitu!.

iDAN berkata...

Sdr Zeq

Mungkin udara kita membuatkan badan kita berbau; rasanya tak rugi jika berjalan ke mana-mana ada membaca buku. Kut! sesuai masa & ketika apa salahnya kita menambah ilmu.

Dunia sekarang taklah seluas mana, ada duit ke mana pun boleh pergi. Jika tidak melancong mungkin kerana tugasan. Yang penting Haji itu diutamakan.

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah saya pernah sampai ke Machida-city. Visit rumah sensei. Saya teringat lagi perbualan dgn org jepun masa dulu: "org jepun ni rajin rajin lah" Dia jawab "sama jer dgn org lain rajin jugak". Saya kata lagi "org jepun ni pentingkan kebersihan" Dia jawab " sama jer dgn org lain bersih jugak" dgn rendah diri. Saya kata lagi "org jepun ni jujur dan tak ambil barang orang" Dia jawab "sama jer dgn org lain jujur jugak" Saya kata lagi "org jepun ni menghormati sesama sendiri dan org lain" Dia jawab " kalau ada bezapun mungkin yg inilah"
Org jepun memang hormatkan org dan saya pun mengaku orang jepun memang menghormati org. Cthnya walaupun ia tak sembahyang tapi dia menghormati kita sembahyang.

Nihon jin wa totemo iidesu.
Sayonara

YB

iDAN berkata...

Sahabatku YB

Machida bagiku banyak menyimpan kenangan tragis yang sukar kutafsirkan. Namun aku amat menyukai ketenangan di Machida yang bagiku kotaraya yang amat damai.

Jika aku bisa memilih, aku lebih suka memilih hiddup dalam masyarakat Jepun atas kejujuran & sikap hormat mereka terhadap org lain.

Aku diterima baik di sana & rasa amat terhutang budi setelah mengenali budaya hidup mereka yang amat payah untuk kita terjemahkan di negara sendiri.

Ada ketikanya mereka lebih Islam dari kita; andainya mereka benar-benar mengenali Islam rasanya mereka jauh lebih baik dari kita.