iDAN

05 Januari 2011

Bukan murah

Oleh Hayati Ibrahim

PUTRAJAYA: Bukan murah perbelanjaan untuk membawa pulang seseorang yang dilarikan ke Pulau Lombok, Indonesia, malah bagi satu-satu kes, kos yang diperlukan boleh mencecah sehingga RM30,000.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, jumlah keseluruhan kos bergantung kepada lokasi atau kampung wanita dilarikan, serta jumlah denda yang dikenakan akibat memasuki negara berkenaan tanpa dokumen sah.

“Paling rendah kami kendalikan RM6,000 dan paling tinggi RM30,000, ini kerana ia bergantung kepada di mana mereka berada serta kesukaran yang perlu dihadapi ketika proses membawa gadis ini pulang ke Malaysia.

“Bukan murah membawa mereka pulang kerana semuanya memerlukan duit. Kita kena bayar harga tiket kapal terbang, penginapan dan denda kerana mereka masuk ke negara berkenaan tanpa sebarang dokumen sah.

“Mengikut undang-undang mereka sepatutnya kena penjara sekurang-kurangnya lima bulan, tetapi kebanyakan mereka bernasib baik tali persahabatan antara Indonesia dan Malaysia rapat, memudahkan perjalanan dan proses membawa pulang anak gadis ini,” katanya.

Abdul Azeez berkata, sehingga kini Kelab Putera 1Malaysia membawa pulang 40 anak gadis yang dilarikan pemuda Lombok ke pulau itu dan secara purata perbelanjaan dikeluarkan untuk membiayai kepulangan mereka melebihi RM300,000.

“Jika tiada duit, mereka tidak boleh dibawa balik kerana kebanyakan keluarga gadis meminta bantuan daripada kami untuk membawa pulang anak mereka.


“Contoh kes terbaru yang dibantu kelab iaitu Shafika Marlina Abdul Safie, 16 dari Teluk Intan, Perak yang dipercayai dilarikan seorang pemuda Lombok dikenali Misbah ke pulau berkenaan 4 September lalu, kami membelanjakan RM8,000 untuk membawanya pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa terutama mereka yang mempunyai gerai di hadapan rumah supaya sentiasa memantau anak gadis mereka yang berusia belasan tahun supaya berhati-hati dengan pemuda dari pulau terbabit, kerana kejadian itu mungkin akan berlaku sekiranya tidak berwaspada.

Ini kerana katanya, beliau percaya pemuda dari Lombok ini menjadikan anak gadis yang membantu ibu bapa di gerai di hadapan rumah sebagai mangsa untuk dilarikan ke kampung halaman mereka.

MyMetro

04 Januari 2011

Keindahan hati budi, rohani penentu kerukunan rumah tangga

KUALA LUMPUR: Aspek kerohanian dan keindahan hati budi tidak harus diketepikan bagi memperoleh kehidupan ideal, malah dalam menentukan kerukunan rumah tangga ia faktor paling utama.

Moderator Halaqah di TV9, Ahmad Shukri Yusoff berkata, dalam menjaga kerukunan rumah tangga, penting juga aspek komunikasi bersama suami dan anak.


“Dalam resipi rumah tangga, memang aspek kecantikan dan penampilan luaran tidak dinafikan, tetapi pada masa sama aspek lain juga perlu, iaitu keindahan hati budi dan kerohanian.

“Kemahiran berkomunikasi juga penting lebih-lebih lagi berdepan dunia hari ini yang memerlukan kekuatan hati.


“Cantik luaran bukan segalanya, kerana sampai satu tahap kita tidak mampu menghalang rambut beruban dan kulit berkedut. Malah, sampai masa ajal memisahkan kita dengan pasangan kita dan ketika itu, agamalah yang kekal,” katanya.


Beliau mengulas muka depan Metro Ahad semalam, yang melaporkan mengenai kegebuan dan kemampuan Maizawati Zainal, 35, walaupun sudah melahirkan ramai anak dan kini hamil anak ketujuh. Model sambilan itu mengamalkan enam petua bagi melengkapkan impiannya menjadi wanita ‘sempurna’ di mata lelaki, iaitu berpantang, makan makanan panas, jamu serbuk, minum air akar kayu, mengelak daripada meminum ais dan minuman berkarbonat serta meminum madu setiap pagi dan malam.

MyMetro

03 Januari 2011

100 ikat perut diberhenti kerja

Oleh Hamizah Badiran

KLANG: Kira-kira 100 pekerja sebuah kilang membuat komponen aluminium di Meru, dekat sini, mendakwa terpaksa mengikat perut selain ‘dikejar’ pihak bank kerana tidak mempunyai wang untuk membayar hutang tertunggak selepas diberhentikan tanpa notis oleh pihak pengurusan syarikat awal bulan ini.

Mereka mendakwa berasa tertipu oleh majikan yang memberhentikan mereka tanpa notis, gaji dan wang caruman setiap bulan yang dipotong daripada gaji didapati tidak dicarum ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Wakil pekerja, Christian Berrnard, 35, berkata mereka dihalang dari memasuki kilang terbabit pada 8 Oktober lalu apabila pintu masuk berkunci dan tiada lagi operasi dijalankan.

Berikutan itu, katanya, 31 pekerja tempatan, 52 pekerja asing dan bakinya pekerja warga India yang bekerja di kilang utama di situ serta dua cawangannya di sini, hilang pekerjaan.


“Lebih dikesali, ada kalangan kami tidak menerima gaji sejak tiga bulan lalu. Bagi pekerja India, mereka mengalami kesukaran menyediakan persiapan untuk menyambut Deepavali.


“Kami merayu pihak pengurusan kilang bertanggung jawab atas masalah ini kerana kami tiada pendapatan lain untuk menyara diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui di depan kilang itu di sini, semalam.

Pekerja, Rozita Yusof, 37, yang sudah tiga tahun bekerja di kilang itu sebagai kerani logistik kesal kerana diberhentikan kerja secara mengejut dan tanpa sebab munasabah.

“Majikan tak bayar gaji saya RM2,000. Macam mana saya nak tanggung lima anak yang memerlukan wang untuk perbelanjaan harian dan sekolah mereka selain saya semakin resah kerana memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan pinjaman bank.


“Sekarang ini, bukan mudah untuk mencari kerja baru walaupun saya sudah cuba hadiri banyak temuduga,” katanya. Sehubungan itu, laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada 12 Oktober lalu.

Satu laporan juga dihantar kepada Pejabat Buruh pada 20 Oktober lalu meminta jabatan itu mengambil tindakan bagi membela nasib mereka.

Mengikut notis dikeluarkan Jabatan Insolvensi pada 14 Oktober lalu pula, urusan perniagaan membabitkan syarikat itu perlu dihentikan serta-merta selepas mengalami beberapa masalah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam berjanji akan membawa masalah pekerja terbabit kepada pihak Kementerian Sumber Manusia hari ini.

02 Januari 2011

Enggan ulas tuntutan RM40j

KUALA LUMPUR: Peguam Ravi Nekoo yang mewakili peguam adik-beradik berhubung pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan ganti rugi RM40 juta daripada keluarga jutawan kosmetik itu.

“Buat masa ini saya tidak boleh memberikan ulasan lanjut. Selepas menerima dokumen terbabit baru saya boleh beri ulasan,” katanya ketika dihubungi semalam.


Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan keluarga Sosilawati akan memfailkan tuntutan ganti rugi RM40 juta terhadap peguam N Pathmanabhan dan lima individu lain yang didakwa dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, esok.

MyMetro

01 Januari 2011

Serah RM200 elak diperkosa drebar teksi

KUALA LUMPUR: Bimbang diperkosa, seorang wanita berusia awal 20-an menyerahkan wang tunai lebih RM200 dan telefon bimbit miliknya kepada seorang pemandu teksi selepas lelaki terbabit mengugut mahu merogolnya, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di Bukit Bintang, di sini, pemandu teksi berusia lewat 30-an itu mendakwa mahu merogol mangsa kerana tertarik dengan kecantikannya.


Menurut sumber, mangsa yang baru pulang dari bekerja diugut suspek sebaik memasuki teksinya.

“Mangsa yang bersendirian dan panik dengan ugutan itu merayu berulang kali supaya tidak diperlakukan demikian.


“Pada mulanya suspek tidak mengendahkan rayuan itu sebaliknya berkeras untuk membawa mangsa ke tempat sunyi dan merogolnya,” katanya.


Sumber berkata, mangsa mengugut membunuh diri dalam teksi berkenaan membuatkan suspek terdiam seketika.

“Suspek meminta mangsa menyerahkan wang tunai dan barangan berharga kepadanya.


“Mangsa yang akur dengan arahan suspek dibenarkan keluar daripada teksi berkenaan sebelum suspek melarikan diri,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

MyMetro

31 Disember 2010

Malaysia Johan tetapi tetap hormati Indonesia



Media Indonesia hilang 'ghairah'

Daripada Syed Riduan Ahmad di Jakarta
smriduan@nstp.com.my
2010/12/31



NADA berbeza akhbar Indonesia sebelum (gambar atas) dan selepas (bawah) melaporkan perlawanan final Piala Suzuki AFF 2010 uyang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, kelmarin.


Sebahagian akhbar lantang mahu Ketua PSSI berundur

LAPORAN muka depan media tempatan hari ini tidak sepanas sebelumnya, dengan rata-rata akhbar harian utama cuba meniupkan semangat 'Garuda Di Dadaku' selepas tewas secara agregat 4-2 kepada Malaysia kelmarin.

Walaupun gagal menjulang Piala Suzuki AFF selepas empat kali percubaan di final, Indonesia yang terkenal dengan jolokan Garuda itu menganggap kejohanan kali ini sebagai titik kebangkitan bola sepak negara itu.

“Belum jadi juara tapi Garuda menang,” lapor akhbar Rakyat Merdeka di muka depannya. Kemenangan 2-1 ke atas Malaysia kelmarin ditonjolkan sebagai isi utama berita bagi menebus kekecewaan sekali lagi muncul naib juara.

Namun sebahagian akhbar masih lantang menyuruh Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nurdin Halid supaya meletak jawatan, walaupun pencapaian skuad Garuda tahun ini boleh dianggap membanggakan.

“Nurdin turun!” Laung akhbar sukan pertama di Indonesia, TopSkor yang sepanjang sebulan kejohanan berlangsung agak lantang dan terperinci dalam laporan hariannya.

Akhbar Berita Kota turut menyuarakan nada sama dengan tajuk “Malaysia juara, Nurdin Halid dicerca”, dan turut meminta seluruh persatuan dan pasukan bola sepak negara itu dirombak secara menyeluruh.

Bagaimanapun kedudukan Alfred Riedl sebagai jurulatih masih dituntut sebahagian besar rakyat Indonesia. Akhbar Pos Kota sekadar melaungkan “Garuda di dadaku” dan “Riedl yes (ya), Nurdin no (tidak)”.

Bharian

'RM25,000 setiap pemain'

Oleh Jumiaty Rosly dan Harris Rajahdin
bhsukan@bharian.com.my
2010/12/31
DUA wira negara, kapten, Safiq Rahim (kiri) dan peledak terbanyak kejohanan, Safee Sali memperaga trofi  di KLIA, petang semalam.
DUA wira negara, kapten, Safiq Rahim (kiri) dan peledak terbanyak kejohanan, Safee Sali memperaga trofi di KLIA, petang semalam.

Bonus bakal diterima pemain kita nanti agak tinggi: Azzuddin

BONUS lumayan – sekitar RM25,000 – menunggu wira skuad Harimau Malaya pimpinan K Rajagobal yang mengerah keringat habis-habisan menamatkan kemarau 14 tahun menjuarai Piala Suzuki AFF di Jakarta, kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata presiden persatuan, Sultan Ahmad Shah akan membuat satu pengumuman penting mengenai ganjaran menarik itu setibanya pulang ke tanah air, minggu depan.

“Tuanku seorang yang sangat bermurah hati dan tidak berkira dengan pemain negara. Apa yang pasti bonus bakal diterima pemain kita nanti agak tinggi,” katanya selepas menyambut skuad negara yang pulang ke tanah air, semalam selepas menewaskan Indonesia dalam final di Stadium Gelora Bung Karno.

Angka besar yang bakal menggembungkan kocek pemain negara itu berpandu kepada perkiraan kasar hadiah kemenangan AS$100,000 (RM308,450) andai dibahagikan sama rata kepada 22 pemain serta RM5,000 setiap orang daripada Kementerian Belia dan Sukan dan RM4,000 setiap orang menerusi Tabung Akujanji Ganjaran Skuad Negara setakat ini.

Berpandu kepada kejayaan bersejarah itu, angka itu mungkin bertambah dengan FAM juga mungkin bermurah hati menambah wang sendiri buat menceriakan pemain kebangsaan sebagai satu penghargaan mengharumkan nama badan induk itu di pentas global.

Sementara itu, Azzuddin berkata skuad negara akan dikekalkan namun dalam masa yang sama tidak menutup pintu memasukkan lebih ramai bakat baru pada masa depan.

Bharian

Ini baru permulaan: Raja
Daripada Syed Riduan Ahmad di Jakarta
smriduan@nstp.com.my
2010/12/31


SKUAD Harimau Malaya bersama Piala Suzuki dan replika cek habuan juara di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

SKUAD Harimau Malaya bersama Piala Suzuki dan replika cek habuan juara di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

'Kami perlu sokongan padu media, masyarakat untuk jadi skuad digeruni'

PADA firasat K Rajagobal, skuad bola sepak negara yang baru menjuarai Piala Suzuki AFF mustahil dapat berkembang maju tanpa sokongan padu media dan masyarakat.

Pengendali skuad kebangsaan itu menambah barisan muda bergelar Harimau Malaya ini amat memerlukan elemen berkenaan ketika dia menilai barisan didiknya itu ada ramuan menjadi sebuah pasukan yang bakal digeruni.

“Ini baru permulaan kepada perjalanan yang masih panjang,” kata pengendali kebangsaan, K Rajagobal yang menjadi tulang belakang kepada dua kejuaraan berturut-turut, termasuk memenangi pingat emas Sukan Sea 2009 di Laos.

“Kemenangan tidak datang setiap masa, ada masanya kita akan kalah. Tetapi hanya dengan sokongan padu media dan masyarakat, pasukan kita terutama barisan muda ini akan berkembang menjadi sebuah pasukan handalan di rantau Asia.”

Mungkin ada sesuatu yang boleh dipelajari dari Indonesia ketika sokongan padu seluruh warga negara republik itu kepada skuad Garuda memberi impak besar kepada cabaran pihak lawan itu. Ia harus dicontohi rakyat Malaysia.

Apapun, perjalanan Malaysia menjuarai Piala Suzuki yang bermula dengan keaiban dibelasah lawan 5-1 pada 1 Disember lalu boleh disamakan dengan laluan Sepanyol sebelum muncul juara Piala Dunia 2010, Julai lalu - cuma dalam skala lebih kecil.

Kehadiran sotong kurita bernama Gudel yang meramalkan kemenangan Indonesia sehari sebelum perlawanan, trumpet vuvuzela di Stadium Gelora Bung Karno dan aksi final Malaysia-Indonesia yang belum pernah bergelar juara layak disamakan dengan aksi Sepanyol-Belanda di Afrika Selatan.

Bharian


MOHD. SAFEE (kiri) dan Amar Rohidan menunjukkan Piala Suzuki AFF 2010 di dalam bas kepada peminat di KLIA, Sepang semalam.

SEPANG - Suasana di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini umpama pesta petang semalam apabila lebih 3,000 peminat menyambut ketibaan skuad bola sepak Malaysia yang membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010.

Mereka sudah berkumpul di situ sejak pukul 2 petang dan tidak berganjak walaupun menyedari jadual ketibaan pesawat Penerbangan Malaysia MH710 yang membawa pulang skuad negara ditunda sejam.

Nyanyian dan laungan kata-kata semangat 'Malaysia Boleh' bergemuruh di kawasan itu sehingga menarik perhatian ramai pelancong asing yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama para penyokong Malaysia.

Biarpun jumlah yang hadir ramai, para peminat yang kebanyakannya ahli kelab 'Ultras Malaya' tetap berhimpun dengan aman dan memudahkan tugas kira-kira 50 anggota pasukan keselamatan yang membuat kawalan di situ.

Selepas hampir dua jam menunggu, mereka akhirnya bersorak melihat kemunculan skuad negara bersama jurulatih, K. Rajagobal yang berjalan keluar dari balai ketibaan KLIA.

Kosmo!

Jadi gergasi Asia untuk ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR - "Cabaran kita selepas ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu pasukan bola sepak gergasi di Asia dan jika itu menjadi kenyataan, tidak mustahil impian beraksi di Piala Dunia satu hari nanti mampu direalisasikan."

Mungkin kenyataan tersebut kelihatan terlalu bercita-cita tinggi, namun bagi penyerang skuad bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha, hasrat itu tidak mustahil untuk dicapai asal sahaja setiap anggota dalam pasu- kan Harimau Malaya sanggup bekerja keras ke arah itu.

Norshahrul yang memainkan watak penting dalam kejayaan Malaysia mencatat sejarah memenangi Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama sejak 14 tahun lalu menjelaskan, impian besar untuk layak ke Piala Dunia mampu dicapai sekiranya skuad negara dapat menguasai saingan di peringkat Asia.

Begitupun, penyerang Kelantan berusia 24 tahun itu sedar untuk mereali- sasikan impian menjadi gergasi Asia dan beraksi di pentas Piala Dunia, skuad negara perlu mempunyai sikap optimis dalam diri mereka selain mengharungi banyak perlawanan antarabangsa yang kompetitif dan berkualiti.

Kosmo!


PM: Teruskan sokongan

SKUAD bola sepak negara menerima sambutan ‘wira negara’ sejurus tiba di KLIA, Sepang dari Jakarta, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Dis. – Pelbagai pihak menyatakan rasa bangga ekoran kejayaan skuad bola sepak kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF mengalahkan Indonesia kelmarin.

Ekoran kejayaan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat terus menyokong skuad bola sepak negara kerana pemain telah mempamerkan disiplin, kerja berpasukan dan kegigihan, sehingga muncul juara kejohanan tersebut.

Di Indonesia pula, media negara itu menasihati skuad mereka agar mengambil pengajaran daripada kejayaan Malaysia, dengan tajuk muka depan akhbar Kompas menyiarkan laporan Jangan Malu Untuk Belajar.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menghargai kejayaan tersebut juga memaklumkan bahawa pemain negara akan menerima ganjaran khas, yang akan diumumkan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah apabila baginda kembali dari luar negara, Isnin ini.

Pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal pula menyarankan anugerah khas diberikan kepada jurulatih K. Rajagobal atas jasanya menerajui skuad Harimau Malaya sehingga berjaya menjulang Piala Suzuki AFF yang diidamkan selama 14 tahun.

Utusan Malaysia

Radin Omar dilantik Naib Canselor UPM

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Radin Umar dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa esok hingga 31 Disember 2013.

Beliau menggantikan Prof Tan Sri Dr Nik Mustapha R Abdullah yang tamat tempoh pelantikan hari ini.

Dr Radin, 50, sebelum ini adalah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi dan Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengajian tinggi dan pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hubungan Antarabangsa UPM dari tahun 2005 hingga 2006, menurut kenyataan UPM hari ini.

Dr Radin berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Keselamatan Trafik dari Birmingham University, United Kingdom dan pernah menjawat Ketua Pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Pada 2005, beliau menerima anugerah The Prince Michael International Road Safety Award yang mengiktiraf sumbangan dan inovasi beliau dalam kemajuan jalan raya.

Sementara itu, Prof Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, 47, pula dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM bagi tempoh yang sama menggantikan Prof Datuk Dr Abu Bakar Salleh yang tamat tempoh pelantikan.
Prof Mohd Saleh pernah dilantik sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan pada Oktober 2007, serta bergiat aktif dalam bidang penyelidikan Kejuruteraan Awam sejak berkhidmat di UPM bermula 1988. - BERNAMA

iDAN: Boss lama gue.

29 Disember 2010

SKVE semakin sibuk (Singgahsana)

1:11 pagi baru aku sampai di Jenaris telah biasa begini merentas waktu saban Ahad beginilah aku ketika malam SKVE ini amat sunyi tapi memang aku suka lebuh raya baru ini tak lagi meredah sesak bandar Puchong tak lagi jumpa deretan kenderaan tak lagi perlu berebut lorong cumanya mungkin sementara sunyinya tak ramai lagi tahu SKVE ini ke arah mana jika dari Kajang ikut jalan Putrajaya ke Puchong ada papan tanda yang besar ikut SKVE ini tetapi jika ikut Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah dari Batu Tiga Shah Alam ke KLIA Lebuh Raya Elite jangan mimpi akan tahu susur ke SKVE ini kenapa terlalu lama nak lekatkan papan tanda SKVE cumanya ingat angka ini 606 pintu susur keluar tertera akan arah Kajang & Putra Perdana entah bila akan ada papan tanda SKVE memang tercari-cari akan susur ini maka sepanjang jalan sekitar 12:00 tengah malam ke jam 2:00 pagi sunyi amat; memang amat sunyi SKVE biar pun sebenarnya jalan pintas ke Kajang yang amat cepat & ringkas dengan tol RM1.90 permandangan waktu senja amat indah di sini sebab banyak tasik di kiri kanan lebuh raya. (Emm! ini nota lama di FB sekarang SKVE semakin sibuk namun tetap pilihan nan bijak jika mahu ke Shah Alam andainya anda penduduk Kajang.)

28 Disember 2010

27 Disember 2010

Kaum Arab.

"Kaum Arab adalah kaum yang banyak bermasalah!" "Kenapa pula abah kata begitu?" "Sikap kaum ini dari sejarah Islam sering menceritakan kedegilan mereka!. Mungkin sebab itu nama kebanyakannya diutuskan kalangan kaum mereka..." "Tapi abah bukankah bahasa di syurga adalah Bahasa Arab." "Memanglah bahasa syurga bahasa mereka namun sejarah telah membuktikan perangai kaum Arab ini sejak azali memang banyak kerenah, kita pun setelah mati akan menggunakan Bahasa Arab jua.." aku terfikir juga. "Sementelah itulah kut! kaum Arab ini amat ego; mungkin angkuh sebab bahasa mereka adalah bahasa utama bagi semua makhluk..." Top-top kita dengar lagi masalah dunia Arab; kejap kita diwartakan pemimpin mereka yang rakus & kaya raya. Kejap kita dengar pemimpin mereka tak hiraukan rakan atau jiran sebelahan negaranya. Kejap-kejap kita dengar mereka berperang sesama mereka. Di IPTA tempat aku berkerja pun sering terdengar masalah pelajar Arab; ada yang kemalangan langgar orang tempatan sampai meninggal dunia; ada yang bermasalah dengan pasangan mereka yang mengamal Mazhab Syiah. Bila ditangkap basah katanya telah pun berkahwin dengan pasangannya. Bahasa al-Quran juga adalah Bahasa Arab. Kerugian yang amat besar kita tidak belajar Bahasa Arab; petah menyebutnya tetapi tak faham apa maknanya. Sedangkan membaca atau mendengar a-Quran pun kita mendapat pahala apatah lagi jika kita tahu maknanya. Aku berani mengatakan lebih 50% orang Melayu tak faham Bahasa Arab padahal itu adalah bahasa kita nan kekal. Yang lebih kita tahu atau fasih adalah Bahasa Inggeris. Isunya aku menulis tentang Kaum Arab ini bukannya apa. Sementelah keluargaku ada darah Arab. Maka itu ramai saudara maraku adalah dari kalangan Syed & Sharifah. Aku sendiri tak tahu dari Syed keturunan Arab yang mana. Mungkin ada saudara maraku di sekitar Kota Bharu Perak boleh membuat Salasilah keturunanku ini dari mana. Kenal Md Sesh tapi tak tahu pula asal kejadiannya.

23 Disember 2010

Di mana beradanya Abg Jelani (Singgahsana)


Aku mendapat tahu pemergian Allahyarhamah Kak Sala agak lewat. Itu pun tak pasti namanya sebenar. Dari SMS Raman dia menaip nama nan lain. Bila aku congak tak sempat nak kejar ke acara pengkebumiannya; aku batalkan saja pulang ke kampung. Aku telefon jua Kak Nomie kut dia kenal namanya. Kak Nomie pun sama tak kenal.

Selang beberapa bulan aku balik kampung barulah aku sedar yang meninggal itu adalah Kakak Saudaraku sendiri. Malahan lebih aku terharu; Abg Jelani telah hilang dari kampung. Kata orang kampung anak Kak Sala menghalau dia dari rumahnya. Sungguh aku sedih; jika aku dapat kesan Abg Jelani, pastinya aku akan buatkan dia tempat kediaman sekadar semampu aku. Aku suka dia jaga tanah pusakaku. pasti aku akan buat pilihan; sama ada buat rumah di tapak rumah pusaka. Atau kalau dia suka aku akan buatkan rumah di Tanah Paya Asap yang telah kutebus.

Dia lama berternak kerbau di sana. Pastinya dia tidak akan menolak permintaanku. Aku pasti sangat. Pasti dia akan suka berkampung di kampungku. Pasti akan mahu sering memziarahi pusara isterinya.

"Mulanya dia tinggal di masjid setelah anak tirinya halau dia...!"

"Kenapa jadi macam itu iyer!"

"Entahlah tak pasti kenapa jadi macam tu.." Raman bercerita.

"Tak tahu bila dia keluar dari kampung & dia pergi ke mana..." Raman pun buntu tak tahu di mana dia kini.

Hingga kini aku masih mencari jejaknya. Jika ada sesiapa yang tahu di mana Abg Jelani ini berada silalah kasi tahu; aku teringin amat berjumpa dengan dia & berharap dia akan menjadi saudaraku nan rapat & dapat membantu aku dalam banyak perkara. Terutama dalam penjagaan harta pusakaku di kampung.

Ini kenangan yang aku tulis tentang Abg Jelani sekitar tahun 2008 lalu. Sila klik situs di bawah.

http://desatualang.blogspot.com/2008/08/35-tahun-tidak-dijejak-singgahsana.html

22 Disember 2010

Menarik Kisah Gadis Lara ini.



Gadia Lara

gadis lara kekasih masih berhubung dengan bekas teman wanita

Posted on 21.12.2010 1:45 AM

Saya bercinta dengan teman lelaki saya sejak tahun lalu. Bermula dengan hubungan seperti adik kakak, terus membibitkan cinta di hati, semasa dia berpisah dengan teman wanitanya dulu, dia sangat bencikan w. tetapi sejak kami mula bercinta dia dpt memaafkan w dan menerimanya sbg kawan. Yang merunsingkan saya mereka kerap berbalas sms. ada masanya semasa bersms dengan saya, dia juga berbalas msg dgn w. Baru-baru ini saya terbaca sms nya dengan w sejak bulan 2 tahun ini, w banyak ceritakan pengalamannya dengan kekasih barunya. Ternyata w telah berubah dan terbuka dengan dunia sosial. Dia dengan selambanya menceritakan aktiviti sumbangnya bersama kekasih baru nya dan paling memeritkan kekasih saya bagaikan melayan ceritanya!.

W juga dengan selamba bertanyakan apa yg pernah teman lelaki saya lakukan bersama saya, juga bertanyakan adakah teman lelaki saya dapat menyimpan kesucian kami hingga kahwin nanti? saya merasa sangat marah dan tertipu. Jika ikutkan rasa hati saya pasti akan menyerang kedua-duanya sekali tetapi hingga sekarang saya masih belum mendapat idea bagaimana saya hari harus bersemuka dengan teman lelaki saya. Haruskan saya berterus terang dengan nya? bagaimana dengan w???

(Saya jarang amat buka blog ini; lantaran sering sahaja server easyjournal ini bermasalah. Sedangkan ilah blog yang amat saya sayangi. Baru sekitar sebulan server easyjournal ini kembali okey! harapan saya blog ini akan kembali berkembang seiring dengan blog saya yang lagi satu lagi... di blogspot; insyaAllah akan saya buat setiap salinan tulisan saya di sana untuk dimuatkan di blog ini)

iDAN berpesan.

Gadis Lara:

Cinta nan sejati adalah cinta nan bersih & suci. Cinta yg tidak berbaur dengan noda. W yg menganggu hubungan Gadis Lara bukanlah gadis baik lagi suci. Tidak ada bangganya menceritakan hubungan sumbang dengan orang lain (kekasih Gadis Lara). Aib & dosa diri sebaiknya dirahsia & dilindungi agar tak menjadi buah mulut orang. Nafsu itu ibarat api yang mudah marak & merebak.

Nafsu sebaiknya digunakan setelah bernikah; buka mencetus perbuatan sumbang.

Jika Gadis Lara kuat kudratnya ada baiknya berterus-terang dengan kekasih Gadis Lara@adik yang adik tak suka hubungan yang mengadu domba perkara sumbang. Jangan memaksa kekasih adik putus hubungan dengan W itu; selalunya lelaki ini tinggi egonya tak mahu dirinya diganggu. Apatah lagi dalam masalah perhubungan dia dengan gadis lain.

Cuma kawal & perhatikan pergerakan kekasihnya jangan sampai berjumpa G tersebut & berhubung dengan cara intim; takut cintanya akan berubah lantaran orang pernah patah hati ini sukar kita fahami hatinya. BerSMS mana mungkin kita kawal; penat diri & sebak rasa sahaja. Kita bersangka baik sahaja dengan aktiviti gila berSMS kekasih adik itu. Takkan ke mana pun berSMS cuma jangan sampai terjalin hubungan nyata.

Bersabar & banyakkan sembahyang hajat agar hati kekasih adik tetap setia dengan adik. Doakan jua agar jodoh adik segera bertemu dengannya. Sukar jaga bercinta terlalu lama. Serahkan kepada Ilahi jika terjadi pergolakan jiwa bila ada krisis begini. Yakinkan hati itu semua ini sekadar gangguan sementara.

Tak payah nak ganggu W tersebut lambat laun pasti dia akan hilang sendiri dalam kehidupan adik.

Paling penting kekalkan iman & kekuatan diri agar kekal menjaga kesucian diri adik; jika adik masih suci berlaku sebarang perpisahan percayalah adik akan pasti mendapat anugerah jiwa nan tenang & kebahagiaan yang tak diduga di masa mendatang.

21 Disember 2010

Lima Purnama (Singgahsana)


(Catatan kira-kira dua tahun lalu)

Kekinian aku telah pun ke peringkat menanda tangini dokumen pencen pilihan. Jika ditolak dengan kelayakan cuti tahunan; aku hanya punyai masa lima bulan sahaja lagi menjadi staf kerajaan. Jika mengikut perjanjian@opsyen 15 Mei 09 aku mula digelar Pesara. Tetapi jika mengikut cuti yang aku ada, tentunya aku sekitar April telah boleh bercuti & terus pencen.

Aku terkejut juga bilamana banyak cuti aku menjadi hangus begitu sahaja. Paling banyak sekitar awal 2000, ada yang sampai 50 hari tidak dibawa ke tahun hadapannya. Aku tidak pasti apakah di tahun tersebut telah ada sistem cuti talian terus. Pernah sekitar tahun 80an aku terlebih bawa; 58 hari. Aku sepatutnya hanya layak membawa cuti sebanyak 50 hari ke tahun hadapannya. Maka hangus begitu sahaja sebanyak 8 hari. Pertengahan tahun 2000 juga aku kehilangan 15 hari. Tidak pasti apa sebab mersababnya. Tapi yang pasti jika di congak-congak lebih 70 hari cuti rehatku hangus begitu sahaja. Itu rumusan yang aku dapat dari semakan cuti rehatku dari pihak pendaftar.

Bilamana aku berbual dengan kekawan;

"Kita makan gaji ini selalunya imbuhan itu tak seimbang dengan kerjaya"

"Haa aah! ada ketikanya kerjanya terlampau banyak imbuhannya tak sepadan; ada pula gaji banyak@lumayan kita pula banyak memonteng, pagi petang asyik berbual atau cit cat sahaja... cit cat bergaji!!!"

"Sebab itu mungkin terjadinya kes macam abg iDAN, hilang cuti rehat mungkin ada hikmah di sebaliknya"

"Haa..ahh!, terkadang kita ini pergi beli-belah pun bergaji!" Curi waktu kerja berbelanja sakan.

Maka itu aku sering mengamalkan sikap berkerja amal. Jika dulu memang salah satu dari visi pekerja mesti ada kerja sumbangan. Kerja rutin memang yang utama, tetapi bila ada waktu senggang ada baiknya buat kerja sumbangan. Kerjaya ini jika kita tulus ikhlas pasti Ilahi akan memberi ganjaran sebaiknya; mengikut ajaran agama kita ianya akan menjadi amal jariah. Rezeki yang kita bawa pulang jika kita berniat memberikan ianya sedekah buat anak-anak & keluarga; pasti kita akan mendapat pahala. Imbuhan yang berkat.

Kekinian sejak ada internet, banyak sangat masa terbuang dengan melayari internet. Jika telah sakit kena kemaruk cit cat lagilah mengarut. Leka. Kawan baik depan mata pun tak dilayan; yang lelakinya mengayat entah anak dara siapa. Yang perempuannya rasa bagai merak kayangan lantaran ramai sangat jejaka yang asyik menyapa & menabur janji sendaleka.

Dalam tempoh lima purnama ini, memang aku rasa terkilan lantaran aku tidak sebebas dulu mahu membuat kerja amal. Aku kini tercampak di Unit IT nan banyak protokol. Rakan sekerja rata-rata tak setuju jika aku cuba membuat kerja sumbangan membetulkan komputer yang tiada cop jabatan yang aku berkerja kini. Bagiku jika kerja tidak bertindih, apalah salahnya membantu betulkan komputer kekawan sekerja. Dari membuang masa leka bercit cat, bermain komputer, atau melayari internet yang tak bertepi.

Jika rajin bagiku apalah salahnya jika membina laman web atau situs atau blog sendiri. Terkadang jika kita rajin mengumpul maklumat. Dari sepuluh bahan takkan satu pun tak ada manfaatnya buat mereka yang mengunjungi blog kita.

Islam sendiri mengajar kita; sesungguhnya kata-kata yang baik atau nasihat yang berguna itu bagaikan sedekah. Kita perlu amat menghargai masa. Masa mana boleh dijual beli. Sedetik masa berlalu tanpa kita isikan dengan perkara yang bermanfaat; sememangnya kita menjadi Hamba Allah yang amat rugi.

Dari Abu hurairah ra, berkata : Rosululloh SAW bersabda, Setiap ruas tulang manusia wajib dikeluarkan sedekahnya setiap hari ketika matahari terbit :

1. Mendamaikan dua orang (yang berselisih) adalah sedekah
2. Menolong seseorang dengan membantunya menaiki kendaraan atau mengangkatkan barangnya ke atas kendaraan adalah sedekah
3. Kata-kata yang baik adalah sedekah
4. Setiap langkah kakimu untuk mengerjakan syolat adalah sedekah
5. Menyingkirkan rintangan di tengah jalan adalah sedekah

(HR.Bukhori dan Muslim)

Dengan demikian marilah kita berlumba-lumba dalam berbuat kebaikan dan bersedekah, karena setiap kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan dari Allah SWT, sebagaimana janji-NYA ;

Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula). (QS.Ar-Rohmaan ayat 60)

- Menarik juga catatan dari situs lama ini; kata-kataku sekitar dua tahun lalu ada baiknya kita renungi bersama dalam berkerja makan gaji. Sekarang aku telah bersara sekitar setahun setengah. Pelbagai ujian yang getir telah pun aku lalui terutama sukarnya perjalanan untuk menerima menantu.